Sayonara Tahun 2009,Teguh Mendepani Cabaran

Mastering others is strength,
Mastering yourself is true power ~

Sesekali seronok juga mencabar diri. Mencari kesegaran melihat alam ciptaan Ilahi. Tatkala jiwa menjadi bungkam, mencari arah tuju makna hidup, maka kita keluar dari kegelapan itu. Kita tidak ambil peduli siapa akan bersama kita. Kita tidak ambil pot apa yang sedang berlaku di Kelantan. 1Malaysia itu adalah konvoi ke semua negeri di Malaysia kecuali Kelantan. Pedulikan nepotisme atau kronisme. Itu budaya politik. Jika tidak suka dengan politik boleh pergi bermain polis sentri dengan budak-budak. Ini permainan orang dewasa. Permainan dewasa ini tentunya ganas, brutal dan tidak mengenal siapa. Ini wajah politik kita.

Tahun Masihi 2009 bakal pergi meninggalkan kita. Anak-anak muda hilang teruna. Gadis sunti kehilangan dara. Tiba masanya untuk membina keluarga. Anak muda yang bujang masih cool. Tidak perlu fikirkan hal yang bukan-bukan. Cinta dan perasaan. Ini semua melecehkan. Lebih baik fokus pada masa depan. Fokus membina sistem kepercayaan. Percaya bahawa anak muda bijak, muda dan berfikiran ke hadapan. Percaya anak muda boleh menjadi jutawan. Percaya anak muda tidak bergantung dengan wang ehsan. Habis wang Petronas dibelanjakan. Ini semua gara-gara gila dengan Formula One. Tidak tahu apa yang pasukan Mercedes F1 boleh buat untuk membela nasib golongan bawahan. Tidak cukup dengan engin jet habis semua peralatan tentera jadi pertaruhan. Habis semua warga hidup dalam kesusahan bila GST dilaksanakan.

Masanya telah tiba untuk kita membuat perubahan. Perjalanan seribu batu itu bermula dari langkah kita mula berjalan. Sampai bilakah kita ingin berada dengan penipuan. Tiada satu kejayaan tanpa usaha yang berteruslan. Kita mesti terus berjuang melawan hegemoni daulah yang tidak pernah merasai hidup dalam kesusahan. Usah ditagih komitmen Ahli Parlimen yang tuang dalam persidangan. Nasib baik bajet 2010 berjaya diluluskan. Jika tidak apa kakitangan kerajaan dan warga 1Malaysia hendak makan. Ingin diingatkan seluar dalam itu bukan makanan tempatan.

Akhirnya anak-anak muda itu juga yang terus mencari diri. Anak muda mahu hidup berdikari. Anak muda tidak punya kabel besar dengan kroni. Anak muda hanya hidup kais pagi makan pagi. Anak muda itu tidak layak untuk membeli BMW 5 Serie. Buat apa nak hidup macam orang kaya banyak bini. Lebih cool hidup dengan beli bundle di Pekan PD. Buat apa nak serabut fikir pasal study. Relakslah takda apa yang perlu dikejar. Nak kahwin carilah calon isteri. Kalau nak duit pergi kerja jangan hidup goyang kaki. Dapat berpuluh A sekalipun tapi tak tahu pilih industri lebih baik bunuh diri. Harus diingat dapat kerja sekarang bukan macam dulu lagi. Sebab itu ramai anak muda tak balik pergi kerja luar negeri. Adik-adik belajarlah sungguh-sungguh esok nanti boleh kerja luar negeri. Tapi ingat jangan kerja jual body.

Menempuhi masa-masa sukar itu rupanya sangat bererti. Pengalaman daripada kehidupan. Belajar daripada kegagalan. Masa terus bergerak dan berlalu. Usia semakin tua. Impian dan harapan terus membara. Tidak dapat dipastikan ke mana halatuju kita. Adakah ke syurga atau ke neraka. Yang pasti kita masih dan perlu terus berusaha. Tahun baru atau tahun lama pada saya sama sahaja. Tidak ada bezanya antara Bik Mama dan Isteri Rosmah. Tidak perlu melayan fitnah yang tidak membawa makna pada rakyat jelata. Kita perlu terus berfikir. Kita perlu terus bekerja. Kita perlu terus berusaha. Biarkan e-voting itu terjun dengan labu-labunya.

Tiada apa dan siapa yang boleh menghalang kita untuk berjaya. Rempuh saja dengan berani dan jayanya. Pedulikan kata-kata nista yang ingin melemahkan semangat kita. Pedulikan manusia-manusia bodoh yang cemburukan kejayaan kita. Sudah tiba masanya untuk anak-anak muda bangun bersuara. Bangkit dari tidur bersama isteri baru yang terlalu lena. Perkasakan ilmu dan fikrah. Menyusun langkah dan perancangan setiap hari, masa dan ketika tanpa leih dan jemu. Apa yang kita tidak suka buat, orang lain buat dan berjaya. Kita tidak mampu, sedangkan orang lain meninggalkan kita jauh beribu batu.

Sesungguhnya kita belum lagi menjadi negara maju. Oleh itu kita perlu bekerja lebih kuat. Bukan bekerja merompak wang rakyat. Sebaliknya bekerja dengan kudrat dan iradat. Tiada lagi hijrah kecuali hijrah jihad dan niat. Kita tidak boleh mendapat hasil baru dengan tahap prestasi kerja yang lama. Perubahan itu penting untuk pembangunan. Kesatuan itu penting untuk kelestarian. Pendidikan politik itu penting untuk jangka masa panjang. Tiada manusia yang gagal, yang ada hanyalah mereka yang berputus asa. Tak mungkin mengalir air yang jernih dari telaga yang keruh. Tak mungkin juga mengalir air yang keruh dari telaga yang jernih.

Semoga tahun 2010 ini tidak ada lagi anak-anak muda yang mati di tengah jalan. Memang benar jalan raya di negara kita ini sebenarnya lebih berbahaya dari jalan raya di Baghdad. Segal jenis kenderaan yang melalui lebuhraya itu ibarat kereta keranda yang sedang berlari menuju ke barzakh. Tangisan dan kepiluan melanda warga. Cadangan dan idea pembaharuan dari susuk-susuk daulah tidak lagi berguna. Jalan keluarnya amat mudah. Utamakan kepentingan warga dengan membina rel keretapi laju. Jangan hanya sibuk jual beli enjin jet dan senjata nuklear.

Selamat Tahun Baru Hijrah, Enjin Pesawatku Hilang

The people are hungry: It is because those in authority eat up too much in taxes - Lao Tzu

Saban tahun kita menyambut tahun baru hijrah. Tahun baru, kalendar hijrah atau masihi punya signifikan tersendiri. Hijrah dikira dari tahun hijrah Baginda SAW manakala masihi pula dikira dari wafatnya Al-Masih. Sejak dulu saya sering bertanya berapakah usia dunia ini sebenarnya. Apakah benar usianya 1431 tahun. Atau usianya menjangkau dua kosong satu kosong yang ditunggu-tunggu mat jiwang dan minah ranggi untuk meraikannya. Apa yang boleh kita katakan hanya Yang Maha Esa juga yang Maha Mengetahui. Bagi saya masa itu tetap masa. Ia tetap berjalan dan bergerak. Kita semakin hari semakin tua. Masa itu umur.

Setiap kali tibanya tahun baru kita akan ditanya apakah azam tahun baru. Pada tahun ini saya tidak menyatakan azam saya. Ini kerana sejak kecil saya sering keliru antara azam dan azan. Apakah azam ini sejenis biskut yang boleh dimakan. Apakah bezanya antara azam dan cita-cita. Adakah dengan adanya azam ini maka kita akan menjadi bijak dan terpelajar. Apakah dengan azam ini maka kita boleh menghalang enjin pesawat pejuang 50 juta itu daripada dilarikan. Cis tak guna punya agen Amerika. Duit sebanyak itu boleh membiaya 1000 pelajar Bumiputera dari berhutang PTPTN. Duit sebanyak itu juga boleh menyelamatkan warga dari membayar GST.

Masih ada lagi anak muda yang tidak tahu apa itu GST? Saya cadangkan agar kita belajar daripada makcik Felda yang ada facebook. Belajar tinggi melangit tapi tidak tahu siapa Menteri Pertahanan tahun 2007. Sia-sia warga membayar cukai GST tetapi anak-anak muda masih lagi baca Utusan dan Berita Harian. Mengapa tidak membuat pertandingan sosej terpanjang kek terbesar lagi. Mengapa tidak berminat menyertai program BTN sebelum masuk ke universiti. Saya menyokong penuh idea ini kerana ia sudah tentu meningkatkan nilai aqidah dan moral anak-anak muda. Haha.

Akhirnya warga membuka mata selepas membaca Malaysia Maverick. Anak-anak muda tidak lagi hidup serba kegelapan. Idea pencerahan akan terus berjalan. Anak muda yang baru menjadi peguam dilepaskan. Masa terus berjalan. Kini semua sedar mengapa GST dilaksanakan 2011 di tahun pertengahan. Rupa-rupanya sebelum tarikh itu ada sesuatu yang mengujakan. Ini bukan cerita datuk ahli parlimen kawin artis cun sedang bercanda sakan. Bukan juga kisah Ariffahmi yang tidak mahu melepaskan jawatan. Ini cerita kita melihat hegemoni daulah ditunggang terbalikkan. PRU ke-13 lah, bukan susah sangat nak faham kan.

Berakhirnya Sebuah Cinta; Dimanakah Hilangnya Masjid Itu?

Kita semua tahu dan sedar bahawa menutup aurat itu wajib. Tidak perlu dijelaskan ia diambil dari sumber mana atau kitab mana. Berulang kali ustazah J-Qaf memberitahu bahawa menutup aurat itu wajib. Kenapa susah sangat nak faham. Kenapa masih lagi biarkan rambut dalam keadaan togel. Kenapa masih lagi menyiar iklan pramugari yang seksi dan cantik jelita. Itu betul-betul tak cool. Biarkan awek-awek chic dan trendy itu dengan blaus ranggi mereka. Itu hak asasi manusia.

Ke mana hilangnya tanah masjid itu wahai MAIWP? adakah tidak sesuai untuk membina masjid di Sri Hartamas. Adakah tanah itu lubuk emas. Tidak mugkin untuk kita mengkomersialkan agama. Masjid Jalan Duta itu sudah cukup besar. Kita jual saja tanah itu kepada Mah Sing Berhad. Cukong itu pasti suka dan gembira. Projek masuk sini sana. Ini tiada kaitan dengan agama. Yang paling penting adalah keuntungan maksima.

Akhirnya jalan raya 1Malaysia lebih berbahaya dari zon perang di Iraq. Statistik yang kita lihat baru-baru ini cukup menakutkan. Anak muda belum sempat menikmati malam pertama telah mati kemalangan. Isteri menjadi janda sebelum sempat bermesraan. Ibu kehilangan anak kesayangan akibat ditimpa lori petrol satu tan. Habislah kesemua anak-anak muda bakal pemimpin masa depan. Semuanya mati di tengah jalan. Ini akibat objek yang kita sembah sebagai TUHAN. Proton dan Perodua hari hari berlumba melahirkan tuhan-tuhan baru yang kita sembah ini. Saya rasa lebih baik kita semua blah untuk tinggal di Afghanistan.

Melihat keadaaan hari ini kita semua hairan. Tahun 2010 begitu menggerunkan. Singkap kain ketatkan seluar. Kehidupan warga akan jadi lebih beban. Warga hidup dalam tertekan. Yuran sekolah dinaikkan. Cukai baru - barang dan perkhidmatan bakal diperkenalkan. Habislah minyak yang digali Petronas sudah kehabisan. Apalagi yang kita mahu makan. Sumber balak Sabah Sarawak juga habis dikerjakan. Kasihan sungguh kaum Penan. Sudah hilang sumber air dan makanan. Tak cukup dengan balak anak gadis sunti juga dikerjakan.

Tiba masanya untuk kita kembali kepada Tuhan. Berubahlah dengan menghargai kehidupan sebagai seorang insan. Harta benda wang berjuta bakal kita tinggalkan. Itu semua berlaku tatkala kita dipanggil Tuhan. Cukup mahal harga yang dibawa dengan 3 lapis kain kapan. Kasihan warga tidak berdaya terus dipinggirkan. Yang kaya semakin kaya. Yang miskin semakin miskin. Anak-anak muda tidak suka kepada kemiskinan. Anak muda juga tidak mudah lupa daratan. Anak muda sentiasa ingat bahawa kini tiba masanya untuk lakukan perubahan.

Pedulikan anak-anak muda berpuaka di kampus. Pedulikan anak-anak muda yang mati di atas jalan. Pedulikan gadis cun yang menjadi janda muda. Usah difikir masalah yang memberatkan perjalanan. Usah dikenang kisah yang telah berlalu. Separuh jiwaku pergi meninggalkanmu. Tiada lagi kekasih. Tiada lagi madah. Tiada lagi kisah teruna dara bermadu kasih dibawah pohon seroja. Kita sibuk bekerja. Kita sibuk dengan tugas kita. Berkhidmat untuk negara. Rindu mengikuti kursus Biro Tatatanegara. Sibuk dengan fatwa-fatwi salam 1Malaysia.

Biarkan Awan Berlalu Pergi; Menghadapi Dua Kesedihan

Seorang sahabat kehilangan ibunya baru-baru ini. Saya berkongsi kesedihan. Kehilangan insan tersayang sememangnya memeritkan. Apatah lagi insan yang kita sangat rapat dan bergantung semangat padanya. Apatah lagi kejayaan kita adalah kerana sokongan dan dorongan daripadanya. Apalagi jika orang yang kita kehilangan itu adalah insan yang melahirkan dan membesarkan kita seumur hidup. Apatah lagi jika dia yang kita panggil IBU. Jika saya berada pada keadaan yang sama saya rasa saya juga tidak mampu. Sungguhpun saya seorang lelaki.

Membaca berita yang timbul di sekeliling kita hari ini benar-benar merisaukan kita. Sekali lagi beban bakal dihempapkan ke atas batang tubuh warga. Goods and Services Tax (GST) yang akan dipaksa terhadap rakyat menjadi mimpi ngeri. Mengapa GST ini begitu berbahaya dan mengancam kehidupan warga. GST adalah cukai terhadap segala barang dan perkhidmatan yang kita gunakan setiap hari. Setiap sesuatu yang kita sentuh, pakai dan gunakan akan dikenakan cukai. Cukai ini kita bayar kepada lembaga-lembaga daulah. Tidak ada satupun yang ketinggalan untuk dikenakan cukai hatta seluar dalam kita sekalipun.

Pucuk dicita ulam mendatang. Warga seharusnya berterima kasih kepada daulah sekiranya GST ini dilaksanakan. Anak-anak muda terutama yang baru bekerja harus bersyukur dan bergembira kerana hidup anda diwarnai dengan membayar cukai. Beli kereta kena cukai, nak mulakan perniagaan kena cukai atau mungkin hendak bercanda dengan minah ranggi pun kena cukai. Habis 1Malaysia bergasak membayar cukai dek kerana bijaknya daulah mengurus negara. Agak pelik mengapa hanya membina bangunan pencakar langit 100 tingkat di Dataran Merdeka. Kenapa tidak bina lagi pencakar langit 888 tingkat di Kg.Seberang Takir. Paling kurang warga dapat menyewa atau menumpang duduk di tingkat 555 tatkala berlaku banjir.

Harapkan pagar, pagar makan rumput. Rupa-rupanya ada menteri yang mendapat kerakyatan warga Australia. Mengapa tidak jadi menteri di Australia. Bercakap di mulut dalam Parlimen Malaysia tentang kepentingan rakyat dan negara ini tetapi hati di negara lain. Jika menteri boleh mendapat taraf warganegara lain mengapa tidak rakyat biasa. Jika diberi keizinan ingin saja saya memohon PR untuk menjadi warga Mongolia. Sudah tentu saya tidak perlu lagi bersesak-sesak setiap pagi dan petang di jalanraya. Juga tidak perlu lagi membayar tol di lebuhraya.

Sesungguhnya setiap sesuatu itu bermula daripada usaha. Usaha itu ialah usaha membawa anak-anak muda keluar dari stereotaip pemikiran dan tipikal kehidupan. Betapa bosannya kehidupan ini saban hari membaca cerita-cerita politik berkepentingan. Soalnya adakah kita bersedia untuk melakukan perubahan. Gajah di hutan juga mahu berubah. Ayam di reban mahu keluar dari kehidupan yang mengongkong dan tersiksa. Burung dan unggas juga mahu terbang bebas. Perjalanan hidup ini perlu dilalui dengan penuh ketabahan dan semangat.

Semoga jiwa yang pergi itu tetap tenang. Semoga segala kesalahan dan dosa-dosa itu diampunkan. Semoga kehidupan ini terus dilihat sebagai persinggahan sementara menanti alam akhiratl. Sekalung takziah buat sahabat, Dr Mimi Farleena yang telah kehilangan permata hidup yang tercinta. Semoga terus tabah dan cekal menghadapi masa-masa seterusnya. Kita yang hidup perlu terus hidup. Yang pergi tetap pergi meninggalkan kita. Semoga roh Allahyarhamah Puan Mastura ditempatkan dibawah rahmat dan keampunanNya. Al-Fatihah.

Apakah Yang Menjadikan Kamu Begitu Bijaksana?


'Ingat pelajaran bukan menjamin kamu menjadi bijaksana'

'Apa yang kamu maksudkan..tidak menjadikan kamu bijaksana?'

'Satu perkara biasa.'

'Jadi apa yang jadikan kamu bijak?'

'Kehidupan, itulah sebenarnya.'

- Cancer Ward oleh Alexander Solzhenitsyn
Pemenang Hadiah Nobel untuk Sastera 1970

Menempuh masa-masa sukar adalah perkara biasa bagi anak muda yang baru membina kehidupan. Menjadi anak muda, apatah lagi tinggal di sebuah negara bernama Malaysia sememangnya memeritkan. Bayangkan hendak berjalan setapak sudah berfikir tentang kos yang akan dileburkan. Petrol, tol, parking tidak termasuk saman trafik memberatkan perjalanan dan cita-cita anak-anak muda. Ikutkan hati mahu saja berhenti bekerja duduk melepak bersama aweks sepanjang masa. Tapi saya anak muda berjiwa kuat tidak mudah berputus asa. Kehidupan perlu terus. Bak kata mentor 'walau apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti.'

Soalnya mengapa kita begitu pesimistik terhadap kursus anjuran Biro Tatanegara. Bukankah kursus BTN itu mendidik anak-anak muda di kampus untuk menjadi soleh, solehah dan pandai menunaikan solat sunat rawatib. Mana pernah kursus BTN itu mengutuk dan mencemuh pemimpin Pakatan Rakyat. Tidak pernah juga saya mendengar bahawa kursus BTN itu memfitnah Anwar Ibrahim sebagai agen Yahudi atau Amerika. Haha. Kita terlupa bahawa telefon bimbit yang kita gunakan itu juga produk kabal-kabal zionis. Kita sering terlupa betapa ramai pemimpin kita berkiblat kepada negara Bush/Barack Obama bukan Kaabah di Mekah.

Pedulikan Ariffahmi yang mahu meletakkan jawatan CEO PMBK. Sebetulnya apabila terlibat dengan politik elakkan daripada memilih anak menantu di jawatan tertinggi syarikat kerajaan. Sekali lagi ditegaskan bahawa politik adalah persepsi. Rakyat membaca blog dan berita alternatif yang tersebar di dot com. Terima kasih Ronald Reagen kerana memperkenalkan dasar dunia tanpa sempadan ini. Tanpa teknologi ini tak mungkin hari ini kita tahu siapakah Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd. Tak mungkin juga kita tahu siapakah yang merasuah Balasubramaniam. Kontraktor jambatan runtuh sehingga hari ini masih hilang.

Sekiranya kita memiliki hak terhadap sesuatu mengapa tidak kita mempertahankannya. Mengapa kita tidak memberikan hak kepada yang berhak. Apakah kita memahami keadilan dan kesamarataan itu sepertimana pepatah Inggeris ada menyatakan ' Justice delayed is Justice denied'. Sudah terang lagi bersuluh rakyat Kelantan dinafikan hak mereka terhadap royalti. Tiada huha lagi menyatakan ini semua tiada kaitan dengan politik. Kehidupan ini serba serbi terikat dan tersimpul dengan ikatan politik. Jika hak yang sepatutnya menjadi milik kita dinafikan, apakah lagi doa yang mahu kita panjatkan selain tolak bala. Bala yang ini tentulah tidak sama dengan Balasubramaniam.

Tingkatkan kesungguhan, keyakinan. Tiada jalan keluar untuk sesuatu melainkan dengan kesabaran. Apabila keadaan menjadi begitu memeritkan, hanya yang tabah merentasi keperitan akan menang. Yakinlah akan cita-cita dan impian di hadapan. Masa depan milik anak muda berani yang tidak takut dengan ujian dan halangan. Tidak berkahwin awal tidak bermakna kehidupan itu tidak sempurna. Tiada sesuatu yang merugikan apabila kita gunakan sepenuhnya sepenuh masa dan nyawa untuk memberi dan menerima. Hakikatnya kita tetap kita.

Apakah Yang Menghalang Anda Untuk Berjaya Mengurus Persepsi

Tahniah kepada CEO PMBK Abdullah Arifahmi kerana telah meletakkan jawatan. Anda adalah orang yang terkorban kerana persepsi. Belum sempat lembu-lembu dikorbankan anda telah menjadi korban. Politik dasawarsa kini adalah politik persepsi. Menolak persepsi adalah primitif dan hanya layak untuk tinggal di Gua Batu Maloi. Mengurus persepsi adalah cabaran baru bagi susuk politik moden yang mahu mengambil alih kuasa atau mengekalkan kuasa. Kerja politik adalah kerja untuk mengenal, mengurus dan menyelesaikan persepsi.

Kini saya menunggu saat-saat untuk ditabalkan sempena hari keputeraan. Angka 25 itu begitu menarik. Jika diizinkan ingin saja menempah plat BMW dengan nombor itu. Tapi itu cuma mitos kerana angka dan nombor tidak melambangkan apa-apa makna. Lembu 110 ribu dengan 1.24 juta juga tidak membawa apa-apa makna. Cuma manifestasi angka itu menjadi isu tatkala ia disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia. Maka apakah di musim naik haji berumrah ini tiada lembu yang bergerak-gerak untuk disembelih dan dikorbankan. Ayah saya pasti sibuk menguruskan hal ehwal korban pada raya korban ini.

Berhati-hati tatkala kita membaca ada orang yang dipaksa dan memaksa untuk masuk Islam. Islam agama yang tidak memaksa sesiapa untuk menganutnya. Tiba-tiba sahaja S Banggarma atau nama lainnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah muncul di sudut berita memberitahu dia dipaksa memeluk agama Yang Maha Esa. Sekali lagi bagi mereka yang malas membaca fikrah mereka mudah dibonsaikan. Jika sudah dua dekad perkara ini berlaku mengapa kini mesti ditimbulkan. Apakah pihak JKM Penang begitu kempunan dengan memaksa S Banggarma masuk agama Islam. Atau di sana ada pihak yang sedang menjadi juara untuk menjadi lebih Islam daripada Islam.

Suka atau tidak kita perlu rajin membaca, mengkaji dan mentelaah sikap manusia di sekeliling kita. Anak-anak muda belia dan remaja mesti rajin membaca untuk mencerna pemikiran. Mendengar tanpa membaca dan menelaah sesuatu adalah permulaan proses pembodohan yang ingin disebatikan dalam susuk jiwa kita. Kebodohan kita bermula apabila kita mengaku bahawa kita sudah pandai, bijak dan terpelajar. Otak yang lembap dan sembab inilah yang tidak lagi menggerakkan fikrah anak-anak muda khususnya yang berada di wilayah institut pengajian tinggi.

Sesungguhnya hari ini tidak cukup sekadar berblog dan berfacebook. Adakalanya kita hilang fokus dan keutamaan. Tumpuan kita sering hilang tatkala mendengar lagu cinta dan indahnya berasmara. Tetapi manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesiapa kecuali fikrahnya yang rasional. Kita tidak mahu menjadi hanya sekadar pencetus dan pemula idea tetapi begitu lemah dalam pelaksanaan dan tindakan susulan. Kerana itulah hal-hal cinta dan hati terpaksa kita tinggalkan.

Pilihanraya Kecil Lagi; Selamat Datang Kota Siputeh

Sungguhpun rayuan telah dibuat atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, kita tetap berdoa semoga akan terjadi satu lagi pilihanraya kecil. Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah itu terlalu kuat untuk SPR melawannya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa ADUN pemalas yang tidak menghadiri sidang DUN lebih 2 kali tidak lagi layak untuk bertugas memegang amanah wakil rakyat. Akhirnya Abu Hassan Sarif perlu terjun dengan labu-labunya.

Lama tidak berpilihanraya terasa hidup ini kosong. Idea tidak terpancar keluar. Pencerahan tidak berlaku. Semuanya sibuk dengan dunia post-call dan on-call. Hakikatnya kehidupan perlu terus. Berfikir dan bergerak ke depan. Tidak dapat tidak kita perlu mencapai target dan impian. Tidak dapat tidak kita perlu realisasikan hasrat, cita-cita dan kehendak warga keseluruhannya. Mendengar akan berlaku pilihanraya menjadikan jiwa anak muda kembali hidup.

Pedulikan siapa yang pandai atau bodoh ekonomi. Pandai atau bodoh bukanlah persoalannya. Apa yang pasti warga masih hidup dalam sengsara. Warga masih mengharapkan perhatian daripada pemimpin dan wakil rakyatnya. Warga mahu perjalanan kehidupan mereka lancar dan terurus. Warga mahukan amanah yang diberikan pada kertas undi itu dilaksanakan dengan sebaiknya. Bukan untuk bail-out syarikat anak bini dan melobi untuk membina kilang nuklear di Semenyih.

Akhirnya Bala sudah kembali. Susah sungguh warga mencari Bala ini. Rupanya Bala tengah bercuti. Bukan di Jakarta atau Bali tapi di Los Angeles. Tidak semena-mena Bala menjadi kaya kerana menyimpan rahsia besar. Siapakah ayah pada si anak comel itu. Siapakah yang bertanggungjawab membunuh Cik Mek Molek. Siapakah yang mendapat laba untung urusan jual beli Scorpene yang tersadai di Pelabuhan Klang itu. Adakah wakil rakyat Badrul Hisham ingin membuka pusat khidmat wakil rakyatnya yang baru di dalam perut kapal selam.

Alangkah bahagianya kehidupan seluruh warga jika Tun Dr Mahathir dilantik menjadi menteri kanan. Sudah pasti rakyat akan didahulukan pencapaian diutamakan. Tol akan dihapuskan. Pendidikan tinggi akan diberikan percuma. Hutan yang kaya dengan balak di Sarawak akan dipelihara. Anak-anak kaum Penan tidak akan dirogol oleh si pembalak. Air dan api akan diberikan subsidi. Projek mega akan dihentikan. Anak-anak muda yang menganggur diberi elaun hidup sementara menunggu pekerjaan. Alhamdulillah syukur kita punya pakar ekonomi yang hebat sehingga tidak ada orang miskin dan peminta sedekah di kaki lima.

Kehidupan itu perlu diurus dengan sebaiknya. Setiap kita perlu melihat sesuatu dengan mata pandangan yang jauh. Warga perlu bersedia dengan serangan kapitalis tahap dewa yang bakal menyusahkan kehidupan seluruh dunia. Kiamat atau tidak pada 2012 nanti bukanlah persoalannya. Berkahwin atau tidak dengan wanita yang disukai juga bukan premis awal untuk kehidupan seorang anak muda. Apapun kita mempunyai jalur pandangan yang sama iaitu kita sama-sama merayakan kemudaan kita. Sekali lagi dinyatakan bahawa dunia ini milik anak muda seperti kita.

Hilangkan Sengketa; Selamat Berjuang Hobin Jang Hobin!

Lupakan Dr Asri yang ditangkap JAIS. Lupakan Seminar Politik Dr Aziz Bari. Lupakan Kerajaan Perpaduan Ustaz Abdul Hadi. Jom kita pergi tengok bola. Perlawanan bolasepak itu telus. Yang kalah itu kalah. Yang menang itu menang. Tiada SPR. Tiada undi pos. Tiada penyelewengan atau rasuah. Anak-anak muda tidak berserabut memikirkan hal-hal politik merebut punca-punca ekonomi. Semuanya tertumpu kepada satu iaitu; BOLA. Bola itu bulat. Hari ini kita menang. Esok lusa mungkin kita akan kalah. Tiada pasukan yang boleh mendakwa menang selamanya.

Persahabatan kita terjalin kerana bola. Ukhwah kita kukuh semula kerana bola. Parti yang anak muda taksub gila ditinggalkan seketika untuk memberi ruang bertandang ke Bukit Jalil. 90 minit adalah waktu untuk kita merayakan kemudaan kita. 90 minit adalah ruang masa untuk kita menghayati saat untuk bersuka-ria. 90 minit untuk kita melupakan segala masalah-masalah dunia bebal yang memberatkan perjalanan kita selaku anak muda 1Malaysia.

Semoga esok selepas tamat perlawanan itu kita kembali kepada sifat insaniah kita. Kita manusia yang perlukan penghargaan, pujian dan kasih sayang. Kita manusia perlukan sifat jujur, amanah dan ingin berbakti kepada orang miskin dan orang susah. Kita manusia perlukan pekerjaan, makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk hidup selesa. Kita tidak perlukan pelabuhan kapal dagang berbilion ringgit, kapal selam canggih atau loji nukleur di sekeliling kita. Kita juga tidak perlukan gedung mewah sebesar Harrods di Bandar Seri Jempol.

Akhirnya kita kembali kepada sifat asal kita. Manusia yang bisa sedih, gembira, sunyi dan ketawa ~

Sedutan teks Ucapan Dr Koh Tsu Koon - Presiden Parti Harakah


*Ucapan Dr Koh Tsu Koon di Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-38 di Kuala Lumpur baru2 ini. Anak muda sila baca dengan mata hati. Read between the lines. Pencerahan milik anak muda Malaysia.

Sepertimana yang kita sedari, kita kini berada dalam satu era yang penuh dengan rentetan perubahan serta cabaran-cabaran besar. Dalam dua tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan kekecamukan ekonomi dan politik yang melanda negara-negara di serata pelusuk dunia, dan ini dikalutkan lagi oleh tragedi-tragedi bencana alam dan penularan penyakit yang menggugat insan. Sesungguhnya, era ini amatlah mencabar bagi ramai orang dan banyak kerajaan di seluruh dunia. Kerajaan di banyak negara berhempas pulas untuk menangani kehendak-kehendak rakyat di mana sikap kritikal terhadap kerajaan lahir dari golongan masyarakat yang kini lebih berpelajaran dan bermaklumat. Perubahan politik sudah melanda beberapa negara dan Malaysia tidak terkecuali. Cara lama yang pada suatu ketika dahulu sememangnya berhasil bahkan pernah menyampaikan "keajaiban" tidak lagi berkesan pada masa kini dan di masa hadapan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kerajaan gabungan seperti kita harus bersedia untuk berubah atau bersedia untuk diubah. Malah, kita tidak mempunyai pilihan selain dari berubah, dengan seberapa segera, untuk kepentingan rakyat Malaysia, bukanlah untuk kita sendiri.


Dalam ucaptama saya di persidangan kita pada tahun lepas, ekoran dari suara rintihan ramai anggota masyarakat dan parti, saya telah menggesa supaya lebih banyak pembaharuan diperkenal dan dilaksanakan, selain apa yang telah dimulakan pada masa itu. Pembaharuan-pembaharuan yang disebut termasuklah pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan kesaksamaan pendapatan yang lebih baik; integriti yang lebih kukuh, keberkesanan dan ketelusan dalam Kerajaan; keamanan dan keselamatan untuk semua; keharmonian antara agama dan perpaduan antara etnik yang lebih kukuh; serta ruang demokratik yang lebih besar. Kami amat bergembira dan bersyukur kerana banyak permintaan yang disebutkan tadi sedang ditangani melalui beberapa pengumuman yang dibuat dan tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri yang baru dalam tempoh tujuh bulan yang lalu. Perubahan ini telah dilahir dan berpandukan kepada semangat dan komitmen "1Malaysia, Rakyat DiDahulukan, Pencapaian DiUtamakan." Sudah sampai masanya untuk tindakan dan penyampaian hasil-hasil yang nyata dan benar.

Pertumbuhan ekonomi, pendidikan, ekuiti dan alam sekitar


Mengenai ekonomi, kami mengalu-alukan berbagai langkah konkrit yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri dalam tujuh (7) bulan yang lalu untuk meliberalisasi ekonomi dan melaksanakan pakej-pakej rangsangan ekonomi. Kami juga menaruh harapan tinggi di atas pelancaran Model Ekonomi Baru (NEM) dan Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) pada tahun hadapan. Kami bersetuju dengan sasaran asas untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi melalui strategi menerokai dan membolehkan punca-punca pertumbuhan yang baru dan membina ekonomi berdaya saing yang berasaskan ilmu dan didorong oleh inovasi. Bagaimanapun, kami di Gerakan berpendapat bahawa terdapat tiga bidang utama yang harus diberikan tumpuan dalam Model Ekonomi Baru, iaitu pendidikan, ekuiti dan alam sekitar. Berganding dengan usaha menjanakan ekonomi negara, ianya merupakan empat (4) tiang utama bagi memastikan kejayaan ekonomi Malaysia secara lestari.

Pertama, untuk mencapai ekonomi dan masyarakat yang berasaskan ilmu, adalah penting bagi Kerajaan untuk melatih, menarik dan mengekalkan tenaga kerja yang berbakat tinggi dari dalam Malaysia malah dari luar Malaysia. Kita harus mempunyai hati terbuka dan mengamalkan pintu terbuka. Dengan menempatkan pendidikan sebagai priority dan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (N-KRA), kita perlu mensasarkan untuk membangunkan tenaga kerja yang berbakat tinggi di kalangan anak-anak Malaysia sendiri. Daripada membelanjakan sejumlah wang besar dalam membina kampus-kampus luas dengan bangunan yang gah, kita sepatutnya menyalur-alihkan lebih banyak dana ke arah pembangunan sumber manusia yang bertaraf tinggi secara efektif, melalui pengajaran yang lebih berkesan serta penyelidikan dan inovasi yang lebih berhasil. Dalam perkataan lain, kita memerlukan lebih banyak otak dan bukannya lebih banyak batu-bata. Pemacuan ini adalah sejajar dengan usaha untuk mencapai kecemerlangan yang nyata dan ketara, disempurnakan dengan kekayaaan dan kepelbagaian warisan budaya dan afiliasi agama, yang merupakan faedah daya-saing yang begitu berharga. Dengan keadaan ini, kita dapat berhubung dengan negara-negara Islam, China, India dan Barat dengan berkesan.

Kedua, dalam usaha kita memacu ke arah pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan lestari dan pendapatan tinggi yang nyata, kita harus beringat untuk memastikan pembahagian kekayaan yang lebih sama rata. Kita harus sentiasa menangani masalah jurang perbezaan di antara yang kaya dengan yang miskin, yang mengakibatkan perasaan terpinggir di kumpulan masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana. Sehubungan dengan itu, kami mengalu-alukan dan menyokong penekanan Kerajaan terhadap dua N-KRA. Yang pertama, menyediakan infrastruktur asas luar bandar seperti jalan, tenaga elektrik, bekalan air, sekolah dan hospital, terutama sekali untuk Sabah dan Sarawak. Yang kedua, meningkatkan tahap kehidupan keluarga yang berpendapatan rendah di kawasan bandar dan luar bandar, tanpa mengira kaum. Bagaimanapun, cabaran sebenar adalah bagaimana inisiatif-inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan cara yang lebih "cost effective" yang sekali gus dapat memanfaatkan orang ramai.

Ketiga, harus dipupuk satu imbangan sihat di antara pengejaran pembangunan dengan pemeliharaan alam sekitar. Kami mengalu-alukan penubuhan Bahagian Teknologi Hijau dalam Kementerian Tenaga dan Air, namun kami merasakan masih banyak lagi usaha mantap yang perlu diterokai dan dijalankan. Dalam pada itu, Malaysia harus menunjukkan komitmen yang lebih tinggi dan mengambil bahagian yang lebih aktif dalam bersama-sama menangani isu pemanasan global, perubahan iklim dan pencemaran hakisan dan degradasi alam sekitar, melalui pelaksanaan strategi bersepadu pemuliharaan alam sekitar yang lebih efektif. Gerakan ingin menggesa Kerajaan agar menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai satu bidang keutamaan nasional atau N-KRA.

Sesungguhnya, Gerakan memang komited and berhasrat untuk menjadi sebuah 'parti hijau." Dengan berbuat demikian, kita akan kembali kepada asas, selaras dengan emblem parti yang bersegitiga hijau dengan lima (5) tangkai padi. Menghijaukan diri bukan secara permukaan sahaja, tetapi dengan tindakan yang berkesan demi kepentingan masyarakat. Alam sekitar adalah suatu isu yang memberi impak kepada setiap anggota masyarakat dan ia merentasi batasan kaum dan agama. Ia sesungguhnya adalah satu usaha murni bagi amalan demokrasi peneyrtaan yang cukup bermakna dan berhasil di peringkat nasional dan akar-umbi. Kita sebolehnya dan seharusnya memperhubungkan dengan NGO-NGO, universiti-universiti dan masyarakat dalam kawasan kita, terutama sekali generasi muda. Satu permulaan yang baik telah diambil oleh pemimpin-pemimpin Gerakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah, dengan sambutan yang memberangsangkan. Negeri-negeri dan bahagian-bahagian lain harus mencontohi langkah murni ini.

Tranformasi kerajaan dan perkhidmatan awam


Salah satu daripada mercu tanda di bawah pentadbiran Perdana Menteri ialah komitmen terhadap Program Transformasi Kerajaan atau Government Transformation Programme (GTP) yang dijangka akan membawa perubahan dari segi integriti, ketelusan dan kecekapan dalam pentadbiran kerajaan. Kalau diimbas, GTP bukanlah sesuatu yang baru. Sudah banyak pemasyhuran telah dibuat dan dilancarkan sebelum ini. Tetapi, pada kali ini, kita melihat komitmen yang jauh lebih kuat untuk menghasilkan perubahan yang nyata dan pelaksanaan yang lebih efektif, dengan Perdana Menteri sendiri memimpin dan memacu inisiatif GTP ini. Inisiatif GTP dilaksanakan melalui aplikasi tubi ke atas metodologi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pendekatan "makmal" (lab) yang terbukti berjaya di sektor korporat dan kerajaan di beberapa negara. Gerakan mengakujanji menyokong penuh inisiatif utama ini.

Walau bagaimanapun, selain memperbaiki sistem penyampaian sektor awam, Gerakan berpendapat bahawa adalah amat perlu untuk memulihkan secepat mungkin keyakinan rakyat terhadap tiga (3) institusi utama dalam Kerajaan, iaitu, Sistem Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Polis. Penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada bulan Disember lalu adalah satu permulaan yang baik. Kami juga mengalu-alukan tindakan Ketua Hakim Negara baru-baru ini dalam menambahbaikkan prosedur mahkamah dan bercadang menyingkir hakim-hakim yang berprestasi rendah. Walau apapun, banyak lagi harus dilakukan. Dengan GTP memberi fokus kepada pencegahan gejala rasuah dan jenayah sebagai dua (2) N-KRA penting, institusi seperti SPRM dan Polis harus belajar dari insiden-insiden dan persepsi negatif terhadap pendakwaan yang tidak berkesan atau memilih bulu, secara cepat dan berkesan dan memulihkan kredibiliti dan kecekapan institusi di mata rakyat. Bagaimanapun, untuk memerangi rasuah dan jenayah memerlukan kesanggupan politik (political will). Gerakan mengaku janji akan terus memberi sokongan kepada kerajaan dan pucuk kepimpinan Barisan Nasional dalam usaha untuk memerangi rasuah dan jenayah.

Apa yang berkaitan rapat dengan isu rasuah ialah keberkesanan tanggungjawab dan ketelusan Kerajaan secara umum. Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang mendedahkan pembaziran dan ketirisan yang begitu ketara, serta kos yang melebihi had, kecacatan dalam infrastruktur dan bangunan Kerajaan dan lain-lain, Gerakan menggesa supaya siasatan yang menyeluruh dan tindakan keras perlu diambil. Di sebaliknya, terdapat pula beberapa contoh kecemerlangan, misalnya, Jabatan Imigresen sanggup mengeluarkan paspot dalam tempoh masa tiga (3) jam yang kini merupakan satu rekod dunia. Sekiranya Jabatan Imigresen dapat meraih pencapaian ini, tidak ada sebab mengapa jabatan-jabatan lain tidak dapat meraih kejayaan serupa.

Selain penyampaian dan perkhidmatan yang cepat, rakyat juga mengharapkan dan menuntut layanan yang saksama, mesra, bersopan santun dan memberi hormat. "Rakyat Didahulukan" bukan sahaja untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat, tetapi adalah untuk memenangkan hati rakyat. Ia bukan sahaja untuk mencapai kesan hasil yang cepat, tetapi juga untuk memberi layanan yang baik. Oleh kerana majoriti kakitangan sektor awam, termasuk pegawai-pegawai penguatkuasaan, adalah orang Melayu, layanan yang tidak adil atau kurang sopan selalunya dipandang sebagai amalan perkauman. Sehubungan itu, selain dari memperbaiki keberkesanan dan kesantunan, langkah-langkah konkrit harus diambil untuk memastikan campuran kumpulan etnik yang sihat wujud dalam sektor awam. Sesungguhnya, Perkhidmatan Awam Malaysia hendaklah benar-benar Perkhidmatan Awam 1Malaysia.

Perpaduan nasional dan Barisan Nasional

Kami menyokong penuh konsep "perpaduan dalam kepelbagaian" sebagai satu asas untuk 1Malaysia. Malah, inilah apa yang Gerakan sering laung-laungkan sejak asalnya. Kami melihat tidak ada asas lain yang lebih baik bagi membina satu negara dalam sebuah masyarakat berbagai kaum, agama dan warisan budaya seperti Malaysia. Seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kita kini harus merentasi tahap toleransi kepada tahap yang lebih tinggi, iaitu, penerimaan, saling hormat-menghormati dan saling harga-menghargai. Beliau juga berkata bahawa kepelbagaian etnik dan budaya sebenarnya merupakan aset dan kekuatan kita. Sememangnya, di Persidangan UNESCO baru-baru ini, beliau menawarkan Malaysia supaya bertindak sebagai jambatan bagi menghubungkan semua bduaya utama di dunia ini. Kekuatan kepelbagaian ini dipaparkan dalam tagline "Malaysia Truly Asia" yang telah berjaya mempromosikan pelancongan bagi Malaysia seluruh dunia. Malah, kita seharusnya menjadi "Truly Malaysian" dalam konteks "Truly 1Malaysia."

Sehubungan dengan itu, kita tidak harus memberi ruang dan muka kepada mereka yang ingin bermain api perkauman dan sentimen agama semata-mata untuk memenuhi agenda dan ego mereka. Kita tidak harus membiarkan agama dipolitikkan dan digunakan sebagai satu gimik politik populist. Sesungguhnya tindakan sebegini adalah memualkan dan membahayakan, dan harus ditangani dengan undang-undang yang sedia ada. Di samping itu, kita harus sedar, walaupun terdapat perbezaan di antara kita, kita mempunyai satu wadah silaturrahim (goodwill) yang sangat besar, perasaan harmoni dan ikatan kesetiakawanan yang kuat di kalangan rakyat Malaysia. Saban hari, terdapat berbagai insiden positif yang tak terkira banyaknya yang melibatkan rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang yang bekerja bersama-sama, bermain bersama-sama, makan bersama-sama, serta saling bantu-membantu dan jaga-menjaga di antara satu sama lain. Interaksi sebegini di mana isu perkauman dan agama tidak dipersoalkan lebih jauh banyaknya dari insiden yang berkaitan dengan luahan atau tingkahlaku perkauman yang berlaku hanya secara sekali-sekala. Justeru itu, kita harus terus menggalakkan dan mengetengahkan aspek-aspek positif kehidupan rakyat Malaysia daripada mensensasikan isu yang akan menyebabkan kita terjerumus dalam gejala yang tidak sihat lagi negatif. Biar kita tumpukan kepada kelebihan masyarakat majmuk dan bukan kekurangannya.

Penubuhan Barisan Nasional lebih 35 tahun yang lampau pada tahun 1974 adalah bertujuan sebagai satu pembawa bendera rasmi, penggalak dan pemelihara perpaduan nasional dan kestabilan. Barisan Nasional sememangnya bercirikan inklusif dalam semangatnya, adil dan saksama dalam tindak-tanduknya seperti yang dicerminkan dalam simbol dacing. Biarpun mengalami beberapa kekangan, Barisan Nasional setakat ini dapat mengekalkan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat Malaysia pada umumnya. Malah, formula BN pernah dianggap begitu berjaya sehinggakan ianya dicontohi oleh Nelson Mandela dalam menyatu-padukan Afrika Selatan. Bagaimanapun, semangat ini seolah-olah semakin pudar dalam dekad kebelakangan ini, mungkin kerana kita terlalu taksub dengan kerajaan dan politik, sambil bersikap sambil-lewa dan kekadang bersikap angkuh. BN menjadi satu gabungan hanya pada waktu pilihanraya.

Dalam konteks 1Malaysia, Barisan Nasional seharusnya mengukuhkan semula sebagai pejuang utama Perpaduan Nasional. Sehubungan itu, kita harus mengambil peduli gesaan untuk melakukan pembaharuan ke atas Barisan Nasional. Kita harus pulang ke gagang dengan membangkit semula dan mempraktikkan semangat berkongsi kuasa yang tulen, bersikap inklusif dan berunding secara jujur. Kita perlu kembali kepada rakyat, mendengar dan menyelesaikan rintihan mereka. Kita harus menerokai dan mencuba pendekatan baru bahkan rangka kerja baru dalam usaha untuk kekal relevan, terutama sekali di kalangan generasi muda. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang diketuai oleh Pengerusi BN telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan positif dan menunjukkan pendekatan yang lebih inklusif. Rakyat menaruh harapan agar kata-kata dan isyarat-isyarat ini diterjemahkan kepada tindakan dan perubahan yang nyata. Kita harus terus memberi penekanan agar pembaharuan ini wujud dalam budaya urus tadbir dan budaya politik.

Sepertimana transformasi pentadbiran kerajaan kini sedang berlangsung, Barisan Nasional haruslah menggarap transformasi yang sama di setiap peringkat. Meskipun, Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Pengurusan dalam tempoh masa setahun telah bermesyuarat lebih kerap daripada dahulu, adalah sangat perlu untuk kita memupuk persefahaman yang lebih kukuh dan mencari jalan penyelesaian yang lebih baik bagi isu-isu asas dan bidang-bidang utama. Gerakan ingin bercadang supaya biro-biro dan kumpulan-kumpulan fokus yang berasaskan kepada bidang-bidang keberhasilan utama ditubuhkan dalam Barisan Nasional di peringkat nasional dan negeri serta ia dirangkumi juga dalam Wanita, Pemuda dan Puteri. Kita malah boleh menggunakan metodologi makmal untuk mencari jalan penyelesaian yang baru lagi inovatif dan berjaya menyampaikan keberhasilan yang besar kepada rakyat. Di peringkat bahagian dan kawasan pilihanraya, kita harus menganjurkan program-program dan acara-acara bersama sebagai sebuah gabungan. Usaha-usaha ini akan menggiatkan penglibatan para pemimpin dengan lebih bermakna dan efektif dalam membuahkan persefahaman untuk pendirian yang sama serta memupuk perasaan kesetiakawanan. Lebih penting lagi, Barisan Nasional akan dilihat sebagai satu pergerakan politik yang bersatu-padu dan kukuh dalam berkhidmat dan menyatu-padukan rakyat Malaysia serta memarakan Malaysia ke hadapan dan memantapkan 1Malaysia. Dalam usaha murni ini, Gerakan bersiap sedia untuk menyumbang tenaga dan keringat kami ke arah ini.

Gerakan bergerak ke hadapan


Apabila Gerakan ditubuhkan pada tahun 1968, kami dilihat sebagai sebuah "parti masa depan," memandangkan kepada ideologi dan impian progresif, dan ciri berbagai etnik yang membentuk parti ini. Setelah setahun penubuhannya, kami dipikul dengan memimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dengan menggabungkan idealisme dengan pragmatisme, kami bekerja rapat dengan rakyat untuk membangun Negeri Pulau Pinang, menjadikannya sebuah negeri yang moden. Kami juga berpeluang untuk menyumbang terhadap proses pembinaan negara melalui penglibatan kami dalam kerajaan melalui Barisan Nasional di peringkat persekutuan dan di beberapa negeri. Kami berbangga kerana telah dapat menjadi sebahagian dari citra kejayaan Malaysia. Bagaimanapun, harapan rakyat yang semakin meningkat terhadap urus tadbir dan kekecewaan yang semakin meruncing terhadap apa yang dirasakan sebagai keangkuhan dan salahguna kuasa menyebabkan berlakunya tsunami politik terhadap BN pada pilihanraya umum yang lalu. Oleh sebab itu, Gerakan kehilangan kubu kita di Pulau Pinang dan turut kehilangan jawatan-jawatan yang dipilih dan dilantik di setiap peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. Tanpa jawatan-jawatan dan tugas-tugas yang satu ketika sentiasa menyibukkan kerja seharian kita, kini ada di kalangan kita yang merasai kehilangan arah tuju.

Benar, kita kini berada di persimpangan jalan, menghadapi pelbagai cabaran. Namun, kita bukannya bermula dari asal dan kita bukanlah tidak mempunyai arah tuju. Kita mempunyai ideologi dan prinsip-prinsip yang kukuh seperti mana yang dinyatakan sebagai "matlamat dan objektif" dalam perlembagaan parti. Malah, ideologi kita telah menjadi begitu relevan sekarang dalam konteks 1Malaysia. "1Malaysia" sebenarnya amat selaras sekali dengan teriakan tradisi kita yang berbunyi "Satu Hati, Satu Negara, Satu Wawasan." Kini, kita boleh berbangga untuk mengatakan: "Satu Hati untuk 1Malaysia." Bagi kami, komitmen amatlah jelas, iaitu, untuk meneruskan perjuangan menjadikan Malaysia bersatu-padu, adil dan saksama, progresif dan makmur, berasaskan kepada semangat persefahaman, silaturrahim, penerimaan dan penghargaan kepelbagaian. Untuk Gerakan pada hari ini, masa depan adalah sekarang!

Di samping perlembagaan parti, kita juga dipandukan oleh pegangan asas dan prinsip-prinsip dalam dokumen-dokumen nasional utama, seperti Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020 di mana Gerakan telahpun terbitkan dalam bentuk booklet dua (2) tahun yang lalu bersempena dengan Kemerdekaan 50 Tahun Malaysia. Kini, kami telah menerbitkan satu edisi baru dalam booklet ini dengan memasukkan 1Malaysia dan lapan (8) nilai utama seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Di dalam kesempatan ini, kami mohon kesudian Perdana Menteri untuk melancarkan edisi baru, ini selepas ucapannya nanti.

Apa yang juga dimasukkan dalam edisi baru ini ialah Strategi 11388 yang dilancarkan pada tahun lepas selepas pilihanraya umum, sebagai langkah untuk memberi fokus baru dan menyuntik komitmen dan tenaga baru kepada semua ahli parti. 11388 bermaksud 1 Wawasan, 1 Misi, 3 Teras, 8 Strategi dan 8 Bidang Utama. Izinkan saya meringkaskan hasil-hasil yang tercapai dan arah-tuju bagi masa depan dalam melaksanakan lapan (8) strategi ini. Pertama, kita telah dan akan meneruskan dengan perspektif Gerakan Malaysia dan pendekatan bukan-perkauman bagi mengungkap pendirian dasar dan untuk mengemukakan jalan penyelesaian yang sebaik mungkin, terhadap beberapa isu nasional yang berkaitan. Kedua, kita telah dan akan meneruskan peranan sebagai "voice of reason" dalam Barisan Nasional, mendokong segala pembaharuannya, di samping memainkan peranan kita sebagai pembangkang yang bersifat konstruktif di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Ketiga, kita telah memulakan kerja untuk mengukuh semula ikatan dengan rakyat dengan memberi perkhidmatan dan melaksanakan aktiviti di beberapa kawasan. Kita hendaklah membuat demikian bagi semua kawasan kita.

Keempat, kita telah menjalin perkongsian bestari dengan beberapa NGO, dengan rangka kerja dalam bidang-bidang spesifik seperti hak asasi manusia, alam sekitar dan pendidikan. Kelima, kita telah mula mengaktifkan semula dan memotivasikan organisasi parti di akar umbi, mengambil ahli-ahli baharu, terutama sekali di Sabah. Keenam, kita akan memulakan siri latihan politik dalam usaha untuk mengukuhkan komitmen kita, meningkatkan ilmu dan kemampuan memimpin. Ketujuh, kita telah membentuk dan mengaktifkan semula beberapa biro pusat, dengan mengerjakan bidang-bidang yang disebutkan di atas, serta juga tumpuan dalam sektor ekonomi, termasuk usaha pembangunan perniagaan kecil dan sederhana. Kelapan, kita telah mulai melaksanakan strategi komunikasi yang lebih berkesan supaya ia akan dapat memperlihatkan kemampuan kita dalam penyampaian hasrat dan matlamat kita. Justeru itu, kita sebenarnya telah berada dalam perjalanan transformasi dan akan terus bergerak dengan tempo yang lebih pantas pada tahun yang akan datang.

Arah tuju kita adalah jelas, tetapi ia memerlukan lebih banyak komitmen dan tindakan. Usaha daripada hanya beberapa pemimpin di pusat dan negeri tidak akan berjaya menggerakkan Gerakan ke depan. Ahli-ahli Gerakan seharusnya tampil ke hadapan untuk menyumbangkan ke arah pembinaan semula parti kita. Kita harus menunjukkan bahawa kita tidak memerlukan jawatan-jawatan tinggi dan peruntukan dana yang besar untuk meraih kembali keyakinan dan sokongan rakyat. Dengan menunjukkan keikhlasan dan pengorbanan kita, ia akan pasti memenangkan hati rakyat. Apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Britain pada tahun 1940, dengan tabir peperangan yang bakal merubah Eropah, Winston Churchill berkata beliau "tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan, kecuali darah, keringat dan air mata." Dalam keadaan di sini, kita tidak bercakap mengenai darah, tetapi hanya dengan keringat dan air mata. Sekiranya kita mempunyai komitmen yang sama, saya pasti kita akan menerajui Gerakan kembali ke jalan pemulihan dan kejayaan.

Selepas pilihanraya umum yang lalu, terdapat skeptik yang menyuntik kecurigaan tentang kemampuan Gerakan sebagai sebuah pergerakan parti politik, dan tentang kedudukan kita masih relevan dan berdaya-saing. Kepada pengkritik-pengkritik ini, kita hanya mempunyai satu jawapan: Anda salah! Tetapi, kepada mereka yang menyakini keikhlasan dan kemampuan kita untuk terus menyumbang ke arah destinasi negara, saya ingin menggesa tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk menyertai dan menyokong kami.

Jalan di hadapan sememangnya sukar dan beronak duri. Tetapi, destinasi 1Malaysia buat anak-cucu kita adalah satu wawasan yang harus digapai dan satu misi yang harus dicapai. Malah, kita tidak mempunyai pilihan. Kita semua yang berkumpul di sini pada hari ini harus mengisytiharkan kepada dunia bahawasanya Gerakan tidak akan mengaku kalah dalam menunaikan komitmen kepada Malaysia dan sesungguhnya, kepada gagasan 1Malaysia. Bersama-sama kita berganding bahu dengan rakan-rakan seperjuangan dalam Barisan Nasional di bawah kepimpinan YAB Dato' Sri Najib Tun Razak, Gerakan kini bersiap-sedia untuk memasuki ruang juang yang akan menyaksikan perubahan penting dalam memacu dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju dan bersatu-padu!


Tragedi di Kuala Dipang; Lentera Hati Warga Tidak Berdosa

Sedih dan terkilan. Itulah yang boleh kita luahkan daripada tragedi anak-anak kecil yang kehilangan nyawa di Kuala Dipang. Perkhemahan 1Malaysia akhirnya menjadi mimpi buruk semua warga dengan hanyutnya 3 anak kecil yang belum mengenal dunia. Ini semua angkara jambatan gantung separuh siap binaan kontraktor ali baba. Soalnya mengapa dibina jambatan gantung bukan jambatan konkrit atau besi. Kenapa tidak dibina cerucuk sedalam menara KLCC? Adakah krisis politik di Perak menjadi satu sebab Jabatan Pelajaran hanya mampu membina jambatan gantung sahaja? Itu semua sekadar persoalan.

Buatlah EGM atau seminar politik berpuluh kali nescaya ia tidak akan mampu mengembalikan semua anak-anak kecil kehilangan nyawa. Sudah tentulah ahli keluarga bersedih. Anak yang dibesarkan penuh harapan tiba-tiba hilang begitu sahaja. Ini semua kerana kelalaian kita selaku warga yang sibuk mengejar harta. Akhirnya kita membayar harga kesibukan kita dengan tragedi kehilangan dalam bencana. Peringatan ini tentunya terus datang dari Yang Maha Esa.

Anak Ibrahim atau Anak Ali bukanlah persoalan penting untuk semua warga fikirkan. Kita maklum tidak lama lagi harga minyak akan diselaraskan. Diselaraskan ini kepala bana apa. Ini ayat retorik untuk mengaburkan mata anak-anak muda. Sebenarnya harga minyak akan dinaikkan untuk cover kos pilihanraya. Habislah gaji kita semua bekerja gegak gempita. Anak muda gersang tidak berkesempatan untuk memadu kasih bercanda. Anak teruna terpaksa meninggalkan minah getah kerana tiada kepala agung untuk buat belanja menikah.

Kesemua ini trick semasa walaupun belanjawan yang dibentang berbilion-bilion berjuta-juta. Semua warga dalam keadaaan gelisah. Anak-anak muda tambah gelisah kerana tiada pekerjaan. Jalan bukit putus yang diluruskan akan ditutup semula selepas pertabalan sultan. Buka dahulu pun hanya untuk pujuk hati Yang Di Pertuan. Mat Rempit juga yang menghadapi kesusahan kerana jalan kecil di asak kereta besar yang memecut di tengah jalan. Buka akhbar tengok berita anak-anak Melayu mati di tengah jalan.

Jangan pernah menyesali keputusan-keputusan yang pernah atau telah kita putuskan. Biarlah ADUN Pelabuhan Klang itu pergi jalan. Peduli apa mahu seberang jalan. Ini tidak mungkin memberi kesan kepada ekonomi global. Lebih baik pergi bercuti ke Burj Al Arab. Tidaklah kita asyik berfikir tentang isu ekonomi negara yang semakin lembab. Lama-lama badan kita pun jadi debab otak semakin sembab. Drama Sekolah Politik Perak (SPP) kita lihat dari bab ke bab ~

Daulat Tuanku; Terima Kasih Meluruskan Jalan Bukit Putus

Saya pulang ke kampung baru-baru ini. Tiada lagi jalan bukit putus. Bukit Putus sudah lurus. Terima kasih kerajaan negeri pimpinan Tok Mat Hasan yang mendesak Pak Lah untuk Bajet Persekutuan meluruskan jalan lama bukit putus. Jika harapkan Isa Samad sewaktu jadi Menteri Besar dulu mungkin tunggu kucing bertanduk gajah bersunat. Hari demi hari warga menunggu bilakah jalan maut yang meragut beratus nyawa ini hendak diluruskan. Warga lupa yang didahulukan adalah Doktor Senapang. Setiap kali melalui jalan ini pasti berasa mabuk laut dan payau nak muntah. Itu cerita dulu waktu bersekolah di Seremban. Begitu naif.

Semua orang bercerita tentang Bajet 2010. Saya mengikuti pembentangan Bajet oleh PM. Saya tidak teruja dengan nilai berbilion dan berjuta-juta itu. Warga juga pasti tidak ambil pot dengan angka dan jumlah menjulingkan mata untuk melihat. Binalah berpuluh klinik dan UiTM sekalipun. Buatlah Bank Pemuda atau apa jenis subsidi sekalipun. Paling penting adalah warga mahukan kebajikan mereka dipelihara. Warga mahukan pelajaran percuma, rawatan kesihatan percuma, kediaman percuma. Bekalan asas air, api dan kemudahan jalanraya percuma. Tol dihapuskan dan pengangkutan awam ditingkatkan. Warga tidak perlukan kapal selam, jet pejuang atau loji nuklear. Warga perlukan makanan untuk hidup. Food Not Bomb.

Sesekali terfikir sampai bilakah jalan-jalan ini akan dibesarkan. Hidup mati kita dalam kereta. Pagi pergi kerja terhegeh mengejar punch card. Balik petang sesak jem tension dan panas mencari tilam. Kehidupan kita separuh dalam kesesakan dan asap. Sampai bila-bila tuhan baru bernama kereta ini akan terus kita sembah. Ini disebabkan fikrah gila kapitalis menggalakkan warga untuk memiliki kenderaan persendirian. Berhutang dengan bank bayar bulan-bulan. Lihatlah alam mengamuk dek kerana asid racun asap yang kita lepaskan. Mari kita sama-sama mati terbunuh di jalanraya atau gempa bumi macam di Padang. Jangan salahkan Tuhan dalam hal ini. Kita sendiri yang memilih untuk menyembelih diri sendiri.

Tiba masanya untuk daulah berfikir dan bertindak untuk mencari solusi masalah ini. Kesesakan ini membuatkan jiwa warga menjadi kacau. Lihat saja di dada akhbar kes-kes jenayah semakin hari semakin meningkat. Terbaru bunuh mak dengan pisau belikat. Tekanan jiwa dan perasaan membuatkan hidup warga tidak tentu hala. Peduli apa dengan 2-3 orang pimpinan PAS yang mahu masuk UMNO. Masuklah parti jawa apa sekalipun. Apakah mereka tahu anak-anak muda Melayu juara menagih dadah. Apakah mereka ambil pot anak-anak gadis murtad masuk agama Hindu. Itu semua mereka tidak ambil pot. Mereka lebih pentingkan poket mereka penuh.

Akhirnya kita perlu berubah. Kita perlu berani berubah. Anak-anak muda harus bangkit dari mimpi lena yang panjang. Keluar dari zon keselesaan. Tugas anak-anak muda hari ini cukup penting dan diperlukan. Kita perlu mencerahkan lagi fikrah umat Melayu agar tidak terus bonsai pemikiran. Jangan diperbodohkan dengan homisid. Kita perlu terlibat dalam perkembangan PES (politik, sosial dan ekonomi) dalam negara. Kita perlu bersedia untuk memimpin warga daulah.

Kepada Yang Mulia Tuanku Muhriz, Daulat Tuanku; Sembah Patik Harap di Ampun. Semoga Tuanku Pro- Kepada Perubahan dan Pencerahan Anak Muda Segala Bangsa ~

Dilema Anak Muda Bangsa Malaysia Yang Tiada Akhirnya

Kelmarin tatkala menonton rancangan 999 saya rasa agak terkesima. Ceritanya mudah. Anak-anak muda Melayu gila menghisap gam. Di tengah kesibukan ibukota, Pangsapuri Sri Permaisuri tidak lagi mempamerkan keindahan namanya. Sri Permaisuri sudah hilang dengan jam tangan mahal berjuta dari Gedung Harrods. Yang tinggal anak-anak muda yang mabuk dengan gam yang dibubuh dalam plastik. Lalok sepanjang masa bakal menjadi bangkai tidak bernyawa. Alahai 1Malaysia.

Lupakan apa yang terjadi pada Teoh Beng Hock. Semua kita maklum dia mati kerana homisid. Homisid itu maksudnya dia mati dibunuh. Lupakan skandal rasuah PKFZ. Lupakan cerita jet peribadi Tiong yang digunakan oleh isteri Rosmah. Lupakan kapal selam yang dibeli oleh suami Najib. Semua ini tidak menggugat kestabilan ekonomi dalam daulah. Kita berbicara soal anak muda di sekeliling kita. Anak muda terlibat dengan dadah. Anak muda hisap ganja. Anak muda tonggeng arak. Anak muda gila berjudi. Anak muda membunuh sana-sini.

Rata-rata masalah yang berlaku di sekeliling kita melibatkan anak-anak muda. Di dada-dada akhbar kita membaca bayi dan janin dibuang di tepi longkang. Mustahil ini dilakukan oleh makcik Felda. Sudah tentu kes sebegini juga melibatkan anak gadis kehilangan teruna. Sudah tentu ini tanda pencapaian negara kita yang semakin maju dan unggul di mata dunia. Kenapa tidak warga 1Malaysia berdikir barat naik keretapi dari Singapura ke Tumpat. Kenapa tidak guru dan murid di semua sekolah berkongsi 1Toilet. Berita-berita sebegini menggambarkan taraf pemikiran warga yang semakin bonsai lagi terkebelakang.

Tepuk kepala dan tanyalah akal fikiran kita. Apakah rasionalnya kita sibuk merampas kuasa dan mengumpul kekayaan. Semua warga hidup dalam kegelisahan dan kekacauan. Krisis politik di Perak tidak berkesudahan. Anak muda segala bangsa mahukan perubahan. Mereka mahukan pekerjaan. Mereka mahukan perhatian dan kebebasan untuk merayakan kemudaan. Hari ini atas nama kemajuan kita menyekat dan menyalahkan mereka. Anak-anak muda merempit kerana golongan tua telah menutup segala ruang dan padang untuk ekpresi jiwa muda belia.

Tiada masa lagi untuk menuding jari kepada sesiapa saja. Hakikatnya kita buat apa? Kita sebagai warga seharusnya bertindak dan bergerak membaiki gerak budaya dalam negara. Ya, memang benar anak-anak muda di rancangan2 Felda dan kampung-kampung bermasalah. Memang benar kehidupan di pedalaman tidak semaju dan sehebat tinggal di bandar. Namun bila tiba pilihanraya kecil rumah-rumah yang kokak dan busuk itulah bakal-bakal YB ini masuk meraih undi. Mengapa tidak menziarahi kolek-kolek usang ini ketika bukan musim pilihanraya? Sekali lagi kita faham bahawa semua itu hanya kerja-kerja politik.

Bila sampai masanya perubahan itu perlu, maka berubahlah. Tiada ruginya kita membuat perubahan. Sesiapa pun yang mengambil alih tampuk kepimpinan maka letakkan amanah dan sifat berbakti dengan kejujuran. Ulama', profesional, Abdul Hadi Awang atau Hassan Ali tiada bezanya sekiranya kepimpinan itu tidak mampu memenuhi inspirasi rakyat yang mahukan keadilan, ketelusan dan kesejahteraan. Anak-anak muda 10 tahun akan datang akan lebih rosak sekiranya Beyonce tidak lagi dijemput datang untuk mengadakan konsert di Bukit Jalil ~

Dari Mana Datangnya Ilmu Pengetahuan?

*berfikir dan bergerak. jalan terus dan jangan fikir ke belakang. membaca terus membaca.

Dari mana datangnya ilmu pengetahuan?

Sekali imbas kelihatan soalan ini cukup lekeh. Mungkin ada yang akan ketawa kerana merasakan bahawa soalan ini tidak perlu dijawab kerana jawapan telah di ketahui umum. Saya hanya meminta renungkan dan ulangi soalan ini – dari mana datangnya ilmu pengetahuan?

Sesiapa yang menjangka jawapannya telah di ketahui umum lalu tidak mahu berfikir tentang punca ilmu pengetahuan, saya cadangkan mereka menggantung diri sebentar. Jika ada politikus dan aktivis politik menganggap soalan ini enteng dan jawapannya gampang maka saya cadangkan juga mereka menggantung diri dengan lebih lama. Pada anggapan saya wujudiah susuk-susuk ini hanya menghabiskan oksigen bersih yang semakin berkurangan dalam negara ini.

Saya menganggap dari mana punca ilmu pengetahuan ini adalah persoalan induk yang akan membantu para politikus dan juga para aktivis politik dalam usaha untuk melahirkan sebuah negara bangsa yang bertamadun lagi madani. Tanpa mengetahui jawapan ke atas persoalan ini semua kerja politik hanyalah membuang masa, tenaga dan wang ringgit. Malah tenaga ‘terbuang’ ini lebih baik digunakan untuk mengetam padi di Kedah, ianya lebih berbaloi.

Saya berkata demikian kerana saya menjangka pilihan raya umum akan sampai tidak lama lagi. Ini adalah pilihan raya umum yang ke 12. Ertinya rakyat di negara kita telah 12 kali mengundi. Ini tidak termasuk pilihan raya kecil di sana sini. Ertinya politikus dan aktivis politik telah mengalami proses membuat kerja politik. Hakikatnya umum telah berpengalaman dan mengetahui satu jalur lunas demokrasi berparlimen. Syukur alhamdulillah.

Apa sangkutannya dengan soalan di atas?

Soalan di atas saya timbulkan kerana dari pengamatan saya para politikus yang bertekad untuk mengambil alih kerajaan telah gagal memainkan peranan mereka. Kegagalan ini pada anggapan saya berpunca dari kegagalan untuk memahami jawapan dari mana datangnya ilmu pengetahuan.

Semua ilmu pengetahuan dalam dunia ini berpunca dari pembuatan. Membuat adalah asas ilmu pengetahuan. Pembuatan adalah induk kepada semua ilmu pengetahuan. Membuat erti menggunakan akal yang memaksa kita menggunakan kaki tangan dan tubuh badan. Kita membuat sesuatu dahulu, dari proses membuat ini kita berfikir. Akal dan fikiran kita juga berkembang hasil dari badan kita yang bergerak membuat.

Pembuatan ini merangkumi ilmu pengetahuan yang dilahirkan dari bilik dan gedung makmal. Eksperimen dan percubaan dalam gedung makmal yang melahirkan ilmu-ilmu baru juga adalah hasil dari proses percubaan membuat. Bilik makmal dan bilik kajian adalah bilik cuba membuat.

Hasil dari pembuatan ini kita mengumpulkan pengalaman. Mengumpul pengalaman ini adalah satu konsep. Kalau di zaman datuk nenek moyang kita, mereka mengumpulkan pengalaman ini secara oral. Jatuh dari mulut ke mulut. Dari satu generasi ke satu generasi. Cara dan teknik menanam padi di ketahui kerana datuk nenek moyang kita membuat tanaman padi. Mereka mengumpul pengalaman yang menjadi ilmu untuk ditinggalkan kepada anak cucu.

Datuk nenek moyang kita tahu bila tengkujuh datang kerana mereka melihat dan merasa tengkujuh itu. Ini pengalaman. Nelayan di laut tahu di mana sarang ikan kembung kerana mereka ke laut dan mencari ikan. Ke laut mencari ikan ialah pembuatan. Pembuatan di laut menjadi pengalaman yang menjadi ilmu pengetahuan untuk para nelayan. Ianya terkumpul dan bertokok tambah.

Ilmu bertokok tambah kerana pembuatan dan pengalaman membuat. Ilmu baru pasti akan muncul hasil dari pembuatan. Apabila bulan terang kerang dan ketam amat kurang. Bulan gelap ialah masa untuk mencandat sotong. Bila ada jamung sotong akan berkumpul. Apabila diganti dengan lampu karbaid sotong masih juga berkumpul. Lambu karbaid diganti pula dengan lampu bateri. Sotong masih juga berkumpul. Maka dijadikan ilmu pengetahuan bahawa sotong tertarik dengan cahaya. Pengalaman terkumpul ini dijadikan asas ilmu pengetahuan oleh datuk nenek moyang kita.

Apabila tulisan dan abjad muncul semua pengalaman-pengalaman ini mula dikumpulkan ke dalam buku. Buku ialah ilmu pengetahuan dari pembuatan dari pengalaman yang terkumpul. Melalui tulisan semua pengalaman yang terkumpul boleh dijadikan rujukan. Ertinya buku-buku ilmu pengetahuan adalah hasil pembuatan.

Ilmu bukan datang dari awang-awang. Ilmu berpolitik juga muncul dari membuat kerja politik. Di para ini, jika punca ilmu pengetahuan telah difahami maka mari kita lihat kerja politik para politikus dan aktivis politik yang bercita-cita untuk membawa perubahan.

Pada pandangan saya, kegagalan utama mereka ialah mereka tidak PERNAH mengumpul pengalaman. Mereka gagal untuk menilai kembali apa yang telah mereka lakukan. Hasilnya mereka membadak ke hulu ke hilir tanpa tujuan sambil memiliki niat suci lagi besar untuk menjadi YB dan mendirikan kerajaan yang baru. Niat suci betapa pun sucinya tanpa ilmu tidak akan bermakna.

Jika tidak percaya apa yang saya katakan ini lihatlah contoh-contoh ini :

1- Bila sahaja parlimen di bubar maka dengan serta-merta akan banyak bahan-bahan slebaran dan risalah dicetak. Bertimbun-timbun risalah tentang isu ini dan itu. Lalu ditaburkan tanpa penelitian yang rapi. Ini pengalaman saya memerhatikan kerja politik dalam pilihan raya tahun 1999 dan 2004.

Para politikus TIDAK menyedari bahawa orang ramai TIDAK memiliki masa untuk membaca semua itu. Terlalu banyak bahan untuk otak menggarap pada ketika itu. Selebaran seperti ini TIDAK membawa apa-apa hasil. Tidak berbaloi dengan tenaga dan wang ringgit yang di curah.

Kenapa politikus dan aktivis politik tidak mengumpul pengalaman? Mengeluarkan slebaran dua minggu sekali sepanjang tahun? Kenapa bila nak mengundi baru ada slebaran? Ini soalan cepu emas.

2-Ceramah - satu-satunya kerja politik yang penting. Tetapi selama ini ceramah hanya satu hala. Orang ramai hanya mendengar. Ia menjadi monolog. Tidakkah para politikus ingin mengetahui apa pula pandangan si pendengar? Kenapa aktivis politik tidak membuat bancian. Menyebar borang dan minta diisi pendengar secara rambang. Satu lagi soalan cepu emas.

3- Saya perhatian ada satu kegilaan ketua-ketua dan aktivis politik bahagian untuk membuat ‘kenduri’ Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru China dll. Semua bahagian ini cuba menonjol diri seolah-olah ini kerja politik yang maha agung untuk bahagian mereka.

Hasilnya dalam masa satu bulan, kalau di akhir Ramadan misalnya , akan berasak-asak setiap bahagian ingin membuat ‘kenduri’. Maka akan ke hulu ke hilir para pemimpin parti sampai tidak bernafas. Kadangkala dalam satu petang ada dua tiga ‘kenduri’.

Ini membazir. Jangan cuba memberi ‘helah’ mengatakan bahawa ‘kenduri’ bukan politik. Semuanya politik. Kenduri pun adalah kerja politik apakan lagi yang menyusun ialah bahagian atau cawangan parti. Yang di jemput datang pula ialah aktivis politik, pucuk pimpinan politik dan orang ramai yang diharapkan akan menyokong dan mengundi parti.

Dalam kenduri semua ingin berkenal mesra dan beramah tamah antara satu dengan lain. Ini juga kerja politik. Ada pula yang ingin menjual diri. Ada yang ingin di lihat wujud di hadapan pemimpin. Ini juga kerja politik. Kenduri yang bukan politik hanyalah apabila kita pergi ke Zouk untuk ‘kenduri’.

Kenapa tidak dilakukan ‘kenduri politik’ ini secara tersusun, TIDAK berasak-asak dalam dua minggu sesudah Ramadan misalnya. Saya yakin tidak wujud satu akta di bawah kanun negara yang melarang kita mengadakan ‘kenduri raya ’ lima bulan sesudah akhir Ramadan. Atau kenduri Tahun Baru Cina di sambut dalam bulan Julai atau sambutan X-mas pada bulan September?

Ini cadangan gila? Pandangan yang tidak masuk akal?

Cadangan dan pandangan ini timbul hasil dari mengumpulkan pengalaman. Contoh yang saya tuliskan di atas hanyalah sebahagian dari ribuan contoh-contoh kerja-kerja politik yang telah dibuat tetapi tidak dikumpulkan sebagai ilmu. Parti politik yang ingin membawa perubahan mesti berani membuat perubahan BUKAN bercakap tentang perubahan. Bercakap bukan ilmu. Membuat dan mengumpul pengalaman adalah punca ilmu pengetahuan. (TT)


Melayu Kurang Yakin Diri- Tun Musa Hitam

*kenyataan Bekas Timbalan Perdana Menteri ini menarik untuk dibaca oleh anak muda yang dahagakan ilmu dan mengimpikan pencerahan warga segala bangsa.

Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata biarpun orang Melayu sudah boleh diterima sebagai masyarakat terpelajar, matang dan berkebolehan dalam pelbagai profesion tetapi mereka masih lagi kekurangan daripada segi keyakinan terhadap kebolehan sendiri.

"Saya memang insaf dan sedar bahawa banyak lagi kekurangan dan masih jauh harus dijalani tetapi kalaulah mentaliti dan psikologi kita masih negatif, diiringi oleh helah 'tidak boleh', tak bolehlah kita," katanya dalam ucapan balasnya setelah menerima ijazah kehormat Doktor Kerajaan dan Politik daripada Universiti Teknologi Mara di Shah Alam hari ini.

Ijazah itu dianugerahkan kepada beliau oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Canselor UiTM pada istiadat konvokesyen ke-71 universiti itu.

Musa berkata mentaliti "tidak boleh" ini jelas nampak apabila para pemikir Melayu dan para penganjur Melayu tidak habis-habis menggunakan hujah seperti "habislah Melayu," dan "apalah nak jadi kepada Melayu" apabila menghadapi isu-isu negara.

Sebagai penyelesaian pula, katanya, dicadangkan konsep "ketuanan Melayu" tetapi sejarah dunia moden membuktikan bahawa konsep "master race" atau "ketuanan ras" telah gagal apatah lagi apabila menghadapi persaingan daripada mereka yang kukuh serta tinggi tahap pengetahuan dan pintar dalam pelbagai ilmu khususnya sains dan teknologi.

"Pada saya, kalaulah hendak kita cari slogan bersesuaian, terminologi 'Keterasan Melayu' lebih baik dan lebih sesuai sebagai konsep asas masyarakat Malaysia yang diidamkan oleh rakyat pada masa ini," kata Musa.

Ketika mengimbas kembali satu sesi soal jawab beliau dengan seorang pelajar Universiti Malaya pada tahun 1960-an yang menggesa supaya hak istimewa orang Melayu dipastikan berkekalan dalam perlembagaan negara, Musa berkata:

"Di samping saya menegaskan bahawa perkara itu suduhpun cukup termaktub dalam perlembagaan, saya telah sengaja mencabar anak-anak Melayu kita waktu itu dengan mengatakan bahawa orang Melayu harus berasa malu kalau mereka seumur hidup mendapat kedudukan istimewa dalam apa bidang pun semata-mata kerana faktor mereka Melayu."

Katanya beliau telah menunggu sekian lama ketika bila orang Melayu dengan penuh bangga akan berkata "saya Melayu tetapi saya berjaya kerana saya berkebolehan dan berkelulusan dan tidak takut bersaing dengan sesiapapun".

"Alhamdulillah, pada hemat saya, masanya telah pun tiba," kata Musa.

Beliau juga menasihatkan graduan supaya tidak lagi menuntut sesuatu berasas kepada emosi dan sentimen tetapi haruslah berasas kepada ilmu, kelulusan, kebolehan dan pengetahuan berasas kepada keyakinan dan iman.

"Seperkara lagi, janganlah semasa di menara gading mereka mengecam kesalahan pemimpin seperti salah guna kuasa dan rasuah tetapi apabila mereka mempunyai kedudukan tinggi mereka lupa segalanya.

"Janganlah hendaknya kita sendiri menjadi jaguh korupsi dan penyalahguna kuasa dengan tidak mempunyai perasaan insaf dan takwa," katanya. BERNAMA