Biarkan Awan Berlalu Pergi; Menghadapi Dua Kesedihan

Seorang sahabat kehilangan ibunya baru-baru ini. Saya berkongsi kesedihan. Kehilangan insan tersayang sememangnya memeritkan. Apatah lagi insan yang kita sangat rapat dan bergantung semangat padanya. Apatah lagi kejayaan kita adalah kerana sokongan dan dorongan daripadanya. Apalagi jika orang yang kita kehilangan itu adalah insan yang melahirkan dan membesarkan kita seumur hidup. Apatah lagi jika dia yang kita panggil IBU. Jika saya berada pada keadaan yang sama saya rasa saya juga tidak mampu. Sungguhpun saya seorang lelaki.

Membaca berita yang timbul di sekeliling kita hari ini benar-benar merisaukan kita. Sekali lagi beban bakal dihempapkan ke atas batang tubuh warga. Goods and Services Tax (GST) yang akan dipaksa terhadap rakyat menjadi mimpi ngeri. Mengapa GST ini begitu berbahaya dan mengancam kehidupan warga. GST adalah cukai terhadap segala barang dan perkhidmatan yang kita gunakan setiap hari. Setiap sesuatu yang kita sentuh, pakai dan gunakan akan dikenakan cukai. Cukai ini kita bayar kepada lembaga-lembaga daulah. Tidak ada satupun yang ketinggalan untuk dikenakan cukai hatta seluar dalam kita sekalipun.

Pucuk dicita ulam mendatang. Warga seharusnya berterima kasih kepada daulah sekiranya GST ini dilaksanakan. Anak-anak muda terutama yang baru bekerja harus bersyukur dan bergembira kerana hidup anda diwarnai dengan membayar cukai. Beli kereta kena cukai, nak mulakan perniagaan kena cukai atau mungkin hendak bercanda dengan minah ranggi pun kena cukai. Habis 1Malaysia bergasak membayar cukai dek kerana bijaknya daulah mengurus negara. Agak pelik mengapa hanya membina bangunan pencakar langit 100 tingkat di Dataran Merdeka. Kenapa tidak bina lagi pencakar langit 888 tingkat di Kg.Seberang Takir. Paling kurang warga dapat menyewa atau menumpang duduk di tingkat 555 tatkala berlaku banjir.

Harapkan pagar, pagar makan rumput. Rupa-rupanya ada menteri yang mendapat kerakyatan warga Australia. Mengapa tidak jadi menteri di Australia. Bercakap di mulut dalam Parlimen Malaysia tentang kepentingan rakyat dan negara ini tetapi hati di negara lain. Jika menteri boleh mendapat taraf warganegara lain mengapa tidak rakyat biasa. Jika diberi keizinan ingin saja saya memohon PR untuk menjadi warga Mongolia. Sudah tentu saya tidak perlu lagi bersesak-sesak setiap pagi dan petang di jalanraya. Juga tidak perlu lagi membayar tol di lebuhraya.

Sesungguhnya setiap sesuatu itu bermula daripada usaha. Usaha itu ialah usaha membawa anak-anak muda keluar dari stereotaip pemikiran dan tipikal kehidupan. Betapa bosannya kehidupan ini saban hari membaca cerita-cerita politik berkepentingan. Soalnya adakah kita bersedia untuk melakukan perubahan. Gajah di hutan juga mahu berubah. Ayam di reban mahu keluar dari kehidupan yang mengongkong dan tersiksa. Burung dan unggas juga mahu terbang bebas. Perjalanan hidup ini perlu dilalui dengan penuh ketabahan dan semangat.

Semoga jiwa yang pergi itu tetap tenang. Semoga segala kesalahan dan dosa-dosa itu diampunkan. Semoga kehidupan ini terus dilihat sebagai persinggahan sementara menanti alam akhiratl. Sekalung takziah buat sahabat, Dr Mimi Farleena yang telah kehilangan permata hidup yang tercinta. Semoga terus tabah dan cekal menghadapi masa-masa seterusnya. Kita yang hidup perlu terus hidup. Yang pergi tetap pergi meninggalkan kita. Semoga roh Allahyarhamah Puan Mastura ditempatkan dibawah rahmat dan keampunanNya. Al-Fatihah.

0 comments: