Mengapa Peguam Itu Membunuh, dan Dibunuh

Tiba-tiba warga 1Malaysia gempar dengan kenaikan harga minyak. Dalam sibuk berhari raya warga tidak sedar bahawa hak warga untuk diberitahu tentang kenaikan harga dinafikan. Warga daulah terus membayar segala keperluan. Wang keluar daripada poket bagaikan air. Tiada kasihan buat warga tua yang tidak berdaya bekerja. Tiada kasihan kepada anak muda yang mahu meminang anak dara. Tiada kasihan kepada janda beranak dua. Warga gempar dengan persidangan wanita pertama dunia. First Lady akan bersidang membincangkan agenda berat badan wanita sedunia. Yang peliknya persidangan di adakan di hotel kelas pertama. Mana mungkin mereka menguruskan badan sekiranya membelasah makanan hotel macam nak hilang nyawa. Akhirnya yang tinggal resolusi ketawa dan sendawa.

Benarkah akan dibuka satu lagi kasino besar-besar di negeri Sabah. Selepas Genting, tidak cukupkah pusat berjudi haram jadah. Kononnya ingin bertanding melawan Marina Bay Resort kepunyaan negara Singapura yang gila tanah. Sampai bilakah punca pendapatan negara terus bergantung pada arak, judi dan dadah. Sampai bilakah warga terus ditipu kononnya ingin membina pusat peranginan untuk beriadah. Dalam makan angin rupanya sempat lagi melayan China Doll dari bilik sebelah. Warga miskin di Sabah terus hidup pindah randah. Sambut 16 September konon merdeka dari penjajah. Rupa-rupanya selama ini kita ditipu sampai ke sudah.

Apalagi yang ada pada umat Melayu. Cerita hantu di TV3 setiap malam itu mampu membina Melayu baru. Hantu raya hantu kopek itu cerita zaman dulu-dulu. Kenapa mudah sangat nak bodohkan minda orang Melayu. Semua orang tahu Jho Low Taek itu ada kepentingan dalam pembangunan Kuala Lumpur baru. Habislah aset pertahanan negara tergadai demi tunaikan hasrat pengampu. Cukong berkeliaran tak boleh tengok ada tanah buat projek baru. Aset negara adalah kepada nilai estetika dan budaya tamadun dahulu. Sejarah pernah memberitahu bahawa manusia tamak dan rakus tidak akan maju. Pemimpin yang baik tidak akan menjual tanah Kampung Baru. Pemimpin yang baik tidak akan minta rakyat ubah gaya hidup sedangkan dirinya setiap hari tukar kereta baru.

Hati warga berkecamuk membaca berita kematian jutawan kosmetik Melayu. Hati lagi berkecamuk bila mendengar yang mati anak-anak muda Melayu. Hakikatnya kematian itu pasti berlaku. Tetapi yang lebih penting adalah asbab mengapa semua itu boleh berlaku. Mengapa tiada tindakan proaktif tatkala mendengar ada yang hilang awal dahulu. Mengapa tiada siasatan dan tindakan kepada pengamal undang-undang yang menipu. Habis tanah dan aset negara hilang dibunuh dan dibakar jadi abu. Mengapa anak muda itu mati dibunuh sehingga tinggal balu. Mengapa manusia itu terlalu kejam mengikut nafsu. Ikutan siapa yang membunuh dan menghapuskan bukti supaya bebas melakukan jenayah di sini dan di situ. Akhirnya kita kembali kepada konklusi bahawa ada sesuatu yang pelik sedang berlaku. Semuanya adalah tentang kita yang suka tengok cerita bunuh dan kung fu.

Akhirnya kita semua setuju bahawa undang-undang tidak mendidik warga untuk menjadi baik. Yang mendidik warga menjadi baik adalah suasana yang baik. Pemimpin yang baik akan melahirkan warga yang baik. Jesteru kita semua wajib bermuhasabah apakah selama ini kita semua berusaha untuk menjadi baik. Naik haji berumrah belum tentu akan menjadikan kita baik. Mengumpul 400 ribu meminta sedekah untuk menaja munajat di Mekah belum tentu dapat mengembalikan royalti yang ditarik. Penyelesaiannya ada pada tangan kita yang memangkah 5 tahun sekali. Sungguhpun tidak percaya tetapi itulah saja sistem yang kita percaya negara akan menjadi baik. Kejahilan dan kebodohan tentang undang-undang tidak dapat dimaafkan. Al-Fatihah buat anak muda, peguam Ahmad Kamil bin Abdul Karim yang telah pergi tidak akan balik.

Mencari Magik Berhari Raya

Kita selalu mendengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa Hari Raya adalah untuk anak-anak. Memang ada benarnya cakap-cakap ini. Perhatikanlah di hari-hari perayaan sama ada sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali atau Hari Krismas - anak-anaklah yang paling sibuk berpesta. Hari Raya ini pun sama, anak-anak walaupun tidak melakukan ibadah puasa tetapi merekalah yang paling sibuk bergembira ke hulu ke hilir.

Untuk orang dewasa yang berkeluarga pastilah persediaan untuk menyambut hari-hari perayaaan ini cukup menyibukkan. Wajib membeli kasut, pakaian dan persalinan baru untuk anak-anak. Rumah wajib dihiasi. Mungkin langsir yang telah luntur warna dimakan cahaya matahari perlu ditukar. Perabut-perabut lama perlu diganti. Kuih-muih perlu dibuat atau dibeli. Sibuk - seribu macam sibuk.

Saya selalu memikirkan apa yang menjadikan kita semua menjadi sibuk tak tentu hala seminggu atau dua minggu sebelum Hari Raya. Atau sebenarnya kesibukan itu adalah sebahagian daripada usaha-usaha orang dewasa untuk membawa kembali suasana berhari raya. Kita sengaja turun membeli belah di hari-hari akhir sebelum perayaan agar kita dapat meneruskan magik hari perayaan ini.

Saya telah memilih untuk hidup membujang maka saya tidaklah berhadapan dengan kesibukan di saat-saat akhir untuk berhari raya. Walaupun saya tidak sibuk membeli belah untuk keluarga tetapi saya masih lagi ingin menjadi salah seorang yang menyibuk di pusat bandar. Tahun ini dua hari sebelum berhari raya saya telah turun ke Jalan Masjid India dan Batu Road. Saya tidak bertujuan untuk membeli apa-apa. Tujuan saya hanya untuk meramaikan dan membuat sibuk dalam usaha saya untuk mencari suasana magik Hari Raya.

Saya seronok melihat orang ramai yang mundar mandir tercari-cari dan tertanya-tanya. Ibu-ibu membimbit tangan anak yang ingin mengambil apa sahaja yang ada di dalam kedai. Anak-anak muda memikul kotak-kotak kasut yang baru dibeli. Anak-anak gadis mengepit bungkusan selendang baru. Dan yang paling seronok ialah melihat si bapa yang cukup keletihan mengikut kerenah isteri dan anak-anak yang berpindah-pindah dari satu kedai ke satu kedai mencari sesuatu yang belum mereka ketahui.

Seperti perayaan dan hari kebesaran agama lain juga, Hari Raya orang Melayu telah memasuki zaman modeniti. Atau lebih tepat semua hari-hari perayaan kita telah masuk ke dalam jaringan budaya konsumer. Modeniti yang menjanjikan kecerahan pemikiran mausia kini saya lihat semakin membawa kegelapan. Mungkin kerana inilah maka Jean Paul Satre, ahli falsafah Perancis telah menyindir modeniti yang sedang menyelubungi Eropah.

Rasa saya modeniti dan budaya konsumer telah berperanan memudarkan magik kekudusan Hari Raya. Saya bukanlah seorang muslim yang warak. Saya seorang muslim sekular yang menerima Islam sebagai sebahagian dari entiti budaya dan tidak lebih dari itu. Dalam kesekularan saya ini, saya masih dapat merasakan bahawa magik kesucian Hari Raya yang bersangkutan dengan semangat spiritual semakin berkurangan.

Dalam kemodenan yang dihadapi, saya masih lagi ingin mencari, melihat dan mengalami magik kekudusan Hari Raya. Mungkin ada orang bandar yang beranggapan bahawa magik Hari Raya ini masih tersimpan di kampung-kampung. Lebih jauh kampung itu dari bandar mungkin lebih besar magik Hari Raya itu. Saya juga pernah menyimpan anggapan yang sama. Sebenarnya anggapan saya ini telah lama hancur. Di kota atau di kampung magik Hari Raya ini semakin pudar.

Setiap tahun, saya adalah di antara ribuan warga kota yang akan berpusu-pusu untuk pulang ke kampung. Saya akan meninggalkan kesibukan kota dalam usaha mencari ambience spiritual Hari Raya. Tahun ini saya juga telah pulang ke kampung. Dan di tahun ini juga semakin saya rasakan perubahan yang telah memudarkan magik Hari Raya.

Budaya konsumer telah begitu mengampuh dan berjaya menjaringi kesemua pelusuk tanah air kita. Tidak ada lagi kawasan, daerah, wilayah atau kampung yang bebas dari pengaruh budaya ini. Budaya konsumer ini telah dan sedang membawa tanda-tanda baru. Dan yang paling menyedihkan hati saya apabila saya melihat bagaimana budaya konsumer ini telah berjaya membawa roh dan agama yang baru pula.

Budaya agama konsumer ini sedang bertuhankan peti tv. Saya berani berkata demikian kerana setiap di setiap rumah yang saya lawati 'Tuhan Baru' dari budaya konsumer ini terus mengekori saya. Kemana-mana saja saya bergerak tuhan bari ini terus bersuara dan berbunyi. Disetiap rumah yang saya masuki saya lihat tuhan baru ini sedang terpasang dan dikerumuni oleh pengikut-pengikut yang sujud setia.

Saya menaikkkan taraf Tv ini kepada taraf 'tuhan baru' bukan kerana saya ingin mempermain-mainkan agama. Ini bukan niat saya. Saya memiliki niat suci pulang ke kampung untuk mencari kekudusan dan magik berhari raya. Sayang sekali saya hanya terserempak dengan peti tv yang saya anggap telah menjadi 'tuhan baru' orang Melayu.

Kalau tidak percaya cubalah pergi berhari raya tahun ini. Perhatikan bagaimana kaca tv di ruang tamu di rumah-rumah orang Melayu tidak pernah dipadamkan. Peti Tv - 'tuhan baru' - ini terus menerus hidup terpasang. Dan perhatikan di hadapan 'tuhan baru' ini pasti akan kelihatan tiga empat orang pengikutnya yang sedang khusyuk menonton. Jangan terperanjat, mungkin ada pula tuan rumah yang merasa kesampaian tetamu pada Hari Raya akan dianggap sebagai satu gangguan kerana 'tuhan baru' mereka sedang berkhutbah dengan satu rancangan yang menarik.

Pernah saya duduk di ruang tamu yang dipenuhi oleh sanak saudara yang berhari raya tetapi tidak ramai yang turut sama berlabun. Ketika saya bersuara kuat ada pula jelingan mata yang meminta agar suhu suara perbualan saya dikurangkan. Suara manusia yang hidup dianggap mengganggu bunyi suara digital dari 'tuhan baru' yang sedang berkhutbah.

Saya tidak tahu bagaimana pula kedudukan peti tv dalam budaya bangsa-bangsa lain di Malaysia ini. Tetapi di England tempat asal usul kelahiran 'tuhan baru' ini telah diharamkan untuk mendirikan kuil, masjid atau gereja di ruang tamu. Peti tv akan dialih dan dimasukkan ke dalam stor. 'Tuhan baru' ciptaan modeniti ini diketepikan. Manusia lebih dihormati dari peti tv. Malah masih ramai yang tidak memiliki atau mahu melihat atau mendengar suara dari 'tuhan baru' ini - terutama dari golongan ilmuan dan para intelektual kota London.

Bagaimana agaknya peti tv ini telah disambut untuk menjadi 'tuhan baru' orang Melayu tidak dapat saya fahami secara mendalam dan ilmiah. Saya bukan ahli sosiologis. Budaya melawat rumah ke rumah ini untuk saya adalah satu yang kudus dalam budaya berhari raya. Tetapi kemunculan 'tuhan baru' ini telah mengganggu dan memudarkan suasana kudus Hari Raya.

Saya masih ingin mencari magik Hari Raya kerana itu saya sering berangan-angan untuk mencadangkan kepada semua orang Melayu agar tahun ini semasa berhari raya, 'tuhan baru' ini akan dikuburkan selama tiga hari. Bila 'tuhan baru' telah dikuburkan barulah kita berpeluang mendengari suara kita sesama sendiri. Suara manusia yang sedang berlabun dan bergelak ketawa menyambut magik Hari Raya. Mari kita membuka mata dan telinga sambil berbual-bual mesra melihat kembali ibadah kebaikan yang telah kita lakukan selama setahun ini.

Untuk saya, magik Hari Raya masih wujud dalam diri kita walaupun kita telah mendewasa. Jiwa anak-anak yang hidup bebas ini tidak pernah luntur dalam diri kita. Modeniti dan budaya konsumer akan cuba menimbuskan jiwa itu. 'Tuhan baru' yang hanya pandai bermonolog itu akan terus berkhutbah untuk memudarkan magik dan semangat kemanusiaan yang ingin kita rayakan di pagi Hari Raya - h.r