Mengapa Anak Muda Bangsa 1Malaysia Itu Dibunuh?

Sewajarnya kad kuasa itu tidak digunakan untuk seronok memetik butir peluru sehingga memangsakan anak muda itu. Mana mungkin anak muda bermuka bersih jernih itu menjadi penjenayah. Dalam dia merayakan kemudaan dan semangat remajanya, ada pihak terkhilaf mengambil nyawanya. Kad kuasa yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan keselamatan awam, telah meragut nyawa seorang anak muda bakal pemimpin negara. Tragedi malam itu sungguhpun secara tidak sengaja, langkah-langkah perlu dan berhati-hati sepatutnya menjadi amalan pihak yang berkuasa.

Kasihan anak muda itu. Belum sempat menikmati kesegaran hidup anak muda remaja. Belum sempat menamatkan alam persekolahan yang penuh drama. Belum sempat memasuki wilayah pengajian tinggi yang cukup sengsara. Belum sempat mendaki puncak kerjaya penuh derita. Keluarga anak muda itu tidak menyangka dia akan pergi sedemikian. Peluru asing itu tepat singgah di kepala. Bagaimana perasaan si ibu apabila dikhabarkan anak mati angkara kesilapan pihak yang memiliki kuasa. Di sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Sungguh, berat mata kita memandang berat lagi bahu anggota keluarga yang memikul. Sungguh, sehebat manapun pihak berkuasa mengekang jenayah, kesilapan yang berlaku jadikan sempadan. Dunia ini lebih aman jika kita tidak meletakkan emosi itu di depan. Sungguh kehidupan itu memeritkan tetapi itu tidak bermakna kita bisa bertindak di luar batasan. Bisa melakukan apa sahaja. Ya, apa sahaja. Tiada alasan untuk tidak menghormati undang-undang. Tetapi undang-undang juga perlu dilihat berteraskan keadilan dan kebudi-bicaraan.

Kisah Norizan, AminulRasyid, Kugan adalah manifestasi hegemoni daulah yang selama ini beranggapan dengan memiliki kuasa apa sahaja boleh dilakukan. Tetapi kuasa hanyalah artifisial yang dari kulit luarannya dilihat kuat. Namun, dari segi isinya begitu lemah, longlai lagi tidak bermaya. Jika kehidupan itu ibarat roda, begitu juga bagi yang memiliki kuasa. Ingatlah, tatkala selamanya kita berada di atas, ada ketikanya kita akan berada di bawah. Buat Allahyarham AminulRasyid, anak muda bangsa yang telah pergi ; Al-Fatihah.

Mungkin Benar Berdua Itu Lebih Baik Dari Berseorangan

Corat-coret yang kita dengar di media seminggu dua ini begitu melucukan. Minum arak, Bar dalam rumah, katak jadi Melayu dan Michelle Obama naik haji berumrah. Sejak bila pula ahli politik itu menjadi soleh solehah. Sejak bila pula agama menjadi maudhuk penting dalam penetrasi politik 1Malaysia. Sejak bila pula arak yang dijual melambak di 7-Eleven itu menjadi haram. Sejak bila pula naik haji berumrah itu tidak membolehkan susuk politik itu memiliki kuda lumba. Sejak bila pula kita menjadi sebaik-baik manusia sehingga tidak terlibat dengan bunga riba'. Harus kita mengingati bahawa semua yang wujud di sekeliling kita adalah lembaga dan tuhan yang kita sembah setiap hari.

Manusia dengan sifatnya inginkan kekuasaan. Dengan kuasa maka kita boleh menguasai dan memiliki punca-punca ekonomi dalam negara. Dengan kuasa kita boleh mencapai sesuatu yang kita suka. Dengan kuasa kita boleh merubah. Dengan kuasa juga kita boleh meruntuhkan. Hakikat yang pasti tiada manusia luhur hati budi dan nurani. Setiap sesuatu itu berpusing. Hari ini begitu. Esok mungkin berubah. Tiada ketetapan bagi sesuatu yang anjal lagi fleksibel. Kehidupan itu berfikir dan bergerak. Hulu Selangor adalah manifestasi kepada perubahan rakyat bawahan. Anak-anak muda di Kerling berharap harga petrol tidak dinaikkan.

Maka kita boleh berkata pilihanraya kecil itu sebagai 'non-event'. Tidak ada apa-apa perubahan yang bakal berlaku selepas jam 5 petang 25 April itu. Lebih baik berubah sedikit daripada tiada perubahan langsung. Hegemoni daulah yang sejak sekian lama menebal akhirnya bakal pecah. Makcik Felda telah celik IT dengan mempunyai Google Talk. Hari demi hari mereka akses internet berkelajuan tinggi. Apa yang berlaku di Parlimen itu mereka mengerti. Sebut sahaja APCO semua tahu. Ia adalah sejenis kuih yang kita boleh beli di Kuala Kubu Bharu. Sebut sahaja Yahudi semua tahu. Semua kita ada kaitan dengan Yahudi. Mengapa kita tidak jadi bangsa bijak seperti Yahudi. Mengapa kita asyik mengejar kekayaan dengan memonopoli syarikat judi.

Mungkin lebih baik untuk kita tidak terus menyerang orang itu dan ini Yahudi. Hakikatnya warga tetap dalam kelemasan. Lemas dalam permainan ahli politik tidak berkesudahan. Warga mahu makan lebih sedikit pun tidak kesampaian. Anak-anak muda hilang pekerjaan. Saman trafik dan JPJ menambah kesempitan. Warga terus miskin. Poket terus kebocoran. Harga syiling dinaikkan menambah kesengsaraan. Di manakah masa depan anak-anak kecil itu. Terus berhutang dengan PTPTN. Terus menambah hutang kereta dan beban rumah. Terus berhutang ceti dan ah long hingga hujung nyawa. Tanah diusahakan di sangka milik sendiri. Harapkan pagar pagar makan padi.

Semoga Tuhan merahmati manusia-manusia baik yang ingin berbakti. Manusia baik ialah manusia yang ikhlas dalam membuat perubahan. Tidak pentingkan kekayaan. Pemimpin miskin rakyat kaya. Pemimpin kaya rakyat miskin. Pilihlah di antara dua. Hakikatnya entah bila kita akan lihat adanya manusia baik seperti itu. Selepas kiamat sekalipun tak mungkin akan terjadi. Namun warga boleh terus berdoa. Semoga segalanya baik untuk kita. Dulu, kini dan selamanya.

Memoir Seorang Patriot. Tuhan, Aku Hanya Ingin Ke Seberang

Memang benar sesuatu usaha itu menuntut kesabaran. Tiada jalan pintas untuk berjaya. Itu prinsip yang saya pegang untuk sekian lama. Menelusuri jalan ke puncak jaya itu cukup memeritkan. Namun itu bukan alasan untuk berpatah arang. Membujur lalu melintang patah. Kegagalan itu adalah peluang baru untuk kita bermula semula dengan jayanya. Sedangkan budak berumur 18 tahun boleh menyamar menjadi Raja Gopal. Inikan pula kita yang mempunyai networking 1Malaysia. Jangan dirisaukan masalah yang melanda. Kita semua ada Perkasa untuk membela nasib anak bangsa. Tidak sia-sia kita tinggal dalam negara 1Malaysia.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor ini menguji kekuatan. Benarkah selama ini warga hulu menyokong Pakatan. Janji Bagan Pinang dahulu mesti dikotakan. Kenapa bila menang habis semua hilang tinggal jambatan. Warga pula naik angin membakar segala geran-geran. Habislah semua janji tidak dilunaskan. Janji tinggal janji. Terus berjanji untuk bina itu dan ini. Hakikatnya warga dalam kesedihan. Tidak lama lagi tarif air akan dinaikkan. Sekali lagi ini peluang untuk kapitalis melabon sakan. Warga asing didahulukan. Dasar penswastaan menekan hidup rakyat untuk membayar setiap kali ingin membeli kicap masin di Pekan.

Soalnya kenapa bayi itu dibuang merata-rata. Adakah kerana bayi itu mendatangkan bala. Adakah bayi itu akan memberi makluman inkues Teoh Beng Hock yang mati tersiksa. Semua itu hanya cerita melebong karut marut. Selagi ada cinta mat jiwang dan minah karan, selagi itulah bayi itu akan terus dihumban. Selagi ada sms, facebook dan motor kapcai, selagi itu hubungan sedap tubuh gadis teruna itu berjalan. Kami prihatin meracun fikrah warga supaya mempercayai masalah muda mudi dalam negara itu kronik tahap dewa. Hakikatnya dasar sekular itu menjadikan ia begitu. Ia budaya yang kita sama-sama cipta dan bina. Ucapkan tahniah pada diri kita semua. Selama ini kita terlalu sibuk mengejar hasil mahsul dunia.

Sememangnya orang miskin itu makanan orang kaya. Orang bodoh makanan orang bijak. Soalnya sampai bila untuk membiarkan diri kita terus miskin. Bilakah kita ingin berubah. Kemajuan diri adalah kebolehan untuk melihat perubahan yang berlaku pada diri kita yakni dapat melihat kita adalah orang yang berbeza dari hari sebelumnya. Kerja keras, disiplin yang tinggi disertai dengan ilmu dan keberanian. Anak muda Melayu itu sebenarnya tidak miskin. Anak muda Melayu itu boleh berjaya sekiranya membuang mentaliti bergantung. Semuanya bergantung dan digantung. Tiada jalan keluar untuk itu melainkan dengan berani berubah.

Model Ekonomi Baru dan Ibrahim Ali ; Penjajahan Minda APCO

Apa jua model ekonomi yang dibawa oleh daulah tidak berguna sekiranya ia tidak membawa kesejahteraan kepada warga. Menunggu tahun 2020 baru pendapatan per kapita warga meningkat umpama menunggu katak bertumbuh tanduk. Warga mahu pembahagian kekayaan negara itu adil dan saksama. Warga mahu harga petrol dikurangkan. Tol lebuhraya dihapuskan. Cukai diselaraskan. Tangga gaji minima ditetapkan. Peluang pekerjaan diberi sama rata. Caj interest pinjaman PTPTN dihapuskan. Jangan beli kapal selam yang tidak boleh menyelam. Jangan biarkan isteri gila shopping di Gedung Harrods. Jangan beli senjata kerana warga perlukan makanan bukan bom. Food not Bomb.

Air mata mengalir melihat rumah warga Kampung Denai Pinggiran Kempas yang dibaraikan itu. Apakan daya. Ekonomi kapitalis itu begitu kuat mendominasi. 20 tahun meneroka tanah dirampas begitu sahaja tanpa pampasan. Yang kuat akan menindas yang lemah. Yang pandai bijak akan menindas yang bodoh. Yang diatas akan memijak yang dibawah. Anak-anak kecil dan ibu tua itu hilang tempat tinggal. Kepada siapa ingin mengadu nasib. Ahli Parlimen sibuk berantakan dalam dewan. Sidang DUN Perak menjadi Zoo Taiping kedua. Semua ini berlaku kerana kuasa. Gilakan kuasa untuk kekal menguasai sumber-sumber ekonomi dalam negara. Kera di hutan disusukan. Kambing di rumah mati kelaparan.

Please, don't talk shit..Perkasa itu benar-benar membela nasib orang Melayu. Orang Melayu kurang maju bukan kerana tidak bijak, tidak berusaha. Tapi orang Melayu dilindungi Perkasa. Nasib baik Perkasa ada. Jika tidak tentu pendapatan perkapita kaum Cina dan India lebih banyak dari kita. Cukong Melayu lagi kaya dari Cukong Cina. Perkasa tidak pernah punya aset dengan kaum Cina. 52 billion rupanya tidak hilang. Ia ditransfer ke dalam akaun Perkasa untuk membelai gerai-gerai orang Melayu di Kampung Melayu Subang. Sebab itu kita lihat amat jarang gerai burger dan benjo anak-anak Melayu itu dirobohkan. Saban tahun kita lihat yang memiliki lot kedai itu adalah orang Melayu. Tahniah dan syabas diucapkan.

Alangkah bahagianya melihat keadaan hari ini. Semua kita boleh bertanya apakah yang dilakukan wakil rakyat di tempat kita. Warga memilih mereka untuk menyuarakan hal ehwal dan kebajikan di dewan mulia atau untuk mereka meraih hasil mahsul demi kepentingan mereka. Hakikatnya pembolehubah itu telah lama berdaki dalam stigma kehidupan. Tidak kiralah siapa yang memerintah yang penting kita mahukan kesejahteraan. Tetapi antara mereka mempercayai APCO lebih daripada rakyat. Kita tidak hairan jika serba serbi di sekeliling hari ini adalah pinjaman dan pinjaman. Semua itu diasak bertubi-tubi kepada warga. Gaji 1o ribu sebulan untuk warga suatu hari nanti mungkin di tahap miskin papa kedana.

Jesteru siapakah yang membela nasib kita. Tak sungguh tak mengata. Warga perlu berubah dan bertindak. Keluar dari kepompong itu. Berdikari. Cuba untuk memulakan perniagaan sendiri. Cuba untuk mencari idea bagaimana untuk survival. Semangat dan motivasi itu utuh. Warga Felda perlu diberi pendidikan. Dengan pendidikan maka fikiran akan matang. Jiwa menjadi girang dengan terbukanya banyak peluang. Menebus maruah bangsa dan agama menjadi keutamaan. Malangnya semua itu hanya tinggal harapan. Anak-anak muda itu dihempap kiri dan kanan untuk menjadi mat gian mat rempit. Si gadis sunti pula diasoh menjadi minah karan. Itulah hasil sebuah perjuangan yang diberikan ketuanan.

Akhirnya kita kembali kepada persoalan. Kehidupan itu untuk apa sebenarnya. Melayan isu-isu politik saban tahun. Bercinta dengan gadis seksi atau jantan ranggi sepanjang hayat. Menukar status facebook daripada single kepada in a relationship. Menjual harta untuk bernikah satu lagi. Memukul isteri kerana naik angin tak tahan harga roti canai naik. Membuat personal loan untuk bernikah super grand di Dewan PWTC. Menceburi jualan MLM atau Direct Selling untuk menjadi bakal jutawan. Dari kosong sehingga jutawan. Kehidupan itu tetap namanya kehidupan.