Apakah Yang Menghalang Kamu Berfikiran Besar

Ingat dunia ini bukan untuk orang yang pandai tapi untuk orang cerdik. Setinggi mana pun sijil yang kamu susun, itu belum menjamin kehidupan. Kehidupan perlu dilihat dengan kesusahan, kepayahan, perit dan derita. Kehidupan itu perlu diuji. Hakikatnya tiada orang yang terus berjaya tanpa diuji. Tiada orang yang terus kaya sebelum papa kedana. Tiada orang yang terus berjaya tanpa melalui kalah dan tewas. Begitu kita menjalani hari-hari yang mendatang, cabaran di hadapan adalah lebih besar. Maka, persediaan ke arah peperangan itu juga semakin besar.

Pedulikan apa manusia kata tentang Warisan Merdeka 100-tingkat itu. Nak bina binalah. Biarkan habis tanah warisan dibuat menara. Masa depan kita bukan bergantung pada tanah warisan tetapi lot-lot perniagaan dan kedai. Akhirnya tanah warisan itu menjadi Mid-Valley dan KLCC. Akhirnya Istana Negara itu menjadi The Greater KL. Di manakah hilangnya warisan bangsa tiada siapa yang tahu. Kita hidup dalam arus kemodenan. Kita harus menyokong kemodenan kerana ini semua lambang kekayaan dan kemegahan. Taraf hidup kita semakin tinggi dan pendapatan juga tinggi dengan adanya kompleks perniagaaan di sana sini. Commercial City Centre itu adalah bahasa dan makna bahawa bangsa kita adalah bangsa berjaya.

Dalam usia menginjak dewasa kita berfikir, apakah yang paling baik untuk kita. Kita merasakan kehidupan hanyalah sekadar belajar, bekerja, berkahwin dan beranak pinak. Jika tafsiran kehidupan begitu maka apakah maknanya kita menjadi khalifah. Khalifah itu ialah pemimpin yang berjiwa besar. Berjiwa besarkah kita dengan cabaran dan ujian. Berjiwa besarkah kita dengan hanya berpuas hati dengan apa yang kita ada. Berjiwa besarkah kita dengan hanya memiliki sesuatu yang dimiliki oleh manusia biasa. Sememangnya manusia tidak pernah puas. Tahap kepuasan sebenar adalah menikmati kemanisan perjuangan. Setiap insan yang ingin berjaya harus berjuang. Maka perjuangan sebenarnya baru saja bermula.

Kes-kes di mahkamah itu semakin hari semakin membesar. Kakitangan mahkamah tertekan. Hari demi hari kita memaksa untuk mendapatkan keadilan. Keadilan yang bagaimanakah yang kita ingin. Apakah seperti keadilan yang diinginkan oleh Zaid Ibrahim. Apakah keadilan itu pada perjuangan Anwar Ibrahim. Apakah keadilan itu bermakna kita memberi kekayaan dan hak sama rata kepada semua kaum. Maka keadilan yang sebenar adalah meletakkan sesuatu pada haknya. Maka keadilan itu dicari di Istana Keadilan. Maka kita sememangnya inginkan hak itu dari pertarungan dalam kesucian undang-undang. Undang-undang yang manakah yang memberikan keadilan?

Maka warga dinasihati oleh peguamcaranya untuk mendapatkan haknya. Permohonan injunksi mareva itu dibenarkan. Hilang sudah kasih sayang. Harta benda diutamakan. Kekayaan melebihi kasih sayang. Apakah matlamat asal perkahwinan. Apakah perkahwinan itu sesuatu yang menyeronokkan. Apakah kehidupan beristeri itu bermakna kedamaian. Apakah mempunyai teman hidup itu bermaksud kita semakin matang. Selamat datang dunia kestabilan. Selamat datang dunia kematangan. Maka hari itu warga menjadi orang besar yang berfikiran besar. Tidak lagi gundah gulana. Tidak lagi keliru dan tidak keruan. Tidak lagi hidup dalam kesengsaraan jiwa dan perasaan. Maka warga ingin menyatakan sekali lagi duhai kawan "Apakah Yang Menghalang Kamu Daripada Berfikiran Besar !"

Kini Masa Untuk Berubah

Kita semua tahu dan sedar melakukan perubahan itu bukanlah suatu yang mudah. Ia perlukan kesungguhan. Menawan puncak gunung bukan mudah. Memperoleh A dalam semua subjek bukan mudah. Mengorat awek cun bukan mudah. Menawan Putrajaya juga bukan mudah. Semuanya perlu kepada perancangan dan strategi. Perlukan masa dan sumber. Perlu ada persistensi agar jalan di hadapan tetap dilalui dengan baik. Maka melakukan perubahan memang sakit untuk beberapa tahun, tetapi hasilnya kita akan lihat selepas tamatnya keperitan itu.

Semua kita sedar dan tahu apa yang berlaku di sekitar pemilihan pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat itu. Bertelingkah merebut kuasa dan nama. Ya, benar. Kuasa itu adalah ekonomi. Punca-punca ekonomi itu wajib direbut sementara peluang sangat besar. Warga mahu berubah ke arah alternatif. Para cukong terliur dengan kuasa alternatif baru. Di sini 1001 satu peluang akan muncul. Jika tidak mana mungkin dapat maintain rumah banglo di Tropicana Golf & Country Resort. Mana mungkin untuk mengekalkan taraf dan gaya hidup. Apapun kehidupan perlu diteruskan walaupun seteruk mana ia. Pemimpin kaya rakyat miskin.

Banjir di Kedah dan Perlis itu mengingatkan kita. Bahawa dalam sekelip mata keadaan itu boleh berubah. Tragedi alam yang menimpa kita satu petanda dan amaran. Alam ini sudah tua. Karbon monoksida yang keluar dari ekzos kereta itu sudah tidak mampu ditanggung oleh ozon. Atap dunia semakin menipis. Selagi Taib Mahmud berkuasa maka selagi itulah rakyat Sarawak sengsara. Memiliki hartanah di Kanada dan London, rakyat Sarawak tinggal dalam rumah jamban. Keadilan sosial manakah yang dibawa oleh kumpulan Human Rights. Bik mama di depan mata tak nampak, kuman di seberang sungai terang dan nyata.

Akhirnya kita boleh memahami bahawa kekayaan itu dipegang oleh kuasa dan pengaruh. Kita sama-sama sedar bahawa selagi kita tidak memiliki kuasa politik itu maka sebarang usaha tidak mungkin dapat direalisasikan. Benar tiada yang mustahil di dunia. Siapa sangka Korea Selatan itu boleh diserang oleh Korea Utara. Bukan pulau yang direbutkan sebaliknya menguji kekuatan. Siapakah yang lebih kuat dalam agenda pengayaan uranium dan bom atom. Siapakah yang lebih teknologi nuklearnya. Benar jalan peperangan yang paling ideal adalah PERANG. Maka peperangan adalah jalan keluar kepada kekalutan dunia yang dihimpat hutang. Maka untuk memusnahkan liabiliti ekonomi dan hutang, kita berperang.

Membaca hasrat Daulah membina loji nuklear atau menggunakan nuklear sebagai sumber tenaga amat menggerunkan. Bagaimana mungkin kita memiliki loji nuklear yang mungkin bocor seperti bangunan Parlimen baru-baru ini. Apatah lagi punah-ranah seperti stadium di Terengganu atau jambatan gantung yang mengorbankan anak muda di Perak. Maka warga perlu berhati-hati dengan media yang mengolah persetujuan seolah-seolah nuklear itu selamat, bersih suci lagi murni. Kegilaan kita mendokong dasar ekonomi cukong bakal mengorbankan generasi kita akan datang, kerana mungkin ada yang cacat dan mati kerana kesan radiasi atom nuklear.