Masa Untuk Bermimpi Sudah Tamat

Sesungguhnya sahabat, masa untuk bermimpi sudah tamat. Kini masa untuk bertindak. Kini masa untuk melakukan. Kini masa untuk merealisasikan impian. Kini masa untuk mengecapi apa yang kita mahu. Masa untuk ke hadapan. Masa untuk berdiri dalam masa depan. Masa untuk kita memimpin perubahan. Masa untuk kita menyampaikan mesej pencerahan. Masanya telah tiba untuk kita melakukan perubahan. Perubahan yang lebih baik bermula dari diri sendiri.

Arakian satu masa dulu anak muda itu biasa-biasa saja. Sepertimana anak muda lain, dia mempunyai impian. Impian dan harapan untuk mengubah dunia. Harapan untuk melihat kehidupan yang dilihat itu lebih baik. Harapan untuk masa depan itu lebih cerah dan baik. Harapan untuk suatu hari nanti, anak muda itu dapat keluar dari kehidupan dogmatik yang serba serbi kegelapan dan tidak punya masa depan itu. Harapan untuk keluar dari masyarakat yang hanya memikirkan tentang cinta, seks dan hantu. Harapan untuk membawa perubahan hakiki.

Masa demi masa berlaku. Detik terus berlari meninggalkan kita. Apakah pusaka kita kepada anak-anak kecil kita. Apakah dunia yang kita diami ini cukup baik untuk mereka. Apakah kita telah pastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak masa depan negara. Steve Jobs yang telah pergi tidak dapat dicari ganti. Steve Jobs akan terus hidup dengan apple-apple nya. Kita akan terus hidup dengan iman dan takwa. Terus hidup dan percaya masa depan itu untuk kita.

Kedewasaan itu membuatkan kita berfikir. Masa untuk menjadi hamba dan kuli sudah tamat. Kini masanya untuk menjadi pemimpin. Masa untuk memimpin peradaban massa. Masa untuk kita lontarkan idea 'kita boleh buat lebih baik daripada Apple'. Kita boleh belajar, bekerja di luar negara. Kita boleh mencipta produk dan perkhidmatan berteraskan idea. Kita boleh menjadi usahawan dan ahli perniagaan. Setiap kejayaan itu bermula dengan usaha. Sembilan per-sepuluh daripada rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Percayalah rezeki itu daripada Tuhan.

Masa untuk bermimpi sudah tamat. Kitakah hidup di zaman realiti. Realiti TV. Akademi Fantasia. Telah tamat mimpi kita untuk teruskan kehidupan. Cabaran telah kita tempuh. Apakah sebenarnya cabaran kehidupan kita. Memilih untuk bahagia atau sengsara. Apakah kita takut dengan kemiskinan dan kekalahan. Apakah kita takut untuk berbahasa Inggeris. Apakah kita takut untuk menjadi menteri. Rupanya hidup ini penuh dengan ketakutan yang tidak pasti.

Sesungguhnya Hazwan, tak penting bagaimana kau bermula, yang penting bagaimana kau berakhir!