Memecah Tembok Tipikal Melayu


Adakalanya bila sesama Melayu, kita sering berpecah. Tidak tahu kenapa. Mungkin itulah budaya Melayu. Sejak dari dahulu lagi umat Melayu memang umat yang istimewa. Sentiasa ada perselisihan. Perbezaan pendapat dan pandangan itu biasa. Cuma bagaimana kita ingin bersatu atas ketidaksetujuan. Agree to disagree bak kata orang putih. Istilah orang putih ini juga perlu dikaji semula kerana yang hidup di Barat tidak semua putih. Istilah Barat ini juga perlu dikaji semula untuk menilai yang manakah Barat atau Bharat Plantation di Cameron Highlands. Pendek kata semua perlu direview dan dikaji semula - sebagaimana kita menilai semula bendera Sang Saka Bangsa mahupun lagu Negaraku yang kononnya diciplak dari Memula Moon. Bagi saya menciplak ini tiada salahnya asalkan ada justifikasi kenapa perlu tiru budaya positif orang. 

Arakaian selepas perlaksanaan AES itu kesemua pemandu jadi bersopan-santun. Adakah kerana kamera yang dipasang itu mempunyai cahaya atau flash yang begitu mempersonakan. Sehingga terlanggar Sang Garuda lalu bersepahlah tiang dan kamera di atas jalanraya. Menunggu pilihanraya entah bila sehingga naik muak mendengar perkataan pilihanraya. Apakah nasib warga berubah selepas pilihanraya. Apakah gaji naik, tol dihapuskan dan PTPTN dijadikan badan kebajikan menjaga anak pelajar di Universiti Malaya. Pro-Mama atau Pro-Papa tiada siapa peduli. Asalkan kau pandai hidup, pandai cari makan dan pandai untuk mengurus kehidupan. Anak-anak muda itu bekerja dan berjuang untuk tidak kelaparan dan kebuluran. 

Hakikatnya kita sama dan serupa. Namun kita perlu sedar bahawa tanggungjawab kita lebih banyak dari waktu yang kita ada. Menunggu pekerjaan datang tidak ke sudah. Menunggu bulan jatuh ke riba. Mengharap kepada parti politik seperti PKR dan PAS untuk membantu kita menambah per-capita income keluarga. Apa kita peduli parti politik berkempen guna bas dan treiler. Apa kita peduli parti politik ingin bela Lembu di Putrajaya. Anak-anak muda hanya mahukan jaminan pekerjaan dan pendidikan. Anak-anak muda hanya mahu memikirkan kos perkahwinan yang semakin meningkat untuk elak berhutang. Anak-anak muda itu hanya mahukan perubahan tanpa memikirkan berapa lama lagi tol akan dibayar di lebuhraya PLUS. 

Memecah tembok tipikal itu tidaklah semudah yang disangka. Perlukan komitmen dan usaha kuat. Perlukan fokus. Ilmu dan pengalaman. Berguru kepalang ajar dapat rusa berbelang kaki. Belajar dan mencabar. Pengetahuanmu tidak terjuntai seperti pisang. Belajar, berpengetahuan dan mencabar. Budaya Melayu lemah dan lembap kita tinggalkan. Pemikiran terkebelakang dengan asyik memikirkan tentang kuasa dan wang. Asyik memikirkan tentang hiburan, artis, seks dan maharaja lawak. Lawakkah bila masa depan negara kita dalam kegelapan. Lawakkah bila ekonomi kita umat Melayu terkebelakang. Lawakkah bila Bani Melayu asyik membuang anak dari flat dan rumah pangsa. Lawakkah bila kita menjadi hamba di bumi sendiri. Anak kecil main api, terbakar dirinya yang sepi.