Mengapa Saya Minta Kita Semua Sokong Tan Sri Isa Samad

Dunia tidak akan melupakan Napoleon, Deng Xiaping, Habibie atau Danny de Vitto. Kesemua mereka adalah orang katek yang telah berjaya meninggalkan zuriat.

Saya berani berkata bahawa Tan Sri Isa Samad adalah Napoleon kita yang datang dari Linggi, bukan Napoleon dari watak buku Animal Farm itu.

Tanyalah sesiapa sahaja yang berasal dari Negeri Sembilan, pasti mereka akan terkenang-kenangan akan sumbangan Tan Sri Isa Samad.

Semasa Tan Sri Isa berpindah ke Kuala Lumpur, orang-orang Negeri Sembilan telah menangis kerana memikirkan projek pembanguan di Lake Garden Seremban terbengkalai gagal tanpa kehadiran Tan Sri Isa.

Tan Sri Isa akan membawa idea Konsep meneroka kawasan-kawasan hijau dalam kota Seremban untuk membangunkan kawasan simpan Bukit Nenas, Bukit Persekutuan dan Bukit Ceylon. Beruntunglah sesiapa yang menjadi warga Ibukota.

Malah, sebulan setelah menjadi Menteri Wilayah, Tan Sri Isa telah mencadangkan agar semua bulatan - roundabout - yang dianggap besar di sekitar Kuala Lumpur; seperti di hadapan Dewan Perhimpunan Cina, boleh diswastakan. Bulatan yang luas boleh dijadikan pasarana pemangkin ekonomi. Untuk saya, idea seperti inilah yang amat-amat diperlukan untuk mengembangkan ekonomi kita dalam era global.

Doktor senapang

Pengalaman Tan Sri Isa Samad dalam pentadbiran Negara dan Negeri Sembilan Incorporated cukup positif dan amat-amat diperlukan oleh rakyat, terutama di Bagan Pinang.

Mungkin ada rakyat di luar Negeri Sembilan tidak pernah mendengar nama Doktor Senapang (nama terjemahan dari Bahasa Inggeris oleh DBP) - nama yang sinonim dengan Tan Sri Isa Samad. Doktor Senapang adalah rakan, kawan dan penasihat Tan Sri Isa Samad suatu masa dulu.

Tanpa Doktor Senapang, pastilah banyak kawasan balak di Negeri Sembilan yang terus terbiar menjadi hutan rimba. Tanpa idea Tan Sri Isa Samad dan Doktor Senapang, rakyat Malaysia hanya akan melihat pasir memutih dan pantai melandai di Port Dickson.

Tan Sri Isa Samad dan Doktor Senapang adalah dua badan satu kepala. Doktor Senapang akan mencari tanah dan kawasan baru, terutama kawasan tanah rizab Melayu. Kawasan-kawasan ini akan ditunjukkan kepada Tan Sri Isa dan di sini, mereka berdua akan turun menembak. Inilah hubungan intim antara politikus Melayu dengan cukong Cina yang wajib dijadikan asas untuk memangkin Agenda Melayu dan 1Malaysia.

Kerana semua ini, saya dengan jujur meminta agar media-media dan laman-laman web untuk tidak lagi memperlekehkan kewibawaan Tan Sri Isa Samad. Saya meminta semua pihak memberhentikan polemik politik wang ini. Jika agenda politik wang a.k.a rasuah ini diteruskan, pasti musuh-musuh Umno yang sakit-sakit tulang belakang pun, akan berani menyerang.

Sesiapa sahaja yang terus mempertikaikan kewibawaan Tan Sri Isa Samad ini saya anggap mereka cemburu, dengki dan iri hati. Telah sampailah masa dan ketikanya bagi anak jati Adat Pepateh menyandang jawatan ADUN pula. Seperti Napoleon yang datang dari pulau Corsica yang kecil, Tan Sri Isa Samad juga datang dari mukim Linggi yang kecil.

Kalau Napoleon akan menawan seluruh Eropah, Tan Sri Isa Samad akan menawan semua tanah kosong dan kawasan setinggan di Bagan Pinang. Justeru, tanpa segan dan silu saya mencadangkan diri saya untuk menjadi Orang Isa - H.R

*dipetik dari sebuah laman blog. menarik sekali dibaca untuk pencerahan minda anak muda.

Kenyataan Perasaan; 1Bagan Pinang Gumbira

Syukur kita tinggal di Malaysia. Negara ini negara demokrasi. Salah satu ciri atau tanda demokrasi ini ialah adanya pilihanraya. Pemimpin dipilih melalui pilihanraya. Siapa yang menang akan jadi YB. Yang kalah pula balik kampung la tanam ubi. YB yang menang diharap dapat berbakti. Namun segalanya tinggal mimpi. Kemajuan yang diimpikan sekadar berjanji. Akhirnya YB itu mati. Selepas mati ada pilihanraya lagi. Selepas mati pembangunan rancak berdiri. Masa YB hidup semua warga sekadar bermimpi. Pusing-pusing hisap jari kaki sendiri.

Itulah realiti. Jangan kita tidak bersyukur. Itu semua ketentuan Ilahi untuk hambaNya supaya mengerti. Hidup atas dunia ini tiada yang abadi. Bersyukur itu tandanya kita berterima kasih atas pemberian Yang Maha Esa. Sekurang-kurangnya kita masih hidup selesa berbanding rakyat Afrika yang menderita. Nak dapat makan kuih raya jangan mimpi la. Nasi sebutir pun sudah mahal harganya. Inikan pula nak dapat jalan bertar sampai ke jamban belakang rumah.

Untung juga ada YB mati. Kita dapat melihat pesta sana sini. Kiri kanan depan belakang dengan lambang dan logo parti. Suasana meriah macam nak raya berkali-kali. Kalau boleh tak nak kerja nak duduk goyang kaki. Kalau boleh nak lepak sepanjang masa dengan awek seksi. Kalau boleh tak nak fikir pasal kerja yang bertimbun-timbun atas troley. Kalau boleh nak pilihanraya setiap hari. Kita semua sudah tentu happy.

Semoga hari-hari yang kita lalui adalah hari yang penuh ceria dan bererti. Habis berpuasa tidak bermakna kita boleh melakukan kejahatan. Masih ada lagi puasa 6 yang tidak dilakukan. Jangan terlalu takut pada risiko dan kegagalan. Kita sama-sama belajar untuk kemajuan dan pencerahan. Anak muda tidak boleh lemah dengan ujian. Anak muda mesti bersemangat mengejar kekayaan. Anak muda tidak cukup hanya bergoyang-goyang. Angguk-angguk geleng-geleng bak kata Ahli Fiqir Singapura.

Bergembiralah. Ini masa yang sesuai untuk meminta jalan dan longkang. Siapa anak masuk IPTA jangan lupa minta bantuan. Warga mesti bijak ambil kesempatan. Terpulanglah samaada nak undi dacing atau bulan. Yang penting kita tetap berfikir dan bergerak ke arah sebuah pencerahan. Semoga anak muda Bagan Pinang berani untuk membuat perubahan ~

Selepas Seminggu Berhari Raya; Kembali Bekerja

Cuti raya kali ini memang agak istimewa. Peluang untuk bersama keluarga sesuatu yang menjadi kegembiraan semua. Tradisi ziarah-menziarahi dan bermohon kemaafan adalah satu kemestian buat semua warga. Hari Raya membolehkan kita untuk bergelak ketawa sepuasnya. Tiada makna raya jika tidak gembira. Masa yang ada kita gunakan untuk bercerita 1001 benda yang kadangkala tidak ada kaitan dengan diri kita. Buka mulut nganga luas-luas makan kueh raya sambil tengok Beyonce Knowles.

Mengapa tidak Eidulfitri ini disambut setiap hari setiap masa. Mengapa para majikan tidak memberi cuti raya sepanjang tahun agar kita sentiasa dapat bergelak ketawa bersama keluarga. Ini sudah tentu sesuatu yang mustahil. Jika soalan ini diajukan kepada bos sudah tentu kita kena tempeleng. Jawapannya kita tidak boleh beraya setiap hari setiap masa sepanjang tahun. Kita perlu bekerja untuk mencari kepala agung. Jika tidak kita akan sama-sama masuk gaung. Jangan biarkan bini di rumah meraung-raung.

Selepas berhari raya maka tiba pula pilihanraya. Belum habis beraye di rumah awek cun tiba-tiba minda warga disesakkan dengan berita-berita politik saban hari. Ini betul-betul potong stim. Mahu calon ini tak mahu calon itu. Che Det kata tolak calon rasuah dan pilih calon yang tidak rasuah. Jangan sesekali berani membawa lemang dan ketupat kepada tentera di kem sebaliknya bawalah risalah calon pilihanraya. Sesiapa yang membawa rendang dan daging serindit ada potensi untuk ditembak mati di dalam kem. Kurang ajar tak tahu ke raya dah habis.

Maka tinggallah awek cun keseorangan tanpa sms dari kekasih hati. Kekasih sibuk dengan kempen untuk pastikan projek membuat longkang U tidak lari. Jika tidak mustahil untuk membina mahligai batu-bata indah buat kekasih. Sepasang mempelai takkan mampu bercuti di Bali jika tiada projek kelas F berjalan. Mungkin mereka hanya akan mampu untuk pergi bercumbuan di Batu Maloi. Siapa tidak tahu Batu Maloi sila bertanya pada Ustaz Google. Ini confirm takde akaun facebook.

Pedulikan huru-hara yang berlaku pada Selcat di Selangor. Tumpuan warga kini pada Bagan Pinang. Ku pinang-pinang tak dapat-dapat. Akhirnya ku bawa lari ke Sempadan Siam. Anak-anak muda pasti gembira dapat merempit dalam suasana penuh meriah. Tidak perlu litar F1 untuk anak muda belia ini. Litar ini tidak cool sepertimana jalan pantai Telok Kemang. Angin pantai membuatkan minah bergetah tidak mahu turun dari bertonggeng di atas motor balak macho. Berentot-entot di pantai Bagan Pinang?

Lupakan samaada Isa Samad menjadi calon atau tidak. Kita tetap hidup sebagai warga yang berfikir dan bergerak. Daripada fikir pasal Isa lebih baik kita pergi Bukit Jalil tonton Konsert Michael Learns to Rock. Pemuda Pas tolong jangan bantah kami nak pergi tengok konsert~

Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1Syawal 1430H

Min 'Aidil Walfaizin
Kullu am wa antum bikhair
Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar.

Saya Cuma Seorang Insan Biasa Yang Tidak Punya Apa-Apa

Saya cuma insan biasa yang tidak punya apa-apa. Saya miskin, tidak berpelajaran tinggi, tidak kacak dan tidak pandai mengorat awek cun. Saya insaf dengan segala kelemahan yang ada pada diri saya. Mulai hari itu saya berhenti dari bercinta. Sudah muak dan bosan. Tidak mahu lagi ambil pot terhadap apa yang berlaku pada 1Malaysia. Saya mahu fokus. Fokus pada ibadah di akhir ramadhan bulan yang mulia. Akhirnya kita berjaya dengan impian dan cita-cita. Kita adalah kita. Ibu saya kata kita perlu sentiasa merendah diri. Ibu kata jangan angkuh dan sombong. Pesanan ibu saya sematkan di dada. Anak yang baik mendengar kata.

Satu soalan je nak tanye. Dah beli baju raye ke? Kalau belum beli baguslah. Jangan sibuk nak sambut hari raya tapi pose tak penuh. Ada yang kong kali kong menipu puasa tapi sebenarya tidak. Tidak baik macam tu. Kita perlu ikhlas. Kita perlu berterus terang. Jikalau sudi katakan sudi. Jangan ada orang ternanti-nanti. Tidak perlu dakwa dakwi lagi. Sudah terang dan jelas warga seluruhnya menolak rasuah. Kita tidak perlu memberi undi pada mereka yang makan rasuah. Segala yang berkaitan dengan rasuah perlu diperangi dan dibanteras sehabisnya.

Sebelum melewati umur 25 tahun nanti saya memasang niat untuk membeli sebuah kereta F1. Warga 1Malaysia wajib memiliki benda alah ini supaya kita boleh berlumba di Litar 1Malaysia Sepang. Pakcik dan makcik Felda pasti gembira dengan khabar dari Perdana Malaysia 1Malaysia ini. Paling kurang bagi pakcik dan makcik Felda jika tidak sempat ke Sepang, boleh gunakan kereta F1 ini untuk ke kebun pisang atau angkat buah sawit. Alangkah bertuahnya kita hidup di Malaysia. Duit kita banyak sehingga tak tahu nak buat apa. Petrol, minyak masak, air, api, dan perkhidmatan kesihatan semuanya free.

Apabila semua kita kaya maka tidak ada lagi warga yang miskin. Benarkah di 1Malaysia ini tidak ada lagi orang miskin sehingga kita membuang wang daulah ke Litar F1 Sepang. Mengapa hari ini kita masih perlu membayar zakat fitrah RM6.50. Untuk apa duit zakat ini? Apakah ini untuk warga yang miskin atau untuk kita anjurkan lagi perlumbaan F1. Warga Penan di Sarawak tidak perlukan F1 ini. Mereka hanya mahu balak tidak ditebang dan mereka tidak dihalau keluar dari hutan. Tidak cukup merogol hutan balak dirogol pula anak warga Penan.

Tiada maknanya Hari Raya jika warga masih dalam kesusahan dan kegelapan. Setiap hari setiap masa kita merayakan kehidupan. Hari Raya bermaksud kita kembali kepada fitrah yang asal. Dulu kita tidak punyai apa-apa sewaktu lahir. Kita hanya berboleng dengan segala pancaindera kurniaan Tuhan. Selepas sedekad hidup kita disibukkan untuk membeli kereta, rumah dan mencari seorang isteri yang chic dan trendy. Hujung bulan kita mula menggaru kepala berfikir untuk membayar hutang kereta, rumah dan bill streamyx.

Akhirnya saya dan kita semua tidak punya apa-apa. Kita hanya perlukan udara untuk hidup selesa ~

Cerita teman-teman di Kelab Remaja SUKSESS

Cerita teman-teman di SUKSESS membugar jiwa dan semangat di hati. Anak muda yang lembut jiwa serta tinggi cita-citanya, dibimbing seorang murabbi yang tidak pernah jemu dan mengeluh dalam mendidik, menghasilkan jiwa-jiwa yang kuat dan terus bersemangat untuk mencapai impian mereka iaitu kejayaan. Setidak-tidaknya mereka tergolong dalam kumpulan manusia yang positif dan melihat kehidupan ini sangat menarik, bercahaya dengan pencerahan jiwa anak muda merdeka. Setidak-tidaknya mereka tidak lagi takut dengan kegagalan kerana kegagalan itu umpama terlanggar paku di tepi jalan. Mereka juga mahukan kehidupan remaja mereka diiktiraf dan diketahui dunia bahawa tiada yang mustahil di dunia ini untuk mereka yang MAHU dan TAHU. Demikian cerita teman-teman di Kelab Remaja SUKSESS.

Apa yang kita fikirkan tentang kita itulah kita. Sejak dahulu saya sangat suka kepada kata-kata yang bersifat masa depan. Lebih kurang saya sangat ghairah kepada sesuatu yang baru dan futuristik. Berkenalan dengan seorang mentor yang kaya dengan idea dan pendekatan baru. Mencipta suasana dan gaya hidup baru. Bercita-cita pergi jauh ke negara matahari terbit. Ingin menguasai dunia dengan ilmu dan kemahiran. Bermacam-macam impian. Bermacam juga rencah dan karenah hidup yang perlu ditempuhi. Walau apapun yang terjadi hidup ini perlu terus. Terus sepertimana kita memandu di atas lebuhraya PLUS yang sibuk.

Kegagalan bukan alasan untuk kita berhenti daripada melakukan kerja-kerja pencerahan. Gagal dan kecundang adalah satu benchmark bahawa kita telah berani melakukan sesuatu. Cinta yang gagal akibat ditolak bukan bermakna dunia ini telah tamat. Bertepuk sebelah tangan itu adalah dongeng pada waktu ini. Kalau bertepuk mestilah dua belah tangan. Pedulikan kisah cinta dan jiwang yang menyerabutkan. Ini semua memberatkan lagi perjalanan anak muda yang mahu menjadi jutawan.

Akhirnya kita perlu menerima hakikat bahawa PAS akan tewas di Bagan Pinang. Semua orang sibuk merayakan Hari Raya bukan Pilihan Raya. Apa kejadahnya pergi mengundi susuk politik tua tika warga 1dunia sibuk merayakan Hari Raya. Ini betul-betul potong stim. Mengapa tidak mati pada musim buah atau musim bunga supaya warga boleh keluar mengundi dengan selesa. Mengapa tidak warga mengundi sambil makan lemang dan kuih raya. Semua ini dalil-dalil yang memberatkan lagi perjalanan warga menuju 1Malaysia.

Menang atau kalah bukanlah persoalan. Paling penting adalah usaha dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Fokus kita tidak pernah lari walaupun cinta itu tidak akan hadir kembali. Cinta itu menjadi tawar, masam dan payau. Cinta itu menjadi satu topik yang membosankan. Cinta itu adalah palsu, plastik dan supersifial. Bukan anak muda namanya jika tenggelam dengan perasaan. Anak muda sentiasa kuat, tabah dan berfikir maju ke hadapan.

Memilih Yang Terbaik Di Kalangan Kita

Misi pencerahan ini akan terus berjalan. Tidak dapat tidak kita perlukan jalur pemikiran yang berilmu dan berkemahiran. Kita perlu berkorban masa, tenaga dan harta untuk bekerja. Mencari yang terbaik di kalangan kita bukannya mudah. Mencari yang rasuah dan makan suap mungkin mudah kerana ia ada di mana-mana. Pergi tersepak pulang terlanggar. Mencari yang bersih, putih lagi suci bukannya mudah. Ironisnya kita perlu memilih individu yang tergolong dalam individu terbaik.

Akidah apakah yang kita pegang dan amalkan ketika ini. Akidah Islam atau Akidah Melayu. Tiada persoalan pada akidah jika kita memahami hakikat sebenar kehidupan bukan untuk melabon demi kepentingan politik. Pilihanraya kecil tetap akan berlaku dan terus berjalan sehinggalah kita semua wafat meninggalkan dunia ini. Ke sana dan ke mari kita tetap akan berdiri di atas kaki kita sendiri. Setiap apa yang berlaku akan menjadi sejarah. Jawapan yang kita tunggu dari insan yang kita cintai masih tiada ketentuan.

Ketidaktentuan ini perkara biasa. Lupakan mencari isteri solehah di Bagan Pinang. Ada misi yang lebih besar dari itu iaitu misi pencerahan jiwa anak muda segala bangsa. Pendakian ke puncak kejayaan adalah onak duri yang perlu ditempuhi sebelum mengecapi kemenangan. Kalah atau menang itu bukanlah persoalan yang penting. Paling penting adalah perancangan, tindakan dan usaha yang sistematik, tersusun dan sistematik menolak hegemoni daulah yang telah pudar.

Jiwa anak muda adalah jiwa baru, suci, putih dan bersih. Takkan kita mahukan lagi susuk politik tua yang telah jelas terbukti rasuah, melabon tanah rakyat beribu ekar serta mengumpul harta segala umat atas muka bumi untuk jadi kaya seperti Qarun. Warga yang buta sahaja yang tidak nampak perompak dan penyamun sedang merogol segala harta jiwa anak bini di depan mata.

Apakah anak muda lupa bahawa susuk politik tua ini tidak pernah pun memikirkan betapa susahnya kita mencari wang untuk mengisi tong minyak Ex5 kita bagi merempit di Jalan Teluk Kemang. Susuk politik tua ini juga tidak pernah peduli seluar dalam yang kita pakai sejak 6 bulan dulu tidak pernah bertukar. Susuk politik tua ini juga tidak pernah peduli betapa susahnya kita mengisi form borang itu dan borang ini untuk memohon pekerjaaan. Lalu apakah anak muda buta mata dan tuli telinga berbuih mulut mengatakan pemimpin ini berjiwa rakyat.

Mencari Isteri Solehah di Bagan Pinang

Setiap kali berlaku Pilihanraya Kecil maka saya antara orang yang paling gembira sekali. Menjadi anak muda menjangkau usia setengah suku abad, saya dapat melihat perjalanan politik Malaysia secara live dan percuma. Saya mempelajari kemahiran bagaimana melihat susuk-susuk politik dengan gaya kambing dan monyet. Saya mengikuti perkembangan parti politik yang berkuasa dan juga parti politik yang terlalu inginkan kuasa. Semua ini boleh dipelajari dengan mengikuti perkembangan politik semasa bukan dengan asyik membaca novel cinta Ahadiat Akasyah.

Malaysia ini adalah negara kita. Kita tidak akan berpindah dari tanah air ini atau cuba lari pergi ke Australia. Ini tanah tumpah darah segala umat yang lahir dan membesar di sini. Oleh itu tidak wajar untuk kita menafikan hak setiap warga untuk beribadat, bekerja atau berkahwin dengan janda. Peduli apa kita jika mereka gilakan kuasa dan harta. Kita tetap warganegara yang bangun setiap awal pagi mencari rezeki bagi mengisi perut kita. Sekali lagi susuk politik ini sebenarnya tiada niat ikhlas untuk berbakti apatah lagi menjaga kebajikan warga. Susuk -susuk politik ini hanya tahu membina rumah agam sebesar Istana.

Semua kita harus memahami bahawa sebenarnya tiada yang bersih dan suci dalam pilihanraya. Pusing punya pusing kita semua diperbodohkan sesama kita. Demokrasi yang kita jalankan sebenarnya adalah kong kali kong. Tiada yang mencerminkan ketelusan dan kebenaran. Semua yang berlaku di hadapan mata kita ibarat mencurah air ke daun keladi. Percaya kepada sistem demokrasi yang dianjurkan oleh SPR pada hari ini samalah seperti mempercayai bahawa babi itu boleh terbang atau kambing itu wajib bersunat.

Kekecohan yang berlaku di Selangor ini angkara siapa? Mengapa tidak ambil jalan yang baik. Musyawarah dan muzakarah adalah jalan terbaik. Meletakkan emosi dan kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah antara sesama warga. Binalah kuil dan masjid sebanyak manapun, jika pengikut sesuatu agama asyik menonggeng dengan Tiger Beer dan Heineken Valley maka tiada maknanya kuil dan masjid yang gah berkristal besar. Warga ditipu lagi dengan puak kepala lembu yang tidak pernah sekalipun membaca Doa Qunut di Masjid Shah Alam.

Mencari isteri solehah di Bagan Pinang umpama punggok rindukan bulan. Tidak akan kutemui wanita idaman yang sentiasa menjadi igauan tika di tengah malam hari. Tetapi saya pasti yang akan dijumpai adalah gadis-gadis chic lagi trendy memakai baju pink panther bergerak-gerak dari pagar ke pagar. Ketika itu pasti ada sesutau yang bergerak. Berfikir dan bergerak ini adalah norma-norma biasa bagi seorang anak muda yang hidup cintakan kedamaian dan keadilan.

Isteri solehah itu mungkin tidak kutemui. Tapi makcik-makcik yang bermanik-manik itu pasti.

Pilihanraya Lagi, Selamat Datang ke N.31 Bagan Pinang

Seperti yang kita semua berdoa agar dikurniakan pilihanraya kecil lagi, maka Yang Maha Esa telah memakbulkan doa kalian semua. Kali ini berbeza. Bukan di kubu kuat Pakatan Rakyat sebaliknya DUN dalam negeri yang dimenangi oleh Barisan Nasional. Seboleh-bolehnya kita mahu menolak pilihanraya ini kerana kita ingin beribadah dan berhari raya, namun Yang Maha Esa tidak mahu menguji hambaNya. Siapakah yang terus berjuang dan siapakah yang culas, malas lagi lesu.

Pilihanraya DUN Bagan Pinang adalah pintu gerbang bagi Pakatan Rakyat di negeri2 selatan. Bagi Barisan Nasional pula ia adalah medan untuk membuktikan warga Bagan Pinang masih setia dengan mereka. Cuma yang kurang menarik adalah kewujudan 4000 lebih undi POS yang merosakkan sistem demokrasi dan ketelusan dalam pilihanraya. Dari itu kita tidak dapat melihat siapakah calon pilihan rakyat yang sebenar dan apakah mood warga Bagan Pinang ketika ini.

Apapun kita patut bersabar dahulu kerana Solat Sunat Tarawikh baru saja memasuki fasa bacaan Doa Qunut. Kita sama-sama habiskan puasa ini dulu, selepas raya baru kita fikirkan bagaimana merayakan lagi demokrasi dalam negara kita. Ini memang betul-betul raya sebab kita berpilihanraya selepas raya. Sudah pasti DUN Bagan Pinang penuh dengan rumah terbuka dan makan ketupat rendang free. Haha.

Namun bukan soal ketupat atau nasi impit yang patut kita fikirkan. Soalnya adalah idealisme dan impian kita untuk melihat masa depan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik menjadi lebih baik. Anak-anak muda mahukan ruang demokrasi memberi pekerjaan kepada mereka. Anak-anak muda mahukan wakil rakyat boleh memberi peluang kepada mereka untuk makan, minum dan membayar ansuran kereta. Jelas anak-anak muda tidak sama sekali memerlukan kapal selam Scorpene atau Jet Pejuang Sukhoi. Mereka hanya mahukan ruang untuk bergerak bebas ke sana dan ke mari.

Sekali lagi kita diuji untuk merenung, menilai dan berfikir jauh. Lupakan perbezaan ideologi dan pegangan politik kita. Lupakan kes-kes rasuah dan heret kepala lembu. Lupakan segala penyelewangan dan rasuah. Fokus kita kini adalah pada pencerahan masa depan kita bersama. Semangat dengan harapan penuh keyakinan bahawa dunia ini akhirnya akan jatuh ke tangan anak-anak muda.

Catatan awal di Bulan September; Bulan Pencerahan

*Tahniah Alain Robert! Anda berjaya memecahkan tembok mustahil dalam diri anda. Anda tidak takut pada risiko. Anda telah gunakan kuasa minda anda sepenuhnya. Siapa yang berani memanjat dan berdiri di atas puncak Menara Berkembar KLCC itu. Hanya orang gila dan luar biasa sahaja yang boleh buat begitu. Alain Robert sepatutnya diberi anugerah bukan didenda RM2000! Majistret tu grad mana dulu?

Tiada yang dinamakan kejayaan jika tidak susah dan bebal di awalnya. Tiba-tiba terdetik ayat itu dalam diri sewaktu pulang bekerja. Kesibukan dan tiada masa. Sekali lagi kita bertanya. Kita mengejar apa sebenarnya. Keadaan memaksa kita untuk berfikir dan bergerak. Harga minyak yang naik telah memaksa kita bekerja lebih gigih. Terima kasih kerajaan Barisan Nasional kerana prihatin terhadap nasib kami anak-anak muda yang miskin.

Apa RON nama sekalipun hakikatnya harga minyak sudah naik. Ini tidak bermakna semua warga perlu naik minyak. Tidak perlu untuk berdemonstrasi kerana ini bulan puasa. Bulan ini kita perlu banyak bersabar dan muhasabah diri. Kita perlu banyakkan istighfar selalu. Semoga dengan ini melembutkan hati menteri untuk prihatin masalah kebajikan warga daulah.

Tiba-tiba hati tersentak lagi dengan berita di Perak. Tidak habis-habis lagi rupanya drama bersiri ini. Warga sudah muak dengan cerita bersidang atau tidak. Siapa peduli DUN Perak bersidang atau tidak. Warga lebih peduli pada perut yang lapar seharian tidak bersahur. Warga telah lupa niat untuk berpuasa lalu ambil keputusan untuk tidak berpuasa. Lupakan cerita tangkap menangkap di negeri pasir berdengung itu.

Akhirnya kita kembali kepada tugas asas kita iaitu memimpin pencerahan. Kita rupanya tiada banyak pilihan. Kita mesti berusaha untuk mencipta sebuah kehidupan yang ideal dan sejahtera. Tugas ini perlukan fokus dan usaha gigih sepertimana gigihnya generasi terdahulu berjuang untuk kemerdekaan. Siapa kata saya tidak patriotik. Siapa kata saya tidak cintakan seseorang yang bakal menjadi suri dan teman. Seorang lelaki pastinya punya hati dan perasaan.

Cinta itu boleh membawa kita maju atau mundur. Fikirkanlah~