Kita dan Strategi

Hari ini-27 Januari genap dua bulan alam rumahtangga itu dibina. Syukur pada Ilahi kerana semuanya berjalan sungguh lancar dan tenang. Tidak sungguh jika kita menyatakan bahawa segalanya sempurna. Disitulah letaknya hikmah perkahwinan- sentiasa menampung kelemahan dan kekurangan yang ada dengan menampakkan kelebihan. Sentiasa berbaik sangka dan berfikir ke hadapan- kita ada masa depan yang lebih jauh. Kita ada matlamat jangka sederhana dan jangka masa panjang untuk dicapai. Semua itu dengan perancangan. Semua itu adalah strategi. Setiap satu bermulanya dari Tinta, bait-bait tulisan yang ku ukirkan dulu di batu sempadan. Strategi terbaik datangnya dari rahmat dan keberkatan. Jalan di lalui masih jauh.

Masa berlalu begitu pantas. Tidak menunggu walau sesaat. Kita masih disini berfikir apakah strategi terbaik untuk membangun sebuah pencerahan. Apakah kita perlu berkorban dan terkorban. Berkorban kerjaya yang kita inginkan. Korbankan masa yang sudah kita isi untuk mencapai segulung penghargaan. Korbankan segala kasih sayang yang telah diberikan oleh kedua ibu dan bapa kita sejak lahir. Korbankan sebuah cinta dan impian untuk mencapai bulan. Korbankan sebuah idealisme untuk membangun anak-anak muda di sekeliling massa kita. Korbankan semua itu semata-mata untuk nilai material wang, harta dan kekayaan.

Perjuangan. Itulah yang menjadi azam iltizam kita sejak dulu. Tidak pernah selesa. Selalu berfikir bagaimana keluar dari kepompong dogma yang pathetic lagi statik. Tiada movement. Tiada aksi. Tiada lagi semangat untuk kita sama-sama menghayun tangan menuntut kebebasan. Sama-sama membebaskan minda dan jiwa yang dikongkong. Sama-sama berintima' untuk sebuah daulah atau warga yang lebih terpelajar, ceria dan baik. Perubahan total. Merubah warga Felda bukannya semudah yang kita sangka. Kembali ke kampung halaman ibarat kita cuba mencari kehidupan itu semula. Siapakah kita, di manakah kita dan ke mana seterusnya. Apakah 28 tahun itu cukup bererti untuk membangun nusa dan bangsa. Ke manakah kita seterusnya.

Keberanian. Tanpa keberanian mimpi tak bermakna. Tanpa nafsu kita tidak berdaya bangun. Tanpa amal kita lemah gemalai. Tanpa Tuhan kita bukan siapa-siapa. Setiap satu yang kita inginkan kita lalui pahit manisnya. Kita hadapi kegetiran dan jiwa kosong@ jiwa kacau yang saban kali menusuk jiwa dan kalbu kita. Kita tetap hidup. Tanpa mati hadapi ujian hidup. Kita tetap semangat untuk melihat lepas ni apa dan bagaimana. Kita tetap teguh pendirian - yakin DIA yang menentukan. Yakin suatu hari nanti kuasa itu milik kita. Yakin suatu masa keadaan ini akan berubah-kita akan menjadi kaya, berjaya dan bahagia. Sungguh kehidupan itu penuh fana' dan kita mesti menerima hakikat, perubahan hanya boleh dilakukan oleh anak-anak muda. Mereka memiliki idea untuk memiliki dan menawan segala hikmah kebijaksaan yang ada dalam dunia. Akhirnya dunia ini tetap jatuh kepada anak-anak muda - pembela segala bangsa.- AH.

Selamat Datang Kebebasan

Kehidupan ini hanyalah sebentar sahaja. Waktu hidup hendaklah kita gunakan dengan sebaiknya. Dari kecil kita meningkat dewasa. Belajar, bekerja dan berumahtangga. Sewaktu kecil kita dibela oleh kedua ibu-bapa. Ketika dewasa kita pula berbakti kepada kedua mereka. Dunia ini bulat dan berputar. Sepertimana peredaran masa dan waktu. Begitu juga dengan bertambahnya usia dan kematangan kita. Sampai masanya untuk kita menjadi matang dan dewasa. Sampai masanya untuk kita menentukan arah tuju kita. Sampai masanya kita membuat keputusan - kita nak jadi apa sebenarnya.

Melalui saat-saat itu kita melihat apa yang berlaku di sekeliling. Malaysia dalam transisi. Tahun 2012 adalah tahun transformasi. Politik, sosial dan ekonomi. Semuanya harus ada evolusi. Semua harus ada inovasi untuk yang lebih segar dan bersih. Kita perlukan tenaga muda untuk terus memacu negara ke hadapan. Kita perlu memotivasi golongan muda untuk berimpian besar. Kita perlu memberi peluang kepada anak-anak muda untuk memimpin daulah. Kita perlu bersedia untuk pastikan masa depan negara lebih cerah di tangan anak-anak muda dewasa itu..

Malangnya bukan mudah untuk memberi kepercayaan kepada anak-anak muda itu. Bukan mudah untuk mengalihkan kuasa. Bukan mudah untuk kita mendaki ke puncak jaya. Bukan mudah untuk kita mendapat jalan pencerahan. Bukan mudah juga untuk kita lakukan perubahan total. Cabarannya cukup kental dan kuat. Ombaknya bukan sahaja ombak rindu tetapi ombak api yang sentiasa menggugat sesiapa sahaja yang cuba mencabar establishment itu. Sistem yang berkarat selama 50 tahun lebih itu harus diubah - namun ianya hanya bisa diubah oleh tangan anak-anak muda yang mula mendewasa..

Dari kecil kita sering dimomokkan dengan ketakutan. Benar sekali, drama dan cerita hantu di TV dan panggung wayang adalah agenda psiko dan doktrinisasi untuk melemahkan minda. Biarkan anak-anak muda itu takut dan lemah. Biarkan orang Melayu itu berjiwa kecil. Hantu dan toyol adalah yang paling ditakuti. Berniaga dan risiko juga perlu ditakuti. Transisi daulah juga perlu ditakuti kerana ada hantu dibelakang semua itu. Takut sini dan takut situ berlegar di sekeliling kita. Akhirnya kita menjadi senyap dan takut untuk bersuara. Akhirnya kita terus miskin, hina dan papa kedana. Akhirnya kita terus tinggal di dalam hutan dan di dalam ladang sawit. Kaunterpart lain terus kaya raya, maju dan mendominasi kuasa daulah sedunia.

Bilakah kita akan berubah. Siapakah yang akan merubah. Dimanakah kita harus bermula untuk berubah. Semua itu berlegar di sekeliling kita. Kita yang memilih untuk mencorakkan masa depan kita. Jangan salahkan daulah. Jangan salahkan aritokrat dan birokrat. Jangan salahkan Sang Penguasa. Salahkan diri kita kerana tidak belajar dan malas berusaha. Salahkan diri kita kerana berbudaya lesu dan lemau. Kita membudaya sesuatu yang tak mungkin membawa kita maju ke hadapan. Kita selesa hidup dalam lingkungan kita yang stereotaip. Kita suka membawa diri kita belakang dengan mengampu dan menunggu. Kita tidak suka kepada sesuatu yang dinamakan kebebasan. Kita tidak akan berubah, jika kita sendiri tidak berniat melakukan perubahan~