Stereotaip Kepala Babi, Apco Worldwide dan Anti Anak Muda

The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn and relearn.

Melihat kepada apa yang berlaku di sekeliling kini, begitu membosankan. Paparan yang kita baca saban hari dan waktu membawa kita 10 tahun kebelakang. Isu kalimah Allah, Zulkifili Nordin dan insiden membakar gereja cukup untuk menjadikan warga tidak membuang air besar selama beberapa bulan. Warga terkena buasir dek kerana isu susuk remeh yang leceh lagi melecehkan. Sampai satu tahap kita terpaksa untuk tidak membaca akhbar dan blog2 tempatan. Akhirnya anak-anak muda itu juga yang berpeleseran. Akhirnya warga tetap hidup serba serbi kekeringan. Tidak cukup dengan bakar, kini kepala babi menjadi bahan permainan politik murahan.

Orang yang tidak belajar akan sesuatu tidak akan memahami sesuatu. Kita memahami bahawa isu perkauman dan sentimen agama ini taktik lama. Taktik untuk meraih simpati dan menjadi hero kampung dusun. Taktik agar warga kembali mencari payung untuk berlindung. Taktik agar warga berasa takut dan cuak kerana ada bangsa lain yang akan cuba menganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan. Lupakanlah taktik lama ini. Budak 4 tahun yang mempunyai facebook pun boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Apco Worldwide sepatutnya tampil dengan idea dan cara yang lebih terkini, segar, baru dan canggih di mata rakyat.

Budaya patronising yang kita ada pada hari ini nampaknya tidak begitu mesra pada anak-anak muda. Sekali lagi anak muda itu ditahan dan dipersalahkan. Sekali lagi anak muda itu dituduh derhaka kepada Sultan. Tidakkah sebelum ini begitu ramai susuk yang durhaka kepada Sang Raja. Tidakkah selama ini begitu ramai yang mempertikaikan hak keistimewaan Sang Raja. Akal panjang tiang berseri. Anak muda itu lahir kerana manifestasi budaya yang dicipta dan diasoh oleh golongan tua. Mereka derhaka kerana diajar golongan tua. Mereka merempit dan melabon juga kerana dibenarkan dan digalakkan oleh golongan tua. Mereka disaman juga kerana rasa iri hati golongan tua terhadap mereka yang sedang merayakan masa muda mereka.

Arakian demikian lah cerita tentang kita, tinggal di sebuah negara bernama Malaysia. Isu-isu politikas tidak berkesudahan. Tangga gaji dan pendapatan tidak dinaikkan. Harga barang dan perkhidmatan naik macam harga belacan. Kita menunggu bilakah akan berlakunya perubahan. Adakah anak-anak muda itu terlalu lemah dan lesu untuk berani ke hadapan. Apakah anak muda itu takut dengan ancaman water cannon dan gas semburan. Anak-anak muda itu rupanya berani. Ruang untuk membina sejarah ketamadunan adalah dengan segenap tenaga dan idealisme mereka. Anak-anak muda itu tidak pernah putus asa untuk memperbaiki kehidupan. Antagonis terhadap idealisme anak muda bererti kita sedang berpaling semula ke belakang.

Mengapa Anak Muda Itu Membunuh, Terbunuh

Poor people think short term
Wealthy people think long term

Memang benar. Suasana yang ada pada hari ini begitu mengasak kita. Warga tertanya-tanya siapakah dalang di sebalik pengeboman gereja. Dalam sejarah tidak pernah berlaku keadaaan di mana rumah ibadat menjadi medan untuk menunjukkan rasa ketidakpuasan hati. Sedang dalam peperangan sekalipun, tidak boleh sekali mengapa-apakan rumah ibadat walau kepercayaan apa sekalipun. Di manakah anak muda Malaysia belajar semua ini. Siapakah penasihat mereka. Semua ini menjadi titik persoalan yang mungkin boleh dirungkaikan sekiranya warga berfikiran kritis dan kritikal. Apco Worldwide sudah tentu gembira sekiranya warga menjadi matang.

Kesedihan kita melihat warga tua dan anak gadis dibunuh di Kampung Bukit Rokan, Gemencheh baru-baru ini masih belum hilang. Betapa hari ini keadaaan mengasak anak-anak muda untuk berkelakuan binatang. Soalnya mengapakah anak muda berumur 32 tahun itu membunuh. Warga difahamkan anak muda itu tidak bekerja. Apakah hari ini tiada lagi peluang kerja untuk anak-anak muda. Adakah kehidupan hari ini begitu mendesak sehingga jiwa anak-anak muda itu menjadi kacau. Bayangkan ingin membeli sebatang rokok tidak semurah dahulu. Ingin bergerak ke sana ke mari adalah kos. Segala-galanya perlukan fulus. Daripada hidup lebih baik mampus.

Keperitan hidup warga bila harga teh tarik naik 2o sen tidak dapat tertanggung apabila melihat para cukong terus membuat keuntungan. Tidak cukupkah merampas tanah orang Melayu di kampung. Kini towkey2 besar melabon pasir Silika untuk dijual kepada rakan karib Singapura. Tidak cukupkah komisyen menjual enjin jet pesawat sehingga semua hasil mahsul negara ingin dijual. Jual lah kesemuanya kerana warga rela untuk melihat semua itu dijual. Jika masih ada lagi seluar dalam warga yang dibeli di Pasaraya MyDin pun rasanya masih lagi boleh dijual.

Anak-anak muda itu lahir untuk melihat keamanan bukan peperangan. Sekiranya harta dan kekayaan itu masih tidak cukup, jangan perjudikan nasib mereka. Binalah bangunan pencakar langit lebih tinggi dari Burj Khalifah itu, tetapi harus kita pastikan perut setiap warga diisi dengan pendapatan yang bersesuaian. Cukai sana sini begitu memeritkan. Parking kereta pun diswastakan. Peruntukan kesihatan warga dikurangkan. Apa lagi yang tinggal selain anu yang telah disunatkan.

Tahun Baru, Ikan Yu, Ya Allah Ya Tuhanku

We are more than just a piece of organic matter
Your very essence is one of the spiritual
Whatever is going on in your mind
You are attracting it to you ~

Tahun baru. Mujur saya tidak mandi manda di laut Port Dickson yang biru. Jika tidak pasti kaki saya dibaham ikan yu. Ikan yu ini rupanya bukan ikan keli yang kita beli di pasar malam. Ikan yu adalah adik beradik ikan jerung. Ikan jerung ini ikan pemangsa. Sesiapa saja boleh menjadi mangsa. Apa tujuannya ikan yu ini menyerang manusia. Adakah ikan yu juga terkesan dengan gula yang mengalami kenaikan harga. Kasihan haiwan di laut juga berasa begitu terseksa. Apakah haiwan juga terpaksa membayar cukai GST sehingga meluahkan rasa tidak puas hati pada manusia.

Soalnya mengapa nama Yang Maha Esa itu juga menjadi mangsa. Tidak habiskah kita bergaduh sesama manusia. Kita libatkan pula Tuhan Yang Maha Esa. Nama Tuhan kita rebutkan. Pahala ibadat kita tinggalkan. Syariat Islam kita abaikan. Yang patut ditutup kita dedahkan. Yang patut kita sembah kita abaikan. Yang patut kita baca kita sumpah-sumpahkan. Apakah tidak ada permainan lain yang harus kita mainkan. Habis sudah modal politik untuk kita bergasak sakan. Isteri di rumah kita abaikan. Kahwin sampai empat tapi nafkah tidak diberikan. Kera di hutan disusukan. Anak di rumah mati kelaparan. Gadis-gadis simpanan mati kebuluran.

Akhirnya tentera prebet juga yang disalahkan. Sungguh berani si prebet menjual enjin jet berjuta macam jual ikan. Suka hati berniaga di Uganda untuk cari makan. Warga di Malaysia bersusah payah mencari sesuap nasi untuk makan. Anak muda bekerja keras siang malam menambah pendapatan. 10 ribu mana cukup untuk beri wang hantaran. Maklumlah orang sekarang semua mata duitan. Paling kurang dapat menantu hartawan jutawan senangwan. Kerja dengan orang mana boleh cari makan. Selepas anak ini anak muda pakat ramai-ramai mintak kerja Kementerian Pertahanan. Cepat kaya cepat juga jadi jutawan. Jangan risau stok enjin masih banyak dalam stor simpanan. Paling kurang kita boleh supply ke Afghanistan.

Tahun baru disertai dengan azam baru. Semangat membara untuk terus melangkah maju. Dunia ini masih banyak lagi tempat yang ingin dituju. Anak muda mesti punya impian untuk berpendapatan beratus ribu. Mana mungkin anak muda itu mudah berputus asa dan mudah ditipu. Hidup mesti fokus untuk mencari ilmu. Satu cara untuk tambah ilmu adalah dengan membaca buku. Jangan asyik membaca Mangga dan Utusan Melayu. Akhirnya kita semua menjadi layu kerana asyik melayan cerita Melayu jadi hantu. Orang lain sudah membeli kapal layar baru. Kita baru hendak membuka buku baru. Amal yang dikerjakan perlu penambahbaikan dan itu semua perlukan ilmu. Hasrat yang tersirat semakin ku buru.