HARI MALAYSIA, VEVEONAH DAN MUDA

 


Politics is a rich man's game - Muzaffar Tate

Tinggal lebih kurang 10 hari lagi sebelum Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-16 akan berlaku. Tarikh 26 September 2020 adalah tarikh yang akan menentukan kepimpinan baru Negeri Sabah. Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dengan 447 calon telah disahkan bertanding bagi siri ke-16 Pilihanraya Negeri. Ini adalah hasil pembubaran DUN Sabah oleh Mohd Shafie Apdal. 

Pilihanraya Negeri Sabah ini adalah penting bagi menentukan adakah Mohd Shafie Apdal mampu membuktikan sokongan rakyat Sabah kepada Parti Warisan Sabah. Adakah parti Warisan benar-benar akan membela dan mengubah nasib warga negeri Malaysia Timur itu. Adakah parti Warisan mampu membawa Sabah maju dan moden seperti ibukota Kuala Lumpur. Adakah parti Warisan akan menjadi Negeri Bawah Bayu itu bebas daripada rasuah, kleptokrasi dan penyalahgunaan kuasa sepertimana kerajaan 'lama' terdahulu. Semuanya akan ditentukan pada tarikh 26 September 2020 nanti. 

Pilihanraya adalah manifestasi suara rakyat dan perubahan yang diinginkan oleh rakyat. Melalui acara inilah rakyat akan melihat para pemimpin berlabon melalui siri-siri ceramah dan kempen politik. Melalui platform politik ini maka rakyat akan melihat pemimpin politik menjadi 'hamba' kepada rakyat. Rumah-rumah kayu, pangkin kayu dan dapur rakyat akan dihinggapi oleh pemimpin politik yang jarang kita temui sekiranya tiada pilihanraya. Kebiasaannya jika tiada pilihanraya para pemimpin politik ini kita boleh jumpai di lobi hotel The Majestic atau Seri Pacific. Biasanya jika tiada pilihanraya pemimpin-pemimpin politik ini kita jumpai di lobi-lobi Parlimen. Biasanya jika tiada pilihanraya pemimpin politik ini boleh kita jumpai di The Vegas Club, New York Club atau Havana Club. 

Kita sudah dihujung tahun 2020 tetapi kita masih lagi bercerita tentang hak asas keperluan rakyat. Keperluan hidup rakyat yang paling asas iaitu air, api, internet dan jalanraya masih lagi menjadi persoalan yang tiada penghujung. Bukan mudah menjadi pemimpin dan bukan mudah juga menjadi rakyat yang mengundi pemimpin. Pemimpin bukan saja perlu memikir tentang masalah rakyat tapi masa depan survival politik akan datang. Politik berteraskan khidmat tetap menjadi pilihan. Pemimpin kaya yang sombong dan bongkak lagi tidak mesra anak muda harus ditolak jauh-jauh. Pemimpin muka mat rempit, kuat berlebong dan muka hisap gam eloklah diganti dengan calon anak muda yang profesional dan penuh dengan idea perubahan. Sampai bila warga FELDA ingin ditipu dan terus ditipu dengan momokan stereotaip dan birokrasi politik yang menebal. Sampai bila anak-anak warga pedalaman Sabah seperti Veveonah ingin dilihat penting hanya apabila isu akses kepada rangkaian data mobile menjadi viral. Isu-isu asas sebegini perlu diberi prioriti, diutamakan dan didahulukan terlebih dahulu berbanding dengan menara pencakar langit TRX, PNB 118 dan Tower M. 

Menjelang beberapa bulan lagi tahun 2020 bakal berlalu maka sudah tiba masanya anak-anak muda bersedia untuk mengambil alih negara. Kita tidak boleh lagi duduk berdiam diri dan berada di belakang tabir membodek dan memuja pemimpin bahagian. Kita tidak harus menyimpan dan membiarkan idea menjadi idea. Idea mesti bertukar menjadi realiti dan tampak tangible. Idea mesti dilaksanakan dan diimplimentasikan dengan menghasilkan impak yang tinggi. Kita tidak perlu Parti Anak Muda untuk membuat atau melakukan semua ini. Kita akan perlu membuat sesuatu secara sekata, bersama dan terus bekerja. Bekerja dan bekerja sehingga kita melihat perubahan itu berlaku. Zaman untuk kita melihat sahaja pemimpin telah berakhir dan berlalu. Kini zaman Tik Tok, PUBG dan Mobile Legend. Kini zaman perubahan kita buat di Twitter dan Instagram Live. Zaman ini adalah zaman untuk kita melihat perubahan secara total dan serta merta. Maka kita perlu cepat berubah dan berevolusi jangan jadi macam handphone Nokia atau Sony Ericson. Kita mesti bergerak ke hadapan, laju dan pantas. 

Lupakan untuk menjadi kaya. Lupakan untuk membeli kereta Mercedes atau Vellfire. Lupakan untuk kita hidup mewah sehingga jiran kita sebelah hidup dengan makan ikan masin berlauk kicap. Zaman untuk hidup susah telah berlalu kerana zaman ini adalah zaman untuk kita menumpukan kepada perkara asas. Kita cuma perlu hidup untuk makan dan kerja. Kita cuma perlu hidup untuk melihat proses pendewasaan itu berlaku tanpa halangan dan domba politik. Kita cuma perlu akses internet dan handphone Oppo untuk update status IG dan Facebook. Kita cuma perlu balik ke kampung dan melihat wajah ibu dan ayah kita. Perubahan tidak akan berlaku jika kita takut untuk membawa pencerahan. Cara untuk kita menghadapi takut adalah dengan melawan rasa takut. Cara untuk kita berani adalah tidak takutkan mati. Kegagalan adalah asas kepada kejayaan. 

CORONAVIRUS AND WORLD WAR III


Hari ini hari ke-76 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Malaysia dalam transisi norma baru dan fasa pemulihan daripada wabak pandemik yang mengancam seluruh dunia ini. Setakat hari ini 01 Jun 2020 seramai 371,000 warga dunia telah menjadi korban COVID-19. Kes positif pula telah mencapai sebanyak 6.13 juta yang telah dijangkiti. Statistik WHO mengatakan bahawa dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan lebih 100,000 kes positif di seluruh dunia. Ini bermakna virus covid ini masih belum terhapus sepenuhnya. Ia masih merebak dan menjangkiti warga dunia. Mungkin ia mensasarkan lebih separuh warga dunia untuk dijangkiti virus new-corona ini. 

Melihat kepada iklim politik Malaysia kini yang sama panasnya dengan ancaman virus covid. Warga khususnya anak-anak muda terkesan teruk dengan ancaman wabak ini. Statistik menunjukkan kemungkinan 30,000 - 50,000 warga akan kehilangan kerja. Separuh atau lebih daripada jumlah ini mungkin melibatkan anak-anak muda. Masa depan anak-anak muda ini diancam kerana kegawatan ekonomi yang bakal melanda. Industri yang teruk terkesan tentunya industri perkhidmatan dan pembuatan yang banyak mengguna pakai tenaga anak-anak muda. Anak muda tidak dapat lari daripada situasi ini melainkan dengan membuka minda dan menceburi industri kreatif dan digital tanpa perlu bertemu dengan ramai orang. Maka industri yang paling relevan tentulah industri di alam maya atau gig-economy yang duit tetap berjalan tanpa perlu bersusah payah berjumpa dengan orang. 

Perancangan masa depan perlu digerakkan dan sumber ekonomi dan networking perlu terus diperkasakan. Hidup tidak boleh terus bergantung dengan orang lain tetapi untuk maju kita memerlukan dokongan dan bantuan orang. Hidup tanpa motivasi umpama sampan yang tiada pendayung membidik ke laut lepas. Akhirnya anak muda itu akan lemas dan terkapai di tengah lautan ganas. Maka kita mesti berusaha untuk hidup dan terus survive hatta apapun cabaran yang mendatang. Kita tidak boleh terus menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri bertindak mengubahnya. Kemajuan dan kejayaan diri kita tidak ditentukan oleh orang politik atau parti parti politik. Tetapi politik adalah sebahagian daripada kehidupan dan perjalanan hidup kita yang singkat di atas muka bumi dunia ini. 

Siapapun yang jadi Perdana Menteri ke-9 bukanlah urusan hidup kita. Urusan hidup anak muda adalah terus bekerja dan bekerja. Bekerjalah sehingga mati dengan bersungguh-sungguh dan keras. Berfikir dan bergerak adalah asas kejayaan. Kita perlu terus membaca dan menelaah situasi politik dunia. Samaada US dan China berperang di Laut China Selatan bagi mencetuskan Perang Dunia ke-3 juga bukan urusan kita. Kindly focus on things that are necessary when your are obviously unnecessary. Ini cerita dari kamar peguam bukan dari dalam kamar bilik Timbalan Menteri. Khalas. 

COVID-19 PERANG US CHINA MERAH


Hari ini 18/03/2020 bermula sekatan pergerakan selama 14 hari oleh pihak Kerajaan Malaysia. Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 16/03/2020, warga Malaysia dikenakan perintah supaya tinggal di rumah dan mengehadkan pergerakan dan aktiviti sosial di luar rumah. Penularan virus corona (COVID-19) ini nampaknya begitu serius sehingga setakat hari ini 18/03/2020, Malaysia telah mencatat 2 kematian. Novel coronavirus yang awalnya tercetus di Wuhan, Hubei China ini telah mencatat 7988 kematian di seluruh dunia dengan rekod sebanyak 198,543 kes. Selain tanah besar China, negara Itali, Iran, Spain, Germany dan Korea Selatan adalah antara negara yang terjejas dengan teruk. Warga sememangnya hairan apabila berfikir sejak dari tahun 2019 lagi bagaimana virus COVID-19 ini tercetus samaada ia adalah senjata biologi rekaan daulah atau virus pembawaan haiwan. 

Seperti yang kita sedia maklum perang dagang antara US dan China sememangnya tidak dapat disorok mahupun disangkal. Perang dagang (trade-war) ini adalah untuk menunjukkan siapakah yang memegang kuasa ekonomi dunia. Siapa yang lebih berkuasa dari segi kekayaan dan wang. Siapa yang memiliki kekayaan wang dan hasil mahsul negara ini akan dianggap raja dunia atau Tuhan alam bumi dengan boleh membeli dan memiliki apa saja. Kuasa ketenteraan, nuklear, persenjataan bahkan kuasa digital yang berkait dengan ekonomi dunia akan dikuasai. Memiliki senjata dan segala macam kekuatan peperangan ini bermakna kita boleh menakluki dunia. Siapa yang memegang kuasa ini bermakna boleh memeras ugut sesiapa sahaja bahkan boleh menembak pesawat komersial penumpang seperti yang berlaku pada MH370 dan MH17. Dunia membisu dan tidak boleh melawan. 

Hakikatnya apa yang kita takuti telah terjadi bahkan sedang terjadi. Kuasa-kuasa besar dunia ini memiliki segala-galanya. Kita anak-anak muda menanggung 1001 keperitan dan kesusahan. Pergi kerja balik kerja macam nak mati tapi masih tidak mampu menunggang kuda di Bukit Kiara Equastrian. Membayar segala macam bil keliling pinggang ibarat tiada apa lagi yang tinggal cuma seluar dalam dan singlet Pagoda. Bahkan anak-anak muda tidak mampu untuk bermain golf demi untuk menagih sumbangan RM20ribu. Kita masih disini melihat dan menyaksikan para pemuka daulah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. 

Hakikatnya bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Zaman menjadi pemimpin adalah senang duduk di kerusi empuk telah berlalu. Warga netizen telah celik dan matang menilai. Mereka tahu setiap satu apa yang dilakukan oleh Pak Menteri. Hatta Pak Menteri bermain handphone di jamban sekalipun diketahui oleh warga netizen. Benarlah ungkapan satu ketika dahulu netizen hakim negara bukannya rakyat hakim negara. 

Semoga virus COVID-19 ini cepat berlalu pergi. Warga tidak tahan duduk terperap di rumah. Warga juga tidak mahu ahli keluarga berdepan dengan kematian akibat virus COVID-19. Warga mahu virus ini kembali pulang ke tanah besar China atau hapus hilang untuk selama-lamanya. Celakalah sesiapa yang mencipta dan membocorkan senjata biologi gila ini. Nak matipun matilah sorang-sorang jangan menyusahkan orang lain yang tidak ada kena mengena. Nak berkuasa sekalipun ambillah kuasa tapi jangan mendajalkan warga dunia. Hari ini dengan 15 tahun dahulu masih sama. Ingatkan dah tahun 2020 dapatlah tengok kereta terbang tapi cuma virus COVID-19 yang terbang. Wawasan 2020 telah menjadi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Perdana Menteri Malaysia sudah masuk yang ke-8. Kasihan Pak Anwar Ibrahim tidak dapat jadi PM-8. Mungkin selama-lamanya menjadi pembangkang yang kuat. Mungkin kita semua akan mati sebelum sempat melihat Azmin Ali menjadi PM-10. 

Anak Muda Melayu, DAP dan Baju Merah


Bermula dengan BERSIH 4 yang menuntut membersihkan Pilihanraya dan selamatkan Ekonomi Malaysia, kita melihat anak-anak muda kini celik tentang keadaan semasa yang berlaku dalam negara. Malaysia - negara ini milik kita semua. Kita lahir di sini dan mungkin akan mati juga di sini, Jesteru kesedaran dan cakna isu-isu dalam negara amatlah penting apatah lagi ia terkesan kepada kehidupan harian kita dan kerjaya kita. GST, harga rumah yang melambung tinggi dan loan PTPTN adalah antara contoh yang sangat dekat dengan hati anak-anak muda. Anak-anak muda yang baru bekerja amat terkesan dengan situasi ini terutama yang tinggal dan bekerja di kota besi Kuala Lumpur. Di sana dan di sini adalah kos, wang dan caj pembayaran. Kita tinggal di zaman yang segala-galanya adalah duit. Bangun pagi tidur semula semuanya adalah duit. Tanpa duit mungkin kita tidak dikenali sebagai entiti manusia yang tinggal di Kuala Lumpur Ibu Negara Malaysia. 

Lagi lebih kurang 2 bulan lebih kita akan meninggalkan tahun 2015. Masa adalah emas. Masa berlalu begitu pantas sehingga kita tidak sedar kita sudah tua. Dulu kita masih remaja, anak muda yang aktif dan banyak tenaga. Kini kita semakin meningkat dewasa menjadi orang tua. Orang tua yang biasanya akan memandang rendah dan enteng kepada anak muda. Lihat rambut kita dan mula berkurangan dan mula bertukar warna putih, Ia adalah tanda peredaran masa. Ini bermakna kita juga telah dekat dengan Wawasan 2020 idea daripada Tun Mahathir. Apakah kita bakal mencapai apa yang diimpikan Tun M untuk kita menjadi negara maju dan moden. Negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi dan memiliki kereta yang boleh terbang seperti yang kita tonton dalam filem Back To The Future atau Men In Black. Adakah kita kini boleh melihat negara kita menuju ke arah itu. Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Apakah dengan menghina sesama bangsa Malaysia dapat membawa kita maju dan menjadi Negara Kelas Pertama. Allah SWT tidak akan tanya kita Melayu, Cina, India atau Kadazan di Padang Masyhar tetapi penilaian sebenar adalah Taqwa. Taqwa ini bukan nama kedai mamak atau mapley di Bandar Seri Putra tapi ia adalah penilaian sejauhmana kita mengisi kehidupan ini dengan perkara-perkara yang positif dan menuju kebaikan.

Kecemerlangan takkan hadir tanpa pengorbanan. Untuk berjaya kita perlu berkorban. Berkorban segala-galanya harta benda, masa dan wang ringgit. Kita takkan berjaya kalau kita malas dan menipu orang lain. Kita takkan berjaya kalau kita melihat sahaja orang lain kaya raya tanpa tindakan. Kita mesti berubah. Nak berubah mesti datang dalam diri dan ikut orang lain yang berjaya. Tabiat orang berjaya ialah mereka tidak akan menghina dan mengutuk bangsa lain. Memang susah untuk mengubah budaya dengki orang Melayu yang telah berakar sejak sekian lama. Tapi tak kurang bangsa Melayu yang berjaya. Anak-anak muda Melayu Profesional mesti melakukan transisi budaya dan pemikiran ini. Jika kita tidak melihat dalam kacamata yang lebih besar nescaya kita akan ketinggalan, Peluang dan ruang belajar di luar negara sangat luas, Negara-negara maju seperti Jerman, Sweden dan Norway patut kita contohi. Di negara-negara maju belum pasti mereka ada parti DAP atau PAP. Jika di negara-negara maju ada parti PAS dan UMNO kita belum pasti apakah mereka akan mencapai status negara maju. Sebenarnya yang paling penting adalah individu bukannya lagi parti. Jika individu yang memimpin negara itu baik, sudah pasti negara akan baik dan menjadi negara yang kaya, bijak dan dihormati. 

Anak-anak muda Melayu takkan kecewa dan berputus asa. Sungguhpun kita bakal menjadi anak-anak tua Melayu, kita masih ada harapan untuk sama-sama menjaga dan  membangunkan negara ini. Jangan berputus asa dengan kegagalan demi kegagalan. Ingatlah yang gagal itu adalah bukanlah gagal tetapi ia adalah salah satu proses ke arah kejayaan, Jangan takut membuat kesilapan kerana Perdana Menteri kita juga banyak membuat kesilapan. Jangan takut untuk menjadi kaya kerana isteri Perdana Menteri kita juga lagi kaya dari suaminya Perdana Menteri. Jadilah usahawan dan berniagalah wahai anak-anak muda. Kita hidup tidak lama lambat laun kita akan tinggalkan negara ini dan merantau ke pelusuk dunia. DAP atau MCA tidak tentukan masa depan kita. Sebaliknya kitalah yang tentukan masa depan kita sendiri. Kita adalah sebahagian daripada tanah negara ini dan kita patut bersyukur kerana kita masih ada pilihanraya umum ke-14 dan 15 untuk membuat perubahan. Pilihan di tangan kita, Makanlah buah-buahan tempatan dan jangan tinggal sembahyang.