PILIHANRAYA UMUM KE-15 : MEDAN MENGUJI KEKUATAN


 Never let your fear decide your future. The fear of facing your fears is harder than the fear itself. 

Pilihanraya Umum ke-15 kini kembali setelah PM-9 Ismail Sabri Yaakob dengan elegan membubarkan Parlimen pada tarikh 10/10/2022. Pembubaran Parlimen penggal ke-14 menunjukkan bahawa PM-9 menyerahkan semula mandat kepada rakyat warga Malaysia untuk memilih. Penggal ke-14 menyaksikan negara kita bertukar 3 Perdana Menteri iaitu PM-7 Tun Mahathir Mohamad PM-8 Mahiaddin Yassin dan PM-9 Ismail Sabri Yaakob. Tempoh 5 tahun lebih kurang adalah satu tempoh yang sangat getir yang mana kita saksikan sketsa drama politik yang berpanjangan. Kita juga saksikan konflik dunia berlaku satu persatu antaranya pandemik COVID-19 dan Perang Russia - Ukraine. 

PRU-15 adalah medan untuk parti-parti politik BN PH PN dan GTA menguji kekuatan masing-masing. Ini adalah 'lab-test' untuk menguji sejauhmana sokongan rakyat kepada mereka. Adakah anak muda akan mengundi Barisan Nasional setelah Dato' Seri Najib Razak dijatuhi hukuman di Penjara Kajang. Adakah anak muda akan memilih Pakatan Harapan setelah Langkah Sheraton meranapkan Kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir. Apakah anak muda akan mengundi Perikatan Nasional di bawah pimpinan Mahiaddin Yassin. Adakah anak muda akan memangkah Gerakan Tanah Air pimpinan Atok Tun Mahathir. Semuanya terpulang kepada anak-anak muda yang bergaji 2,500 sebulan dan tidak mempunyai harta 19 juta seperti Datuk Seri Rafizi Ramli. Anak muda hanya mampu membeli Y-Suku. 

Maka apakah 'essence' penting dalam PRU15 ini setelah Undi18 dilaksanakan. Adakah anak-anak muda suka dan celik politik. Adakah anak-anak muda di Machang akan mengundi Mat Jargon di Machang. Mahukah mereka mengundi Wan Saiful Wan Jan di Tasek Gelugor. Adalah anak muda mahu mengundi Che Abdullah Sedap di Tumpat. Semua ini terpulanglah kepada anak-anak muda ini dalam menentukan masa depan. Ini adalah masa mereka. Ini adalah perihal untung nasib mereka. Kita yang tua hanya memerhati dan memberi pedoman. Kita hanya mahukan kemajuan dan pembangunan. Kita tidak mahu Ahli Parlimen yang mandom dan ponteng sidang Parlimen. Kita tidak mahukan AP yang tiada langsung idea maju terkehadapan untuk memodenkan lagi negara. Kita tidak mahu AP yang tidur makan gaji buta dan pakai Vellfire Hitam Plat V ke sana ke mari. Kita mahu AP yang hidup dan aktif. 

PRU-15 adalah ibu segala pilihanraya yang bakal menyaksikan nasib negara tanahair kita. Apakah kita mahu wakil pemimpin kita hanya tahu menghadirkan diri dalam acara KBSM - Kenduri Bersalin Sakit Mati sahaja. Apakah demikian itu neraca seorang pemimpin yang dipilih rakyat. Tidak dinafikan ianya rutin biasa seorang YB wakil rakyat akan tetapi sampai bila sebegitu ? Kita mahukan pemimpin masuk kebun ladang sawit getah koko nanas untuk menyelami masalah dan keluh kesah rakyat. Kita mahukan pemimpin yang kaki sama berselut lumpur lintah pacat di bendang. Kita mahukan pemimpin yang fikir apa kemajuan atau 'signature' yang boleh dibangunkan di kawasan Parlimen yang diwakilinya. Malah ada kawasan yang masih lagi menggunakan 3G berbanding 5G. Akses internet adalah penting untuk kemajuan pendidikan dan persekolahan anak-anak remaja di sekolah. Sukan juga penting untuk pastikan belia remaja sentiasa aktif dengan aktiviti berfaedah bukan hisap gam dadah. 

Dengan 60% pengundi adalah di bawah umur 40 tahun maka pemimpin negara haruslah memastikan bahawa kelompok majoriti ini diberikan perhatian sewajarnya. Nak padang futsal, takraw, padang bolasepak semua mesti diberikan tanpa gagal. Kalau miskin tak perlulah jadi Ahli Parlimen. Kalau kaya tapi kedekut pun tak perlulah jadi Ahli Parlimen. Duit tak boleh di bawa mati. Kaya berbilion macam Tun Daim pun tak guna kalau tak berbakti semula pada warga kampung dan FELDA. Wang kekayaan walau sesen akan ditanya di hadapan Allah SWT. Apa gunanya kaya tapi nak mintak bola takraw pun berkira. Harta berbilion tapi nak membangunkan kampung pun kedekut. Tiba masanya anak muda lakukan perubahan. Lihatlah calon yang boleh bekerja bukan hanya tahu bercakap. Lihatlah calon yang walaupun tiada Datuk Datuk Seri atau Tan Sri tapi boleh bekerja dan ada idea untuk membawa kemajuan. Idea penting sebab daripada idealah akan jadinya kenyataan. Dunia ini adalah milik anak-anak muda. Sampai masanya kita mesti serahkan dunia ini untuk mereka pimpin dan gerakkan watan. 

0 comments: