Masanya Telah Tiba- Kisah Perjuangan Anak Bangsa

Kini masanya telah tiba. Kisah perjuangan anak segala bangsa itu menjadi cerita. Kisah sebuah impian. Sebuah harapan. Sebuah kehidupan. Kata orang kaya sesuatu usaha itu memerlukan lebih kurang 3 tahun untuk benar-benar berjaya. Anak muda itu tidak takut kalah, gagal atau miskin. Apatah lagi ditimba musibah dan kepayahan. Hidup orang berjuang memang begitu, tiada rakan dan taulah. Tiada kawan ingin bercerita tentang kepayahan. Tiada manusia sanggup mendengar tentang cerita akhir sebuah impian. Tiada insan yang mahu terus kesepian. Setiap masa dan ketika kita alami perubahan. Benar sekali berkuasa perkataan itu, PERUBAHAN.

Setiap saat, setiap ketika kita sentiasa berfikir dan bergerak. Bagaimana dan kenapa. Persoalan itu berligar dalam jiwa kita. Kenapa kita berjiwa kecil dan duduk menumpang pada orang lain. Mengapa kita terlalu lemah dan longlai dalam merancang kehidupan. Mengapa kita tidak kuatkuasakan tindakan. Kenapa kita takut menghadapi cabaran dan ujian. Kenapa kita bodoh tidak tahu bagaimana ingin mengubah kehidupan. Benar, Tuhan takkan ubah nasib sesuatu kaum sehingga kamu itu sendiri mengubahnya. Suasana politik kita mengajar begitu. A Doctor In The House mengajar begitu - pertahankan prinsip atau apa saja yang kamu mulakan. Jangan berundur dan beralah. Secara literalnya adalah mempertahankan sebuah idealisme.

Ada masanya kita retrokspektif dalam perjalanan kita - menuju destinasi jaya. Mengubah layar dan haluan - mencari pulau impian yang lebih baik dan kekal. Masa itu umur. Masa itu nyawa. Ia takkan menunggu kita. Pedulikan manusia-manusia politik dengan video seks dan sundalnya. Pedulikan manusia yang ingin terus kekal berkuasa. Kita harus terus bekerja. Bekerja demi sebuah penghidupan yang bebas. Bekerja demi sebuah harapan untuk meraih apa yang kita inginkan. Benar kebahagiaan itu terletak pada hati. Kebahagiaan itu juga terletak pada nilai material dan sosio-ekonomi. Maka apakah kita harus dan terus tidur lena lagi.

Sampai masanya-kita berani berubah. Berani merentas pemikiran manusia-manusia biasa yang hidupnya kerja, kahwin dan kerja. Berani merentas sempadan negara bangsa. Berani untuk cuba terus berusaha seupaya mungkin mengubah dan mengolah skrip lama yang lapuk dan lemau. Kita mahukan diri dipimpin ke medan jaya. Kita mahukan diri terus terbina dengan inspirasi kejayaan manusia-manusia luar biasa. Kita mahukan suatu masa kita bersama membina tamadun negara bangsa. Tamadun bukan hanya dengan menonjol buah dada dalam majalah Mangga. Tamadun kita adalah tamadun idea dan pemikiran. Tamadun untuk jadi manusia unggul.

Akhirnya kita sedar dan insaf, kewajipan lebih banyak dari waktu yang kita ada. Akhirnya kita tahu, SPM itu tiada apa-apa. Yang perlu ada adalah semangat perjuangan. Jangan bisa bergaul dengan manusia-manusia kolot dan bodoh. Jangan bisa mengikut manusia yang membawa kamu kebelakang. Jangan bisa mengikut manusia yang hidupnya cuma setompok daki yang digosok tidak pernah hilang. Jangan jadi manusia robot yang hanya tahu kerja kerja dan kerja. Jangan jadi manusia yang tidak pernah ambil pot apa yang berlaku disekelilingnya. Jadilah manusia baru seperti saya.

Jepun-Nasihat Terbaik Untuk Kita

Sesungguhnya, apa yang berlaku di Jepun itu adalah satu nasihat. Nasihat untuk kita agar sentiasa yakin dan percaya, bahawa apa yang kita ada suatu ketika nanti akan musnah jua. Tragedi terburuk sejak 300 tahun bagi sejarah negara matahari terbit itu, membuka mata kita supaya tidak terlalu mengejar dunia. Dunia yang kita cari dan kejar akan musnah sepertimana musnahnya bandar Sendai dan meletupnya loji tenaga nuklear Fukushima-Daiichi. Maka apakah yang lebih naik untuk kita melainkan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku - sebenarnya ia satu peringatan buat kita semua yang beria-ria mahukan pusat tenaga nuklear dibina di Malaysia. Mujur, peringatan telah diberikan kepada warga awal-awal lagi.

Peristiwa demi peristiwa yang kita baca dan lihat di sekeliling kita - seolah-olah di atur dan di susun dengan baik. Skrip dan jalan cerita dunia ini berputar. Dari satu lensa ke lensa yang lain, memperlihatkan kita perubahan demi perubahan. Keadaan manusia dengan teknologi dan kemajuan, pembangunan mapan dan era penjanaan reaktor nuklear - kita semakin matang melihat transformasi dunia kita. Kemajuan yang kita kecapi tidak ada maknanya, sekiranya kita gagal memahami apa itu ekonomi. Ekonomi membawa kita kepada perubahan sosio-budaya. Teknologi membawa kita untuk menjadi lebih moden dan canggih. Akhirnya, kecanggihan dan kemodenan itu bakal memakan diri kita sendiri.

Kesibukan kita seharian bekerja-mengejar dunia, ada masa kita berhenti sebentar untuk merenung..apakah nasib berjuta-juta rakyat Jepun kini yang diancam radiasi. Bukan sahaja warga Jepun, malah warga dunia turut terkesan dengan berita kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi itu. Bahkan kita bakal diancam pelbagai kemungkinan - hujan asid, penyakit dan barah. Malahan nasib pelajar-pelajar Malaysia tidak diketahui di Tokyo - apakah bencana tersebut tidak memungkinkan mereka untuk di bawa pulang. Sebaiknya, para pelajar di Jepun harus terus tinggal untuk sama-sama membaiki dan membantu negara yang ditimpa musibah.

Semoga masa akan kembali kepada sediakala. Dan semoga kita dapat memahami mesej Tuhan pada kita. Semoga kita tidak alpa dan leka dengan kehidupan yang begitu selesa. Semoga kita menyedari bahawa apa yang kita miliki boleh ditarik semula. Mujur warga negara selamat dari zon bencana. Namun ada lagi bencana yang banyak mengorbankan warga kita. Jenayah dan kemalangan jalanraya sama banyaknya dengan mangsa bencana. Maka, wajarkah kita merenung sejenak di mana akhir kehidupan kita. Pada duit yang banyak atau pada kehidupan yang bahagia..