Jepun-Nasihat Terbaik Untuk Kita

Sesungguhnya, apa yang berlaku di Jepun itu adalah satu nasihat. Nasihat untuk kita agar sentiasa yakin dan percaya, bahawa apa yang kita ada suatu ketika nanti akan musnah jua. Tragedi terburuk sejak 300 tahun bagi sejarah negara matahari terbit itu, membuka mata kita supaya tidak terlalu mengejar dunia. Dunia yang kita cari dan kejar akan musnah sepertimana musnahnya bandar Sendai dan meletupnya loji tenaga nuklear Fukushima-Daiichi. Maka apakah yang lebih naik untuk kita melainkan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku - sebenarnya ia satu peringatan buat kita semua yang beria-ria mahukan pusat tenaga nuklear dibina di Malaysia. Mujur, peringatan telah diberikan kepada warga awal-awal lagi.

Peristiwa demi peristiwa yang kita baca dan lihat di sekeliling kita - seolah-olah di atur dan di susun dengan baik. Skrip dan jalan cerita dunia ini berputar. Dari satu lensa ke lensa yang lain, memperlihatkan kita perubahan demi perubahan. Keadaan manusia dengan teknologi dan kemajuan, pembangunan mapan dan era penjanaan reaktor nuklear - kita semakin matang melihat transformasi dunia kita. Kemajuan yang kita kecapi tidak ada maknanya, sekiranya kita gagal memahami apa itu ekonomi. Ekonomi membawa kita kepada perubahan sosio-budaya. Teknologi membawa kita untuk menjadi lebih moden dan canggih. Akhirnya, kecanggihan dan kemodenan itu bakal memakan diri kita sendiri.

Kesibukan kita seharian bekerja-mengejar dunia, ada masa kita berhenti sebentar untuk merenung..apakah nasib berjuta-juta rakyat Jepun kini yang diancam radiasi. Bukan sahaja warga Jepun, malah warga dunia turut terkesan dengan berita kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi itu. Bahkan kita bakal diancam pelbagai kemungkinan - hujan asid, penyakit dan barah. Malahan nasib pelajar-pelajar Malaysia tidak diketahui di Tokyo - apakah bencana tersebut tidak memungkinkan mereka untuk di bawa pulang. Sebaiknya, para pelajar di Jepun harus terus tinggal untuk sama-sama membaiki dan membantu negara yang ditimpa musibah.

Semoga masa akan kembali kepada sediakala. Dan semoga kita dapat memahami mesej Tuhan pada kita. Semoga kita tidak alpa dan leka dengan kehidupan yang begitu selesa. Semoga kita menyedari bahawa apa yang kita miliki boleh ditarik semula. Mujur warga negara selamat dari zon bencana. Namun ada lagi bencana yang banyak mengorbankan warga kita. Jenayah dan kemalangan jalanraya sama banyaknya dengan mangsa bencana. Maka, wajarkah kita merenung sejenak di mana akhir kehidupan kita. Pada duit yang banyak atau pada kehidupan yang bahagia..

0 comments: