Sayonara Tahun 2009,Teguh Mendepani Cabaran

Mastering others is strength,
Mastering yourself is true power ~

Sesekali seronok juga mencabar diri. Mencari kesegaran melihat alam ciptaan Ilahi. Tatkala jiwa menjadi bungkam, mencari arah tuju makna hidup, maka kita keluar dari kegelapan itu. Kita tidak ambil peduli siapa akan bersama kita. Kita tidak ambil pot apa yang sedang berlaku di Kelantan. 1Malaysia itu adalah konvoi ke semua negeri di Malaysia kecuali Kelantan. Pedulikan nepotisme atau kronisme. Itu budaya politik. Jika tidak suka dengan politik boleh pergi bermain polis sentri dengan budak-budak. Ini permainan orang dewasa. Permainan dewasa ini tentunya ganas, brutal dan tidak mengenal siapa. Ini wajah politik kita.

Tahun Masihi 2009 bakal pergi meninggalkan kita. Anak-anak muda hilang teruna. Gadis sunti kehilangan dara. Tiba masanya untuk membina keluarga. Anak muda yang bujang masih cool. Tidak perlu fikirkan hal yang bukan-bukan. Cinta dan perasaan. Ini semua melecehkan. Lebih baik fokus pada masa depan. Fokus membina sistem kepercayaan. Percaya bahawa anak muda bijak, muda dan berfikiran ke hadapan. Percaya anak muda boleh menjadi jutawan. Percaya anak muda tidak bergantung dengan wang ehsan. Habis wang Petronas dibelanjakan. Ini semua gara-gara gila dengan Formula One. Tidak tahu apa yang pasukan Mercedes F1 boleh buat untuk membela nasib golongan bawahan. Tidak cukup dengan engin jet habis semua peralatan tentera jadi pertaruhan. Habis semua warga hidup dalam kesusahan bila GST dilaksanakan.

Masanya telah tiba untuk kita membuat perubahan. Perjalanan seribu batu itu bermula dari langkah kita mula berjalan. Sampai bilakah kita ingin berada dengan penipuan. Tiada satu kejayaan tanpa usaha yang berteruslan. Kita mesti terus berjuang melawan hegemoni daulah yang tidak pernah merasai hidup dalam kesusahan. Usah ditagih komitmen Ahli Parlimen yang tuang dalam persidangan. Nasib baik bajet 2010 berjaya diluluskan. Jika tidak apa kakitangan kerajaan dan warga 1Malaysia hendak makan. Ingin diingatkan seluar dalam itu bukan makanan tempatan.

Akhirnya anak-anak muda itu juga yang terus mencari diri. Anak muda mahu hidup berdikari. Anak muda tidak punya kabel besar dengan kroni. Anak muda hanya hidup kais pagi makan pagi. Anak muda itu tidak layak untuk membeli BMW 5 Serie. Buat apa nak hidup macam orang kaya banyak bini. Lebih cool hidup dengan beli bundle di Pekan PD. Buat apa nak serabut fikir pasal study. Relakslah takda apa yang perlu dikejar. Nak kahwin carilah calon isteri. Kalau nak duit pergi kerja jangan hidup goyang kaki. Dapat berpuluh A sekalipun tapi tak tahu pilih industri lebih baik bunuh diri. Harus diingat dapat kerja sekarang bukan macam dulu lagi. Sebab itu ramai anak muda tak balik pergi kerja luar negeri. Adik-adik belajarlah sungguh-sungguh esok nanti boleh kerja luar negeri. Tapi ingat jangan kerja jual body.

Menempuhi masa-masa sukar itu rupanya sangat bererti. Pengalaman daripada kehidupan. Belajar daripada kegagalan. Masa terus bergerak dan berlalu. Usia semakin tua. Impian dan harapan terus membara. Tidak dapat dipastikan ke mana halatuju kita. Adakah ke syurga atau ke neraka. Yang pasti kita masih dan perlu terus berusaha. Tahun baru atau tahun lama pada saya sama sahaja. Tidak ada bezanya antara Bik Mama dan Isteri Rosmah. Tidak perlu melayan fitnah yang tidak membawa makna pada rakyat jelata. Kita perlu terus berfikir. Kita perlu terus bekerja. Kita perlu terus berusaha. Biarkan e-voting itu terjun dengan labu-labunya.

Tiada apa dan siapa yang boleh menghalang kita untuk berjaya. Rempuh saja dengan berani dan jayanya. Pedulikan kata-kata nista yang ingin melemahkan semangat kita. Pedulikan manusia-manusia bodoh yang cemburukan kejayaan kita. Sudah tiba masanya untuk anak-anak muda bangun bersuara. Bangkit dari tidur bersama isteri baru yang terlalu lena. Perkasakan ilmu dan fikrah. Menyusun langkah dan perancangan setiap hari, masa dan ketika tanpa leih dan jemu. Apa yang kita tidak suka buat, orang lain buat dan berjaya. Kita tidak mampu, sedangkan orang lain meninggalkan kita jauh beribu batu.

Sesungguhnya kita belum lagi menjadi negara maju. Oleh itu kita perlu bekerja lebih kuat. Bukan bekerja merompak wang rakyat. Sebaliknya bekerja dengan kudrat dan iradat. Tiada lagi hijrah kecuali hijrah jihad dan niat. Kita tidak boleh mendapat hasil baru dengan tahap prestasi kerja yang lama. Perubahan itu penting untuk pembangunan. Kesatuan itu penting untuk kelestarian. Pendidikan politik itu penting untuk jangka masa panjang. Tiada manusia yang gagal, yang ada hanyalah mereka yang berputus asa. Tak mungkin mengalir air yang jernih dari telaga yang keruh. Tak mungkin juga mengalir air yang keruh dari telaga yang jernih.

Semoga tahun 2010 ini tidak ada lagi anak-anak muda yang mati di tengah jalan. Memang benar jalan raya di negara kita ini sebenarnya lebih berbahaya dari jalan raya di Baghdad. Segal jenis kenderaan yang melalui lebuhraya itu ibarat kereta keranda yang sedang berlari menuju ke barzakh. Tangisan dan kepiluan melanda warga. Cadangan dan idea pembaharuan dari susuk-susuk daulah tidak lagi berguna. Jalan keluarnya amat mudah. Utamakan kepentingan warga dengan membina rel keretapi laju. Jangan hanya sibuk jual beli enjin jet dan senjata nuklear.

1 comments:

Ummu Abiha said...

salam..artikel yg bgus tapi bce balik cam pantun ar bg juan..huhuh..tapi bgus ar...