Selamat Tahun Baru Hijrah, Enjin Pesawatku Hilang

The people are hungry: It is because those in authority eat up too much in taxes - Lao Tzu

Saban tahun kita menyambut tahun baru hijrah. Tahun baru, kalendar hijrah atau masihi punya signifikan tersendiri. Hijrah dikira dari tahun hijrah Baginda SAW manakala masihi pula dikira dari wafatnya Al-Masih. Sejak dulu saya sering bertanya berapakah usia dunia ini sebenarnya. Apakah benar usianya 1431 tahun. Atau usianya menjangkau dua kosong satu kosong yang ditunggu-tunggu mat jiwang dan minah ranggi untuk meraikannya. Apa yang boleh kita katakan hanya Yang Maha Esa juga yang Maha Mengetahui. Bagi saya masa itu tetap masa. Ia tetap berjalan dan bergerak. Kita semakin hari semakin tua. Masa itu umur.

Setiap kali tibanya tahun baru kita akan ditanya apakah azam tahun baru. Pada tahun ini saya tidak menyatakan azam saya. Ini kerana sejak kecil saya sering keliru antara azam dan azan. Apakah azam ini sejenis biskut yang boleh dimakan. Apakah bezanya antara azam dan cita-cita. Adakah dengan adanya azam ini maka kita akan menjadi bijak dan terpelajar. Apakah dengan azam ini maka kita boleh menghalang enjin pesawat pejuang 50 juta itu daripada dilarikan. Cis tak guna punya agen Amerika. Duit sebanyak itu boleh membiaya 1000 pelajar Bumiputera dari berhutang PTPTN. Duit sebanyak itu juga boleh menyelamatkan warga dari membayar GST.

Masih ada lagi anak muda yang tidak tahu apa itu GST? Saya cadangkan agar kita belajar daripada makcik Felda yang ada facebook. Belajar tinggi melangit tapi tidak tahu siapa Menteri Pertahanan tahun 2007. Sia-sia warga membayar cukai GST tetapi anak-anak muda masih lagi baca Utusan dan Berita Harian. Mengapa tidak membuat pertandingan sosej terpanjang kek terbesar lagi. Mengapa tidak berminat menyertai program BTN sebelum masuk ke universiti. Saya menyokong penuh idea ini kerana ia sudah tentu meningkatkan nilai aqidah dan moral anak-anak muda. Haha.

Akhirnya warga membuka mata selepas membaca Malaysia Maverick. Anak-anak muda tidak lagi hidup serba kegelapan. Idea pencerahan akan terus berjalan. Anak muda yang baru menjadi peguam dilepaskan. Masa terus berjalan. Kini semua sedar mengapa GST dilaksanakan 2011 di tahun pertengahan. Rupa-rupanya sebelum tarikh itu ada sesuatu yang mengujakan. Ini bukan cerita datuk ahli parlimen kawin artis cun sedang bercanda sakan. Bukan juga kisah Ariffahmi yang tidak mahu melepaskan jawatan. Ini cerita kita melihat hegemoni daulah ditunggang terbalikkan. PRU ke-13 lah, bukan susah sangat nak faham kan.

1 comments:

Mufarwa said...

hahhaaahaha...
politik dengan cerita artis dah mcm pelanduk dua serupa..
bila kes cerai,panjang je cerita..
bila kes hilang enjin,cerita lagi panjang..
cerita 'korek,korek,korek,' lama tapi hilang sikit2..
cerita altantuya,habis setahun,orang dah tak peduli,baru tutup..
cerita GST,boom sikit,disuruh diam, kejap lagi senyap balik..
Bagus Malaysia...malaysia kaya dengan cerita hangat...

p/s: saya jangkakan,cerita magic hilang enjin ni akan berpanjangan selama 3 bulan.Bila orang dah lupa, Tokey pun terus senyap.