Dilema Anak Muda Bangsa Malaysia Yang Tiada Akhirnya

Kelmarin tatkala menonton rancangan 999 saya rasa agak terkesima. Ceritanya mudah. Anak-anak muda Melayu gila menghisap gam. Di tengah kesibukan ibukota, Pangsapuri Sri Permaisuri tidak lagi mempamerkan keindahan namanya. Sri Permaisuri sudah hilang dengan jam tangan mahal berjuta dari Gedung Harrods. Yang tinggal anak-anak muda yang mabuk dengan gam yang dibubuh dalam plastik. Lalok sepanjang masa bakal menjadi bangkai tidak bernyawa. Alahai 1Malaysia.

Lupakan apa yang terjadi pada Teoh Beng Hock. Semua kita maklum dia mati kerana homisid. Homisid itu maksudnya dia mati dibunuh. Lupakan skandal rasuah PKFZ. Lupakan cerita jet peribadi Tiong yang digunakan oleh isteri Rosmah. Lupakan kapal selam yang dibeli oleh suami Najib. Semua ini tidak menggugat kestabilan ekonomi dalam daulah. Kita berbicara soal anak muda di sekeliling kita. Anak muda terlibat dengan dadah. Anak muda hisap ganja. Anak muda tonggeng arak. Anak muda gila berjudi. Anak muda membunuh sana-sini.

Rata-rata masalah yang berlaku di sekeliling kita melibatkan anak-anak muda. Di dada-dada akhbar kita membaca bayi dan janin dibuang di tepi longkang. Mustahil ini dilakukan oleh makcik Felda. Sudah tentu kes sebegini juga melibatkan anak gadis kehilangan teruna. Sudah tentu ini tanda pencapaian negara kita yang semakin maju dan unggul di mata dunia. Kenapa tidak warga 1Malaysia berdikir barat naik keretapi dari Singapura ke Tumpat. Kenapa tidak guru dan murid di semua sekolah berkongsi 1Toilet. Berita-berita sebegini menggambarkan taraf pemikiran warga yang semakin bonsai lagi terkebelakang.

Tepuk kepala dan tanyalah akal fikiran kita. Apakah rasionalnya kita sibuk merampas kuasa dan mengumpul kekayaan. Semua warga hidup dalam kegelisahan dan kekacauan. Krisis politik di Perak tidak berkesudahan. Anak muda segala bangsa mahukan perubahan. Mereka mahukan pekerjaan. Mereka mahukan perhatian dan kebebasan untuk merayakan kemudaan. Hari ini atas nama kemajuan kita menyekat dan menyalahkan mereka. Anak-anak muda merempit kerana golongan tua telah menutup segala ruang dan padang untuk ekpresi jiwa muda belia.

Tiada masa lagi untuk menuding jari kepada sesiapa saja. Hakikatnya kita buat apa? Kita sebagai warga seharusnya bertindak dan bergerak membaiki gerak budaya dalam negara. Ya, memang benar anak-anak muda di rancangan2 Felda dan kampung-kampung bermasalah. Memang benar kehidupan di pedalaman tidak semaju dan sehebat tinggal di bandar. Namun bila tiba pilihanraya kecil rumah-rumah yang kokak dan busuk itulah bakal-bakal YB ini masuk meraih undi. Mengapa tidak menziarahi kolek-kolek usang ini ketika bukan musim pilihanraya? Sekali lagi kita faham bahawa semua itu hanya kerja-kerja politik.

Bila sampai masanya perubahan itu perlu, maka berubahlah. Tiada ruginya kita membuat perubahan. Sesiapa pun yang mengambil alih tampuk kepimpinan maka letakkan amanah dan sifat berbakti dengan kejujuran. Ulama', profesional, Abdul Hadi Awang atau Hassan Ali tiada bezanya sekiranya kepimpinan itu tidak mampu memenuhi inspirasi rakyat yang mahukan keadilan, ketelusan dan kesejahteraan. Anak-anak muda 10 tahun akan datang akan lebih rosak sekiranya Beyonce tidak lagi dijemput datang untuk mengadakan konsert di Bukit Jalil ~

0 comments: