Kau Tercipta Bukan Untuk Diri Ku; Memoir Sebuah Harapan

Pagi itu kita bangun dengan penuh kesedihan dan kekecewaan. Keputusan itu meragut semangat kita. Cinta yang kita bina sejak sekian lama akhirnya berkecai di tengah jalan. Harapan dan cita-cita yang pernah kita semai bersama runtuh rantah. Tiada lagi kedengaran desiran kegembiraan. Semua orang kaget dan kecewa kerana cinta kita putus. Semua orang terkesima dan terkejut dengan keputusan itu. Sinar baru untuk warga seluruhnya seolah-olah hilang, kelam dan kusam.

Kegagalan bukanlah titik noktah bagi sebuah perjuangan. Kecundang bukan bermakna kita telah kalah. Gagal sekali bukan bermakna kita gagal selama-lamanya. Kita redha dengan kehendak yang Maha Esa. Itulah keputusannya. Itulah natijahnya. Itulah hakikatnya. Tiada yang boleh melawan kuasaNya seandainya DIA mahu. Kita cuma hamba yang mesti berfikir bahawa di sebalik sesuatu itu ada hikmahnya.

Tidak cukup dengan kesedihan pulangnya seorang yang jauh di mata, di tambah pula dengan berakhirnya sebuah harapan untuk warga. Sekilas itu realiti. Realiti itu kehidupan. Kehidupan ini tiada pandang belakang. Kita perlu terus dan terus berjalan. Ibarat kapal yang telah memulakan pelayaran. Menempuh ombak dan badai mendatang. Mustahil untuk kita berpaling pulang. Berpatah semula lebih besar risikonya berbanding maju ke depan. Paling tidak kita berani menerjah sebuah impian.

Hargailah sebuah kegagalan. Gagal itu jalan baru untuk kita bangun menuju kejayaan. Tuhan masih beri peluang untuk kita baiki kelemahan. Tuhan masih beri kita peluang untuk menambah kekuatan menempuh halangan. Mungkin Tuhan beri kegagalan dahulu sebelum kurniakan kejayaan. Mungkin Tuhan sengaja menemukan kita dengan insan yang salah sebelum kita menemui insan yang betul. Pun begitu kita perlu redha dan berterima kasih pada Tuhan kerana masih hidupkan hati-hati kita.

Andai kau pernah menghirup madu, melihat damai dan merasa senang, ingatlah satu masa nanti semua itu akan sirna juga. Tak guna kita bergaduh sedang orang di atas hidup selesa. Tak guna kita bertengkar kerana kita sama-sama miskin, sama-sama marhaen, sama-sama hina. Diri kita, hanya diri kita jua yang rasa. Mereka di sana tidak rasa seperti mana perasaan kita. Ayah kita bukan bos.

Tiada siapa yang memilih untuk gagal melainkan kita yang gagal memahami bahawa kegagalan yang sebenarnya adalah gagal mencuba. Telah kita cuba sedayanya pertahankan cinta kita, impian kita bersama namun apakan daya Isa Samad itu terlalu kuat untuk dikalahkan. Biarkanlah dia kerana kita punya banyak ruang dan masa lagi untuk menjadi kroni.

Barangsiapa yang asyik memandang ke belakang dan ke hadapan sahaja, maka dia adalah orang yang ketinggalan. Pandanglah saat ini sebagai langkah mula terhadap perubahan~

3 comments:

Anonymous said...

Dear, tau tak perbezaan pemikiran antara lelaki dan perempuan?

Orang perempuan akan kata, kalau ada jodoh, adalah.

Tapi kalau orang laki kata, ada takdir, dia nak tau apa/siapakah yang telah ditakdirkan~

^^

Hazwan Mohd Nor said...

yeke.

camne kita nak tau jodoh kalau kita tak usaha kan dear?

[amiza malik] said...

salam abg hazwan.
we have to lose a few battles before winning the BIG one.
adakah rakyat belum bersedia?