Semua Tentang Kita; Segala Puji Bagi Tuhan Maha Pencipta

Segala puji bagi Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani. Detik demi detik berlalu begitu pantas. Masa berlari laju merampas usia. Hari yang kita lalui penuh suka, duka dan ujian satu persatu. Di situlah kita mengenali diri. Di situlah kita mengenali erti kehidupan. Di situlah kita mengerti erti persaudaraan, ukhuwah dan kasih sayang. Adakalanya kita perlu bermuhasabah kembali kepada tujuan asal kehidupan. Tidak semua perihal hanya berkisar tentang kesenangan.

Ketika menjalani kehidupan kita perlu melihat kebelakang. Apakah yang telah kita lakukan. Apakah yang telah kita usahakan. Peristiwa yang berlaku di sekeliling kita satu peringatan. Tuhan menguji kita samaada kita masih dalam ketaatan. Gempa bumi, taufan banjir dan segala macam bencana itu punya tanda dan makna. Ya, tanda dan makna pada sesuatu. Dunia ini semakin tua dan tidak lagi mampu menanggung segala dosa noda yang dilakukan umat manusia.

Apakah masih ada masa untuk kita bertaubat dan menyesali segala perlakuan dosa noda kita pada dunia. Berapa banyak manusia yang telah kita tipu. Berapa banyak rasuah yang kita lakukan untuk mendaki ke puncak kuasa. Berapa banyak hutan dan bukit telah kita gondolkan semata-mata ingin mencari pendapatan mengatasi harta si Qarun. Berapa banyak penyelewangan yang kita lakukan untuk membina rumah lebih besar dari istana Balqis.

Akhirnya kita akan kembali menyesal atas apa yang kita lakukan. Akhirnya kita akan kembali mengerti bahawa kehidupan ini tak perlukan semua yang di luar tubuh badan kita. Semua kekayaan, harta benda, wang ringgit itu benda yang letaknya di luar. Yang lebih penting untuk dijaga ialah yang ada di dalam diri kita iaitu hati. Bila hati bersih maka kita akan mengerti betapa berharganya tali persaudaraan dan persahabatan yang telah kita bina sejak sekian lama.

Samaada Isa Samad atau Zulkefly Mohamed Omar yang menang di N.31 Bagan Pinang nanti, ia masih tidak akan mengubah apa-apa. Ia tidak akan menyelesaikan masalah anak-anak muda yang hanyut saban hari dengan dadah, lumba motor dan seks bebas. Ia tidak akan memberi apa-apa kesan pada mamat gian atau minah ranggi yang mabuk sepanjang malam bertogel dengan botol arak. Bahkan ia tidak akan menyelesaikan masalah anak-anak muda yang tiada pekerjaan dan hanya berpeleseran mundar mandir di Dataran Teluk Kemang.

0 comments: