Sekali imbas kelihatan soalan ini cukup lekeh. Mungkin ada yang akan ketawa kerana merasakan bahawa soalan ini tidak perlu dijawab kerana jawapan telah di ketahui umum. Saya hanya meminta renungkan dan ulangi soalan ini – dari mana datangnya ilmu pengetahuan?
Sesiapa yang menjangka jawapannya telah di ketahui umum lalu tidak mahu berfikir tentang punca ilmu pengetahuan, saya cadangkan mereka menggantung diri sebentar. Jika ada politikus dan aktivis politik menganggap soalan ini enteng dan jawapannya gampang maka saya cadangkan juga mereka menggantung diri dengan lebih lama. Pada anggapan saya wujudiah susuk-susuk ini hanya menghabiskan oksigen bersih yang semakin berkurangan dalam negara ini.
Saya menganggap dari mana punca ilmu pengetahuan ini adalah persoalan induk yang akan membantu para politikus dan juga para aktivis politik dalam usaha untuk melahirkan sebuah negara bangsa yang bertamadun lagi madani. Tanpa mengetahui jawapan ke atas persoalan ini semua kerja politik hanyalah membuang masa, tenaga dan wang ringgit. Malah tenaga ‘terbuang’ ini lebih baik digunakan untuk mengetam padi di Kedah, ianya lebih berbaloi.
Saya berkata demikian kerana saya menjangka pilihan raya umum akan sampai tidak lama lagi. Ini adalah pilihan raya umum yang ke 12. Ertinya rakyat di negara kita telah 12 kali mengundi. Ini tidak termasuk pilihan raya kecil di sana sini. Ertinya politikus dan aktivis politik telah mengalami proses membuat kerja politik. Hakikatnya umum telah berpengalaman dan mengetahui satu jalur lunas demokrasi berparlimen. Syukur alhamdulillah.
Apa sangkutannya dengan soalan di atas?
Soalan di atas saya timbulkan kerana dari pengamatan saya para politikus yang bertekad untuk mengambil alih kerajaan telah gagal memainkan peranan mereka. Kegagalan ini pada anggapan saya berpunca dari kegagalan untuk memahami jawapan dari mana datangnya ilmu pengetahuan.
Semua ilmu pengetahuan dalam dunia ini berpunca dari pembuatan. Membuat adalah asas ilmu pengetahuan. Pembuatan adalah induk kepada semua ilmu pengetahuan. Membuat erti menggunakan akal yang memaksa kita menggunakan kaki tangan dan tubuh badan. Kita membuat sesuatu dahulu, dari proses membuat ini kita berfikir. Akal dan fikiran kita juga berkembang hasil dari badan kita yang bergerak membuat.
Pembuatan ini merangkumi ilmu pengetahuan yang dilahirkan dari bilik dan gedung makmal. Eksperimen dan percubaan dalam gedung makmal yang melahirkan ilmu-ilmu baru juga adalah hasil dari proses percubaan membuat. Bilik makmal dan bilik kajian adalah bilik cuba membuat.
Hasil dari pembuatan ini kita mengumpulkan pengalaman. Mengumpul pengalaman ini adalah satu konsep. Kalau di zaman datuk nenek moyang kita, mereka mengumpulkan pengalaman ini secara oral. Jatuh dari mulut ke mulut. Dari satu generasi ke satu generasi. Cara dan teknik menanam padi di ketahui kerana datuk nenek moyang kita membuat tanaman padi. Mereka mengumpul pengalaman yang menjadi ilmu untuk ditinggalkan kepada anak cucu.
Datuk nenek moyang kita tahu bila tengkujuh datang kerana mereka melihat dan merasa tengkujuh itu. Ini pengalaman. Nelayan di laut tahu di mana sarang ikan kembung kerana mereka ke laut dan mencari ikan. Ke laut mencari ikan ialah pembuatan. Pembuatan di laut menjadi pengalaman yang menjadi ilmu pengetahuan untuk para nelayan. Ianya terkumpul dan bertokok tambah.
Ilmu bertokok tambah kerana pembuatan dan pengalaman membuat. Ilmu baru pasti akan muncul hasil dari pembuatan. Apabila bulan terang kerang dan ketam amat kurang. Bulan gelap ialah masa untuk mencandat sotong. Bila ada jamung sotong akan berkumpul. Apabila diganti dengan lampu karbaid sotong masih juga berkumpul. Lambu karbaid diganti pula dengan lampu bateri. Sotong masih juga berkumpul. Maka dijadikan ilmu pengetahuan bahawa sotong tertarik dengan cahaya. Pengalaman terkumpul ini dijadikan asas ilmu pengetahuan oleh datuk nenek moyang kita.
Apabila tulisan dan abjad muncul semua pengalaman-pengalaman ini mula dikumpulkan ke dalam buku. Buku ialah ilmu pengetahuan dari pembuatan dari pengalaman yang terkumpul. Melalui tulisan semua pengalaman yang terkumpul boleh dijadikan rujukan. Ertinya buku-buku ilmu pengetahuan adalah hasil pembuatan.
Ilmu bukan datang dari awang-awang. Ilmu berpolitik juga muncul dari membuat kerja politik. Di para ini, jika punca ilmu pengetahuan telah difahami maka mari kita lihat kerja politik para politikus dan aktivis politik yang bercita-cita untuk membawa perubahan.
Pada pandangan saya, kegagalan utama mereka ialah mereka tidak PERNAH mengumpul pengalaman. Mereka gagal untuk menilai kembali apa yang telah mereka lakukan. Hasilnya mereka membadak ke hulu ke hilir tanpa tujuan sambil memiliki niat suci lagi besar untuk menjadi YB dan mendirikan kerajaan yang baru. Niat suci betapa pun sucinya tanpa ilmu tidak akan bermakna.
Jika tidak percaya apa yang saya katakan ini lihatlah contoh-contoh ini :
1- Bila sahaja parlimen di bubar maka dengan serta-merta akan banyak bahan-bahan slebaran dan risalah dicetak. Bertimbun-timbun risalah tentang isu ini dan itu. Lalu ditaburkan tanpa penelitian yang rapi. Ini pengalaman saya memerhatikan kerja politik dalam pilihan raya tahun 1999 dan 2004.
Para politikus TIDAK menyedari bahawa orang ramai TIDAK memiliki masa untuk membaca semua itu. Terlalu banyak bahan untuk otak menggarap pada ketika itu. Selebaran seperti ini TIDAK membawa apa-apa hasil. Tidak berbaloi dengan tenaga dan wang ringgit yang di curah.
Kenapa politikus dan aktivis politik tidak mengumpul pengalaman? Mengeluarkan slebaran dua minggu sekali sepanjang tahun? Kenapa bila nak mengundi baru ada slebaran? Ini soalan cepu emas.
2-Ceramah - satu-satunya kerja politik yang penting. Tetapi selama ini ceramah hanya satu hala. Orang ramai hanya mendengar. Ia menjadi monolog. Tidakkah para politikus ingin mengetahui apa pula pandangan si pendengar? Kenapa aktivis politik tidak membuat bancian. Menyebar borang dan minta diisi pendengar secara rambang. Satu lagi soalan cepu emas.
3- Saya perhatian ada satu kegilaan ketua-ketua dan aktivis politik bahagian untuk membuat ‘kenduri’ Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru China dll. Semua bahagian ini cuba menonjol diri seolah-olah ini kerja politik yang maha agung untuk bahagian mereka.
Hasilnya dalam masa satu bulan, kalau di akhir Ramadan misalnya , akan berasak-asak setiap bahagian ingin membuat ‘kenduri’. Maka akan ke hulu ke hilir para pemimpin parti sampai tidak bernafas. Kadangkala dalam satu petang ada dua tiga ‘kenduri’.
Ini membazir. Jangan cuba memberi ‘helah’ mengatakan bahawa ‘kenduri’ bukan politik. Semuanya politik. Kenduri pun adalah kerja politik apakan lagi yang menyusun ialah bahagian atau cawangan parti. Yang di jemput datang pula ialah aktivis politik, pucuk pimpinan politik dan orang ramai yang diharapkan akan menyokong dan mengundi parti.
Dalam kenduri semua ingin berkenal mesra dan beramah tamah antara satu dengan lain. Ini juga kerja politik. Ada pula yang ingin menjual diri. Ada yang ingin di lihat wujud di hadapan pemimpin. Ini juga kerja politik. Kenduri yang bukan politik hanyalah apabila kita pergi ke Zouk untuk ‘kenduri’.
Kenapa tidak dilakukan ‘kenduri politik’ ini secara tersusun, TIDAK berasak-asak dalam dua minggu sesudah Ramadan misalnya. Saya yakin tidak wujud satu akta di bawah kanun negara yang melarang kita mengadakan ‘kenduri raya ’ lima bulan sesudah akhir Ramadan. Atau kenduri Tahun Baru Cina di sambut dalam bulan Julai atau sambutan X-mas pada bulan September?
Ini cadangan gila? Pandangan yang tidak masuk akal?
Cadangan dan pandangan ini timbul hasil dari mengumpulkan pengalaman. Contoh yang saya tuliskan di atas hanyalah sebahagian dari ribuan contoh-contoh kerja-kerja politik yang telah dibuat tetapi tidak dikumpulkan sebagai ilmu. Parti politik yang ingin membawa perubahan mesti berani membuat perubahan BUKAN bercakap tentang perubahan. Bercakap bukan ilmu. Membuat dan mengumpul pengalaman adalah punca ilmu pengetahuan. (TT)
0 comments:
Post a Comment