Perubahan Titik Tolak Kepada Kemenangan; Idea Pencerahan

Hari ini kita melihat perubahan kepada rakyat Malaysia. Hari ini tiada lagi isu perkauman seperti yang melanda negara pada 13 Mei 1969. Hari ini adalah hari bersejarah dan harapan baru untuk rakyat 1Malaysia. Warga bersatu untuk menolak bingkai lama yang tidak lagi menarik. Anak-anak muda tidak segan silu untuk cenderung ke arah perubahan tanpa dirantai tembok perkauman. Pada hari ini kita lihat semuanya bersatu menentang rasuah, jenayah dan penyelewengan.

Setelah 52 tahun merdeka warga menjadi semakin matang dan berani. Ini mungkin terkesan dari semangat warga Jepun menumbangkan LDP. Kita melihat hari ini warga bersatu atas gagasan yang disepakati. Berpakat untuk melakukan perubahan untuk bumi pertiwi. Bertekad untuk membawa momentum pencerahan seluruh warga segala bangsa.

Sekiranya kita berfikir bahawa kita sama-sama hidup di atas muka bumi ini tanpa prejudis, tanpa sangsi sesama kaum dan berbaik sangka, sudah tentu kita akan lebih maju dari Singapura. Sudah tentu kita dapat menghapuskan cukai tol yang membebankan semua warga. Sudah pasti kita tidak perlukan kapal selam dan jet pejuang kerana perut kita semua telah terisi. Namun apakan daya perkauman masih lagi melekat tebal dalam sosio-budaya kita.

Masa depan adalah milik kita semua. Bukan Isa Samad yang tentukan samaada kita berjaya atau tidak. Bahkan towkey Gan tidak ada kena mengena langsung dengan idea pencerahan yang kita ingin bawa kepada warga Kota Samarahan. Kita harus berusaha tanpa undur ke belakang melihat kelemahan dan kegagalan yang lalu. Yang sudah berlalu biarkan ia berlalu. Yang paling penting adalah masa depan rakyat yang terjamin keperluan asas kehidupan. Air, api, udara dan hubungan komunikasi adalah keperluan asasi semua warga.

Asas-asas yang kita bina bukan untuk manfaat hari ini tapi akan datang. Persahabatan dan persaudaraan yang kita meterai ini tidak mungkin dapat dileraikan andainya pakatan idea dan gagasan masa depan ini jelas. Jelas di sini maksudnya adalah kita percaya bahawa kehidupan ini adalah lebih daripada makan, minum, bekerja, berkahwin dan membesarkan anak. Akhirnya kita semua percaya bahawa untuk maslahat masa depan, kita perlu berubah.

0 comments: