Fanatik saya terhadap calon pilihan Tan Sri Isa Samad terburai seketika tatkala melihat gambar-gambar di sini. Beratus-ratus nyawa terkubur hilang ditelan bumi dalam kemeriahan meraikan kenduri. Bumi Padang Pariman yang indah dengan kehijauan bendang dan bukit bukau menjadi padang jarak padang terkukur. Selain kita mengakui bahawa ini ujian Yang Maha Esa kepada hambaNya yang hidup di akhir zaman, kita tidak menolak bahawa kejadian bencana alam ini juga berpunca daripada kezaliman dan kerakusan nafsu manusia.
Saya berani berkata begini bukan kerana saya menyertai pertubuhan GreenPeace atau Sahabat Pencinta Alam. Bukan juga kerana saya bercita-cita menjadi pejuang rakyat untuk bertanding di pilihanraya di Johol. Saya berkata begini kerana melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana bukit di Bahau dan hutan simpan di Jelebu digondolkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan. Kesan daripada itu maka eko-sistem alam terganggu, alam mengamuk lalu terjadilah banjir kilat dan ribut taufan menghanyutkan umat manusia.
Tidak usah menuding jari kepada sesiapa tatkala berlaku musibah. Sewajarnya kita berfikir berapa banyak asap beracun yang telah kita lepaskan dari corong kilang dan ekzos kereta masing-masing ke udara. Kegilaan kita umatmanusia untuk berkereta ke sana ke mari bukan saja membunuh diri kita di jalanraya bahkan menyumbang kepada bencana agung yang memusnahkan kehidupan umat sejagat.
Lihatlah apa yang kita lakukan pada alam apabila lautan di tambak untuk mendirikan hotel dan resort bertaraf bintang-bintang, hutan gunung ganang kita rogol sepuas-puasnya sehingga hilang dara dan janda mereka, projek-projek mega kita agung-agungkan dengan memusnahkan segala khazanah alam yang telah sedia sempurna. Ketamakan kita pada harta benda dunia sebenarnya menghulur leher kita sendiri untuk di sembelih oleh amukan alam yang tidak lagi dapat menahan beratnya dosa rakus susuk yang bernama manusia.
Lupakan suku sakat Isa Samad yang berkeliaran di Bagan Pinang. Lupakan juga Zulkefly Omar yang begitu bersemangat untuk menjadi wakil rakyat. Seharusnya kita tidak perlu lagi menyiapkan kain kafan atau minyak mawar untuk menghiasi pusara kita kerana kita akan mati secara beramai-ramai dengan tukang gali kubur yang bernama ALAM YANG SEDANG MENGAMUK. Khalas.
0 comments:
Post a Comment