Dalam ucaptama saya di persidangan kita pada tahun lepas, ekoran dari suara rintihan ramai anggota masyarakat dan parti, saya telah menggesa supaya lebih banyak pembaharuan diperkenal dan dilaksanakan, selain apa yang telah dimulakan pada masa itu. Pembaharuan-pembaharuan yang disebut termasuklah pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan kesaksamaan pendapatan yang lebih baik; integriti yang lebih kukuh, keberkesanan dan ketelusan dalam Kerajaan; keamanan dan keselamatan untuk semua; keharmonian antara agama dan perpaduan antara etnik yang lebih kukuh; serta ruang demokratik yang lebih besar. Kami amat bergembira dan bersyukur kerana banyak permintaan yang disebutkan tadi sedang ditangani melalui beberapa pengumuman yang dibuat dan tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri yang baru dalam tempoh tujuh bulan yang lalu. Perubahan ini telah dilahir dan berpandukan kepada semangat dan komitmen "1Malaysia, Rakyat DiDahulukan, Pencapaian DiUtamakan." Sudah sampai masanya untuk tindakan dan penyampaian hasil-hasil yang nyata dan benar.
Pertumbuhan ekonomi, pendidikan, ekuiti dan alam sekitar
Mengenai ekonomi, kami mengalu-alukan berbagai langkah konkrit yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri dalam tujuh (7) bulan yang lalu untuk meliberalisasi ekonomi dan melaksanakan pakej-pakej rangsangan ekonomi. Kami juga menaruh harapan tinggi di atas pelancaran Model Ekonomi Baru (NEM) dan Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) pada tahun hadapan. Kami bersetuju dengan sasaran asas untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi melalui strategi menerokai dan membolehkan punca-punca pertumbuhan yang baru dan membina ekonomi berdaya saing yang berasaskan ilmu dan didorong oleh inovasi. Bagaimanapun, kami di Gerakan berpendapat bahawa terdapat tiga bidang utama yang harus diberikan tumpuan dalam Model Ekonomi Baru, iaitu pendidikan, ekuiti dan alam sekitar. Berganding dengan usaha menjanakan ekonomi negara, ianya merupakan empat (4) tiang utama bagi memastikan kejayaan ekonomi Malaysia secara lestari.
Pertama, untuk mencapai ekonomi dan masyarakat yang berasaskan ilmu, adalah penting bagi Kerajaan untuk melatih, menarik dan mengekalkan tenaga kerja yang berbakat tinggi dari dalam Malaysia malah dari luar Malaysia. Kita harus mempunyai hati terbuka dan mengamalkan pintu terbuka. Dengan menempatkan pendidikan sebagai priority dan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (N-KRA), kita perlu mensasarkan untuk membangunkan tenaga kerja yang berbakat tinggi di kalangan anak-anak Malaysia sendiri. Daripada membelanjakan sejumlah wang besar dalam membina kampus-kampus luas dengan bangunan yang gah, kita sepatutnya menyalur-alihkan lebih banyak dana ke arah pembangunan sumber manusia yang bertaraf tinggi secara efektif, melalui pengajaran yang lebih berkesan serta penyelidikan dan inovasi yang lebih berhasil. Dalam perkataan lain, kita memerlukan lebih banyak otak dan bukannya lebih banyak batu-bata. Pemacuan ini adalah sejajar dengan usaha untuk mencapai kecemerlangan yang nyata dan ketara, disempurnakan dengan kekayaaan dan kepelbagaian warisan budaya dan afiliasi agama, yang merupakan faedah daya-saing yang begitu berharga. Dengan keadaan ini, kita dapat berhubung dengan negara-negara Islam, China, India dan Barat dengan berkesan.
Kedua, dalam usaha kita memacu ke arah pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan lestari dan pendapatan tinggi yang nyata, kita harus beringat untuk memastikan pembahagian kekayaan yang lebih sama rata. Kita harus sentiasa menangani masalah jurang perbezaan di antara yang kaya dengan yang miskin, yang mengakibatkan perasaan terpinggir di kumpulan masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana. Sehubungan dengan itu, kami mengalu-alukan dan menyokong penekanan Kerajaan terhadap dua N-KRA. Yang pertama, menyediakan infrastruktur asas luar bandar seperti jalan, tenaga elektrik, bekalan air, sekolah dan hospital, terutama sekali untuk Sabah dan Sarawak. Yang kedua, meningkatkan tahap kehidupan keluarga yang berpendapatan rendah di kawasan bandar dan luar bandar, tanpa mengira kaum. Bagaimanapun, cabaran sebenar adalah bagaimana inisiatif-inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan cara yang lebih "cost effective" yang sekali gus dapat memanfaatkan orang ramai.
Ketiga, harus dipupuk satu imbangan sihat di antara pengejaran pembangunan dengan pemeliharaan alam sekitar. Kami mengalu-alukan penubuhan Bahagian Teknologi Hijau dalam Kementerian Tenaga dan Air, namun kami merasakan masih banyak lagi usaha mantap yang perlu diterokai dan dijalankan. Dalam pada itu, Malaysia harus menunjukkan komitmen yang lebih tinggi dan mengambil bahagian yang lebih aktif dalam bersama-sama menangani isu pemanasan global, perubahan iklim dan pencemaran hakisan dan degradasi alam sekitar, melalui pelaksanaan strategi bersepadu pemuliharaan alam sekitar yang lebih efektif. Gerakan ingin menggesa Kerajaan agar menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai satu bidang keutamaan nasional atau N-KRA.
Sesungguhnya, Gerakan memang komited and berhasrat untuk menjadi sebuah 'parti hijau." Dengan berbuat demikian, kita akan kembali kepada asas, selaras dengan emblem parti yang bersegitiga hijau dengan lima (5) tangkai padi. Menghijaukan diri bukan secara permukaan sahaja, tetapi dengan tindakan yang berkesan demi kepentingan masyarakat. Alam sekitar adalah suatu isu yang memberi impak kepada setiap anggota masyarakat dan ia merentasi batasan kaum dan agama. Ia sesungguhnya adalah satu usaha murni bagi amalan demokrasi peneyrtaan yang cukup bermakna dan berhasil di peringkat nasional dan akar-umbi. Kita sebolehnya dan seharusnya memperhubungkan dengan NGO-NGO, universiti-universiti dan masyarakat dalam kawasan kita, terutama sekali generasi muda. Satu permulaan yang baik telah diambil oleh pemimpin-pemimpin Gerakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah, dengan sambutan yang memberangsangkan. Negeri-negeri dan bahagian-bahagian lain harus mencontohi langkah murni ini.
Tranformasi kerajaan dan perkhidmatan awam
Salah satu daripada mercu tanda di bawah pentadbiran Perdana Menteri ialah komitmen terhadap Program Transformasi Kerajaan atau Government Transformation Programme (GTP) yang dijangka akan membawa perubahan dari segi integriti, ketelusan dan kecekapan dalam pentadbiran kerajaan. Kalau diimbas, GTP bukanlah sesuatu yang baru. Sudah banyak pemasyhuran telah dibuat dan dilancarkan sebelum ini. Tetapi, pada kali ini, kita melihat komitmen yang jauh lebih kuat untuk menghasilkan perubahan yang nyata dan pelaksanaan yang lebih efektif, dengan Perdana Menteri sendiri memimpin dan memacu inisiatif GTP ini. Inisiatif GTP dilaksanakan melalui aplikasi tubi ke atas metodologi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pendekatan "makmal" (lab) yang terbukti berjaya di sektor korporat dan kerajaan di beberapa negara. Gerakan mengakujanji menyokong penuh inisiatif utama ini.
Walau bagaimanapun, selain memperbaiki sistem penyampaian sektor awam, Gerakan berpendapat bahawa adalah amat perlu untuk memulihkan secepat mungkin keyakinan rakyat terhadap tiga (3) institusi utama dalam Kerajaan, iaitu, Sistem Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Polis. Penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada bulan Disember lalu adalah satu permulaan yang baik. Kami juga mengalu-alukan tindakan Ketua Hakim Negara baru-baru ini dalam menambahbaikkan prosedur mahkamah dan bercadang menyingkir hakim-hakim yang berprestasi rendah. Walau apapun, banyak lagi harus dilakukan. Dengan GTP memberi fokus kepada pencegahan gejala rasuah dan jenayah sebagai dua (2) N-KRA penting, institusi seperti SPRM dan Polis harus belajar dari insiden-insiden dan persepsi negatif terhadap pendakwaan yang tidak berkesan atau memilih bulu, secara cepat dan berkesan dan memulihkan kredibiliti dan kecekapan institusi di mata rakyat. Bagaimanapun, untuk memerangi rasuah dan jenayah memerlukan kesanggupan politik (political will). Gerakan mengaku janji akan terus memberi sokongan kepada kerajaan dan pucuk kepimpinan Barisan Nasional dalam usaha untuk memerangi rasuah dan jenayah.
Apa yang berkaitan rapat dengan isu rasuah ialah keberkesanan tanggungjawab dan ketelusan Kerajaan secara umum. Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang mendedahkan pembaziran dan ketirisan yang begitu ketara, serta kos yang melebihi had, kecacatan dalam infrastruktur dan bangunan Kerajaan dan lain-lain, Gerakan menggesa supaya siasatan yang menyeluruh dan tindakan keras perlu diambil. Di sebaliknya, terdapat pula beberapa contoh kecemerlangan, misalnya, Jabatan Imigresen sanggup mengeluarkan paspot dalam tempoh masa tiga (3) jam yang kini merupakan satu rekod dunia. Sekiranya Jabatan Imigresen dapat meraih pencapaian ini, tidak ada sebab mengapa jabatan-jabatan lain tidak dapat meraih kejayaan serupa.
Selain penyampaian dan perkhidmatan yang cepat, rakyat juga mengharapkan dan menuntut layanan yang saksama, mesra, bersopan santun dan memberi hormat. "Rakyat Didahulukan" bukan sahaja untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat, tetapi adalah untuk memenangkan hati rakyat. Ia bukan sahaja untuk mencapai kesan hasil yang cepat, tetapi juga untuk memberi layanan yang baik. Oleh kerana majoriti kakitangan sektor awam, termasuk pegawai-pegawai penguatkuasaan, adalah orang Melayu, layanan yang tidak adil atau kurang sopan selalunya dipandang sebagai amalan perkauman. Sehubungan itu, selain dari memperbaiki keberkesanan dan kesantunan, langkah-langkah konkrit harus diambil untuk memastikan campuran kumpulan etnik yang sihat wujud dalam sektor awam. Sesungguhnya, Perkhidmatan Awam Malaysia hendaklah benar-benar Perkhidmatan Awam 1Malaysia.
Perpaduan nasional dan Barisan Nasional
Kami menyokong penuh konsep "perpaduan dalam kepelbagaian" sebagai satu asas untuk 1Malaysia. Malah, inilah apa yang Gerakan sering laung-laungkan sejak asalnya. Kami melihat tidak ada asas lain yang lebih baik bagi membina satu negara dalam sebuah masyarakat berbagai kaum, agama dan warisan budaya seperti Malaysia. Seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kita kini harus merentasi tahap toleransi kepada tahap yang lebih tinggi, iaitu, penerimaan, saling hormat-menghormati dan saling harga-menghargai. Beliau juga berkata bahawa kepelbagaian etnik dan budaya sebenarnya merupakan aset dan kekuatan kita. Sememangnya, di Persidangan UNESCO baru-baru ini, beliau menawarkan Malaysia supaya bertindak sebagai jambatan bagi menghubungkan semua bduaya utama di dunia ini. Kekuatan kepelbagaian ini dipaparkan dalam tagline "Malaysia Truly Asia" yang telah berjaya mempromosikan pelancongan bagi Malaysia seluruh dunia. Malah, kita seharusnya menjadi "Truly Malaysian" dalam konteks "Truly 1Malaysia."
Sehubungan dengan itu, kita tidak harus memberi ruang dan muka kepada mereka yang ingin bermain api perkauman dan sentimen agama semata-mata untuk memenuhi agenda dan ego mereka. Kita tidak harus membiarkan agama dipolitikkan dan digunakan sebagai satu gimik politik populist. Sesungguhnya tindakan sebegini adalah memualkan dan membahayakan, dan harus ditangani dengan undang-undang yang sedia ada. Di samping itu, kita harus sedar, walaupun terdapat perbezaan di antara kita, kita mempunyai satu wadah silaturrahim (goodwill) yang sangat besar, perasaan harmoni dan ikatan kesetiakawanan yang kuat di kalangan rakyat Malaysia. Saban hari, terdapat berbagai insiden positif yang tak terkira banyaknya yang melibatkan rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang yang bekerja bersama-sama, bermain bersama-sama, makan bersama-sama, serta saling bantu-membantu dan jaga-menjaga di antara satu sama lain. Interaksi sebegini di mana isu perkauman dan agama tidak dipersoalkan lebih jauh banyaknya dari insiden yang berkaitan dengan luahan atau tingkahlaku perkauman yang berlaku hanya secara sekali-sekala. Justeru itu, kita harus terus menggalakkan dan mengetengahkan aspek-aspek positif kehidupan rakyat Malaysia daripada mensensasikan isu yang akan menyebabkan kita terjerumus dalam gejala yang tidak sihat lagi negatif. Biar kita tumpukan kepada kelebihan masyarakat majmuk dan bukan kekurangannya.
Penubuhan Barisan Nasional lebih 35 tahun yang lampau pada tahun 1974 adalah bertujuan sebagai satu pembawa bendera rasmi, penggalak dan pemelihara perpaduan nasional dan kestabilan. Barisan Nasional sememangnya bercirikan inklusif dalam semangatnya, adil dan saksama dalam tindak-tanduknya seperti yang dicerminkan dalam simbol dacing. Biarpun mengalami beberapa kekangan, Barisan Nasional setakat ini dapat mengekalkan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat Malaysia pada umumnya. Malah, formula BN pernah dianggap begitu berjaya sehinggakan ianya dicontohi oleh Nelson Mandela dalam menyatu-padukan Afrika Selatan. Bagaimanapun, semangat ini seolah-olah semakin pudar dalam dekad kebelakangan ini, mungkin kerana kita terlalu taksub dengan kerajaan dan politik, sambil bersikap sambil-lewa dan kekadang bersikap angkuh. BN menjadi satu gabungan hanya pada waktu pilihanraya.
Dalam konteks 1Malaysia, Barisan Nasional seharusnya mengukuhkan semula sebagai pejuang utama Perpaduan Nasional. Sehubungan itu, kita harus mengambil peduli gesaan untuk melakukan pembaharuan ke atas Barisan Nasional. Kita harus pulang ke gagang dengan membangkit semula dan mempraktikkan semangat berkongsi kuasa yang tulen, bersikap inklusif dan berunding secara jujur. Kita perlu kembali kepada rakyat, mendengar dan menyelesaikan rintihan mereka. Kita harus menerokai dan mencuba pendekatan baru bahkan rangka kerja baru dalam usaha untuk kekal relevan, terutama sekali di kalangan generasi muda. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang diketuai oleh Pengerusi BN telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan positif dan menunjukkan pendekatan yang lebih inklusif. Rakyat menaruh harapan agar kata-kata dan isyarat-isyarat ini diterjemahkan kepada tindakan dan perubahan yang nyata. Kita harus terus memberi penekanan agar pembaharuan ini wujud dalam budaya urus tadbir dan budaya politik.
Sepertimana transformasi pentadbiran kerajaan kini sedang berlangsung, Barisan Nasional haruslah menggarap transformasi yang sama di setiap peringkat. Meskipun, Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Pengurusan dalam tempoh masa setahun telah bermesyuarat lebih kerap daripada dahulu, adalah sangat perlu untuk kita memupuk persefahaman yang lebih kukuh dan mencari jalan penyelesaian yang lebih baik bagi isu-isu asas dan bidang-bidang utama. Gerakan ingin bercadang supaya biro-biro dan kumpulan-kumpulan fokus yang berasaskan kepada bidang-bidang keberhasilan utama ditubuhkan dalam Barisan Nasional di peringkat nasional dan negeri serta ia dirangkumi juga dalam Wanita, Pemuda dan Puteri. Kita malah boleh menggunakan metodologi makmal untuk mencari jalan penyelesaian yang baru lagi inovatif dan berjaya menyampaikan keberhasilan yang besar kepada rakyat. Di peringkat bahagian dan kawasan pilihanraya, kita harus menganjurkan program-program dan acara-acara bersama sebagai sebuah gabungan. Usaha-usaha ini akan menggiatkan penglibatan para pemimpin dengan lebih bermakna dan efektif dalam membuahkan persefahaman untuk pendirian yang sama serta memupuk perasaan kesetiakawanan. Lebih penting lagi, Barisan Nasional akan dilihat sebagai satu pergerakan politik yang bersatu-padu dan kukuh dalam berkhidmat dan menyatu-padukan rakyat Malaysia serta memarakan Malaysia ke hadapan dan memantapkan 1Malaysia. Dalam usaha murni ini, Gerakan bersiap sedia untuk menyumbang tenaga dan keringat kami ke arah ini.
Gerakan bergerak ke hadapan
Apabila Gerakan ditubuhkan pada tahun 1968, kami dilihat sebagai sebuah "parti masa depan," memandangkan kepada ideologi dan impian progresif, dan ciri berbagai etnik yang membentuk parti ini. Setelah setahun penubuhannya, kami dipikul dengan memimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dengan menggabungkan idealisme dengan pragmatisme, kami bekerja rapat dengan rakyat untuk membangun Negeri Pulau Pinang, menjadikannya sebuah negeri yang moden. Kami juga berpeluang untuk menyumbang terhadap proses pembinaan negara melalui penglibatan kami dalam kerajaan melalui Barisan Nasional di peringkat persekutuan dan di beberapa negeri. Kami berbangga kerana telah dapat menjadi sebahagian dari citra kejayaan Malaysia. Bagaimanapun, harapan rakyat yang semakin meningkat terhadap urus tadbir dan kekecewaan yang semakin meruncing terhadap apa yang dirasakan sebagai keangkuhan dan salahguna kuasa menyebabkan berlakunya tsunami politik terhadap BN pada pilihanraya umum yang lalu. Oleh sebab itu, Gerakan kehilangan kubu kita di Pulau Pinang dan turut kehilangan jawatan-jawatan yang dipilih dan dilantik di setiap peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. Tanpa jawatan-jawatan dan tugas-tugas yang satu ketika sentiasa menyibukkan kerja seharian kita, kini ada di kalangan kita yang merasai kehilangan arah tuju.
Benar, kita kini berada di persimpangan jalan, menghadapi pelbagai cabaran. Namun, kita bukannya bermula dari asal dan kita bukanlah tidak mempunyai arah tuju. Kita mempunyai ideologi dan prinsip-prinsip yang kukuh seperti mana yang dinyatakan sebagai "matlamat dan objektif" dalam perlembagaan parti. Malah, ideologi kita telah menjadi begitu relevan sekarang dalam konteks 1Malaysia. "1Malaysia" sebenarnya amat selaras sekali dengan teriakan tradisi kita yang berbunyi "Satu Hati, Satu Negara, Satu Wawasan." Kini, kita boleh berbangga untuk mengatakan: "Satu Hati untuk 1Malaysia." Bagi kami, komitmen amatlah jelas, iaitu, untuk meneruskan perjuangan menjadikan Malaysia bersatu-padu, adil dan saksama, progresif dan makmur, berasaskan kepada semangat persefahaman, silaturrahim, penerimaan dan penghargaan kepelbagaian. Untuk Gerakan pada hari ini, masa depan adalah sekarang!
Di samping perlembagaan parti, kita juga dipandukan oleh pegangan asas dan prinsip-prinsip dalam dokumen-dokumen nasional utama, seperti Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020 di mana Gerakan telahpun terbitkan dalam bentuk booklet dua (2) tahun yang lalu bersempena dengan Kemerdekaan 50 Tahun Malaysia. Kini, kami telah menerbitkan satu edisi baru dalam booklet ini dengan memasukkan 1Malaysia dan lapan (8) nilai utama seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Di dalam kesempatan ini, kami mohon kesudian Perdana Menteri untuk melancarkan edisi baru, ini selepas ucapannya nanti.
Apa yang juga dimasukkan dalam edisi baru ini ialah Strategi 11388 yang dilancarkan pada tahun lepas selepas pilihanraya umum, sebagai langkah untuk memberi fokus baru dan menyuntik komitmen dan tenaga baru kepada semua ahli parti. 11388 bermaksud 1 Wawasan, 1 Misi, 3 Teras, 8 Strategi dan 8 Bidang Utama. Izinkan saya meringkaskan hasil-hasil yang tercapai dan arah-tuju bagi masa depan dalam melaksanakan lapan (8) strategi ini. Pertama, kita telah dan akan meneruskan dengan perspektif Gerakan Malaysia dan pendekatan bukan-perkauman bagi mengungkap pendirian dasar dan untuk mengemukakan jalan penyelesaian yang sebaik mungkin, terhadap beberapa isu nasional yang berkaitan. Kedua, kita telah dan akan meneruskan peranan sebagai "voice of reason" dalam Barisan Nasional, mendokong segala pembaharuannya, di samping memainkan peranan kita sebagai pembangkang yang bersifat konstruktif di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Ketiga, kita telah memulakan kerja untuk mengukuh semula ikatan dengan rakyat dengan memberi perkhidmatan dan melaksanakan aktiviti di beberapa kawasan. Kita hendaklah membuat demikian bagi semua kawasan kita.
Keempat, kita telah menjalin perkongsian bestari dengan beberapa NGO, dengan rangka kerja dalam bidang-bidang spesifik seperti hak asasi manusia, alam sekitar dan pendidikan. Kelima, kita telah mula mengaktifkan semula dan memotivasikan organisasi parti di akar umbi, mengambil ahli-ahli baharu, terutama sekali di Sabah. Keenam, kita akan memulakan siri latihan politik dalam usaha untuk mengukuhkan komitmen kita, meningkatkan ilmu dan kemampuan memimpin. Ketujuh, kita telah membentuk dan mengaktifkan semula beberapa biro pusat, dengan mengerjakan bidang-bidang yang disebutkan di atas, serta juga tumpuan dalam sektor ekonomi, termasuk usaha pembangunan perniagaan kecil dan sederhana. Kelapan, kita telah mulai melaksanakan strategi komunikasi yang lebih berkesan supaya ia akan dapat memperlihatkan kemampuan kita dalam penyampaian hasrat dan matlamat kita. Justeru itu, kita sebenarnya telah berada dalam perjalanan transformasi dan akan terus bergerak dengan tempo yang lebih pantas pada tahun yang akan datang.
Arah tuju kita adalah jelas, tetapi ia memerlukan lebih banyak komitmen dan tindakan. Usaha daripada hanya beberapa pemimpin di pusat dan negeri tidak akan berjaya menggerakkan Gerakan ke depan. Ahli-ahli Gerakan seharusnya tampil ke hadapan untuk menyumbangkan ke arah pembinaan semula parti kita. Kita harus menunjukkan bahawa kita tidak memerlukan jawatan-jawatan tinggi dan peruntukan dana yang besar untuk meraih kembali keyakinan dan sokongan rakyat. Dengan menunjukkan keikhlasan dan pengorbanan kita, ia akan pasti memenangkan hati rakyat. Apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Britain pada tahun 1940, dengan tabir peperangan yang bakal merubah Eropah, Winston Churchill berkata beliau "tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan, kecuali darah, keringat dan air mata." Dalam keadaan di sini, kita tidak bercakap mengenai darah, tetapi hanya dengan keringat dan air mata. Sekiranya kita mempunyai komitmen yang sama, saya pasti kita akan menerajui Gerakan kembali ke jalan pemulihan dan kejayaan.
Selepas pilihanraya umum yang lalu, terdapat skeptik yang menyuntik kecurigaan tentang kemampuan Gerakan sebagai sebuah pergerakan parti politik, dan tentang kedudukan kita masih relevan dan berdaya-saing. Kepada pengkritik-pengkritik ini, kita hanya mempunyai satu jawapan: Anda salah! Tetapi, kepada mereka yang menyakini keikhlasan dan kemampuan kita untuk terus menyumbang ke arah destinasi negara, saya ingin menggesa tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk menyertai dan menyokong kami.
Jalan di hadapan sememangnya sukar dan beronak duri. Tetapi, destinasi 1Malaysia buat anak-cucu kita adalah satu wawasan yang harus digapai dan satu misi yang harus dicapai. Malah, kita tidak mempunyai pilihan. Kita semua yang berkumpul di sini pada hari ini harus mengisytiharkan kepada dunia bahawasanya Gerakan tidak akan mengaku kalah dalam menunaikan komitmen kepada Malaysia dan sesungguhnya, kepada gagasan 1Malaysia. Bersama-sama kita berganding bahu dengan rakan-rakan seperjuangan dalam Barisan Nasional di bawah kepimpinan YAB Dato' Sri Najib Tun Razak, Gerakan kini bersiap-sedia untuk memasuki ruang juang yang akan menyaksikan perubahan penting dalam memacu dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju dan bersatu-padu!
Sedutan teks Ucapan Dr Koh Tsu Koon - Presiden Parti Harakah
Posted by
Hazwan Mohd Nor
on Nov 1, 2009
*Ucapan Dr Koh Tsu Koon di Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-38 di Kuala Lumpur baru2 ini. Anak muda sila baca dengan mata hati. Read between the lines. Pencerahan milik anak muda Malaysia.
Sepertimana yang kita sedari, kita kini berada dalam satu era yang penuh dengan rentetan perubahan serta cabaran-cabaran besar. Dalam dua tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan kekecamukan ekonomi dan politik yang melanda negara-negara di serata pelusuk dunia, dan ini dikalutkan lagi oleh tragedi-tragedi bencana alam dan penularan penyakit yang menggugat insan. Sesungguhnya, era ini amatlah mencabar bagi ramai orang dan banyak kerajaan di seluruh dunia. Kerajaan di banyak negara berhempas pulas untuk menangani kehendak-kehendak rakyat di mana sikap kritikal terhadap kerajaan lahir dari golongan masyarakat yang kini lebih berpelajaran dan bermaklumat. Perubahan politik sudah melanda beberapa negara dan Malaysia tidak terkecuali. Cara lama yang pada suatu ketika dahulu sememangnya berhasil bahkan pernah menyampaikan "keajaiban" tidak lagi berkesan pada masa kini dan di masa hadapan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kerajaan gabungan seperti kita harus bersedia untuk berubah atau bersedia untuk diubah. Malah, kita tidak mempunyai pilihan selain dari berubah, dengan seberapa segera, untuk kepentingan rakyat Malaysia, bukanlah untuk kita sendiri.
0 comments:
Post a Comment