Hilangkan Sengketa; Selamat Berjuang Hobin Jang Hobin!

Lupakan Dr Asri yang ditangkap JAIS. Lupakan Seminar Politik Dr Aziz Bari. Lupakan Kerajaan Perpaduan Ustaz Abdul Hadi. Jom kita pergi tengok bola. Perlawanan bolasepak itu telus. Yang kalah itu kalah. Yang menang itu menang. Tiada SPR. Tiada undi pos. Tiada penyelewengan atau rasuah. Anak-anak muda tidak berserabut memikirkan hal-hal politik merebut punca-punca ekonomi. Semuanya tertumpu kepada satu iaitu; BOLA. Bola itu bulat. Hari ini kita menang. Esok lusa mungkin kita akan kalah. Tiada pasukan yang boleh mendakwa menang selamanya.

Persahabatan kita terjalin kerana bola. Ukhwah kita kukuh semula kerana bola. Parti yang anak muda taksub gila ditinggalkan seketika untuk memberi ruang bertandang ke Bukit Jalil. 90 minit adalah waktu untuk kita merayakan kemudaan kita. 90 minit adalah ruang masa untuk kita menghayati saat untuk bersuka-ria. 90 minit untuk kita melupakan segala masalah-masalah dunia bebal yang memberatkan perjalanan kita selaku anak muda 1Malaysia.

Semoga esok selepas tamat perlawanan itu kita kembali kepada sifat insaniah kita. Kita manusia yang perlukan penghargaan, pujian dan kasih sayang. Kita manusia perlukan sifat jujur, amanah dan ingin berbakti kepada orang miskin dan orang susah. Kita manusia perlukan pekerjaan, makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk hidup selesa. Kita tidak perlukan pelabuhan kapal dagang berbilion ringgit, kapal selam canggih atau loji nukleur di sekeliling kita. Kita juga tidak perlukan gedung mewah sebesar Harrods di Bandar Seri Jempol.

Akhirnya kita kembali kepada sifat asal kita. Manusia yang bisa sedih, gembira, sunyi dan ketawa ~

2 comments:

Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi said...

salam..
ehehe..
betul tu betul betul betul..
dgn bola sepak, mcm2 leh dapat..
ukhwah, persahabatn, perpaduan, persamaa, keadilan, dan mungkin boleh berdakwah dgn bole jgak..
ehehe..

artikel yg plg menarik di saat Malaysia dipenuhi dgn kes2 yg 'pelik'..

Hazwan Mohd Nor said...

tahniah skuad jang.

61 tahun penantian penuh kesabaran.

semoga kehidupan ini terus dicabar untuk memacu perubahan.

:-)