only the dead are safe in Gaza


Apa yang berlaku di Gaza ketika ini bukan lagi isu. Isunya ialah apa tindakan kita sebagai saudara seaqidah seagama. Berkata tentang tindakan maka tidak dapat tidak kita akan kembali kepada diri kita. Mampukah kita dengan kekuatan sedia ada menyelamatkan Gaza ketika ini. Bolehkah kita terus menempah tiket kapal terbang dari LCCT Labu di Negeri Sembilan terus ke Amman atau Tel Aviv untuk bersama-sama penduduk Gaza berperang mempertahankan tanah air mereka. Saya pasti ini agak mustahil untuk dilakukan.

Selain doa qunut nazilah yang dibaca berpanjangan, mengutip dana kewangan yang belum tentu sampai kepada penduduk Gaza, apa lagi yang boleh kita lakukan. Bercerita soal tragedi dan huru hara yang berlaku di Gaza ketika ini membawa kita kepada satu resolusi - soal daulah Islamiah dan kuasa umat Islam ketika ini. Berupayakah kita untuk menghalang tentera Ehud Olmert terus meratah jasad dan darah saudara seIslam kita. Siapakah kita untuk menegur mereka khususnya Amerika Syarikat untuk menghentikan semua ini. Ternyata kita tiada kuasa dan lemah selemah-lemahnya. Membeli dan memiliki kapal selam pun terpaksa melalui agen Mongolia di Perancis.

Kita tidak perlu bersedih dalam membicarakan soal ini. Ini bukan masa untuk bersedih. Ini masa untuk bertindak. Bertindak dengan kesedaran bahawa tanpa kuasa umat Islam akan terus layu dan dibelasah sesuka hati. Cuba lihat siapakah pemimpin di sekeliling kita yang bertindak ke arah itu. Adakah pemimpin kita mempunyai fikrah untuk membela atau setidak-tidaknya mewujudkan front tentera berani mati OIC untuk membantu perjuangan rakyat Gaza ketika ini. Isu ini akan berlalu seperti biasa dan Khairy akan terus dengan agendanya.

Stereotaip. Berdemo depan kedutaan US, di depan masjid selepas solat jumaat, berforum dan berseminar mengenai Palestin ini tidak akan menyelesaikan masalah. Permulaannya adalah pada diri kita. Lihat apa yang kita lakukan hari ini. Adakah tindakan dan pekerjaan kita dalam frame untuk menyelamatkan Palestin ketika ini. Adakah kita sedang bangunkan diri kita dengan ilmu, kepakaran dan persaudaraan untuk berdepan dengan situasi tidak menentu. Adakah kita takut untuk mati dan tinggalkan anak isteri demi perjuangan ini. Adakah kita mengundi pemimpin dari parti yang befikrah yang ingin menyelamatkan rakyat Palestin ketika ini.

Tidak payah poyo bercakap soal perjuangan jikalau tidak terlibat atau menyumbang dalam persatuan dan jamaah Islam. Menjadi bekas ahli jamaah bukan satu tiket untuk menyatakan kita telah selamat. Tidak turun ke program motivasi kerana malas dan sibuk dengan kerja juga satu tanda bahawa kita sebenarnya berada di dalam zon selesa dan tidak pernah terasa penderitaan yang dialami warga Gaza ketika ini. Tidak mahu mengeluarkan sedikit wang infaq adalah bukti bahawa kita sayangkan duit kita yang tiada nilainya bagi warga Gaza ketika ini. Yang bernilai bagi kita mungkin handphone keluaran terbaru yang ada 3G dan satelit TV.

Maafkan saya jika saya membenci budaya tipikal anak muda kampus hari ini. Bagi saya lantang bersuara di dalam kampus tidak cukup, kita perlu merancang dan membina sesuatu di luar kampus. Di medan yang lebih luas, mencabar dan masih mengikat diri kita pada ikatan persaudaraan dan jamaah Islam yang syumul. Mengharapkan ketua bahagian UMNO Seremban untuk memberi sokongan terhadap usaha kesedaran Palestin mungkin agak susah ketika ini.

Tidak salah sekiranya dikatakan bahawa apa yang kita lakukan hari ini saling berkaitan. Saya di sini dan anak muda di Gaza yang sedang mengumpul batu untuk di baling ke kereta kebal rejim tiada beza. Kami sama-sama anak muda. Sama-sama berjuang untuk pertahankan aqidah dan tanah air kami. Sama-sama meniatkan perjuangan ini untuk keredhaan Ilahi. Apa bezanya. Bezanya cuma pada anak-anak muda yang masih dalam ilusi dan fantasi.

Sampai masanya jika saya terpaksa tinggalkan segala keselesaan ini maka saya tidak takut. Di kampus dan di rumah saya dilatih dengan kesusahan. Merasa cukup dengan apa yang ada dan tidak meminta yang lebih dari itu. Keselesaan yang dibina cuma untuk orang lain dan untuk membuktikan bahawa anak muda Melayu boleh menjadi peguam yang berjaya. Setidak-tidaknya membuktikan bahawa anak muda tidak takut gagal dan berani bersaing.

Hanya yang mati selamat di Gaza. Anak muda Malaysia selamat mati di jalanraya. Selamat tahun baru 2009. Semoga tahun ini lebih bermakna daripada sebelumnya.