everything happens for a reason


Sebagaimana anda merasai rasa itu, maka saya juga merasai rasa yang sama. Kita semua merasai dan berkongsi rasa yang sama. Kita semua menyedari hakikat yang sama. Kita semua mempelajari dan sedang menjalani satu laluan perjalanan yang sama. Anak-anak muda di Palestin lebih lagi merasai. Mereka menghadapinya dengan realiti. Kita hanya mampu membacanya dari jauh. Mereka di sana sedangkan kita di sini. Rupanya kita tinggal di satu bumi yang sama. Tidak begitu jauh sebenarnya. Mereka cuma berada di seberang sana rupanya.

Kadangkala saya rasa bahawa kehidupan ini hanya di atas pentas. Sekadar lakonan. Ada orang yang baik dan ada orang jahat. Orang baik ditindas. Orang jahat menindas dan menyeksa. Orang baik terus dihina dan diuji dengan seksaan dan kekejaman. Orang jahat merasa gah dan terus kuat meneruskan kejahatan. Drama ini berkesudahan dengan orang jahat akhirnya kalah. Orang baik akhirnya beroleh kemenangan.

Beroleh kemenangan merupakan happy ending pada sesuatu cerita. Namun cerita di tanah Palestin ini..apakah happy endingnya. Atau adakah happy ending itu wujud. Jika wujud maka bilakah ia. Esok, bulan depan, tahun depan atau ketika kita semua sudah tidak wujud dalam skrip drama ini. Siapakah sutradaranya. Siapakah pengarah yang boleh menghentikan episod dan cerita ini. Apakah kita semua berani menghentikannya. Ini semua masih jadi misteri.

Apakah hari ini kita bermimpi. Tampar pipi kanan dan pipi kiri masih terasa sakit. Kita tidak bermimpi. Ini satu realiti. Anak-anak muda di tanah Gaza sedang berjuang dan bersedihan. SUARAM Human Rights Report 2007 saya campakkan jauh-jauh. Tiada lagi makna human rights. Hak Asasi Manusia apa sekiranya yang berlaku di depan mata kita semua terus berdiam diri. Ingin saja saya menyeru kepada semua Aktivis Hak Asasi membubarkan persatuan mereka. Hak Asasi warga Palestin adakah sesiapa yang tampil membelanya.

Mari kita berhenti sejenak. Merenung dan memikirkan jauh-jauh. Apakah erti dan makna kehidupan ini sebenarnya. Benarkah ini kehidupan yang kita cari selama ini. Benarkah ini adalah erti dan makna sebuah perjuangan yang dialungkan. Apakah sebenarnya kita tertipu dengan drama pentas ini di mana kita dan mereka adalah antara aktor-aktornya. Sampaikah masanya kita perlu turun dari pentas dan berkata sesuatu kepada pengarah dan pencipta karyanya.

8 tahun dahulu saya pernah merasai perasaan yang sama. Kini ia berulang lagi. Air mata yang mengalir tiada ertinya jika semua ini tiada kesudahan. Cerita kemenangan dengan pokok berbicara menyatakan musuh yang bersembunyi kembali menjadi harapan. Harapan untuk para pejuang beroleh kemenangan. Walau diri terasa lemah dan begitu lemah namun di sana masih ada sinar kelihatan. Semoga pengakhiran cerita ini adalah pada kemenangan dan saya cuma ingin bersama. Tiada masa lagi untuk menangis kerana air mata kita sudah lama kering. Kini masa untuk bekerja lebih gigih. Bermula di sini dan hari ini.

0 comments: