selepas 8 Mac dan Maulid Nabi


Setahun selepas 08 Mac 2008 saya rasakan begitu banyak peristiwa yang berlaku pada kita. Gelombang perubahan rakyat adalah signal kepada pihak daulah supaya lebih prihatin soal permasalahan rakyat. Selepas setahun kita dapati terlalu banyak ooh dan aah dalam soal rakyat untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kita semua merasakan keserabutan hidup di atas bumi bernama Malaysia.

Ahli politik selamanya akan bercakap politik. Ada mereka yang berpolitik kerana kepentingan peribadi. Ada berpolitik kerna ingin menegakkan syariat Ilahi. Ada yang berpolitik kerana ingin membela kaum yang diwakilinya. Ada yang berpolitik kerana gilakan kontrek dan takut hilang sumber kekayaan. Ini adalah fitrah politik. Anak muda seperti saya dan rakan-rakan tetap anak muda. Kami memerhatikan setiap langkah dan gerak geri ahli politik. Nampaknya mereka lebih suka bercakap tentang gambar bogel, kereta Camry dan lembu korban.

Bila kita mengharapkan agar tahap pemikiran warga daulah kita di tahap kelas pertama, matang, terbuka dan berpandangan jauh. Kita boleh menerima perubahan dan tidak takut untuk mencipta sejarah baru. Kita tidak keliru akan nilai sosial dan realiti kehidupan kita. Jalur pemikiran baru menuntut kita untuk bersama-sama ke depan dalam mendepani sebarang isu. Usah lagi mengatakan demonstrasi itu derhaka kepada raja dan didalangi pihak pembangkang. Bagi saya tiada istilah pembangkang dan kerajaan. Yang ada hanya kejahilan dan kebenaran.

Soalnya adakah anak muda hari ini dapat melihat masa depan mereka. Apakah benar anak-anak muda yang berpeleseran di kota dan merempit di jalanraya adalah pewaris kepimpinan negara. Adakah mereka yang akan menjadi barisan hadapan untuk mewujudkan daulah yang maju dan terkehadapan. Bercakap soal ini saya terasa ingin kembali ke kampung halaman mengajar Sains dan Math dalam Bahasa Inggeris.

Sambutan Kelahiran Nabi SAW baru-baru ini kita dihebohkan dengan slogan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah. Apakah kita benar-benar memahami maksud wahdah itu. Slogan yang tidak dihayati dan difahami yang hanya menjadi kosmetik dan tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadapa warga daulah.

Hakikatnya tiada umat yang pernah bersatu. Umat Islam di mana-mana pun tidak pernah bersatu. Cuba lihat di Iraq, Palestin, Mesir, Pakistan, Bangladesh, Jordan dan Malaysia. Hari demi hari di dada akhbar kita melihat berlaku pertelingkahan dan sengketa sesama umat. Muslimin. Kesatuan hanya akan wujud jika kita kembali kepada fundamental iaitu panduan wahyu Yang Maha Esa. Menggunakan nama suci Yang Maha Esa juga menjadi perbalahan dalam negara kita. Sedang ramai remaja Melayu Islam di luar sana yang tidak lagi menyembah Yang Maha Esa. Mereka lebih cenderung menyembah tuhan hedonisma.

Merayakan hari kelahiran Nabi tidak cukup hanya berarak memakai samping dan serban. Kita perlu melihat semula apakah makna kita merayakan peristiwa kelahiran baginda. Apakah ianya hanya sekadar perayaan biasa atau ada pendidikan yang boleh dipelajari daripadanya. Semoga sifat takwa, semangat, amanah, hormat, rajin, tidak kenal putus asa, berani, bersedekah, tabah Nabi Muhammad menjadi ikutan kita dalam kehidupan dan perniagaan.

0 comments: