post permatang pauh, what's next?
Posted by
Hazwan Mohd Nor
on Aug 26, 2008
Keputusan rasmi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh akhirnya telah jelas dan terbukti. Datuk Seri Anwar-PKR telah memenangi kerusi parlimen tersebut dengan majoriti 15,671 undi mengatasi lawannya Datuk Ariff Shah-BN. Calon Akim-Hanafi Mamat hanya memperolehi 92 undi.
Tarikh 27 Ogos 2008 mencatat sejarah tersendiri apabila bermulanya satu lagi era baru bagi Malaysia. Sekembalinya Datuk Seri Anwar ke Parlimen selepas 12 tahun hidup di dalam penjara, rakyat menaruh harapan baru kepadanya untuk membawa pembaharuan yang disebut fajar baru untuk Malaysia.
Pilihanraya kecil Permatang Pauh ini mencatat keunikan tersendiri. Segala kemelut yang melanda negara sebelum pilihanraya kini terjawab dengan berakhirnya pilihanraya kecil ini. Kes Saiful, Ramlang Porigi akan pergi selepas ini.
Hakikatnya rakyat Permatang Pauh masih sayangkan Anwar dan mahukan beliau sebagai wakil mereka. Rakyat Malaysia secara umumnya juga mahukan suara Datuk Seri Anwar dalam Parlimen Malaysia.
Namun apa yang pasti semua ini bukanlah penghujung sebuah cerita. Mungkin ini adalah permulaan bagi sebuah sejarah. Rakyat umumnya masih lagi yang ditunggu-tunggu akan satu lagi peristiwa besar yang bakal mewarnai landskap politik tanah air. Tidak lain dan tidak bukan, peristiwa itu adalah tarikh 16 September 2008 yang akan datang.
Benarkah kita akan bertukar kerajaan Persekutuan pada tarikh itu? Benarkah kita akan mendapat kerajaan baru di bawah nama Pakatan Rakyat? Pelbagai persoalan timbul khususnya dari sudut undang-undang Perlembagaan.
Meskipun pelbagai persepsi, andaian, tanggapan dan telahan diberikan oleh rakyat Malaysia, saya yakin dan percaya bahawa apa yang kita mahukan adalah pembaharuan yang tidak membawa kepada sebarang kesan negatif kepada negara.
Rakyat mahukan perubahan ini dilakukan dengan penuh tertib, aman dan selamat tanpa berlaku huru-hara dan kacau bilau terutamanya dalam konteks kepelbagaian kaum di negara kita. Kita berdoa dan berharap agar tiada pihak yang cuba memprovokasi situasi hari ini dengan cuba melanggar kedaulatan undang-undang negara kita.
Sesungguhnya kemenangan Datuk Seri Anwar ini bukanlah bermakna perjuangan ke arah perubahan itu telah berakhir. Adakah selepas menyatakan sokongan dan harapan pada perubahan maka tugas majoriti rakyat yang inginkan perubahan telah selesai?
Bagi saya ini adalah satu pandangan dan mentaliti yang salah lagi membebalkan. Rakyat yang mahukan perubahan maka rakyat jugalah yang mesti terus bekerja untuk perubahan itu.
Berita tentang tuduhan kesalahan rasuah yang melibatkan 2 Exco Kerajaan Perak baru-baru ini wajar dijadikan iktibar dan muhasabah. Sungguhpun kes ini masih lagi dalam perbicaraan mahkamah, namun apa yang harus dipelajari ialah sikap sentiasa berwaspada dengan tindakan sesetengah pihak yang sentiasa mencari peluang dan kelemahan dalam pentadbiran kerajaan PR. Keteguhan dan keutuhan kerajaan PR akan sentiasa diuji dari semasa ke semasa.
Kerajaan Pakatan Rakyat mesti sentiasa bersikap jujur dengan rakyat dengan memastikan prinsip CAT (Competent-Accountable-Transparent) itu benar-benar dilaksanakan dan dipenuhi. Jika perkara ini tidak berlaku maka tiada maknanya perubahan itu sekiranya ia lebih kurang sama dengan pentadbiran sebelumnya.
Hari ini kita mendapat tahu bahawa sebenarnya rakyat Malaysia tidak takut untuk berubah. Ini lebih bermakna bagi seorang anak muda yang mempunyai aspirasi yang tinggi untuk melihat negara lebih maju dan terkehadapan untuk 50 tahun berikutnya. Ini menggerakkan lagi azam dan cita-cita untuk mempertahankan prinsip dan kedaulatan undang-undang dalam negara demi memastikan generasi akan datang menghargai erti hidup dalam sebuah negara merdeka.
Terima kasih kepada semua yang telah sama-sama menggerakkan perubahan ini. Kita berdoa agar hari esok benar-benar membawa sinar baru untuk negara kita Malaysia. Merdeka!
2 comments:
Assalamualaikum.
Artikel yang baik dan tidak keterlaluan kepada mana-mana pihak.Semoga menjadi harapan kita bersama.Harapan anak muda.
Kita yang membawa harapan.Moga harapan ummah jua dikedepankan.
Waalaikumsalam wrh.
Harapan anak muda adalah harapan untuk perubahan.
Harapan perubahan juga adalah harapan untuk ummah di hadapan.
Semuanya untuk sebuah kehidupan penuh keberkatan Tuhan.
Post a Comment