Setelah 52 tahun Merdeka, Selamat Tinggal Ogos


Benarkah negara kita telah merdeka selama 52 tahun? Persoalan inilah yang berligar dalam kotak fikiran kita ketika ini. Tahun ini tiada konsert merdeka. Kita berpuasa. Tiada hiburan sewaktu merdeka tidak bermakna kita tidak terus berfikir dan bergerak. Aktiviti berfikir dan bergerak ini tetap berjalan dan berlangsung. Sambutan kemerdekaan kali ini agak suam dan lesu. Tiada operasi tangkap khalwat. Kita tidak lagi dapat melihat anak-anak muda duduk bercumbuan di Taman Tema KLCC.

Melihat kepada apa yang berlaku di sekeliling kita menyedarkan kita bahawa kemerdekaan itu sebenarnya belum berada dalam jiwa kita. Kita bebas daripada penjajahan kuasa asing kerana perjuangan warga bangun menentang penjajahan dan penindasan. Mereka yang bangun menentang ini adalah mereka yang berjuang untuk kebebasan. Kebebasan bukan hanya pada pemerintahan negara. Yang lebih penting kebebasan pada jiwa dan minda kita. Bebas belajar, berorganisasi, merancang dan memimpin peradaban tanah air kita yang tercinta.

Hasil perjuangan comrade2 terdahulu inilah yang membuahkan nikmat keamanan dan kemajuan yang kita kecapi hari ini. Mereka yang layak diberikan tribute hanyalah mereka yang bangun berjuang. Mereka yang hanya pandai membodek dan mengampu tidaklah layak untuk kita iktiraf sebagai pejuang. Berpura-pura sebagai pembela negara bangsa tapi di belakangnya penuh dengan tipu muslihat, rasuah dan penyelewengan. Inilah yang masih kita warisi setelah 52 tahun merdeka. Kejayaan dicipta dengan menipu dan membohongi warga daulah 1Malaysia.

Nasi yang kita makan setiap hari sahamnya dimiliki oleh kuasa asing. dari Hong Kong. Tenaga dan usaha yang kita curahkan saban waktu untuk membiaya projek mega dan membazir seperti Port Klang Free Zone. Membeli senjata canggih dan moden didahulukan dari memberi makan orang miskin yang tinggal di setinggan. 52 tahun merdeka kita masih diselaputi dengan isu perkauman. Kata-kata manis yang dihambur hanya penyedap rasa untuk mengolah pandangan warga daulah.

Setiap kali berurusan dengan pentadbiran daulah kita berdepan dengan birokrasi. Perlu isi form itu dan ini. Proses yang lembap dan berprosedur ini membosankan jiwa anak-anak muda yang ingin maju ke depan. Yuran pembelajaran yang mahal, kos sara hidup di kampus yang tinggi serta anak-anak muda berhutang PTPTN yang menganggur tiada pekerjaan. Adakah kita melihat semua ini selepas 52 tahun kita mengibar Jalung Gemilang dan melaung perkataan 'merdeka'?

Akhirnya kesemua berbalik kepada diri kita. Kita sebagai manusia hidup hanya perlu memilih dan berusaha. Kita berusaha untuk mendapatkan satu kehidupan yang lebih bersih, baik dan harmoni. Kita inginkan kemajuan yang datang dari tenaga dan kudrat yang kita gembling bersama. Kita tidak akan sesekali memijak kepala lembu sepanjang hidup kita~

0 comments: