Orang Melayu Jangan Mudah Dibeli

Kasihan melihat orang Melayu lama mudah dibeli. Dari dulu sampai sekarang kita masih dalam dilema. Benar kata Tun Dr Mahathir bangsa Melayu itu mudah lupa. Kita lupa dulu kita pernah buat strategi yang sama dan serupa. Jika gilakan kuasa sekalipun gunakanlah taktik lain. Sun Tzu dalam 'The Art of War' telah ajar kita 99 teknik di medan peperangan. Takkan itu pun tak boleh guna di alam praktikal.

Membaca buku 'Di sini Bumi Dipijak' telah mendatangkan semangat baru. Berbeda sungguh daripada apa yang dipelajari di buku Sejarah Tingkatan 5. Perjuangan kemerdekaan itu datangnya dari jiwa anak muda berani yang menggelarkan diri mereka Kaum Muda. Kesatuan Melayu Muda atau KMM itu menerbitkan sebuah akhbar bernama 'Al-Imam'. Jelas sekali kuasa tulisan dan siaraya dalam mengubah jalur pemikiran rakyat. Rakyat berubah dengan membaca!

Jika disorot kembali perjuangan menentang penjajah dahulu tidaklah lama. Kita baru merdeka 52 tahun. Saya baru menjangkau umur separuh daripada itu. Semangat dan ketabahan Dato' Bahaman, Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong meresap ke jiwa. Saya mahu jadi pejuang Melayu. Saya mahu jadi pejuang yang membebaskan Melayu dari terus bodoh dan diperbodohkan. Orang Melayu sebenarnya tidaklah selemah mana. Orang Melayu mampu untuk memiliki Ferrari dan Maserati tanpa perlu menjadi Ketua Bahagian.

Mengapa MCKK dahulu dibina untuk anak bangsawan. Mengapa orang Melayu dahulu dikerah tenaga untuk bekerja di sawah bendang. Kuasa Imperialis telah memunggah segala hasil mahsul dalam negara kita. Lupakah kita Perjanjian Pangkor yang begitu menyayat hati. Bumi dipijak jadi milik orang. Nenek moyang kaya raya. Tergadai seluruh harta benda dek kerana pemimpin berpuaka. Selama ini kita ditipu bulat-bulat. Slogan kita adalah Hidup Melayu bukan Merdeka!

Kini masanya untuk menyusun perancangan. Kini masanya untuk meletakkan asas-asas kekuatan. Misi untuk menawan kembali Britain. Harta mereka adalah harta kita. Segala yang mereka ada dibina atas hasil mahsul negara kita. Sampai masanya untuk kita kembali menyerang. Menyerang bukan dengan batalion tentera atau bom nukleur. Menyerang dengan ilmu dan strategi. Kita mesti dapatkan kembali hak kita.

Sudahlah Melayu. Kita sudah bosan berbicara tentang hak dan keistimewaan. Kita berbincang soal perundingan yang sepatutnya menjadi milik kita. Kita berbincang soal usaha dan pembangunan pemikiran masa depan. Kita berbincang soal Financial Intelligence dan Stock Market. Kita berbincang soal bagaimana membawa negara ini ke depan. Permatang Pasir tetap dalam keserabutan dan kedhaifan selagimana kita dan mereka, tidak mengubah cara berfikir kita. Kita mesti berfikir maju dan laju ke hadapan. Fikirkan boleh!

0 comments: