dua bukit satu batang


Tidak perlu lagi dinyatakan apakah prioriti kita pada hari ini. Sudah jelas dan terang bahawa anak-anak muda perlu bersedia untuk menghadapi masa depan. Dunia yang kita duduki ini tidak pernah adil kepada sesiapa. Dunia ini sentiasa akan mencengkam dan menarik kita kepada kesibukan dan kesengsaraan. Kuasa bertindak ada di tangan kita. Sehebat manapun Ketua Pemuda UMNO yang baru maka bagi saya tiada untungnya pada orang Melayu. Kita akan tetap menjadi bangsa kelas ketiga di tanah yang dulu bernama Tanah Melayu.

Pada rakan-rakan saya berpesan supaya lakukan persediaan emosi, intelektual, ilmu dan kepakaran. Kita mesti mempunyai usaha keras dan gigih untuk meraih kejayaan. Menjadi peguam atau doktor di hospital kerajaan tidak akan menjadikan kita kumpulan yang kaya raya. Sebaiknya mempunyai kumpulan yang memiliki perniagaan hartanah, saham, khidmat perundingan serta rangkaian hospital swasta di seluruh negara. Usah bicara soal perjuangan jika takut pada risiko. Tidak perlu menyertai UMNO untuk mendapatkan projek dan kontrek berjuta ringgit. Pokoknya adalah daya usaha untuk menjana idea-idea baru yang kreatif, dinamik dan strategik.

Semangat setiakawan tidak akan lahir tanpa kesefahaman dan saling bersangka baik juga berfikiran positif. Sudah terlalu ramai manusia-manusia negatif di sekeliling kita. Cara terbaik adalah hanya memilih rakan-rakan yang positif, berjiwa besar, sukakan kekayaan serta tidak takut dicemuh atau dikatakan gila. Terlalu ramai sinikal di sekeliling kita hari ini sehingga menutup lampu sejam pun menjadi persoalan. Mengapa terlalu kritikal dalam soal menutup lampu meraikan kepelbagaian. Adakah kerana berusrah dan bertamrin maka tidak boleh menutup lampu. Saat itu saya berada di bawah gemerlapan cahaya makan malam hotel mewah.

Hari ini kita perlu kembali kepada persoalan asas iaitu dari mana kita, dimana kita dan kemana seterusnya. Apakah perubahan dan melakukan sesuatu revolusi itu mudah. Saya percaya tidak ramai orang yang tahu idea revolusi ini. Idea untuk melakukan satu gelombang perubahan pada jiwa dan fikrah anak muda. Idea untuk melahirkan anak muda yang bebas, berpandangan jauh, kritikal, berpendidikan tahap tinggi, menguasai pelbagai bahasa serta bijak menyusun atur masa depan siasah. Dari itu saya sedar kepentingan politik sebagai satu asas pembentukan fikrah. Tidak mempunyai jalur pemikiran sebegini lebih baik memohon bekerja PTD di Putrajaya.

Selama-lamanya tidak akan ada perpaduan antara Islam dan Melayu. Kita akan terus hidup di atas muka bumi ini dengan perasaan dan sangkaan antara satu sama lain. Hakikat yang pasti adalah kita sama-sama mengejar kepentingan ekonomi dan penguasaan kekayaan harta negara. Dalam hal itu kita patut sama-sama berfikir dan bermuhasabah akan dimanakah kedudukan kita 10 tahun akan datang. Adakah akan kekal mencari pencacai najis atau hamba suruhan orang lain. Terpulanglah kepada kita untuk menentukan masa depan dan halatuju kita. Kita setakat mampu berdoa untuk yang terbaik bagi diri, keluarga, agama dan masyarakat kita.

Pertandingan di 2 bukit 1 batang adalah manisfestasi sebuah lagi artifisial kehidupan di bumi Malaysia. Selepas pilihanraya keadaan tetap sama dan tidak mengubah apa-apa. Demikianlah benarnya kata-kata Yang Maha Esa yang harus dijadikan panduan setiap masa.

kelembutan dan kasih sayang yang telah hilang


Dahulu saya bercita-cita menjadi seorang doktor. Ibu berkata jadi doktor bagus sebab boleh tolong orang. Saya bersungguh-sungguh untuk menjadi doktor. Selepas keputusan PMR diumumkan saya beria-ia ingin mengambil kelas Sains. Selepas ujian kumulatif personaliti saya dinasihatkan cikgu Faizal mengambil bidang Sastera. Cikgu Faizal berkata berdasarkan score personaliti saya tidak sesuai dalam bidang sains. Ini kerana saya lebih cenderung kepada bidang sastera. Saya mengikut saja apa kata cikgu. Seorang innocence yang tidak pandai dan naif. Tidak seperti Kak Fakhzan dan Abang Ikmal yang bijak tujuh petala langit tujuh petala bumi.

Pernah seorang ustaz mengingatkan saya jika ingin menjadi peguam mesti hati kering. Lebih lagi jika terlibat dalam politik mesti hati jadi lebih kering. Hati kering ini bukan bermaksud hati yang tidak basah dengan air. Hati kering ini mungkin maksudnya tidak mempunyai perasaan lemah lembut, kasih sayang atau caring. Jika menjadi pendakwaraya mesti hati kering mensabitkan tertuduh sebagai si pembunuh. Menjadi peguambela mesti hati kering melepaskan si perogol yang merogol anak gadis sendiri. Menjadi ahli politik mesti hati kering meng-C4-kan cik mek molek dari Mongolia. haha. Ini fitrah dunia. Jangan cuba merekrut ayat suci atau al hadis dalam soal ini. Dunia ini sememangnya kejam dan tidak pernah adil kepada sesiapa.

Jika saya bersikap kasar atau lucah dalam pandangan saya maka bagaimana pula dengan kelucahan yang berlaku di sekeliling kita hari ini. Hari ini warga daulah turun ke jalanraya kerna tidak tahan dengan kelucahan dasar mengajar Sains dan Maths dalam Bahasa Inggeris. Kelucahan sang penguasa menghalang anggota dewan undangan negeri Perak menggunakan dewan sidang sehingga terpaksa bersidang di bawah pokok. Kelucahan mengedar gambar bogel seseorang yang tengah tidur atas tujuan pemusnahan karier politik. Bagi saya ini lagi lucah. Pada waktu warga yang bercakap soal kebebasan dan kebenaran, sia-sia saja jika tidak tahu Artikel 10 Perlembagaan. Lebih baik kita bakar sahaja sijil-sijil yang ada kemudian pergi memohon PTD di Putrajaya.

Kebanyakan kita mungkin mempunyai kepentingan peribadi terhadap sesuatu. Jika kita tidak mengubah cara kita berfikir hari ini maka keadaan kita orang Melayu tetap akan sama seperti dulu. Kita tipikal, stereotaip, statik, stagnant dan selesa dengan apa yang kita ada. Hakikatnya dulu kita sama-sama berjuang di medan dakwah. Sibuk bertamrin dan berusrah. Tetapi selepas kerja di Putrajaya semuanya hilang. Ukhwah dan tarbiah dibakulsampahkan kerana kita selesa. Tidak perlu fikir apa yang orang lain difikirkan. Lebih baik fikir bagaimana memiliki isteri cantik, berumah besar dan berkereta WAJA. Ini tiada kena mengapa dengan yang hidup atau mati.

Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Buat apa kita bercerita tentang politik sekiranya kita boleh hidup selesa. Peduli apa dengan rasuah, pecah amanah atau kes rogol yang berlaku setiap 2.5 jam dalam negara kita. Itu semua masalah orang lain bukan masalah kita. Lebih baik kita bercerita tentang kek, alat solek atau bagaimana solekan model yang terkini. Akhirnya saya sedar bahawa dunia kita berbeza. Perbezaan ini tidaklah sampai memutuskan ukhuwah yang telah kita bina. Hakikatnya kita manusia sama-sama insan yang lemah lagi hina.

Bercerita begini pasti terkenang saat keseorangan di tepi tasik Putrajaya. Saat di mana azam itu dipulihkan kembali. Saat di mana semangat dan iltizam perlu dipugar dan diadun untuk menjadi kuat, dominan dan berkuasa. Bercerita lucah bukan bermaksud seseorang itu suka menonton filem lucah. Lupa bahawa dulu bukan bersekolah agama. Jika tidak hari ini mungkin akan kekal berkopiah dan berbaju raihan sambil memegang buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam".

Terima kasih atas kritikan. Teruskan usaha dan cita-cita kita. Anak-anak muda yang berwawasan, far sighted berpandangan jauh. Sukakan kekayaan, bercita-cita tinggi, ideal dan trendy. Mempunyai banyak idea, berani berkali-kali gagal, tidak takut dikatakan gila dan selalu berangan-angan. Pedulikan apa orang lain kata kerna yang membuatnya adalah kita.

bodoh tujuh petala langit tujuh petala bumi


Setiap kali keputusan SPM diumumkan saya akan tersenyum. Kita dihidangkan dengan berita kejayaan pelajar yang berjaya mendapat berbaris-baris A. Ini ditambah lagi dengan kenyataan menteri atau ketua pengarah pelajaran yang senyum ke telinga sambil berkata "keputusan tahun ini meningkat". Stereotaip ini dapat kita lihat saban tahun dalam negara. Cerita pelajar yang dapat berbaris-baris A dijadikan modal kejayaan sistem pendidikan negara ibarat menjaja goreng pisang panas. Statistik graduan menganggur sehingga terpaksa diberi subsidi kerja terus menjadi stigma anak Muda Malaysia. Masa depan anak muda Malaysia pada tongkat kerajaan.

Kadangkala kita hairan ke mana perginya pelajar yang cerdik pandai ini di alam kerjaya. Kita keliru melihat apa yang ada di dada akhbar dengan realiti sebenarnya. Kita menganggap bahawa kejayaan dalam hidup ini ditentukan dengan berapa banyak A yang kita mahukan daripada anak-anak muda. Drama ini lebih jelik lagi selepas keputusan diumumkan maka terpampanglah muka ahli-ahli politik memberi anugerah itu dan ini. Sekali lagi kita keliru dengan majlis pemberian hadiah kepada pelajar cemerlang ini.

Secara faktanya pendapatan purata isi rumah pada statistik RMK-9 ialah Melayu RM2,400, India RM 2,800 dan Cina RM 5,600. Tidaklah saya ingin membuat perbandingan pendapatan kaum mana yang lebih banyak. Cuma common sense berkata di mana halatuju pendidikan orang Melayu sekiranya kita hanya berbangga dengan fakta banyak A tapi tidak dengan pendapatan di atas 5K. Semua warga harus sedar akan hakikat ini walaupun kita ingin melahirkan cerdik dan ilmuwan pandai tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Kaum bumiputera yang mengaku memiliki ketuanan ini masih terbelakang dan mundur pemikiran.

Soalnya lagi dimana perginya cerdik pandai ini dalam membangunkan negara? Kita hairan sehingga ke hari ini kita masih banyak bergantung kepakaran dan sumber dari negara Barat. Kapal Selam Scorpene kita beli daripada Perancis. Jet Pejuang Second Hand kita beli daripada Russia. Kereta Kabal kita beli daripada US. Di mana perginya saintis dan teknokrat kita di bidang persenjataan dan ketenteraan. Adakah semuanya berkumpul di Wilayah Jengka. Atau masing-masing masih menyembunyikan diri di MSC Cyberjaya. Jika para pembaca ada fakta ini sila kongsikan dengan saya.

Memperoleh berbaris-baris A bukan noktah dan pengakhiran bagi sebuah cerita. Masih banyak pengalaman dan kemahiran hidup yang perlu diteroka. Sehingga hari ini kita masih kalah pada Singapura. Mengapa sehingga ke hari ini kita tidak melahirkan lebih ramai peneroka. Bukan peneroka Felda tapi peneroka idea. Sekali lagi saya terlupa bahawa tidak ramai anak muda yang berminat untuk menjadi Sang Pemula. Lebih baik memilih J-Qaf atau PTD di Putrajaya.

tentang kesabaran dan ketabahan


Sesuatu usaha itu memakan masa lebih kurang 3 tahun sebelum benar-benar berjaya. Saya percaya prinsip utama seorang usahawan tulen yang mahukan kejayaan dalam perniagaan adalah kesabaran. Kesabaran adalah satu kayu ukur samaada kita boleh bertahan atau tidak dalam menempuh rintangan dan halangan. Dunia perniagaan sememangnya penuh dengan kesusahan dan keperitan. Kemanisan hanya muncul selepas kita melalui semua itu. Kejayaan akan dikecapi apabila kita berjaya menempuh halangan dan rintangan itu.

Kita mesti bersedia dengan sebarang kemungkinan. Bersedia untuk menjadi miskin dan papa kedana. Bersedia untuk ditipu rakan kongsi. Bersedia untuk ditikam dari belakang. Bersedia untuk ditinggalkan orang yang dicintai. Semua itu adalah lumrah orang yang ingin mencabar diri dan menjauhi suasana tipikal. Meletakkan kepercayaan kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat.

Adakalanya saya berasa sebak dan kecewa melihat lot-lot kedai di bandar dikuasai dan terus dimiliki oleh kaum bukan Islam. Sebenak persoalan timbul di minda dimanakah anak-anak muda Melayu Islam yang berani dan yakin diri menceburi bidang keusahawanan. Saya terlupa bahawa anak muda Melayu Islam hari ini terlalu sibuk dan asyik mengejar PTD dan J-Qaf. Saya lupa bahawa anak muda Melayu takut dan jelek pada risiko perniagaan. Mereka mahukan keselesaan yang secepat mungkin supaya boleh membuat loan kereta Waja baru. Mereka mahu kahwin sebegitu awal supaya dapat membuat anak sebanyak mungkin.

Kekecewaan itu disembunyikan dengan merelakan kaum lain terus menguasai kek ekonomi dalam negara. Sekali lagi saya terlupa bahawa anak-anak muda Melayu Islam sibuk bertamrin dan berusrah. Saya lupa juga bahawa anak-anak muda asyik dengan politik dengan niat untuk menjadi wakil rakyat yang tak pernah menyusun rakyat. Saya mungkin terlupa bahawa anak-anak muda terlalu asyik untuk menjadi Presiden GAMIS. Saya juga lupa bahawa alam selepas kampus adalah alam untuk memikirkan soal beristeri cantik, chic, trendy, manja dan hot.

Jika saya diizinkan untuk lahir semula ke dunia ini saya tidak minta untuk dilahirkan di Malaysia. Ini mungkin kerana suasana Malaysia tidak membangun pemikiran anak muda untuk berdiri di atas kaki sendiri, teguh mendepani cabaran juga bersedia menerima kegagalan sebagai asas kepada kejayaan. Jika diizinkan saya tidak akan membesarkan anak-anak saya di bumi Malaysia. Ini kerana Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Kenapa tidak anak-anak saya nanti diajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Jepun, Korea atau Perancis?

Saya lupa bahawa segalanya terletak pada tangan dan kaki ahli politik. Ahli politik yang menentukan masa depan kita semua. Ahli politik yang membawa kemajuan kepada negara. Ahli politik juga yang memporak-perandakan sistem pendidikan kita dengan mengajar Math dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Ahli politik bersidang di bawah pokok. Pelajar-pelajar di Sabah dan Sarawak mungkin masih ada yang belajar di dalam kelas beratapkan daun pokok. Tiada bezanya antara dua kerana masing-masing bergantung dan berteduh di bawah pokok. Pokok adalah sumber ilham dan keuntungan. Sebab itu tidak hairan apabila orang Cina meletakkan tokong merah di tepi pokok.

Bersabarlah. Mahu cepat ini nak kemana. Mungkin akan sampai masanya kita akan memakan daging kawan kita sendiri. Ini kerana sikap dan perangai mahu cepat, pancut awal atau Mee Segera. Mahu cepat mencapai klimaks. Mahu cepat ke destinasi sedang asas belum lagi kukuh. Jika mahukan kejayaan sifat kesabaran ini perlu dipupuk. Mahu cepat mungkin menjadikan kita lelaki yang tidak budiman; atau perempuan yang hanya mengetahui tarikh jualan murah di IKEA dan JUSCO.