kaya raya tidak bermakna berjaya


Lazimnya orang percaya bahawa orang yang berjaya ialah orang yang hidup kaya raya. Mereka yang mempunyai anggapan begitu sebenarnya menganggap wang dan kejayaan adalah seerti- ada wang kita berjaya, tidak ada wang kita tidak berjaya. Pandangan inilah yang mendorong ramai orang bertungkus lumus hendak menjadi orang yang berwang. Selain daripada wang ada lagi perkara-perkara lain yang selalu dijadikan ukuran kejayaan, seperti jawatan, sijil, nama dan pangkat, tetapi wang adalah ukuran yang paling banyak digunakan.

Apabila seseorang itu menjadikan wang sebagai kayu ukur kejayaan, dia sebenarnya menggunakan ukuran luaran. Wang dan harta adalah suatu benda yang ada di luar diri seseorang. Dia juga menggunakan orang-orang lain sebagai perbandingan bagi dirinya, di mana untuk mengukur sama ada dia sudah boleh menggelarkan dirinya sebagai orang yang berjaya ataupun belum, dia membandingkan dirinya dengan orang-orang lain yang mempunyai wang. Kalau wangnya sudah sama banyak, ataupun lebih banyak daripada orang-orang itu, maka dia menganggap dirinya sudah berjaya. Perbuatan menilai kejayaan sendiri dengan menggunakan wang dan orang-orang lain sebagai perbandingan adalah cara yang tidak bijaksana.

Orang yang berjaya ialah orang yang dapat melakukan sesuatu dengan sebaik-baik keupayaannya, di dalam aspek-aspek yang penting dalam kehidupannya. Mereka melakukan yang terbaik berdasarkan bakat dan kemampuannya untuk agamanya, pekerjaannya, perkahwinannya dan bagi masyarakatnya.

Perbuatan mengukur kejayaan dengan menggunakan orang lain sebagai perbandingan adalah perbuatan yang keliru dan tidak realistik. Kita tidak berasal dari baka yang sama, sejarah hidup kita berlainan, dan situasi kita pun tidak serupa. Barangkali kita lebih bernasib baik dari mereka, oleh itu kita lebih berjaya. Tetapi, barangkali mereka lebih bernasib baik dari kita, oleh itu kita kalah.

Kalau kita asyik membandingkan diri kita dengan orang lain, kita menipu diri sendiri. Barangkali kita berjaya melakukan banyak perkara dengan sebaik-baiknya, tetapi kerana kita asyik membandingkan diri dengan orang lain, kita tidak menganggap kita berjaya. Ataupun kita mungkin menganggap kita sudah berjaya kerana kita dapat melakukan sesuatu lebih baik, walaupun sebenarnya hal itu dapat kita lakukan dengan tiada usaha besar kerana kita memang sudah memiliki keupayaan itu.

Kalau kita ada bakat menyanyi, apa ertinya kalau kita dapat mengalahkan orang yang tiada bakat menyanyi?

everything happens for a reason


Sebagaimana anda merasai rasa itu, maka saya juga merasai rasa yang sama. Kita semua merasai dan berkongsi rasa yang sama. Kita semua menyedari hakikat yang sama. Kita semua mempelajari dan sedang menjalani satu laluan perjalanan yang sama. Anak-anak muda di Palestin lebih lagi merasai. Mereka menghadapinya dengan realiti. Kita hanya mampu membacanya dari jauh. Mereka di sana sedangkan kita di sini. Rupanya kita tinggal di satu bumi yang sama. Tidak begitu jauh sebenarnya. Mereka cuma berada di seberang sana rupanya.

Kadangkala saya rasa bahawa kehidupan ini hanya di atas pentas. Sekadar lakonan. Ada orang yang baik dan ada orang jahat. Orang baik ditindas. Orang jahat menindas dan menyeksa. Orang baik terus dihina dan diuji dengan seksaan dan kekejaman. Orang jahat merasa gah dan terus kuat meneruskan kejahatan. Drama ini berkesudahan dengan orang jahat akhirnya kalah. Orang baik akhirnya beroleh kemenangan.

Beroleh kemenangan merupakan happy ending pada sesuatu cerita. Namun cerita di tanah Palestin ini..apakah happy endingnya. Atau adakah happy ending itu wujud. Jika wujud maka bilakah ia. Esok, bulan depan, tahun depan atau ketika kita semua sudah tidak wujud dalam skrip drama ini. Siapakah sutradaranya. Siapakah pengarah yang boleh menghentikan episod dan cerita ini. Apakah kita semua berani menghentikannya. Ini semua masih jadi misteri.

Apakah hari ini kita bermimpi. Tampar pipi kanan dan pipi kiri masih terasa sakit. Kita tidak bermimpi. Ini satu realiti. Anak-anak muda di tanah Gaza sedang berjuang dan bersedihan. SUARAM Human Rights Report 2007 saya campakkan jauh-jauh. Tiada lagi makna human rights. Hak Asasi Manusia apa sekiranya yang berlaku di depan mata kita semua terus berdiam diri. Ingin saja saya menyeru kepada semua Aktivis Hak Asasi membubarkan persatuan mereka. Hak Asasi warga Palestin adakah sesiapa yang tampil membelanya.

Mari kita berhenti sejenak. Merenung dan memikirkan jauh-jauh. Apakah erti dan makna kehidupan ini sebenarnya. Benarkah ini kehidupan yang kita cari selama ini. Benarkah ini adalah erti dan makna sebuah perjuangan yang dialungkan. Apakah sebenarnya kita tertipu dengan drama pentas ini di mana kita dan mereka adalah antara aktor-aktornya. Sampaikah masanya kita perlu turun dari pentas dan berkata sesuatu kepada pengarah dan pencipta karyanya.

8 tahun dahulu saya pernah merasai perasaan yang sama. Kini ia berulang lagi. Air mata yang mengalir tiada ertinya jika semua ini tiada kesudahan. Cerita kemenangan dengan pokok berbicara menyatakan musuh yang bersembunyi kembali menjadi harapan. Harapan untuk para pejuang beroleh kemenangan. Walau diri terasa lemah dan begitu lemah namun di sana masih ada sinar kelihatan. Semoga pengakhiran cerita ini adalah pada kemenangan dan saya cuma ingin bersama. Tiada masa lagi untuk menangis kerana air mata kita sudah lama kering. Kini masa untuk bekerja lebih gigih. Bermula di sini dan hari ini.

when imagination comes true


Cita-cita untuk membina sebuah akademi sendiri telah lahir sejak di tahun awal matrikulasi lagi. Pada waktu itu saya mengimpikan untuk memiliki sebuah pusat latihan untuk menjalankan aktiviti dan program konsultan sendiri. Jika tidak dengan bantuan sahabat seperjuangan mungkin cita-cita ini tidak akan tercapai. Pengalaman di dalam SPINS sungguh bermakna dan telah memberikan satu pendedahan akan cita-cita seorang anak muda yang ingin menjauhi dunia stereotaip dan tipikal. Maaf jika kenyataan ini persis mengulangi skrip yang sama.

Nah! Ini bukan lagi zaman berangan-angan. Ini bukan lagi zaman merancang. Tahun 2009 adalah tahun untuk melaksanakan perancangan yang diimaginasikan sekian lama. Di rumah saya sendiri abah membelikan satu almari khas untuk modul-modul yang saya dokumentasikan sejak zaman sekolah lagi. Fail yang tersusun rapi membuatkan saya puas. Puas dengan usaha dan segala cabaran yang telah ditempuhi. Zaman remaja yang dilalui kini semakin berlalu. Kita sudah semakin tua. Masa terus berlalu dan berlari. Saya tidak mampu mengejar masa.

Tiada azam untuk tahun baru. Saya hanya mahu laksanakan apa yang saya suka. Jika saya ingin buat company saya buat company. Jika saya ingin beli Toyota Harrier saya boleh beli. Jika saya ingin berkahwin saya beli perempuan. Namun ini bukan masanya untuk hal itu kerana ALTIS bagi saya begitu penting. Tanah 8 ekar di Kampung Kundur Ulu, Rembau bakal menjadi tapak sejarah. Anak muda SPINS bakal mempunyai sebuah resort latihan agro-tourism yang tersohor.

Bila orang melangkah setapak kita melangkah 3 tapak. Mendahului orang lain. Itu kuasa perancangan. Bila orang ada ijazah kita ada master. Bila orang ada master kita ada 2 PhD. Mengapa letakkan diri kita dengan nilaian kejayaan orang lain. Latar belakang dan suasana kita dibesarkan bukankah berbeza. Kita tidak akan mengenali diri selagi kita jadikan orang lain sebagai indikator bagi kejayaan kita. Selepas ini saya ingin menjadi manusia baru. Saya ingin membuat perubahan kerana saya pro-perubahan. Saya hanya ingin jadi anak muda yang bebas.

Usaha menarik investor ke ALTIS sedang berjalan. Sesiapa yang ingin menjadi rakan kongsi atau melabur di ALTIS dipersilakan. Kita bersama berkongsi fikrah anak muda alaf baru yang mahukan dunia ini menjadi milik mereka dengan panduan Sang Pencipta. Kita mahu buktikan yang anak muda Melayu boleh berjaya dan benci kepada kemiskinan. ALTIS bakal mencatat sejarah baru bagi anak-anak muda Negeri Sembilan. Sekalipun kita mati maka kita tidak akan berganjak dari cita-cita ini. Semoga ini menjadi inspirasi anak-anak muda Palestin untuk terus berjuang walaupun kita tidak pernah mengenali. Tetapi doa kita tetap sama bukan?

only the dead are safe in Gaza


Apa yang berlaku di Gaza ketika ini bukan lagi isu. Isunya ialah apa tindakan kita sebagai saudara seaqidah seagama. Berkata tentang tindakan maka tidak dapat tidak kita akan kembali kepada diri kita. Mampukah kita dengan kekuatan sedia ada menyelamatkan Gaza ketika ini. Bolehkah kita terus menempah tiket kapal terbang dari LCCT Labu di Negeri Sembilan terus ke Amman atau Tel Aviv untuk bersama-sama penduduk Gaza berperang mempertahankan tanah air mereka. Saya pasti ini agak mustahil untuk dilakukan.

Selain doa qunut nazilah yang dibaca berpanjangan, mengutip dana kewangan yang belum tentu sampai kepada penduduk Gaza, apa lagi yang boleh kita lakukan. Bercerita soal tragedi dan huru hara yang berlaku di Gaza ketika ini membawa kita kepada satu resolusi - soal daulah Islamiah dan kuasa umat Islam ketika ini. Berupayakah kita untuk menghalang tentera Ehud Olmert terus meratah jasad dan darah saudara seIslam kita. Siapakah kita untuk menegur mereka khususnya Amerika Syarikat untuk menghentikan semua ini. Ternyata kita tiada kuasa dan lemah selemah-lemahnya. Membeli dan memiliki kapal selam pun terpaksa melalui agen Mongolia di Perancis.

Kita tidak perlu bersedih dalam membicarakan soal ini. Ini bukan masa untuk bersedih. Ini masa untuk bertindak. Bertindak dengan kesedaran bahawa tanpa kuasa umat Islam akan terus layu dan dibelasah sesuka hati. Cuba lihat siapakah pemimpin di sekeliling kita yang bertindak ke arah itu. Adakah pemimpin kita mempunyai fikrah untuk membela atau setidak-tidaknya mewujudkan front tentera berani mati OIC untuk membantu perjuangan rakyat Gaza ketika ini. Isu ini akan berlalu seperti biasa dan Khairy akan terus dengan agendanya.

Stereotaip. Berdemo depan kedutaan US, di depan masjid selepas solat jumaat, berforum dan berseminar mengenai Palestin ini tidak akan menyelesaikan masalah. Permulaannya adalah pada diri kita. Lihat apa yang kita lakukan hari ini. Adakah tindakan dan pekerjaan kita dalam frame untuk menyelamatkan Palestin ketika ini. Adakah kita sedang bangunkan diri kita dengan ilmu, kepakaran dan persaudaraan untuk berdepan dengan situasi tidak menentu. Adakah kita takut untuk mati dan tinggalkan anak isteri demi perjuangan ini. Adakah kita mengundi pemimpin dari parti yang befikrah yang ingin menyelamatkan rakyat Palestin ketika ini.

Tidak payah poyo bercakap soal perjuangan jikalau tidak terlibat atau menyumbang dalam persatuan dan jamaah Islam. Menjadi bekas ahli jamaah bukan satu tiket untuk menyatakan kita telah selamat. Tidak turun ke program motivasi kerana malas dan sibuk dengan kerja juga satu tanda bahawa kita sebenarnya berada di dalam zon selesa dan tidak pernah terasa penderitaan yang dialami warga Gaza ketika ini. Tidak mahu mengeluarkan sedikit wang infaq adalah bukti bahawa kita sayangkan duit kita yang tiada nilainya bagi warga Gaza ketika ini. Yang bernilai bagi kita mungkin handphone keluaran terbaru yang ada 3G dan satelit TV.

Maafkan saya jika saya membenci budaya tipikal anak muda kampus hari ini. Bagi saya lantang bersuara di dalam kampus tidak cukup, kita perlu merancang dan membina sesuatu di luar kampus. Di medan yang lebih luas, mencabar dan masih mengikat diri kita pada ikatan persaudaraan dan jamaah Islam yang syumul. Mengharapkan ketua bahagian UMNO Seremban untuk memberi sokongan terhadap usaha kesedaran Palestin mungkin agak susah ketika ini.

Tidak salah sekiranya dikatakan bahawa apa yang kita lakukan hari ini saling berkaitan. Saya di sini dan anak muda di Gaza yang sedang mengumpul batu untuk di baling ke kereta kebal rejim tiada beza. Kami sama-sama anak muda. Sama-sama berjuang untuk pertahankan aqidah dan tanah air kami. Sama-sama meniatkan perjuangan ini untuk keredhaan Ilahi. Apa bezanya. Bezanya cuma pada anak-anak muda yang masih dalam ilusi dan fantasi.

Sampai masanya jika saya terpaksa tinggalkan segala keselesaan ini maka saya tidak takut. Di kampus dan di rumah saya dilatih dengan kesusahan. Merasa cukup dengan apa yang ada dan tidak meminta yang lebih dari itu. Keselesaan yang dibina cuma untuk orang lain dan untuk membuktikan bahawa anak muda Melayu boleh menjadi peguam yang berjaya. Setidak-tidaknya membuktikan bahawa anak muda tidak takut gagal dan berani bersaing.

Hanya yang mati selamat di Gaza. Anak muda Malaysia selamat mati di jalanraya. Selamat tahun baru 2009. Semoga tahun ini lebih bermakna daripada sebelumnya.