Setelah 52 tahun Merdeka, Selamat Tinggal Ogos


Benarkah negara kita telah merdeka selama 52 tahun? Persoalan inilah yang berligar dalam kotak fikiran kita ketika ini. Tahun ini tiada konsert merdeka. Kita berpuasa. Tiada hiburan sewaktu merdeka tidak bermakna kita tidak terus berfikir dan bergerak. Aktiviti berfikir dan bergerak ini tetap berjalan dan berlangsung. Sambutan kemerdekaan kali ini agak suam dan lesu. Tiada operasi tangkap khalwat. Kita tidak lagi dapat melihat anak-anak muda duduk bercumbuan di Taman Tema KLCC.

Melihat kepada apa yang berlaku di sekeliling kita menyedarkan kita bahawa kemerdekaan itu sebenarnya belum berada dalam jiwa kita. Kita bebas daripada penjajahan kuasa asing kerana perjuangan warga bangun menentang penjajahan dan penindasan. Mereka yang bangun menentang ini adalah mereka yang berjuang untuk kebebasan. Kebebasan bukan hanya pada pemerintahan negara. Yang lebih penting kebebasan pada jiwa dan minda kita. Bebas belajar, berorganisasi, merancang dan memimpin peradaban tanah air kita yang tercinta.

Hasil perjuangan comrade2 terdahulu inilah yang membuahkan nikmat keamanan dan kemajuan yang kita kecapi hari ini. Mereka yang layak diberikan tribute hanyalah mereka yang bangun berjuang. Mereka yang hanya pandai membodek dan mengampu tidaklah layak untuk kita iktiraf sebagai pejuang. Berpura-pura sebagai pembela negara bangsa tapi di belakangnya penuh dengan tipu muslihat, rasuah dan penyelewengan. Inilah yang masih kita warisi setelah 52 tahun merdeka. Kejayaan dicipta dengan menipu dan membohongi warga daulah 1Malaysia.

Nasi yang kita makan setiap hari sahamnya dimiliki oleh kuasa asing. dari Hong Kong. Tenaga dan usaha yang kita curahkan saban waktu untuk membiaya projek mega dan membazir seperti Port Klang Free Zone. Membeli senjata canggih dan moden didahulukan dari memberi makan orang miskin yang tinggal di setinggan. 52 tahun merdeka kita masih diselaputi dengan isu perkauman. Kata-kata manis yang dihambur hanya penyedap rasa untuk mengolah pandangan warga daulah.

Setiap kali berurusan dengan pentadbiran daulah kita berdepan dengan birokrasi. Perlu isi form itu dan ini. Proses yang lembap dan berprosedur ini membosankan jiwa anak-anak muda yang ingin maju ke depan. Yuran pembelajaran yang mahal, kos sara hidup di kampus yang tinggi serta anak-anak muda berhutang PTPTN yang menganggur tiada pekerjaan. Adakah kita melihat semua ini selepas 52 tahun kita mengibar Jalung Gemilang dan melaung perkataan 'merdeka'?

Akhirnya kesemua berbalik kepada diri kita. Kita sebagai manusia hidup hanya perlu memilih dan berusaha. Kita berusaha untuk mendapatkan satu kehidupan yang lebih bersih, baik dan harmoni. Kita inginkan kemajuan yang datang dari tenaga dan kudrat yang kita gembling bersama. Kita tidak akan sesekali memijak kepala lembu sepanjang hidup kita~

Waspada Taktik Permainan Kepala Lembu

Bila kepala lembu dipermainkan di bulan mulia ini, kita tak tahu nak kata apa. Marahkan kuil atau ada agenda tersembunyi. Di bulan yang mulia ini pun kita ambil peluang untuk mencuba sedaya upaya. Tak dapat jalan itu jalan ini. Tak dapat cara itu gunakan isu agama dan perkauman. Sudahlah warga sudah bosan dengan isu perkauman. Warga mahu hidup aman damai dengan segala kerumitan diselesaikan secara perundingan. Hentikanlah membuat onar di bulan mulia. Mari kita banyakkan beribadat~

Kartika Dewi, Arak dan Islam Plastik

Arak ialah benda haram dalam Islam. Ini jelas. Tiada dakwa dakwi lagi. Tidak perlu disebutkan dalil pengharaman jika warga tidak pernah membaca kitab suci. Tidak perlu kita berhujah dan berbahas panjang lebar kerana 1Malaysia walaupun ada Mahkamah Syariah, tetapi masih belum melaksanakan hukum Islam. Lupakan apa yang berlaku pada Kartika Seri Dewi yang tiba-tiba menjadi popular 1Malaysia selepas menonton drama Manohara Odelia Pinot.

Tiba-tiba warga mempersoal dan mempertikaikan keputusan Mahkamah Syariah Kuantan itu. Hakim menjatuhkan hukuman sebatan sebanyak 6 kali terhadap Kartika yang ditangkap meminum air syaitan itu di Cherating. Nasib tidak menyebelahi Kartika kerana ketika itu dia berada di Cherating. Mengapa tidak dia pergi ke Genting Highlands atau Colmar Bukit Tinggi. Jika dia tidak berada di Cherating pada hari kejadian sudah tentu dia boleh minum arak sampai bunting.

Jika kita meminta masyarakat menghormati kedaulatan undang-undang sivil mengapa tidak kita turut sama menghormati kedaulatan undang-undang syariah. Sungguhpun ditadbir di bawah bidang kuasa negeri Jadual Kesembilan Fasal 2, perundangan syariah mempunyai bidang kuasa tersendiri yang mesti dipatuhi dan tertakluk kepada semua yang beragama Islam. Badan Hak Asasi Manusia (Human Rights) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sepatutnya memahami dual-sistem yang ada di Malaysia bukan serkap jarang menuduh hukuman itu tidak adil, gender bias dan ektrimis.

Islam menyediakan hukuman bukan untuk menimbulkan kebencian tetapi sebagai satu method pendidikan. Jika dirotan 6 kali di Penjara Kajang yang kekurangan pakar rotan bolehkah ini mendidik warga supaya tidak meminum arak. Adakah rotan 6 kali itu sama seperti rotan yang kita semua lihat semasa Jabatan Penjara mengadakan demonstrasi di sekolah dulu. Habis terburai daging bontot si pesalah. Itu kesalahan jenayah sivil dibawah Kanun Keseksaan maka apakah itu tidak zalim dan kejam. Hukuman rotan di bawah kesalahan jenayah sivil selama ini adakah berjaya mengurangkan statisitik pengedar dadah dan pembunuhan dalam negara kita?

Jika hukuman jenayah Islam itu zalim, kejam dan tidak adil pada wanita maka lihatlah pula bagaimana hukuman kesalahan sivil itu. Adakah semua hukuman yang dijalankan berjaya memberi keinsafan kepada warga agar tunduk tidak melakukan jenayah. Jauh panggang dari api. Hari demi hari kita lihat jenayah semakin menjadi-jadi. Kita terus membelenggu diri menafikan apa yang telah diwahyukan kepada kita untuk kita turuti. Kita berbangga mengambil Islam nafsi-nafsi iaitulah Islam Hadhari.

Memang benar Kartika sudah insaf dan bertaubat walaupun kepala masih terbogel. Islam manakah yang kita ambil apa semuanya menjadi bercelaru dan haru biru. Sekalipun Kartika dihukum atau terlepas daripada hukuman rotan adakah itu berjaya menyelesaikan masalah arak yang menjadi ibu segala perbuatan jenayah dalam negara kita. Anak-anak muda Melayu di rancangan Felda Pasoh dengan selamba menoggeng botol arak yang dibeli di kedai serbaneka 24 jam di Simpang Pertang. Biarkan itu semua. Itukan lambang kita warga 1Malaysia. Rakyat didahulukan untuk terbarai tertonggeng dulu.

Jika mahukan Islam maka ambillah keseluruhannya. Jangan ambil Islam sekerat-sekerat. Itulah pesanan dari wahyu Yang Maha Esa. Biarlah orang kata kita ekstrim berlagak nak tunjuk hebat tanpa memahami perasaan kaum lain yang meminum arak sehingga muntah belilah, hakikatnya arak itu memang benda tak elok kepada semua warga tidak kiralah sama ada dia bersunat atau tidak. Biarlah daulah terus menghalalkan arak dan menjual kepada seluruh warga supaya akan datang lahir ramai lagi perogol, peragut dan mat rempit hasil daripada pendapatan cukai arak ~

Orang Melayu Jangan Mudah Dibeli

Kasihan melihat orang Melayu lama mudah dibeli. Dari dulu sampai sekarang kita masih dalam dilema. Benar kata Tun Dr Mahathir bangsa Melayu itu mudah lupa. Kita lupa dulu kita pernah buat strategi yang sama dan serupa. Jika gilakan kuasa sekalipun gunakanlah taktik lain. Sun Tzu dalam 'The Art of War' telah ajar kita 99 teknik di medan peperangan. Takkan itu pun tak boleh guna di alam praktikal.

Membaca buku 'Di sini Bumi Dipijak' telah mendatangkan semangat baru. Berbeda sungguh daripada apa yang dipelajari di buku Sejarah Tingkatan 5. Perjuangan kemerdekaan itu datangnya dari jiwa anak muda berani yang menggelarkan diri mereka Kaum Muda. Kesatuan Melayu Muda atau KMM itu menerbitkan sebuah akhbar bernama 'Al-Imam'. Jelas sekali kuasa tulisan dan siaraya dalam mengubah jalur pemikiran rakyat. Rakyat berubah dengan membaca!

Jika disorot kembali perjuangan menentang penjajah dahulu tidaklah lama. Kita baru merdeka 52 tahun. Saya baru menjangkau umur separuh daripada itu. Semangat dan ketabahan Dato' Bahaman, Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong meresap ke jiwa. Saya mahu jadi pejuang Melayu. Saya mahu jadi pejuang yang membebaskan Melayu dari terus bodoh dan diperbodohkan. Orang Melayu sebenarnya tidaklah selemah mana. Orang Melayu mampu untuk memiliki Ferrari dan Maserati tanpa perlu menjadi Ketua Bahagian.

Mengapa MCKK dahulu dibina untuk anak bangsawan. Mengapa orang Melayu dahulu dikerah tenaga untuk bekerja di sawah bendang. Kuasa Imperialis telah memunggah segala hasil mahsul dalam negara kita. Lupakah kita Perjanjian Pangkor yang begitu menyayat hati. Bumi dipijak jadi milik orang. Nenek moyang kaya raya. Tergadai seluruh harta benda dek kerana pemimpin berpuaka. Selama ini kita ditipu bulat-bulat. Slogan kita adalah Hidup Melayu bukan Merdeka!

Kini masanya untuk menyusun perancangan. Kini masanya untuk meletakkan asas-asas kekuatan. Misi untuk menawan kembali Britain. Harta mereka adalah harta kita. Segala yang mereka ada dibina atas hasil mahsul negara kita. Sampai masanya untuk kita kembali menyerang. Menyerang bukan dengan batalion tentera atau bom nukleur. Menyerang dengan ilmu dan strategi. Kita mesti dapatkan kembali hak kita.

Sudahlah Melayu. Kita sudah bosan berbicara tentang hak dan keistimewaan. Kita berbincang soal perundingan yang sepatutnya menjadi milik kita. Kita berbincang soal usaha dan pembangunan pemikiran masa depan. Kita berbincang soal Financial Intelligence dan Stock Market. Kita berbincang soal bagaimana membawa negara ini ke depan. Permatang Pasir tetap dalam keserabutan dan kedhaifan selagimana kita dan mereka, tidak mengubah cara berfikir kita. Kita mesti berfikir maju dan laju ke hadapan. Fikirkan boleh!

Selamat Berpuasa dan Jangan Lupa Bangun Sahur

Ramadhan satu medan untuk kita kembali kepada fitrah. Sekian lama kita hidup dalam keserabutan dan kebingungan politik. Tempoh ini kita terpaksa berpuasa daripada melakukan segala yang dilarang oleh Yang Maha Esa.

Bulan puasa yang paling susah sekali adalah mengawal diri masa membeli juadah berbuka. Semoga kita dapat mengawal perut dan pinggang kita di bulan yang mulia ini. Bulan ini bukan untuk kita melabon semua makanan yang tak pernah dijumpai di luar Ramadhan.

Sesekali teringat zaman dulu berpuasa di rumah. Waktu berbukalah yang paling meriah. Tiada manhaj politik bila berbuka. Semua tertumpu pada juadah dan hidangan. Jangan lupa berdoa di kala menunggu waktu berbuka kerana waktu itu berkat berdoa.

Bangun sahur. Satu lagi ujian politik kepada semua yang berpuasa. Apa yang boleh rembat, rembat sajalah walaupun air liur basi masih di pipi. Mimpi yang tadi masih bersambung di depan hidangan. Itu dulu. Cerita zaman kecik-kecik. Dah besar ni pun susah nak bangun sahur sebab takde orang nak kejut. Kawan kejut pun nak tak nak. Tak macam orang ada bini.

Itula orang suruh kawen awal taknak. Kalau tak raya ni dah boleh bawak anak balik kampung.

Solat terawikh. Jangan curi tulang semayang tak cukup. Kekadang buat 4-6 je. Yang lain missed dengan alasan pi toilet sakit perut. Kekadang tu tak pi langsung. Apa nak jadi anak-anak muda sekarang ni. Suruh jadi ustaz tak mahu nak jadi profesional jugak. Tapi atas alasan menuntut ilmu takpa.

Maaf hangpa semua terpaksa baca tulisan saya yang melilau ni. Sebenarnya saja nak ucap Selamat Berpuasa dan Ramadhan Kareem. Tu je pointnyer. Harap bulan puasa ni kurang cakap benda yang tak elok di samping banyakkan baca Al-Qur'an. Kalau boleh nak jadi soleh dan suci macam zaman sekolah kat SMKA SHAMS dulu ~

Masa Untuk Memperlahankan Kehidupan


Tiba masanya untuk kita memperlahankan kehidupan. Dalam mengejar impian, cita-cita dan harapan kita tidak boleh terlalu tergopoh-gapah. Kita perlu ada perancangan dan jalur pemikiran yang terancang, kemas lagi teratur. Tidak boleh tidak segala yang kita inginkan perlu selari dengan kekuatan, tenaga dan kudrat. Hakikatnya kita tidak boleh terlalu mengejar sesuatu di luar batas kemampuan.

Mahu cepat-cepat ini nak ke mana? Kita mahu mengejar apa sebenarnya. Kita mungkin mengejar masa sedangkan masa itu telah diperuntukkan buat kita. Masa muda adalah ruang untuk kita membina masa depan. Muda ertinya penuh idea. Kemudaan ini adalah senjata ampuh untuk menolak bingkai-bingkai sosial lama yang tidak lagi menarik dan menawan.

Sesekali kita berfikir dan merenung hati kecil kita untuk bertanya apakah jalan ini satu keputusan yang tepat dan betul. Sesekali kita sangsi dan ragu-ragu. Masa terus berjalan dengan kesangsian dan keraguan itu. Yang pasti kita tidak boleh berundur ke belakang selepas membuat sesuatu keputusan. Kita perlu terus melihat ke depan.

Kita mesti teruskan perjalanan. Ini diadun dengan sifat tabah, tegar dan istiqamah pada keputusan yang telah dibuat. Tidak pernah sekali anak-anak muda menyesali dalam hidup. Kita perlu terus berjuang. Akan sampai masanya lagi kita memakan mayat rakan kita sendiri dek kerana mahu segera dan cepat.

Demam itu satu kifarah dosa. Semoga kehidupan ini tidak dilihat begitu naif dan membosankan. Kita perlu merayakan kehidupan dengan idealisme dan jalur pandangan yang positif. Jika tidak apa bezanya kehidupan di 1Malaysia ini berbanding Kabul. Lebih baik tinggal di Gaza jika kita sudah tidak tahan dengan rencam kehidupan.

Permatang Pasir adalah manifestasi dua parti politik yang sepatutnya memperlahankan kehidupan. Jika kita terus bergaduh dan bertengkar bilakah masanya untuk kita merancang kehidupan. Selepas pilihanraya kita kembali bekerja untuk sebuah pencerahan~

Nikmat Yang Biasa Tidak Kita Syukuri


Disaat kita nikmati kebersamaan
Banyak hal kita terlewatkan begitu saja

Keceriaan, gelak-tawa serta canda
Semuanya mengalir begitu saja

Waktu yang tersedia

Seolah tak mampu untuk menampungnya

Begitu cepat berlalu

Berlari seolah tak mau berhenti


Kenangan-kenangan itu terasa tiap kali kita pergi

Pergi meninggalkan semua kegembiraan yang melenakan

Satu persatu kenangan itu diputar kembali

Ada sederet senyum saat terlintas filem-filem yang lalu


Kenapa kegembiraan itu harus pergi?

Kenapa tak selalu mengikutiku kemana pergi?

Kapan ini semua akan terulang?

Akankah kita tetap seperti ini?


Sahabat...

Semua yang pernah kita jalani

Hari demi hari, waktu demi waktu

Tatkala kita lalui semuanya bersama

Banyak hal yang pernah terjadi

Semua kita lalui dengan segala kekurangan yang kita miliki

Kadang benci, kesal dan kecewa

Juga senang, hormat dan sayang


Sungguh luar biasa apa yang telah kita lalui bersama

Inikah pemberian tak ternilai dari Sang Kuasa?

Yang sering kali tak pernah kita syukuri


Ya, Allah.. Lindungilah mereka yang ku-cinta

Rupanya Kehidupan Ini Sebentar Saja, Ustaz

Al-Fatihah atas pemergian Ustaz Mohamad Asri bin Ibrahim - Ketua Kumpulan Nasyid Rabbani yang pergi meninggalkan dunia kira-kira jam 11 pagi tadi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur. Mengenali ustaz sewaktu sekolah rendah lagi dengan gemersik suaranya yang syahdu, waima lagu nasyid kumpulan Rabbani antara pilihan ketika slot muhasabah program-program motivasi.

Pastinya pemergian ustaz satu kehilangan buat 1Malaysia lebih-lebih lagi dalam debaran menanti kehadiran bulan Ramadhan yang bakal tiba. Pastinya kita rindu dengan alunan zikir ustaz sepanjang menunaikan ibadah puasa atau sementara menanti juadah waktu berbuka. Saya pasti sahabat saya Shukri Othman lebih lagi sedih. Satu ketika dulu dialah yang mempromosi T-Shirt Rabbani-Satu Arah kepada saya. Dia juga agak rapat dengan arwah ustaz sewaktu kami gila bernasyid dan berprogram di sekolah menengah dahulu.

Sekarang ini, muda-muda pun mudah sangat dipanggil Ilahi. Hidup ini penuh ketidakpastian. Tiada lagi jaminan bila kita tua kita akan mati. Bila Tuhan mahu memanggil kita bila-bila masa sahaja. Tidak kira kita telah berkahwin atau belum. Tidak kiralah kita penyokong ISA atau anti-ISA. Tidak kira juga kita obsesif Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Lupakan saja itu semua. Kita sepatutnya kembali mengenal siapa diri kita.

Rupanya kehidupan ini sebentar saja, ustaz. Kita sebagai manusia hidup perlu terus berusaha sehabis boleh untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kita perlu solat, puasa dan membayar zakat. Kita perlu ucapkan yang baik-baik saja. Kita perlu rapatkan ukhuwah dan jangan bermusuhan. Lupakan segala dosa orang kepada kita, maafkan semua orang. Bermaafanlah sebelum kita dijemput kembali mengadap Yang Maha Esa.


Semoga roh arwah ustaz ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Ameen~

Apakah ini yang dinamakan CINTA?

Kadangkala saya rasakan ada baiknya duduk diam mengasingkan diri. Ini kerana saya melihat keserabutan yang ada di sekeliling kita. Pada hari ini mahu atau tidak kita terpaksa mengambil kira apa yang berlaku pada warga seluruhnya. 1Malaysia dilanda H1N1. 1Malaysia gelita kerana akta zalim masih lagi terpakai di negara yang dianggap maju. 1Malaysia menjadi rosak kerana arak dan judi. 1Malaysia menjadi huru-hara dek kerana politik terlalu gilakan kuasa.

Anak-anak muda terus ditipu dan diperbodohkan. Anak-anak muda tiada pekerjaan. Anak-anak muda terus miskin tidak menjadi tuan. Anak-anak muda tiada mata pencarian dan pendapatan. Anak-anak muda terus digalakkan berhutang keliling pinggang. Anak-anak muda tidak diajar ilmu pengurusan kewangan. Anak-anak muda tidak dilatih untuk memahami ilmu politik dan pengurusan. Semuanya buta dan tuli tiada ilmu kemahiran. Semuanya khayal membaca akhbar Berita Harian dan Utusan. Semuanya hanya berkisar pada politik kepartaian.

Mengapa hari ini kita tidak bergerak membina kekuatan. Mengapa hari ini kita tidak menyusun gerak langkah ke hadapan. Mengapa hari ini kita terus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Mengapa hari ini fikrah kita dibonsaikan. Mustahil kita tidak boleh berfikir bagaimana Beng Hock boleh terjatuh dari bangunan. Terang lagi bersuluh tidak akan merengkok orang yang jatuh dari tingkat lapan. Apakah semua ini direka untuk kita terus-terusan diperbodohkan.

Lupakan semua itu kawan. Lupakan kerna itu semua kita tiada kaitan. Lebih baik kita fikirkan bagaimana untuk terus maju ke hadapan. Kita fikirkan bagaimana untuk jadi jutawan. Kita fikirkan bagaimana untuk kahwin dengan isteri chic, trendy, cantik rupawan. Kita fikirkan bagaimana untuk bina rumah sebesar istana sultan. Pusing punya pusing kita akan berbalik kepada kepentingan. Siapa dalam dunia ini yang tak punya kepentingan. Kepentingan bukan sekadar cukup pakai dan makan. Kepentingan lebih banyak kepada mengumpul harta kekayaan.

Ingatlah sejauhmana kita melangkah kita tetap akan kembali pada Tuhan. Pada waktu itu tidak akan dikira kita rupawan atau jutawan. Yang dikira hanya amalan dan belas ihsan. Kita tetap dihisab tanpa mengira pangkat dan jawatan. Rupa-rupanya apa yang kita cari di dunia ini hanyalah khayalan. Khayalan itu adalah mimpi dan angan-angan. Tidak juga salah mempunyai mimpi dan angan-angan menjadi jutawan. Tapi janganlah sampai timbul sifat kita lupa daratan. Ingat dulu kita berasal dari tanah kontan. Ingat dulu tempat lahir kita semua adalah hutan.

Tiada sifat putus asa bagi seorang insan. Teruskan berfikir, belajar dan mengumpul pengalaman. Membuat salah itu sumber pengalaman. Anak muda berani tidak takut dengan kesalahan dan kegagalan. Anak muda berani tidak takut pada ancaman kemiskinan. Anak muda berani akan berusaha menambah pendapatan. Anak muda Melayu baru tidak lagi hanya membaca Utusan. Tidak perlu bershopping di Isetan. Anak muda Melayu baru juga tidak takut untuk berkhatan.

Kemudaan itu adalah Satu Cabang Kegilaan

Dunia ini akhirnya akan dimiliki oleh anak-anak muda. Dunia ini bukan milik orang tua untuk selama-lamanya. Orang-orang tua harus menerima hakikat bahawa dunia telah diamanahkan kepada mereka untuk sementara waktu sahaja. Lebih tepat lagi kita katakan bahawa dunia ini kita pinjam dari anak-anak muda. Ini adalah hakikat perjalanan sejarah hidup manusia.

Dalam sejarah tamadun manusia; perkembangan, pembaharuan dan pencerahan semuanya dilakukan oleh generasi muda. Falsafah, pendapat, idea dalam semua bentuk telah dibuktikan hanya berupaya dilahirkan oleh generasi muda. Hanya yang muda berani meneroka membuka jalan untuk pembaharuan.

Isa dari Nazareth disalib dalam kemudaannya kerana melawan kezaliman dan kemungkaran. Che Guevara wafat dibunuh di zaman mudanya. Gerakan nasionalisma dan pembebasan Tanah Besar China bermula dengan gerakan pelajar 4 Mei. Indonesia merdeka kerana Sumpah Pemuda. Tun Dr Mahathir mengkritik pentadbiran Tunku Abdul Rahman di zaman kampusnya. Turkey menerbus msuk ke dunia moden melalui Young Turks. Ahmad Boestamam, Chin Peng, Shamsiah Fakeh dan kaum nasionalis yang menjana gerakan nasionalis di Tanah Melayu telah mula bergerak sebelum umur mereka mencecah 30 tahun.

Muda bererti keberanian. Keberanian di sini bermakna berani menanamkan yang tua dan melahirkan yang baru. Hanya yang muda berani menolak dan mengoyakkan bingkai-bingkai sosial lama yang mengongkong dan melemaskan masyarakat. Anak-anak muda memiliki angan-angan dan mimpi-mimpi yang boleh dijadikan cita-cita. Dari cita-cita inilah lahir idealisme untuk melahirkan sesuatu yang baru, bersih, bertamadun dan menarik.

Kemudaan yang direncah dengan idealisme adalah ubat bedil yang paling ampuh untuk membawa apa sahaja bentuk perubahan dalam masyarakat. Tenaga muda ini muncul kerana anak-anak muda ini masih tidak terikat dengan rantai budaya atau rantai-rantai ekonomi yang memberatkan perjalanan cita-cita dan angan-angan mereka-ingin melahirkan Negara Malaysia yang baru.

Anak muda menjadi berani kerana mereka masih bebas dari rasuah yang sentiasa ingin menjerat dan memerangkap mereka. Mereka masih suci dari rasuah budaya yang ingin memperkukuhkan segala bentuk yang lama dan yang telah pudar sinar tarikannya. Budaya yang tidak merayakan kemudaan yang bersalut dengan idealisme pasti akan melahirkan masyarakat yang malap, gelap, miskin dan lembab.

Memang betul anak-anak muda kerana kemudaan dan kurang pengalaman hidup, besar kemungkinan mereka akan melakukan kesilapan. Memang benar kerana kadangkala anak-anak muda dilihat seolah-olah tidak berupaya untuk berfikir secara matang. Tetapi harus diingat membuat salah dan silap bukan hanya dimonopoli oleh orang muda.

Berani membuat silap dan gagal dalam percubaaan adalah tanda anak muda itu telah berani melakukan sesuatu. Pembaharuan dan penerokaan dalam sejarah tamadun manusia ini penuh dengan pelbagai macam salah dan silap. Dengan melakukan sesuatu, walaupu salah barulah timbul pengalaman. Hanya mereka yang muda dan berani sahaja yang tidak takut melakukan kesalahan sebagai pengalaman. Mengumpul pengalaman juga adalah salah satu sumber ilmu.

Anak muda yang tidak melakukan kesalahan atau kesilapan adalah anak muda yang telah dituakan. Anak muda yang miskin, papa kedana dan berpendapatan bawah RM5,000 juga anak muda yang telah dituakan. Anak muda yang menentang pembaharuan dan pencerahan pada akta zalim yang menindas juga anak muda yang telah dituakan. Anak muda berani adalah peguam muda yang bangun dengan agenda pencerahan ekonomi, sosial dan politik segala bangsa dalam negara kita (TT).

Kerajaan Sepatutnya Lebih Terbuka, Memahami

Jika kita mempunyai sebuah kerajaan yang terbuka dan toleran, saya pasti kita akan lebih maju dari apa yang kita ada pada hari ini. Kerajaan yang terbuka dekat dan memahami hati nurani rakyat. Jika hari ini kita berpandangan akta lapuk ISA sudah tidak relevan dan menepati ciri-ciri masyarakat moden urban, mengapa tidak mendengar suara hati rakyat ini. Kerajaan yang angkuh dan berkata ikut cara aku bukan caramu akan cepat ditolak oleh rakyat.

Sememangnya kita akui undang-undang salah satu mekanisme pencegahan, namun di sana ada satu jalur pandangan bahawa setiap yang dituduh mesti dibuktikan dahulu sebelum dihukum bersalah. Di sinilah berbezanya jalur pemikiran dua pihak yang menjadi turning point kepada demonstrasi rakyat. Menahan seseorang tanpa bicara tidak akan menyelesaikan apa-apa permasalahan selain mendatangkan lebih banyak persepsi negatif terhadap pemerintahan daulah.

Kita punya akal fikiran untuk berfikir. Berfikirlah secara rasional apakah nasib anak dan isteri kita sekiranya ditahan tanpa mengetahui apakah kesalahan dan bilakah dibicarakan. Hanya yang buta dan tuli sahaja tidak boleh memahami persoalan asas dan mudah ini. Hanya mereka yang tunduk kepada kuasa selain yang Maha Esa tidak mengerti dan memahami bahasa perasaan ini.