terima kasih PLUS terima kasih Pak Lah



1. Bermula ahad ini maka seluar saya terlondeh lagi hingga nampak spender. Ini kerana sebahagian pendapatan saya terpaksa ditabbaru'kan kepada towkey Projek Lebuhraya Utara Selatan. Seperti yang saya katakan sebelum ini kita harus berbangga menjadi rakyat Malaysia. Ini kerana kita ada pemimpin gerombolan yang terlalu bijak menandatangani perjanjian konsesi projek lebuhraya sehingga tahun 2038. Ini bermakna sehingga saya mati pun saya masih perlu membayar tol. Anak cucu saya nanti juga perlu membayar tol.

2. Dari manakah datangnya idea tol ini? Bagi saya tak perlu kita terpekik terlolong meminta harga tol ini diturunkan. Perbuatan demonstrasi atau debat untuk menunjukkan perasaan tak puas hati samalah seperti lembu bercita-cita ingin menjadi Menteri Besar Selangor. AMARAN. Jangan mempolitikkan lembu kerana lembu itu binatang dan makhluk tuhan. Jangan cuba merekrut lembu dalam hal ini. Isu tol ini tiada kena mengena dengan isu gambar bogel Kak Eli.

3. Bagi saya tidak apa untuk membiarkan kroni-kroni menjadi kaya. Memang adat dunia jika kita miskin kita akan ditindas dan dizalimi. Yang kaya bertambah kaya. Yang miskin bertambah miskin. Pemimpin hidup mewah dapat toll free dan melalui lane Smart Tag dengan lajunya. Rakyat menderita dan sakit menanggung beban. Anak muda mengelak untuk pulang ke kampung menjenguk ibunda kerana save bajet. Suami mengelak untuk menyentuh isteri kerana duit banyak ditabarru'kan kepada PLUS. Isteri tidak puas menikmati hubungan ranjang. bersama suami yang nazak mencari nafkah. Ini semua salah siapa? Salah lembu ke?

4. Dato' Mohamed Zin Menteri Kerja Raya dengan sekonyong-konyongnya berkata; " kenaikan kadar tol itu tidak seharusnya dilihat sebagai membebankan kerana mutu dan kualiti lebuhraya berkenaan terjamin, selain menjadi laluan alternatif di kawasan berkenaan. Kewujudan lebuhraya berkenaan juga, katanya, telah membawa rahmat kepada rakyat dan negara, dengan menggalakkan pembangunan, perumahan, perniagaan dan juga meningkatkan sosio-ekonomi penduduk sekitar" . Haha. Inilah ayat paling lucah yang saya pernah dengar seumur hidup. Kelucahan ini melonjak-lonjak seminggu dua ini.

5. Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan rakyat hidup selesa dengan kemudahan awam terbaik. Membina jalanraya adalah tanggungjawab kerajaan bukan bisnes kerajaan. Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai 1001 cukai dan tax sana sini. Cukai pendapatan, cukai perniagaan, cukai pintu, cukai kerajaan, parking fees, toll, bayar itu dan ini. Kalau kita tinggal di Kuala Lumpur bayangkan sebahagian hidup dihabiskan dalam kereta terperangkap dalam jam dan mengayakan lagi kroni konsesi lebuhraya. Jika pemimpin kita bijak maka tidak perlu membayar jutaan ringgit kepada konsesi. Sepatutnya pihak kerajaan yang menguruskan semua lebuhraya seluruh negara bukannya diberikan kepada konsesi.

6. Cukuplah. Tiada lagi ooh dan aahh dalam soal ini. Bukan tidak ada pemimpin yang bijak yang boleh berfikir hal ini. Tapi semuanya berkepentingan dan lebih memelihara kantung dan poket sendiri. Tiada guna berdebat dan terus berdebat sedangkan saya terus membayar harga tol yang tinggi setiap kali pulang ke Seremban. Saya pasti selepas ini akan berlaku banyak kes penceraian dan jenayah. Pandangan saya bila rakyat terbeban dalam kesusahan maka kehidupan akan jadi lebih huru hara. Emosi terganggu ini mengundang kepada kehidupan yang tidak selesa dan bahagia.

7. Terpulang kepada kita semua. Kita yang memilih mereka sebagai pemimpin. Tak guna nak kaji semula. Baik kita fikirkan semula kewajaran kita memilih mereka. Setiap keputusan terletak di tangan kita. Kalau tak boleh buat perubahan maka lebih baik jadi lembu atau ungka.

perdebatan satu amalan yang sia-sia


1. Dulu di sekolah saya menolak untuk menyertai pasukan debat. Sememangnya saya tidak pandai berdebat dan berhujah. Saya cuma tahu membaca dan berusrah. Pandangan saya terhadap budaya debat dan pidato ini terlalu kuno dan archaic. Bagi saya berdebat dan berpidato hanyalah 'cerita pari-pari' untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat dan pandai berbicara. Tiada tujuan untuk memperbaiki kerosakan yang ada. Ini perbuatan sia-sia. Masih banyak cara untuk kita mencari kebenaran. Jangan gunakan hujah intelektual dan akademik dalam soal ini. Ini samalah dengan menghalalkan menonton video lucah semata-mata untuk mencari ilmu atau teknik terbaru.

2. Hari ini saya melihat budaya di Malaysia apabila timbul satu isu kita suka berdebat. Sikit-sikit debat. Sikit-sikit debat. Isu rampas kerajaan kita berdebat. Isu mengajar maths dan sains bahasa Inglish kita berdebat. Isu sebar gambar bogel kita berdebat. Isu lembu pun berdebat. Orang Malaysia nampaknya suka berdebat. Laporan akhbar Kosmo hari ini menyiarkan ramai perempuan di Malaysia tidak puas dalam menikmati hubungan seks. Ini fakta. Tak percaya sila baca muka depan akhbar kosmo hari ini (Rabu 25 Februari 2009).

3. Ahli-ahli politik melabon untuk mencari kuasa politik yang hilang. Lulusan Ox-ford yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri sebelum usia 40 tahun. Mahasiswa yang obses menjadi Yang Berhormat selepas menamatkan ijazah pengajian Islam usuluddin. Kontraktor kelas F terpaksa turun berdemo sebab tiada projek. Ini contoh munkee yang suka berdebat dan berlabon dalam debat. Selepas debat keadaan jadi seperti biasa dan tidak memberi apa-apa kesan. Kita semua pulang dengan kepuasan nafsu seolah-olah kita menang dan satu pihak lagi kalah. Ada Melayu menang ada Melayu kalah. Yang menang adalah Cina sebab berjaya pakai Maserati terbaru. Anak muda Melayu berpuas hati memakai kancil dan proton WAJA.

4. Hari ini jalur pemikiran politik saya berubah 360 darjah. Saya tidak lagi mempercayai ahli politik yang suka berdebat dan berpencak silat di atas pentas. Hanya pandai bercakap tapi meninggalkan anak muda menjadi miskin dan merempat adalah perangai pemimpin kuno. Lembut gigi daripada lidah. Kalau sekadar bercakap maka burung kakak tua pun pandai bercakap. Berdebat dan berhujah tanpa tindakan adalah drama paling lucah di abad ini. Jalur politik baru sepatutnya mengharamkan budaya debat kosong. Pemikiran politik baru sepatutnya membina akademi melatih usahawan dan ahli perniagaan bukan PTD atau J-Qaf.

5. Rakyat sedang menanggung kos sara hidup yang sangat tinggi. Pemimpin sibuk dengan membariskan Rolls Royce dan Toyota Camry di lama rumah. Jikalau sibuk berdebat dan berpolitik maka kita semua akan hanyut dibuai mimpi. Ingin kesejahteraan dan keamanan tetapi lupa untuk membangunkan diri. Sekali lagi diingatkan orang baik jangan terlibat dengan politik yang ada kepentingan peribadi. Orang baik sepatutnya duduk di surau atau masjid berusrah.

6. Believe in a thing that you can see and touch is not believe at all, but believe in unseen is a triumph and blessing.

suara yang bakal datang dari 3 bukit


1. *Intro. Kita bertuah tinggal di bumi Malaysia. Bukan kerana Malaysia ada bermacam-macam jenis buah-buahan yang tidak tumbuh di Negara Mesir. Pohon rambai, duku dan durian memang tidak tumbuh di padang pasir. Tapi iklim Malaysia menjadikan kita warga yang berfikir dan sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air.

2. *Topic sentence. Krisis adalah dugaan. Krisis rumah tangga, krisis pribadi atau krisis politik semuanya adalah dugaan terhadap diri. Jika besar krisis itu lagi hebat dugaan yang akan di lalui.

3. Krisis peribadi akan menduga keupayaan fikrah individu. Krisis rumah tangga akan menduga si suami dan si isteri. Krisis keewangan akan menduga keupayaan CEO dan Pengarah Syarikat untuk bertindak. Krisis dalam bilik darjah akan menduga kecekapan guru.

4. Paling menonjol dan timbul dalam krisis politik ialah dugaan terhadap kepimpinan parti politik, kesebulatan suara politik dan kesungguhan tindakan yang akan di ambil. Jangan dilupakan: krisis politik ialah sekolah untuk mengajar dan menduga keupayaan fikrah orang ramai – warga - untuk berfikir dan bertindak.

5. Perletakan jawatan Adun Bukit Selambu dan kemangkatan Yang Berhormat wakil rakyat Bukit Gantang telah meluaskan lagi krisis politik yang sedang melanda Perak ke seluruh negara.

6. Seperti telah di takdirkan, YB yang meninggalkan dunia itu adalah wakil rakyat dalam kawasan Adun yang ‘telah lari dari Pakatan Rakyat’. Juga, seperti telah di takdirkan Adun Bukit Selambu juga telah membuat satu keputusan tepat – tidak ingin di ganggu gugat – beliau telah meletakan jawatan.

7. Niat dan harapan orang ramai – warga Perak dan warga Malaysia - untuk menduga dan menguji kembali sokongan terhadap Pakatan Rakyat atau penolakan terhadap Barisan Nasional melalui pembubaran Dewan Undangan Negeri telah di gagalkan. Tetapi belum pun habis kopi secawan diminum , harapan warga Perak dan warga Malaysia tiba-tiba termakbul. Seolah-olah ada ‘perancangan Yang Lebih Tinggi’ dari perancangan menteri atau raja.

8. Krisis politik di Perak telah memuncul satu keadaan dimana ianya meminta warga Perak dan rakyat Malaysia menilai diri mereka sendiri. Krisis ini menuntut warga Malaysia untuk memahami apakah itu yang di panggil Perlembagaan dan kenapa bagitu penting sekali untuk warga mengetahui sekuran-kurangnya semangat dan roh Perlembagaan itu.

9. Selama ini mungkin ramai warga yang ambil endah tidak endah terhadap Perlembagaan Negara mahu pun Perlembagaan Negeri. Memang betul, dalam suasana berpesta ria riuh berpekik terlolong mengumpul harta dan mencari makan Perlembagaan tidak di pernah termasuk didalam ajenda pribadi. Kini semuanya telah berubah.

10. Krisis di Perak ini telah mengajar kita semua untuk memahami apa tugas kita sebagai warga. Telah terlalu lama – lebih dari 50 tahun – warga telah memberikan keyakinan kepada pelbagai bentuk lembaga untuk mentadbir negara dan negeri.

11. Selama 50 tahun ini kita dengan selesa membenarkan ‘ orang-orang’ yang kita yakini untuk mentafsir dan merangka perundangan yang melibatkan kehidupan kita sehari-hari. Warga tanpa sedar, malah mungkin lalai kerana sibuk dengan berpesta mengumpul harta – telah memberikan hak-hak mereka kepada ‘susuk-susuk’ yang diharap-harap akan membawa kesejahteraan. Krisis di Perak telah menunjukan ini sikap lalai ini wajib di hentikan.

12. Justeru krisis di Perak adalah curahan air salju kepada warga agar bangun untuk menilai diri. Warga tidak boleh lagi berlenggang kangkung dengan membiarkan ‘orang-orang’ yang kita anggap berilmu, berpelajaran atau berstatus untuk menjaga kepentingan warga.

13. Krisis di Perak menuntut warga untuk menjadi prihatin terhadap apa sahaja yang berlaku di sekeliling kehidupan yang mungkin membawa faedah atau pun membawa mudarat kepada diri. Krisis di Perak menjemput warga untuk peduli terhadap segala tindak tanduk orang orang yang dahulunya telah kita berikan kepercyaan.

14. Saya yakin betapa kecewanya rakyat Perak apabila kerajaan yang mereka tubuhkan tiba-tiba ‘runtuh di rampas’ dengan sekelip mata. Saya juga yakin bertapa sedihnya warga Perak melihat segala perancangan dan mimpi-mimpi mereka untuk mewujudkan Perak sebagai sebuah negeri contoh kini tinggal angan-angan.

15. Wujud satu proses pembelajaran dengan krisis ini. Kuliah pertama untuk di hayati ialah semua lembaga-lembaga yang wujud dalam negeri atau negara ini bukan bermula dengan sultan , raja atau yang ahli-ahli yang berhormat. Kuasa bermula dengan satu lembaga yang lebih ampuh dari semua lembaga daulah, lebih kuat dan tidak akan berubah-ubah – lembaga ini ialah suara warga itu sendiri.

16. Lembaga-lembaga daulah, perundangan daulah yang di wujudkan sama ada melalui Parlimen atau Dewan Negeri bertujuan untuk memastikan sesebuah negeri berjalan lancar, adil dan telus. Untuk memastikan keadilan dikecapai oleh semua warga. Justeru kata pemutus dan suara veto terakhir ialah suara orang ramai. Inilah kuliah awal wahid yang amat-amat wajib di fahami.

17. Kuliah kedua yang wajib di hayati ialah agenda sempit tentang Cina, Melayu, India dan hal-hal perkauman. Agenda perkauman ini hanyalah agenda yang akan memecah belahkan setia kawan bangsa-bangsa. Nilai-nilai dan hujah perkauman ini harus kita akui bukan hanya wujud di dalam Barisan Nasional tetapi wujud juga di dalam Pakatan Rakyat.

18. Justeru, krisis di Perak ini telah menimbulkan satu asakan dam memaksa kita sebagai warga untuk melihat diri dan menilai pegangan dan falsafah hidup. Bercakap manis tentang hak asasi, bercakap lunak tentang hal Perlembagaan atau bercakap tentang tidak ada perbezaan antara Cina, Melayui atau India - cukup senang.

19. Lidah tidak bertulang. Semua orang boleh bercakap. Burung tiong juga boleh bercakap. Cakap-cakap manis ini menjadi lebih manis jika yang bercakap ini itu dilihat berpendidikan tinggi perigi – pernah ke Dubai, ke Harvard atau ke Oxford untuk belajar.

20. Apa yang terjadi di Perak telah mengajar kita bahawa cakap-cakap ini akan di uji dan di duga. Ujian utama terhadap manusia ialah sama ada dapat mengkotakan apa yang dicakapkan. Bercakap dan melakukan adalah dua pekara yang amat berbeza. Bercakap cukup senang macam memecah sebutir telor. Melakukan cukup susah seperti ingin mendirikan jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.

21. Hendaknya warga Perak dan warga Malaysia akan mendapat pengajaran yang tinggi dari krisis ini. Hendaknya warga akan belajar dan mengingati untuk tidak bagitu terpengaruh dengan cakap yang molok-molok tetapi hati menjaga tempolok. Atau terdodoi mendengar cakap yang molek-molek tetapi tahi berguling bergolek-golek.

22. Kuliah ketiga ialah menterjemah kemarahan. Marah adalah sifat yang paling hina didalam naluri manusia. Naluri marah ini wujud untuk semua manusia di dunia ini. Apa yang membezakan susuk yang bertamadun, sopan dan berilmu adalah bagaimana naluri kemarahan yang buruk ini boleh di terjemahkan untuk kebaikan.

23. Seperti telah di rancangankan oleh Yang Maha Esa – penduduk di Perak dan di Kedah - sedang di duga apakah mereka akan dapat menterjemahkan naluri kemarahan yang hina ini untuk dijadikan kudrat yang maha kuat untuk meraut kemenangan yang gilang gemiling dalam dua pilihanraya kecil yang akan dijalankan pada 7 April 2009 nanti.

24. Membawa marah dan dendam ke hulu ke hilir adalah satu beban. Menyimpan marah dan dendam di dalam sanubari akan memberi tekanan kepada jantung dan saraf. Ini tidak bermakna warga tidak oleh menjerit menunjukkan marah kepada ketidak adilan dan kebejatan. Menjerit dan tunjukanlah perasaan marah itu semarah mungkin.

25. Tetapi akhirnya marah ini wajib di terjemahkan untuk kebaikan umum. Marah kerana marah adalah sikap orang yang tidak berfikrah. Dua buah bukit – Bukit Gantang dan Bukit Selambu - kini berdiri tegak menunggu untuk menduga hati marah warga Perak dan warga Kedah.

26. Lambakan undi yang melimpah ruah dari Bukit Gantang dan Bukit Selambu akan menenggelamkan semua kemarahan dan dendam. Jika ini dapat dilakukan semua polong dan hantu raya di Perak akan bertempiaran mencari tuan. Bila ini belaku warga Malaysia semuanya akan tersenyum dari bibir sampai ke telinga. (In courtesy of TT)

27. *Conclusion. Kata yang baik harus kita sampaikan. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri bertindak mengubahnya.

aduhai Malaysia yang ku chenta

1. Pada hari ini di Malaysia ada satu cara untuk kita memusnahkan karier politik seseorang. Mudah saja. Sebarkan gambar bogel seseorang itu kepada umum kemudian membuat huha dalam media. Sungguh efektif cara ini sehingga akhirnya si mangsa akan dipaksa meletak jawatan atas alasan untuk menjaga nama baik parti atau rakyat yang memilih.

2. Jangan terkejut jika saya katakan bahawa orang politik tidak ada yang bersih. Dalam banyak segi kita lihat orang yang desperate sanggup lakukan apa sahaja sehingga hal atas katil pun dibincangkan secara umum. Kita simpati terhadap apa yang berlaku pada Kak Eli ADUN Bukit Lanjan. Siapalah yang tidak keruan bila hak privasi menjadi bahan tontonan orang ramai. Saya tidak pasti di zaman apakah yang kita tinggal kini. Saya rasakan sebahagian Yang Berhormat dalam negara kita ini sudah hilang akal.

3. Jika terlalu gilakan kuasa sekalipun janganlah menyerang peribadi seseorang. Apatah lagi dengan perbuatan menyebar gambar ini menjadikan anak-anak muda teruja daripada tak tahu kepada tahu. Ini bukan lagi soal untuk kita melabon ke sana ke mari inginkan kuasa yang telah hilang. Ini soal maruah dan tatasusila kita bersama. Di waktu rakyat tertekan dengan kegawatan ekonomi, hilang pekerjaan dan pendapatan; hari ini ada pula yang buat lawak bodoh sebarkan gambar tak tentu hala.

4. Apapun kita tahu isu ini satu diversion terhadap apa yang berlaku di Perak. Baru hari ini saya sedar bahawa isu-isu lucah, seks dan bogel ini boleh menjadi senjata yang ampuh untuk menutup mata orang ramai terhadap isu yang lebih besar. Sungguh liciknya pihak media untuk membawa minda dan jiwa rakyat pada isu remeh-temeh dan kecil sehingga rakyat terlupa bahawa harga tol akan naik lagi bulan Mac nanti. Maka sebahagian pendapatan saya ditabarru'kan kepada Projek Lebuhraya Utara-Selatan.

5. Pada hemat saya, perbuatan ini melanggar hak asasi dan merendahkan maruah wanita. Saya rasakan orang yang menjadi menjadi dalang menyebarkan gambar ini jika dia lelaki harus disunat semula. Jika dia perempuan maka suka hati-lah nak buat apa. Perbuatan ini lebih teruk daripada binatang yang bernama buaya. Saya rasa si dalang penjenayah ini tidak wajar dipenjara. Patut dia ditangkap dan digantung kaki di atas kepala di bawah dalam keadaan bogel.

6. Kita mengutuk perbuatan durjana yang memalukan ini. Jangan marah kalau anak muda hari ini sebarkan gambar bogel atau tonton video lucah. Bukankah orang tua juga yang mengajar mereka berbudaya begitu. Kita patut menyalahkan diri sendiri dahulu sebelum menuding jari menuduh pihak Barat.

aku mau kawen dengan anak raja


1. *Intro. Patik mohon untuk tidak derhaka. Patik hanya mahu coretkan pandangan patik terhadap institusi raja. Patik bukan keturunan raja. Patik hanya rakyat biasa yang hina dina. Patik mohon gunakan bahasa rakyat biasa. Ini kerana patik bukan anak raja waima punya hubungan dengan mana-mana gundik raja. Patik hanya kenal dengan Raja Kapoor melalui filem Tamil yang Patik tonton sewaktu kecil melalui TV hitam putih berjenama Singer.

2. *Topic sentence. Dulu saya pernah berangan-angan untuk kahwin dengan anak raja. Idea ini timbul setelah saya menonton cerita bawang putih bawang merah. Berkahwin dengan anak raja atau mempunyai hubungan dengan kerabat raja sudah pasti menjadikan hidup kita bertuah. Tinggal di istana bergoyang kaki dan tangan. Semuanya disediakan dengan kemewahan dan keselesaan. Tidak perlu susah payah belajar bagai nak rak. Tidak perlu terlalu pandai atau cerdik kerana pasti dapat belajar di universiti ternama atas title raja. Gelaran dan pangkat menjadi pujaan rakyat biasa. Hidup ini begitu indah sekiranya menjadi anak raja.

3. Rupanya itu hanya ilusi sebuah kehidupan. Saya hanya bermimpi. Dari mana datangnya idea raja ini saya pun tidak tahu. Setahu saya raja ini perlu dihormati dan didaulatkan. Jika tidak terkena Tulah. Tidak pasti apakah Tulah itu kerana sewaktu kecil saya hanya mendengar itulah. Saya tidak pasti mengapa dalam struktur masyarakat kita terlalu banyak kelas dan kasta. Ada orang yang terlalu kaya dengan gelaran diraja dan istana. Saya tidak pasti apakah raja juga bekerja seperti rakyat biasa. Maafkan saya jika ini semua dianggap derhaka. Saya hanya mencari dan ingin mengenalpasti asal usul manusia bernama raja.

4. Setahu saya jika menjadi raja atau keturunan raja selain tinggal di istana, plat kereta berwarna kuning menyala. Tidak perlu membayar tol seperti rakyat biasa. Ada kereta dan motor polis peronda. Raja dikatakan pembela Melayu dan agama. Ada juga pengkhabaran bahawa kehidupan diraja penuh dengan dosa dan noda. Saya tidak pasti apakah benar ini semua. Yang pasti raja tetap raja dan tidak akan menjadi rakyat biasa. Tidak perlu aaah dan ooohh lagi dalam soal ini. Rupanya jika kita ingin menumbangkan sesuatu kerajaan kita boleh berselindung di sebalik nama raja. Jika kita ingin kekal berkuasa kita boleh minta pertolongan raja. Sekali lagi patik mohon ampun patik sembah di ampun. Patik hanya ingin mencari cahaya kebenaran.

5. Alangkah baiknya jika datuk saya dulu keturunan raja. Eh silap. Alangkah baik sekiranya atuk saya dulu ketuturnan raja. Jika tidak pada hari ini sudah tentu saya dipanggil Yang Mulia. Tidak perlu saya jadi anak muda yang berhempas pulas berusaha mengejar cita-cita. Cukup memberikan ucapan penuh karisma di majlis dan dan perhimpunan rakyat biasa. Tentu semua orang kagum dengan saya kerana saya anak raja. Tidak perlu bayar cukai dan tol di lebuhraya. Tentu setiap pagi saya bermain golf di pinggir kotaraya. Hujung minggu saya bercuti di London atau Singapura. Kenapalah dulu nenek saya tidak pilih putera raja sebagai jejaka pilihannya.

6. *Mamak, teh tarik satu!! - Saya pasti ayat ini tidak akan muncul jika saya anak raja. Adakah minum teh tarik juga dianggap derhaka. Oleh itu saya lupakan hasrat untuk jadi menantu raja..

biarkan si cheneke dengan labu-labunya

1. Benar kata bos saya bahawa apa yang terjadi di Perak adalah lumrah politik. Sebab itu orang baik katanya jangan terlibat dengan politik. Orang baik kena jadi businessman macam dia. Pakai Mercedes Benz S-80 Kompressor, tinggal di rumah Banglo 3 tingkat dan mempunyai unliquidated asset lebih 1 juta di OffShore Labuan. Perangai gila seperti ini menjadi kesukaan saya. Namun saya masih percaya pada kesucian politik biar biar betapa kotorpun ia. Politik bagi saya adalah jalur pemikiran membaiki urusan hal ehwal umat dan negara. Memahami ilmu dan garis politik harus menjadi subjek wajib bagi anak muda hari ini.

2. Sewaktu kecil dahulu saya selalu dengar perkataan 'cheneke'. Ini bahasa orang Nogori Sembilan. 'Cheneke' ini bermaksud perbuatan 'main tipu' atau 'baling batu sembunyi tangan'. Butir-butir 'cheneke' ini selalu terhambur keluar dari mulut anak-anak kecil yang bermain ketenteng atau lecut tin di halaman rumah. Contoh ayat:- 'cheneke la kau ni!!'. Ini terjadi apabila ada kepala yang bermain tipu atau silap mata semata-mata untuk menang mudah dalam permainan. Budak 'cheneke' ini biasanya akan dipulau dan dikutuk oleh rakan-rakan satu kampung. Silap haribulan mungkin permainan itu diboikot lalu tinggallah si 'cheneke' untuk bermain sendirian dengan selipar Jepun.

3. Mungkin itu gambaran paling tepat yang boleh dilihat terhadap apa yang berlaku di Perak kini. Si 'cheneke' sedang sibuk melabon dan meraung-raung gilakan kuasa. Bagi saya dalam situasi ini kita tidak perlu membazir masa untuk eeeekk dan aaaahhh. Perbuatan ini sama ibarat mamat yang kehilangan bini. Apa yang perlu dilakukan kini adalah meniru cara anak-anak kecil tadi ; membiarkan si 'cheneke' poyo bermain sorang-sorang. Lambat laun satu kampung akan sedar si 'cheneke' memang kaki silap mata dan putar alam. Orang kampung akan mula memboikot si 'cheneke' atau mungkin tidak mempedulikannya sama sekali.

4. Baru-baru ini saya mengalami muntah-muntah yang agak teruk. Tidak tahu mengapa saya begitu mual tiap kali menonton berita TV3 jam 8. Saya rasa situasi yang berlaku di Perak hari ini lebih teruk daripada menonton drama lucah. Drama dan peristiwa ini lebih hebat daripada drama si Pari-Pari Indonesia setiap petang. Isu perkauman dan racist timbul semula setelah rakyat mahukan perubahan tanggal 8 Mac. Kali ini isu saman-menyaman Sultan muncul lagi. Tidak perlu dibahaskan Artikel 16(6) Perlembagaan sekiranya undang-undang di kambing hitamkan. Soalnya siapakah dalang di sebalik kekecohan ini. Siapa sebenarnya yang melompat dan tidak beretika. Adakah Bik Mama terlalu marah apabila isu beratnya menjadi isu nasional.

5. Jangan bermain 'cheneke' jika tidak mahu dipulaukan orang kampung atau hilang kepercayaan selama-lamanya. Orang 'cheneke' biasanya akan hilang kepercayaan dan dihalau keluar dari kampung. Bayangkan kalau si cheneke jadi ketua kampung. Sudah pasti habis tanah-tanah di kampung dijual dan dilabon. Bagaimana pula keadaannya apabila si 'cheneke' memerintah kerajaan negeri? Lu pikir la sendiri.

the revolution is easy - really?


1. Saya meminati politik sejak kecil. Tiada dalam keluarga saya yang menceburi mahupun terlibat dalam parti politik. Ayah saya tidak pernah melanggan Harakah mahupun Suara Keadilan. Bahan bacaan ketika saya masih kecil adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian. Itu cerita dulu. Hari ini di rumah hanya ada Akhbar Sinar Harian. Ayah saya sudah bosan. Cerita politik hari ini bukan lagi soal usaha memartabatkan kehidupan dan pembangunan insan. Politik hari ini mendasar kepada perebutan kuasa dan kedudukan.

2. Sewaktu pulang ke kampung beraya Cina baru-baru ini saya berbual dengan jiran. Majoriti mereka bercerita soal masa depan gerombolan. Mereka mahukan anak muda bangkit untuk mempertahankan ketuanan. Saya hanya mendengar dan tersenyum mengiyakan. Bukan bermakna setuju dan tidak juga ingin melawan. Orang tua saya hormati sebagai seorang insan. Saya suka mendengar luahan perasaan. Saya suka kepada mereka yang berani mempertahankan ketuanan. Saya juga pro-perubahan. Politik sifatnya berubah dan bertahan. Ini revolusi. Revolusi seperti mana yang dipelopori Shah Iran di era 70-an. Ini adalah gelombang perubahan. Namun perubahan ini masih perlu diberikan perhatian.

3. Umum mengetahui saya membenci stereotaip dan tipikal. Hari ini orang Melayu sangat takut untuk berubah. Orang Melayu sangat sinonim dengan budaya mengampu dan menongkat. Orang Melayu sangat tipikal dengan idea-idea lapuk dan lama. Pemimpin Melayu suka berbaju batik lengan panjang. Makcik di Felda dan kampung suka dengan gelang tangan berjela. Saya rimas. Anak muda hari ini rimas dengan keadaan ini. Apa yang berlaku di Perak membuatkan saya lebih rimas. Budaya suka melompat ini adalah perangai binatang yang suka melompat.

4. Dikala rakyat menghadapi kesempitan hidup yang begitu memeritkan hari ini, ada pemimpin yang sibuk mengejar kuasa dan jawatan. BN atau PKR bukan persoalan. Akhbar melaporkan ratusan ribu rakyat dijangka kehilangan pekerjaan. Ekonomi merudum. Graduan menganggur. Tambang bas naik. Rakyat asing yang bekerja dalam negara dibuang kerja dan hilang sumber pendapatan. Indeks jenayah meningkat. Rakyat hidup dalam keperitan. Polis hilang sabar lalu membelasah Kugan.

5. Mari kita bermuhasabah dan melihat semula peranan sebenar kita. Baru kita sedar bahawa apa yang terjadi kini berkait rapat dengan soal pemerintahan dan kuasa. Politik bukan sekadar platform untuk mendapat gelaran Dato' atau Tan Sri. Politik adalah soal urus tadbir sosial dan kehidupan. Politik adalah soal penghayatan sebuah kehidupan yang bebas dan aman. Politik bukan lagi soal pemberian sedekah lembu dan kambing untuk menunjukkan betapa tingginya nilai keIslaman. Politik lebih berat kepada soal pendidikan dan perkhidmatan. Mewujudkan kelas dan darjat tertentu dalam masyarakat adalah budaya yang cukup memualkan.

6. Akibatnya pada hari ini kita terdorong untuk menjadi wakil rakyat kerana pangkat dan gelaran. Anak muda sudah muak dan rimas dengan janji manis dan cakap kosong ahli politik. Baik yang memperjuangkan nasib bangsa dan menggunakan retorik agama. Jika dahulu YB2 sinonim dengan kereta mewah dan bergaya, mengapa tidak hari ini para pemimpin merendah diri dengan menaiki kereta biasa. Perlukah ucapan perasmian berjela-jela di majlis rasmi. Perlukan penghormatan terhormat dan karpet merah untuk program bersama rakyat. Munkee ini lupa bahawa rakyat yang memilih mereka. Munkee ini lupa mereka hanya 'wakil' pada rakyat. Bila jadi wakil rakyat maka tempatnya di Dewan Rakyat atau DUN bukan di Pekan.

7. Cukuplah dengan sterotaip yang ada dulu. Kini rakyat mahukan perubahan. Kita tidak mahu lagi melihat pemimpin formal berbaju batik lengan panjang turun ke Felda dan kampung merasmikan majlis. Ini tidak cool dan sempoi. Dalam bahasa lain pemimpin jenis ini dinamakan poyo. Kita tidak mahukan pemimpin poyo baik daripada BN, PKR atau PAS. Pemimpin poyo tidak layak untuk jadi pemimpin. Kalau mahu kontrek dan projek jangan jadi pemimpin Pakatan Rakyat. Sila jumpe Bik Mama atau Dato' Shah Rukh Khan.

8. Kita hanya memilih pemimpin yang selesa berkereta Datsun dan Nissan 60-an. Kita memilih pemimpin yang mementingkan agenda pendidikan untuk membela dan menternak lembu bukan memberi sedekah lembu. Kita hanya memilih pemimpin yang boleh dijumpai di kedai kopi dan masjid tanpa sebarang birokrasi dan sekatan. Kita selesa dengan pemimpin yang tidak boroi dan banyak sangat makan. Kita suka dengan pemimpin yang prihatin dan sedar bahawa rakyat sedang dalam kesusahan. Kita suka pada pemimpin yang membuang tali leher dan jaket tebal yang merimaskan.

9. Every man is the Architect of his own fortune - Sallust . Sekali lagi ini tiada kaitan dengan Kugan.