Mat Sabu, Syiah dan Kemiskinan Melayu


Hampir 5 bulan blog ini tidak dikemaskini. Sejak menubuhkan firma guaman bermula Jun tahun ini, nafsu untuk berblog agak pudar. Saya sibuk. Terlalu sibuk dengan urusan dunia yang entah ke mana halatuju. Cabaran mendatang ibarat taufan Haiyan dan banjir yang melanda Kuantan. Masalah demi masalah. Kesilapan demi kesilapan. Kegagalan demi kegagalan. Apa yang kau harapkan dalam hidup selain daripada ujian. Ujian menguatkan kita. Cabaran mematangkan kita untuk jadi lebih dewasa. Di kala umur mencecah 3 series ini apa yang kita harapkan. Demokrasi tercalar. Kebebasan Bersuara atau Liberalisasi Ekonomi. 

Melihat di sekeliling kita 1001 cerita berligar di fikiran kita. Di mana anak-anak muda di kala tengah malam begini. Merempit lagi di Jalan Dataran Senawang. Memeluk gadis gebu di bawa ke Jalan Bukit Bintang. Melihat salji turun di Mesir. Mengikuti perkembangan Sukan SEA di Myanmar. Ini semua poyo. Mana mungkin anak-anak muda mengambil pot tentang apa yang berlaku di Angola. Apatah lagi mengikuti perkembangan tragedi di Bangkok. Juga untuk mengambil kesah apa yang terjadi kepada Mat Sabu yang dikatakan syiah. Syiah itu apa. Sejenis jenama motosikal kapcai barukah untuk buat willey di Lebuhraya LEKAS. Mana mungkin anak-anak muda itu ambil pot isu hot Kementerian Dalam Negeri ini. Apakah Abang Mat Syiah ini terlalu signikan sehingga boleh menawarkan pekerjaan untuk anak-anak muda. 

Arakian di Negeri Antah Berantah ini, segala-galanya mungkin. Tanah dijual kepada bangsa asing. Anak kecil main api. Terbakar hatinya yang sepi. Terbakar melihat anak-anak muda yang bodoh politik. Terbakar melihat anak-anak muda yang ditipu hidup-hidup oleh anak tua. kaum tua. Kaum tua tahu mereka memiliki kuasa. Anak-anak muda tidak lagi punya idealisme dan keberanian. Semangat hanya menjadi keyboard warrior di FB atau twitter. Lebih lagi mengupload gambar Nora Danish di Instagram. Kaum tua memiliki jalur pemikiran menipu anak muda itu suatu lumrah biasa. Hidup mati kita ditipu tentang GST. Mati hidup untuk membayar cukai itu dan ini. Hidup mati semula anak-anak muda itu takkan mampu membeli rumah teres dua tingkat di Southville City. Maka anak-anak muda itu redha sahaja dengan takdir itu. Tidak melawan. Tidak nyatakan pendirian. Tidak lagi berjiwa reformis tapi berjiwa lembut sehalus kulit Rozita Che Wan. 

Maka habislah tanah Iskandar dan Medini di 'let-go'. Habislah segala warisan nenek moyang. Apa yang tinggal untuk anak-anak muda itu ialah hutang. Hutang keliling pinggang dari hutang kereta sehinggalah hutang PTPTN. Hidup mati anak besar tak mampu lagi selesaikan hutang. Impian melawat Dubai dan Qatar menaiki private jet terpaksa dilupakan. Air mata darah bercampur keringat. Bumi dipijak milik Robert Kuok. Rumah didiami milik Mah Sing. Kereta di beli milik Tan Chong. Sungguh racist anak Melayu apa lagi Cina mahu. Sungguh malang nasib anak Melayu nak beli rumah sebiji pun tak mampu. Sungguh malang nasib anak Melayu berbahasa Inggeris pun tidak tahu. Sungguh malang nasib anak Melayu hanya mampu duduk menunggu. 

Hidup satu cabaran. Takutkan kita dengan kematian. Kematian tetap menjengah kita suatu hari nanti. Masalah membelenggu. Di sekeliling ada dinding-dinding yang menghadangi. Ada lautan-lautan yang mengelilingi. Adakah anak-anak muda itu mati tidak makan. Adakah tidak boleh hidup sungguhpun harga minyak aik, air naik, letrik naik, tol naik, barang naik. Benda yang naik itu bagus untuk menduga sekuat mana kita berdepan dengan cabaran. Biarkan daulah berbuat sesuka hati kerana dunia ini tetap milik anak muda. Anak-anak muda yang tidak mudah kecewa dan berduka dengan gagalnya bercinta. Dasar lelaki jalang bercinta lebih dari satu. Kecewa dengan epilog cinta umpama membaca novel Ahadiat Akasyah. Sekali lagi halatuju kita tidak pasti. Adakah hidup ini sekadar ini sahaja. Miskin dan meminta-minta. Di kelilingi orang-orang bodoh yang menuduh lagi menyuruh mengemukakan bukti. Undang-undang ini kita yang bikin. Bila-bila masa boleh letak dan padam. Kasihan anak-anak muda yang belum merasa nikmat cinta. Kita adalah gagalis. Kita adalah fighter. Tutup lampu dan tidur. Lupakan masalah dan ingatilah kekasih lama. 

Metallica, Syria, Mesir dan PTPTN


Kalau kita perhatikan di sekeliling kita penuh dengan ujian. Sana sini ujian menimpa dan melanda kita. Anak-anak muda yang lahir suci bersih terus dilanda cabaran. Ibarat Singapura dilanggar todak. Ujian dan mehnah tidak pernah luntur. Di kiri dan kanan anak-anak muda itu diperas dan diugut dengan tindakan ganas haloba. Hari demi hari. Jam demi jam. Saat demi saat. Setiap hari kita membelek akhbar penuh ujian untuk anak-anak muda. Anak-anak muda di Syria dan Egypt paling kuat diuji kini. Diuji dengan peluru dan gas beracun. Anak-anak muda di Malaysia juga kuat diuji kini. Diuji dengan konsert Metallica dan Pitbull. 

Arakain kita semakin dekat dengan impian kita. Kita semakin tegar mengejar matlamat hidup. Kita semakin teruja untuk mengetahui masa depan kita. Apakah masa depan kita sebenarnya. Memiliki harta dan kekayaan yang banyak sehingga kita boleh menonton wayang setiap hari. Atau memiliki panggung wayang di rumah kita sendiri. Hakikatnya ia bergantung kepada usaha kita. Hakikatnya ia bergantung kepada cita-cita kita untuk berubah. Ya benar sekali perubahan penting dalam kehidupan. Kita mesti berubah walaupun sedikit. Kita mesti berubah walaupun sakit. Lihat Mesir yang inginkan perubahan tetapi warga melalui sakit. Lihat Syria yang inginkan revolusi tetapi warga diuji dengan gas sarin dan molotov cocktail. Akhirnya dunia ini jatuh ke tangan anak-anak muda. 

Mungkin kita perlu melihat dalam konteks yang lebih intellektual dan profesional. Ya benar sekali segalanya adalah kerana keuntungan dan laba ekonomi. Mesir berubah kerana laba ekonomi. Syria berubah kerana laba ekonomi. Palestin berubah kerana laba ekonomi. Semua berkisar soal kuasa dan pengaruh. Amerika dan Israel tidak akan berdiam diri. Kaum Muslimeen terus berperang sesama sendiri. Membunuh anak di bumi pertiwi. Merosakkan anak-anak bangsa putera dan puteri. Benar sekali kita perlu belajar erti politik. Politik digerakkan oleh politikus. Politik + Tikus. Untuk menjadi celik politik haruslah licik dan cargas seperti tikus. Untuk memahami politik haruslah kita melihat tikus yang senantiasa mencari peluang untuk hidup. 

Kesedihan kita tidaklah sesedih melihat anak-anak kecil yang menggelintin akibat bos pemusnah besar-besaran itu. Kesedihan kita tidaklah melihat warga Mesir dibakar hidup-hidup. Kesedihan kita cuma melihat anak-anak muda Malaya mati di jalan raya ketika pulang berhari raya. Kesedihan kita cuma melihat bas yang terjunam di gaung Genting membunuh berpuluh-puluh warga. Kesedihan kita cuma melihat warga tua ditembak dan dibunuh setiap hari di hari raya. Benar kata pepatah 'when life becomes war, war is life'. Apabila hidup menjadi perang, peperangan itu adalah kehidupan. Kita tidak perlu takut dengan ujian kemiskinan dan kefakiran. Kita tidak perlu takut dengan peperangan kerana setiap hari kita berperang..berperang dengan jiwa dan nafsu dan meronta mencari keduniaan. Berperang dengan minda yang mendoktrin kehidupan supaya hidup terus miskin, melarat dan meminta-minta kepada Yahudi dan Israel. 

Tiba masanya untuk anak-anak muda tinggalkan Malaysia. Mencari kehidupan di dunia asing dan menjadi warga asing. Kita perlukan reformasi hidup bukan reformasi plastik kosmetik yang hanya balik tidur bangun jaga pergi kerja. Kita perlukan udara segar untuk lebih berfikir dan maju kehadapan. Kita perlukan idea-idea untuk membawa negara kita setanding dengan negara maju seperti Germany yang mempunyai Audi dan BMW. Kita perlukan tenaga-tenaga muda yang positif untuk membawa enterprise kita ke United Kingdom. Kita perlu sedikit wang untuk membeli nasi lemak sambal paru di tepi jalan. Kita hanya perlu Hot Tea untuk menyegarkan badan. Tiba masanya untuk berubah dari berbuih memikirkan PTPTN yang ditelan mati mak diluah mati bapak. Tiba masanya untuk berfikir di luar kotak kerana diluar kotak lebih sejuk dari dalam kotak yang panas. Tiba masanya untuk kita berhenti membaca blog dan bangun bekerja untuk mencari kehidupan. 

Alvian, Morsi dan Abby Abadi


Hari ini sudah masuk hari ke-14 kita berpuasa. Masa pantas berlalu. Benar masa mencemburui kita. Kita perlu gunakan masa bukan masa mempergunakan kita. Hari demi hari kita bekerja. Demi masa depan anak-anak muda di Mesir yang sedang tamarrod di Dataran Tahrir. Dataran yang menjadi 1001 cerita dan rahsia bumi yang baru pulih dari demokrasi. Demokrasi tidak terpimpin ditunjangi kabal-kabal zionis berselerakan. Apakan daya jarum zionis itu begitu kuat. Apakan daya kuasa US adalah di tangan Israel. Kerajaan rakyat yang dipilih secara demokrasi boleh tumbang inikan pula kerajaan negeri pasir dua butir. Kuasa ekonomi dan politik tidak dapat dipisahkan. Namun anak-anak muda tidak boleh berputus asa dari mempelajari ilmu politik semiotik ini. Kita adalah fighter dan leader. Kita adalah agent of change. Ejen pengubah masyarakat. 

Bosan cerita politik. Mari kita kembali kepada cerita asas dalam masyarakat kita. Arakian Alvin dan Vivian berbuka puasa dengan Bak Kut Teh. Ada apa dengan Bak Kut Teh. Setahu saya Bak Kut Teh adalah sejenis sup. Tapi apabila diberitahu bahawa sup itu adalah daripada sumber haiwan tanpa cop JAKIM maka tahulah saya apakah Bak Kut Teh itu. Ini bukan sup yang dibuat oleh Kak Teh. Tapi ia adalah sup binatang yang selalu disebut oleh Umat Melayu tatkala mencarut. Maka ini menjadi sensitif. Sensitiviti Umat Melayu pada perkara yang tidak pasti dan tidak penting. Tahukah kita berapa banyak gelatin Bak Kut Teh ini dalam produk seharian kita. Tak perlu bersurah panjang di sini. Google sahaja kita tahu. Maka mengapa begitu sensitif dengan anak muda yang cuba mengekpresi dirinya. Maka mengapa akhirnya kesalahan itu dihempapkan terus kepada anak-anak muda. Maka mengapa semua yang salah adalah anak muda yang baru mengenal dunia yang tidak boleh dicabar, tidak boleh diprovokasi dan tidak boleh berfikir di luar kotak. Akhirnya yang salah adalah anak-anak muda Malaya itu. Yang menang adalah golongan tua. 

Peduli apa dengan Abby Abadi berkahwin lelaki jambu dan Nora Danish bercium mulut dengan jantan mana. Siapakah kita untuk ambil tahu perkara yang berlingkar di sekeliling serban pak ustaz dan pak arab. Dalam kita menyelongkar rahsia tudung Abby dan baju dalam Nora Danish, jangan kita lupa bahawa cukai GST akan dilaksanakan. Tarif elektrik akan dinaikkan. Harga ayam akan dinaikkan. Saman AES akan dilaksanakan. Gaji kita semakin mengecil dan kos hidup semakin tinggi. Kadar pinjaman untuk aset dan perumahan dikawal ketat oleh Bank Negara. Yang menjadi mangsa ialah orang Melayu miskin dan papa. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak muda. Yang menderita adalah anak-anak muda yang hidup menyewa sampai ke tua. Inilah perjuangan kita. Inilah masa depan kita yang terus menerus menanggung hutang demi hutang. Surat saman-menyaman akan berterbangan dan memecut laju dalam peti surat rumah kita. 

Arakian bilalah Umat Melayu ingin sedar dan berubah. RM50 nilainya semakin sedikit. Kita terperangkap dalam Trans Pacific Partnership Agreement termasuk. Benarkan kuasa asing menjajah kita semula. Haruskah kita menjajah mereka dengan berniaga di United States atau United Kingdom. Benarkah kita terlalu lemah untuk memahami semua ini. Adakah ini disebabkan kita tidak makan Bak Kut Teh. Adakah ini disebabkan kita tidak ambil tahu bagaimana Abby Abadi mandi berkemban. Atau kita gagal mengerti kaitan Chelsea dan Barcelona FC bermain bola di Bukit Jalil. Akhirnya yang kaya adalah Pro-Events. Akhirnya yang kaya adalah mereka yang sudah benar-benar kaya. Anak-anak muda Melayu tetap di Dataran Senawang bukan di Dataran Tahrir. Mereka bukan berdemo menentang penyingkiran Mursi tetapi menjadi Mat Rempit. 

Ketakutan dan Kebodohan


Jangan bagi alasan sibuk untuk kita tidak menulis. Kita sibuk dengan apa sebenarnya. Kesibukan kita tidaklah seperti sibuknya warga Syria menahan kesakitan dan kesengsaraan akibat peperangan. Kerana kuasa dan wang, Basyar Al-Assad menjadi gila. Kerana tidak mahu kehilangan kuasa, ratusan warganya diperangi dan dibunuh. Ia bukan lagi soal Sunni atau Syiah, tapi soal seekor binatang berwajah manusia yang sanggup merogol dan membunuh warganya sendiri. Tahniah kerana memberi peluang Amerika dan Israel campurtangan. Akhirnya negara tergadai kepada kapitalis dan zionis. Akhirnya Islam ini hanya menjadi agama omokan kaum lain yang menyangka kita kita bangsa pengganas dan pembunuh. Bangsa tidak bertamadun. Bangsa yang suka berperang sesama saudara. Bangsa yang suka memusnahkan negara sendiri. 

Apa lagi yang kita mahu ? Semuanya telah tersedia di depan mata kita. Lupakan PRU13 yang telah berlalu. Lupakan penipuan. Lupakan tentang dakwat kekal. Yang penting kita tahu selepas PRU13 harga barang dan kos sara hidup akan menjulang naik. Gaji naik tapi cukai juga naik. Surat saman menyaman bertimbun dan berkeliaran. Inilah masa untuk membuat keuntungan dan menebus semula perbelanjaan. Inilah masa untuk bekerja lebih keras demi keluarga. Keluar pagi balik pun pagi. Keluar malam balik pun malam. Tiada masa bersama keluarga dan isteri. Tiada masa untuk pulang ke kampung semata-mata mencari wang untuk menampung kos hidup di bandar. Sebenarnya kemenangan mana-mana pihak tidak mengubah apa-apa. Sebenarnya perubahan itu hanya boleh dibuat anak-anak muda. 

Anak-anak muda semakin dewasa dan tidak muda lagi. Anak muda bakal menjadi tua. Anak muda dulu mat rempit sekarang mat rembat. Anak-anak muda itu terus hidup dan berjalan untuk hidup. Lupakah anak muda itu kepada pengajian dan pendidikan. Lupakah pada masa depannya. Masa depan negara ini di tangan anak-anak muda. Hidup mati sekalipun tidak akan mampu membawa kemajuan untuk warga Belaga. Bot karam itu tertimbus selama-lamanya. Sungai macam laut. Air deras macam kereta Ferrari dipandu di Lebuhraya Utara Selatan. Kita takkan mampu berubah sekiranya tiada keberanian. Kita takkan berjaya sekiranya tidak berusaha. Pergantungan dan pengharapan pada manusia akan membawa hasil yang sia-sia. 

Arakian selepas PRU berlakulah jerebu. Asap mengelubungi warga di segenap pelusuk negara, Asap yang membawa kita berfikir - mengapa asap ini hadir pada kita. Banyakkah dosa kita sehingga Tuhan turunkan asap ini. Mungkin asap ini suatu tanda kerdilnya kita. Dengan asap pun tidak mampu melawan inikan pula dengan sangkakala. Dengan asap pun kita lemah inikan pula dengan cabaran hidup yang menggunung. Takutkah anak-anak muda itu dengan cabaran. Takutkah anak-anak muda itu dengan kemiskinan dan kesengsaraan. Takutkan anak muda itu dengan kesusahan. Takutkah anak-anak muda itu dengan kematian. Selama ini mengapakah warga di Chow Kit boleh terus hidup. Kita tidak punyai akaun di Swiss atau British Virgin Island. Kita tidak punyai harta di London, Paris dan Zimbabwe. Kita tidak ada saham di FGV. 

Masa untuk berubah. Perubahan berlaku setiap masa dan ketika. Kita sebenarnya tidak hidup untuk hari dan akan datang. Kita hidup untuk masa yang telah berlalu. Sejarah kita adalah kehidupan kita. Masa akan tiba untuk kita menjadi terkenal dan ternama. Punya banyak harta. Duit den bertingkek-tingkek. Tapi akhirnya kita sedar kita tidak perlukan semua harta duniawi itu. Kita cuma perlukan berus gigi dan ubat gigi setiap pagi. Kita cuma perlu bangun awal pagi berjumpa pelanggan. Kita cuma perlu carik wang untuk gembira membeli sebungkus nasi dan air kelapa muda di pasar malam. Anak-anak muda tidak pernah putus ada dengan hidup. Anak-anak muda hidup dengan kerepek dan kretek. Bilakah dunia ini akan jatuh ke tangan anak-anak muda. Anak-anak muda yang berani, berani berangan-angan dan tidak takut dikatakan gila. Hidup hanya sekali. Berusahalah. Semoga Tuhan memberkati kita semua. Kita adalah fighter.