Hampir 5 bulan blog ini tidak dikemaskini. Sejak menubuhkan firma guaman bermula Jun tahun ini, nafsu untuk berblog agak pudar. Saya sibuk. Terlalu sibuk dengan urusan dunia yang entah ke mana halatuju. Cabaran mendatang ibarat taufan Haiyan dan banjir yang melanda Kuantan. Masalah demi masalah. Kesilapan demi kesilapan. Kegagalan demi kegagalan. Apa yang kau harapkan dalam hidup selain daripada ujian. Ujian menguatkan kita. Cabaran mematangkan kita untuk jadi lebih dewasa. Di kala umur mencecah 3 series ini apa yang kita harapkan. Demokrasi tercalar. Kebebasan Bersuara atau Liberalisasi Ekonomi.
Melihat di sekeliling kita 1001 cerita berligar di fikiran kita. Di mana anak-anak muda di kala tengah malam begini. Merempit lagi di Jalan Dataran Senawang. Memeluk gadis gebu di bawa ke Jalan Bukit Bintang. Melihat salji turun di Mesir. Mengikuti perkembangan Sukan SEA di Myanmar. Ini semua poyo. Mana mungkin anak-anak muda mengambil pot tentang apa yang berlaku di Angola. Apatah lagi mengikuti perkembangan tragedi di Bangkok. Juga untuk mengambil kesah apa yang terjadi kepada Mat Sabu yang dikatakan syiah. Syiah itu apa. Sejenis jenama motosikal kapcai barukah untuk buat willey di Lebuhraya LEKAS. Mana mungkin anak-anak muda itu ambil pot isu hot Kementerian Dalam Negeri ini. Apakah Abang Mat Syiah ini terlalu signikan sehingga boleh menawarkan pekerjaan untuk anak-anak muda.
Arakian di Negeri Antah Berantah ini, segala-galanya mungkin. Tanah dijual kepada bangsa asing. Anak kecil main api. Terbakar hatinya yang sepi. Terbakar melihat anak-anak muda yang bodoh politik. Terbakar melihat anak-anak muda yang ditipu hidup-hidup oleh anak tua. kaum tua. Kaum tua tahu mereka memiliki kuasa. Anak-anak muda tidak lagi punya idealisme dan keberanian. Semangat hanya menjadi keyboard warrior di FB atau twitter. Lebih lagi mengupload gambar Nora Danish di Instagram. Kaum tua memiliki jalur pemikiran menipu anak muda itu suatu lumrah biasa. Hidup mati kita ditipu tentang GST. Mati hidup untuk membayar cukai itu dan ini. Hidup mati semula anak-anak muda itu takkan mampu membeli rumah teres dua tingkat di Southville City. Maka anak-anak muda itu redha sahaja dengan takdir itu. Tidak melawan. Tidak nyatakan pendirian. Tidak lagi berjiwa reformis tapi berjiwa lembut sehalus kulit Rozita Che Wan.
Maka habislah tanah Iskandar dan Medini di 'let-go'. Habislah segala warisan nenek moyang. Apa yang tinggal untuk anak-anak muda itu ialah hutang. Hutang keliling pinggang dari hutang kereta sehinggalah hutang PTPTN. Hidup mati anak besar tak mampu lagi selesaikan hutang. Impian melawat Dubai dan Qatar menaiki private jet terpaksa dilupakan. Air mata darah bercampur keringat. Bumi dipijak milik Robert Kuok. Rumah didiami milik Mah Sing. Kereta di beli milik Tan Chong. Sungguh racist anak Melayu apa lagi Cina mahu. Sungguh malang nasib anak Melayu nak beli rumah sebiji pun tak mampu. Sungguh malang nasib anak Melayu berbahasa Inggeris pun tidak tahu. Sungguh malang nasib anak Melayu hanya mampu duduk menunggu.
Hidup satu cabaran. Takutkan kita dengan kematian. Kematian tetap menjengah kita suatu hari nanti. Masalah membelenggu. Di sekeliling ada dinding-dinding yang menghadangi. Ada lautan-lautan yang mengelilingi. Adakah anak-anak muda itu mati tidak makan. Adakah tidak boleh hidup sungguhpun harga minyak aik, air naik, letrik naik, tol naik, barang naik. Benda yang naik itu bagus untuk menduga sekuat mana kita berdepan dengan cabaran. Biarkan daulah berbuat sesuka hati kerana dunia ini tetap milik anak muda. Anak-anak muda yang tidak mudah kecewa dan berduka dengan gagalnya bercinta. Dasar lelaki jalang bercinta lebih dari satu. Kecewa dengan epilog cinta umpama membaca novel Ahadiat Akasyah. Sekali lagi halatuju kita tidak pasti. Adakah hidup ini sekadar ini sahaja. Miskin dan meminta-minta. Di kelilingi orang-orang bodoh yang menuduh lagi menyuruh mengemukakan bukti. Undang-undang ini kita yang bikin. Bila-bila masa boleh letak dan padam. Kasihan anak-anak muda yang belum merasa nikmat cinta. Kita adalah gagalis. Kita adalah fighter. Tutup lampu dan tidur. Lupakan masalah dan ingatilah kekasih lama.
0 comments:
Post a Comment