Alvian, Morsi dan Abby Abadi


Hari ini sudah masuk hari ke-14 kita berpuasa. Masa pantas berlalu. Benar masa mencemburui kita. Kita perlu gunakan masa bukan masa mempergunakan kita. Hari demi hari kita bekerja. Demi masa depan anak-anak muda di Mesir yang sedang tamarrod di Dataran Tahrir. Dataran yang menjadi 1001 cerita dan rahsia bumi yang baru pulih dari demokrasi. Demokrasi tidak terpimpin ditunjangi kabal-kabal zionis berselerakan. Apakan daya jarum zionis itu begitu kuat. Apakan daya kuasa US adalah di tangan Israel. Kerajaan rakyat yang dipilih secara demokrasi boleh tumbang inikan pula kerajaan negeri pasir dua butir. Kuasa ekonomi dan politik tidak dapat dipisahkan. Namun anak-anak muda tidak boleh berputus asa dari mempelajari ilmu politik semiotik ini. Kita adalah fighter dan leader. Kita adalah agent of change. Ejen pengubah masyarakat. 

Bosan cerita politik. Mari kita kembali kepada cerita asas dalam masyarakat kita. Arakian Alvin dan Vivian berbuka puasa dengan Bak Kut Teh. Ada apa dengan Bak Kut Teh. Setahu saya Bak Kut Teh adalah sejenis sup. Tapi apabila diberitahu bahawa sup itu adalah daripada sumber haiwan tanpa cop JAKIM maka tahulah saya apakah Bak Kut Teh itu. Ini bukan sup yang dibuat oleh Kak Teh. Tapi ia adalah sup binatang yang selalu disebut oleh Umat Melayu tatkala mencarut. Maka ini menjadi sensitif. Sensitiviti Umat Melayu pada perkara yang tidak pasti dan tidak penting. Tahukah kita berapa banyak gelatin Bak Kut Teh ini dalam produk seharian kita. Tak perlu bersurah panjang di sini. Google sahaja kita tahu. Maka mengapa begitu sensitif dengan anak muda yang cuba mengekpresi dirinya. Maka mengapa akhirnya kesalahan itu dihempapkan terus kepada anak-anak muda. Maka mengapa semua yang salah adalah anak muda yang baru mengenal dunia yang tidak boleh dicabar, tidak boleh diprovokasi dan tidak boleh berfikir di luar kotak. Akhirnya yang salah adalah anak-anak muda Malaya itu. Yang menang adalah golongan tua. 

Peduli apa dengan Abby Abadi berkahwin lelaki jambu dan Nora Danish bercium mulut dengan jantan mana. Siapakah kita untuk ambil tahu perkara yang berlingkar di sekeliling serban pak ustaz dan pak arab. Dalam kita menyelongkar rahsia tudung Abby dan baju dalam Nora Danish, jangan kita lupa bahawa cukai GST akan dilaksanakan. Tarif elektrik akan dinaikkan. Harga ayam akan dinaikkan. Saman AES akan dilaksanakan. Gaji kita semakin mengecil dan kos hidup semakin tinggi. Kadar pinjaman untuk aset dan perumahan dikawal ketat oleh Bank Negara. Yang menjadi mangsa ialah orang Melayu miskin dan papa. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak muda. Yang menderita adalah anak-anak muda yang hidup menyewa sampai ke tua. Inilah perjuangan kita. Inilah masa depan kita yang terus menerus menanggung hutang demi hutang. Surat saman-menyaman akan berterbangan dan memecut laju dalam peti surat rumah kita. 

Arakian bilalah Umat Melayu ingin sedar dan berubah. RM50 nilainya semakin sedikit. Kita terperangkap dalam Trans Pacific Partnership Agreement termasuk. Benarkan kuasa asing menjajah kita semula. Haruskah kita menjajah mereka dengan berniaga di United States atau United Kingdom. Benarkah kita terlalu lemah untuk memahami semua ini. Adakah ini disebabkan kita tidak makan Bak Kut Teh. Adakah ini disebabkan kita tidak ambil tahu bagaimana Abby Abadi mandi berkemban. Atau kita gagal mengerti kaitan Chelsea dan Barcelona FC bermain bola di Bukit Jalil. Akhirnya yang kaya adalah Pro-Events. Akhirnya yang kaya adalah mereka yang sudah benar-benar kaya. Anak-anak muda Melayu tetap di Dataran Senawang bukan di Dataran Tahrir. Mereka bukan berdemo menentang penyingkiran Mursi tetapi menjadi Mat Rempit. 

0 comments: