Ketakutan dan Kebodohan


Jangan bagi alasan sibuk untuk kita tidak menulis. Kita sibuk dengan apa sebenarnya. Kesibukan kita tidaklah seperti sibuknya warga Syria menahan kesakitan dan kesengsaraan akibat peperangan. Kerana kuasa dan wang, Basyar Al-Assad menjadi gila. Kerana tidak mahu kehilangan kuasa, ratusan warganya diperangi dan dibunuh. Ia bukan lagi soal Sunni atau Syiah, tapi soal seekor binatang berwajah manusia yang sanggup merogol dan membunuh warganya sendiri. Tahniah kerana memberi peluang Amerika dan Israel campurtangan. Akhirnya negara tergadai kepada kapitalis dan zionis. Akhirnya Islam ini hanya menjadi agama omokan kaum lain yang menyangka kita kita bangsa pengganas dan pembunuh. Bangsa tidak bertamadun. Bangsa yang suka berperang sesama saudara. Bangsa yang suka memusnahkan negara sendiri. 

Apa lagi yang kita mahu ? Semuanya telah tersedia di depan mata kita. Lupakan PRU13 yang telah berlalu. Lupakan penipuan. Lupakan tentang dakwat kekal. Yang penting kita tahu selepas PRU13 harga barang dan kos sara hidup akan menjulang naik. Gaji naik tapi cukai juga naik. Surat saman menyaman bertimbun dan berkeliaran. Inilah masa untuk membuat keuntungan dan menebus semula perbelanjaan. Inilah masa untuk bekerja lebih keras demi keluarga. Keluar pagi balik pun pagi. Keluar malam balik pun malam. Tiada masa bersama keluarga dan isteri. Tiada masa untuk pulang ke kampung semata-mata mencari wang untuk menampung kos hidup di bandar. Sebenarnya kemenangan mana-mana pihak tidak mengubah apa-apa. Sebenarnya perubahan itu hanya boleh dibuat anak-anak muda. 

Anak-anak muda semakin dewasa dan tidak muda lagi. Anak muda bakal menjadi tua. Anak muda dulu mat rempit sekarang mat rembat. Anak-anak muda itu terus hidup dan berjalan untuk hidup. Lupakah anak muda itu kepada pengajian dan pendidikan. Lupakah pada masa depannya. Masa depan negara ini di tangan anak-anak muda. Hidup mati sekalipun tidak akan mampu membawa kemajuan untuk warga Belaga. Bot karam itu tertimbus selama-lamanya. Sungai macam laut. Air deras macam kereta Ferrari dipandu di Lebuhraya Utara Selatan. Kita takkan mampu berubah sekiranya tiada keberanian. Kita takkan berjaya sekiranya tidak berusaha. Pergantungan dan pengharapan pada manusia akan membawa hasil yang sia-sia. 

Arakian selepas PRU berlakulah jerebu. Asap mengelubungi warga di segenap pelusuk negara, Asap yang membawa kita berfikir - mengapa asap ini hadir pada kita. Banyakkah dosa kita sehingga Tuhan turunkan asap ini. Mungkin asap ini suatu tanda kerdilnya kita. Dengan asap pun tidak mampu melawan inikan pula dengan sangkakala. Dengan asap pun kita lemah inikan pula dengan cabaran hidup yang menggunung. Takutkah anak-anak muda itu dengan cabaran. Takutkah anak-anak muda itu dengan kemiskinan dan kesengsaraan. Takutkan anak muda itu dengan kesusahan. Takutkah anak-anak muda itu dengan kematian. Selama ini mengapakah warga di Chow Kit boleh terus hidup. Kita tidak punyai akaun di Swiss atau British Virgin Island. Kita tidak punyai harta di London, Paris dan Zimbabwe. Kita tidak ada saham di FGV. 

Masa untuk berubah. Perubahan berlaku setiap masa dan ketika. Kita sebenarnya tidak hidup untuk hari dan akan datang. Kita hidup untuk masa yang telah berlalu. Sejarah kita adalah kehidupan kita. Masa akan tiba untuk kita menjadi terkenal dan ternama. Punya banyak harta. Duit den bertingkek-tingkek. Tapi akhirnya kita sedar kita tidak perlukan semua harta duniawi itu. Kita cuma perlukan berus gigi dan ubat gigi setiap pagi. Kita cuma perlu bangun awal pagi berjumpa pelanggan. Kita cuma perlu carik wang untuk gembira membeli sebungkus nasi dan air kelapa muda di pasar malam. Anak-anak muda tidak pernah putus ada dengan hidup. Anak-anak muda hidup dengan kerepek dan kretek. Bilakah dunia ini akan jatuh ke tangan anak-anak muda. Anak-anak muda yang berani, berani berangan-angan dan tidak takut dikatakan gila. Hidup hanya sekali. Berusahalah. Semoga Tuhan memberkati kita semua. Kita adalah fighter. 

Warkah Untuk Anak-Anak Muda


Hari ini - 3 Mei 2013. Dua hari sebelum Pilihanraya Umum ke-13. Menjelang lewat malam 5 Mei 2013 nanti kita akan lihat keputusan kepada ibu segala pemilihan ini. Memilih siapakah yang akan memimpin negara kita. Memilih siapakah kapten kapal bernama Malaysia yang kita cintai ini. Sudah 56 tahun negara kita merdeka. Sudah 29 tahun juga kita hidup. Mencari sebuah makna kehidupan. Berfikir dan bergerak. Berfikir tentang sesuatu yang sangat penting - MASA DEPAN. 

Kita melihat apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita muhasabah diri. Apa yang patut kita lakukan di sekeliling kita. Di situlah anak-anak muda akan mula sedar bahawa kehidupan ini sebenarnya sangat singkat. Oleh itu kita mesti percaya kepada perubahan. Manusia berubah. Alam berubah. Kehidupan kita sebagai anak muda juga berubah. Kita tidak akan selamanya tinggal dalam dunia varsiti. Kita tidak akan selamanya bujang. Kita akan berubah. Kita mesti berubah. Kita mesti membawa diri kita ke hadapan. Kita mesti memilih pemimpin yang boleh membawa kita kehadapan. 

Apakah kita lupa selama ini apa yang terjadi dalam masyarakat kita. Apakah kita lupa bahawa kehidupan anak-anak muda selama ini begitu sengsara. Anak-anak muda dibeban dengan segala jenis masalah dan derita. Lupakah siapa yang menghempap masalah ini kepada anak-anak muda ini. Lupakah siapa yang membuatkan anak-anak ini hanya berdiri di pinggiran jurang kemusnahan dan keaiban. Benar politik itu menyusahkan tetapi politik itu juga yang membawa jalan keluar kepada kesusahan. Benar politik itu kotor tetapi denga kuasa politik itu juga boleh membersihkan kekotoran. Kita tidak selamanya jadi bodoh dan hina oleh kerana generasi tua yang selalu anggap anak-anak muda tidak matang, mudah ditipu dan direndah-rendahkan. Anak-anak muda tidak lagi bodoh dan hina seperti dahulu. Kita inginkan perubahan. 

Cukuplah derita yang kita hadapi selama ini. Cukuplah 56 tahun kita lihat negara kita hanya memberi manfaat kepada segolongan yang kaya raya, tetapi anak-anak muda terus merempit di jalanan tanpa halatuju. Anak-anak muda tidak ditunjukkan jalan kepada perubahan. Akses kepada kekayaan hanya dimonopoli oleh sesetengah golongan yang terlalu tamak dan tidak memberi peluang kepada anak-anak muda. Anak-anak muda hanya dibiar melukut di tepi gantang. Anak-anak muda terpaksa survive untuk hidup dalam dunia penuh cabaran. 

Hakikatnya pilihan di tangan kita. Kita yang memilih. Kita yang memnagkah. Pilihlah untuk perubahan. Tolonglah buka minda luas-luas dan fikirkan, apakah kita mahukan pemimpin yang sama seperti semalam. Apakah kita mahu isu PTPTN, kos sara hidup yang mahal menggila terus membelenggu diri kita. Apakah kita tidak mahukan pembaharuan. Apakah kita takut dengan perubahan. Hanya orang bodoh takut dengan perubahan. Hanya orang yang cetek akal masih berfikir soal bangsa sendiri, bersikap rasis perkauman sedangkan kita saling bergantung antara satu sama lain. Yang patut kita bersikap racist adalah dengan taikun2 yang memonolopi ekonomi sehingga taraf gaji kita begitu rendah. Korupsi dan penyelewengan. Itulah punca utama rosaknya ekonomi umat yang mesti kita hapuskan. Untuk anak-anak muda, pilihlah kerajaan baru yang baik pada 5 Mei nanti. Masa untuk perubahan. Ini kali lah !! 

Di Antara Dua Wajah


14/3/2013 - Hari ini kita dikejutkan dengan apa yang berlaku di Lahad Datu. Tiba-tiba serangan dan pencerobohan ini berlaku. Persoalannya kenapa di Lahad Datu tidak di Miri atau Santubong. Kenapa intruders (penceroboh) yang tiada locus standi ini amat berani mengakui tanah Sabah adalah hak milik mereka. Mereka hanya segelintir dan sebilangan kecil. Yang menanggung sengsara dan kerisauan adalah seluruh warga Malaysia. Keluarga anggota keselamatan, Kementerian Dalam Negeri dan semua agensi berkaitan dalam kerisauan. Tidak penting ini adalah sandiwara atau perancangan tertinggi mana-mana pihak, yang penting adalah keselamatan dan kesejahteraan warga. Pedulikan kesejahteraan dan keamanan itu asalkan parti politik kita terus berkuasa. Pedulikan warga yang terkorban itu asalkan kita mencapai misi kita. Persoalan demi persoalan timbul bagaimana tentera 'Sulu' yang miskin boleh sampai ke Sabah dan memiliki senjata. Semuanya kebingungan, semuanya kekacauan menghampiri hari-hari akhir Pemilu ke-13. 

Arakain anak-anak muda itu terus berusaha dan bekerja. Kita lihat di sekeliling kita. Bantuan Rakyat 1Malaysia. Kedai Rakyat 1Malaysia. Perumahan Rakyat 1Malaysia. Apakah 1Malaysia ini untuk membantu anak-anak muda yang tiada kerja. Apakah 1Malaysia ini dapat meningkatkan iman dan aqidah anak-anak muda. Apakah 1Malaysia ini mampu menaikkan gaji dan pendapatan anak-anak muda. Tiada salahnya 1Malaysia atau 1Singapura. Paling penting adalah pengurusan ekonomi warga. Paling penting kurangkan kos kehidupan, kesihatan dan pembelajaran. Paling penting wujudkan peluang pekerjaan. Paling penting mudah carakan segala urusan. Paling penting adalah wujudkan suasana yang penuh kesedaran. Paling penting adalah memberikan kebebasan tiada sekatan. Paling penting adalah tiada berbelanja berlebihan. Paling penting adalah tiada amalan rasuah diamalkan. Dan yang paling penting adalah pemimpin mesti sama macam rakyat bawahan. Kita tiada pilihan selain membuat perubahan. Transformasi untuk kebaikan masa depan. 

Kuasa, Politik dan Ekonomi - suatu yang tidak dapat dipisahkan. Kita harus bertanya kepada diri apa yang kita capai dalam kehidupan. Apakah kita ingin terus sama seperti semalam. Apakah kita ingin melihat ke belakang. Inflasi dan kos kehidupan. Perjuangan rentas pemikiran. Kita ingin hak saksama dan keadilan. Kita ingin lihat kejayaan dapat dinikmati warga. Habis semua harta kita laburkan. Tiada lagi masa depan. Tiada lagi warisan anak generasi kita. Kesemua sudah dijual kepada cukong dan taikun besar. Kesemua sudah dimiliki dan dimonopoli. Siapa berusaha kuat dia berjaya. Siapa malas dia ketinggalan dan kecewa. Siapa yang berani berubah akan terus survive dalam hidup dalam kesenangan. Siapa yang berani melawan mainstream itu adalah mereka yang berjuang. Kita 'anak-anak muda' itu adalah fighter. Di antara dua wajah, sampai bila kita harus melihat wajah-wajah ini. Ini wajah politik kita, Malaysia. 

Kita Tiada Pilihan Selain Berubah


Ini adalah posting pertama di Tahun 2013. Sebulan sudah berlalu. Hari ini hari pertama bulan Februari tahun 2013. Tiada apa yang menarik tentang tarikh. Cuma di saat genting begini semua orang nampaknya kesibukan. Daulah yang memerintah kesibukan. Oposisi yang membantah lagi kekacauan. Kekacauan minda dan jiwa. Kekacauan takut kehilangan kuasa. Kehilangan kuasa bermakna kehilangan punca-punca kekayaan. Kehilangan kuasa bermakna tiada lagi projek dan tender. Kehilangan kuasa bermakna harus kembali menjadi orang-orang biasa. Tiada lagi Datuk, Datin, Tan Sri ataupun Puan Sri. Tiada lagi escort polis. Tiada lagi tol percuma. Tiada lagi free loader. Kita tidak mahu menjadi seorang gagalist. Oleh itu hidup mesti terus. 

Kita tiada pilihan selain memahami dan mengambil tahu tentang politik. Politik adalah kehidupan. Politik adalah wajah dan rupa kita. Hampir segalanya melibatkan politik. Hampir segalanya kita perlu merujuk dan melihat kepada politik. Apa yang anak-anak muda itu tahu tentang politik. Soal hidup sendiri pun tidak lepas. Soal makan, tempat tinggal dan keupayaan membeli keperluan asas sangat terbatas. Anak-anak muda semakin bosan dengan kehidupan mereka. Tiada lagi idealisme. Tiada lagi cita-cita menjadi negarawan. Tiada lagi cita-cita untuk memajukan minda dan mentaliti bangsa. Anak-anak muda suka bekerja pagi ke petang. Anak-anak muda itu tidak ambil pot tentang siapa bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7. 

Sesungguhnya angka 7 itu sangat menarik. Cuma ada 7 tahun lagi untuk kita mencapai Wawasan 2020. Apakah kita mampu berbangga dengan negara yang maju dan kaya, tetapi gaji graduan dan anak-anak muda masih dibawah RM3,000 sebulan. Apakah kita berbangga memiliki syarikat minyak ternama negara tetapi rakyat negara kita masih ada lagi yang hidup dalam kemiskinan. Bosan melihat Melayu miskin dalam Bersamamu TV3. Bani Melayu asyik diasosiasikan sebagai bani miskin dan melarat. Sudah 6 orang Perdana Menteri berbangsa Melayu. Takkan tidak mampu membahagikan zakat kepada sang fakir dan miskin. Takkan mampu memberi hak mereka yang tidak mendapat peluang akses kepada kekayaan. Sistem itu mesti dirombak dan diubah. Ilmu dan pendidikan adalah kuncinya. Dalamilah ilmu nescaya kita dapat keluar daripada kemiskinan. Malulah dengan negara kecil seperti Singapura yang pandai memanipulasi sumber negaranya. 

Hakikatnya terlalu banyak yang perlu dibangunkan. Terlalu banyak yang perlu diusahakan. Masa begitu terbatas kini. Sumber kewangan adalah masa kita. Kita perlu lebih agresif bertindak untuk melaksanakan dasar afirmatif tersebut. Kita perlu lebih tegas. Perlu lebih berdisiplin. Perlu lebih praktikal dan realistik dalam soal perancangan masa depan. Bertindik sendirian lebih baik daripada mempunyai anggota yang tidak mahir dan lembap. Melayu lembap ini begitu susah untuk berjaya. Kebodohan bukanlah sesuatu yang boleh diajar. Kebodohan boleh diubah kepada kepandaian apabila kita bertindak untuk perubahan. Budaya listen listen listen oleh Sharifah adalah budaya songsang yang membawa kita ke belakang. Budaya action action action adalah budaya subur yang membawa kita maju ke hadapan. Budi bahasa budaya kita. Kita tidak perlu belajar di UUM untuk jadi pandai. Kita cuma perlu sedar bahawa kita tidak punya banyak masa untuk berubah. Kita cuma perlu sedar bahawa apa yang kita lalui sekarang cuma medan latihan sebelum kita benar-benar berjaya. Hakikatnya kita perlu bersedia. Hari ini atau esok kita akan ke sana jua. 

Buat anak-anak muda, jangan takut untuk berubah. Turunlah dan tunaikan hak anda sebagai warganegara untuk mengundi dalam Pilihanraya Umum Ke-13 tidak lama lagi. PRU13 adalah pendidikan politik yang paling agung dan legend untuk kita pelajari bersama. Ini bukan poyo. Di sana kita bukan sahaja melihat banyak monyet dan ungka, bahkan boleh melihat malaikat dan ruhul kudus sekaligus. Watak-watak ini tidak mungkin dapat dipadamkan dalam negara kita. Apalah guna menjadi Chief Economist atau Chief Strategist atau Chief Managing Consultant sekalipun kalau kita gagal melihat anak-anak muda yang perlukan bimbingan dan panduan untuk celik hal-ehwal dalam negara. tidak diperbodohkan berulang-ulang kali dan tetap mendapat gaji yang tidak cukup untuk mereka melawat negara Argentina.