Sekali lagi negara dikejutkan dengan isu yang merimaskan telinga. Kali ini kenyataan Datuk Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera menjadi kontroversi. Beliau difahamkan menyebut bahawa orang Cina adalah 'pendatang' di negara ini dan tidak layak mendapat hak yang sama dengan orang Melayu. Orang Cina patut sedar fakta sejarah ini katanya.
Setuju atau tidak dengan kenyataan beliau yang dikatakan berbau perkauman ini, kita mestilah berfikiran rasional dan meneliti fakta di sebalik kenyataan yang dibuat oleh Datuk Ahmad pada ceramah Pilihanraya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos yang lepas.
Persoalan penting yang ingin dikongsi disini ialah apakah niat sebenar Datuk Ahmad membuat kenyataan sedemikian. Adakah ia dibuat dengan 'suci hati' dan ikhlas lahir daripada hati beliau untuk membela nasib orang Melayu.
Sudah tentu kita akan terfikir bahawa kenyataan itu dibuat sewaktu 'darah panas' atau 'bahang' kempen pilihanraya sedang berlangsung. Oleh itu tidak timbul soal niat ingin mempertahankan kepentingan orang Melayu apatah lagi ingin membela nasib orang Melayu.
Meskipun isu perkauman dilihat sebagai satu senjata untuk yang cukup ampuh bagi menggugat kestabilan dan keamanan negara kita, bahkan untuk menyelamatkan kepentingan politik masing-masing namun sesuatu yang harus difikirkan implikasi daripada kenyataan dan isu seperti ini.
Kita baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51 dengan tema "Perpaduan Teras Kejayaan'. Namun apa yang kita laungkan sewaktu perayaan kemerdekaan baru-baru masih jauh lagi dari sudut praktikal kehidupan kita sebagai warganegara Malaysia.
Sungguhpun fakta sejarah itu benar, kaum Cina dan India suatu hari dulu berdagang di negara ini namun hari ini dari sudut garis perundangan mereka tetap memiliki hak sebagai warganegara Malaysia yang sah. Bahkan kita tidak boleh nafikan rahmat berbilang kaum dan bangsa inilah yang menjadikan negara kita unik dan maju dari segi ekonomi, budaya dan cara hidup.
Meskipun saya lahir di kalangan majoriti Melayu namun saya mempunyai ramai rakan-rakan bukan Melayu yang bukan sahaja baik malah kefahaman Islam mereka kadang kala lebih baik daripada rakan-rakan Melayu-Islam yang lain. Atas dasar itulah juga saya bersetuju bahawa Islam bukan dimiliki oleh Melayu sahaja tapi Islam adalah untuk SEMUA.
Sesungguhnya tidak penting lagi bagi kita untuk menoleh ke belakang melihat sejarah yang boleh mengeruhkan keharmonian yang telah kita bina sekian lama. Hakikat yang lebih penting bagi kita adalah untuk melihat jauh ke hadapan dan melakar masa depan bersama.
Di sana ada anak-anak muda Melayu juga sedang berusaha bagi memajukan diri dan masa depan negara. Biarlah tanpa tongkat atau bantuan seperti yang digembar-gemburkan selama ini, mereka tetap berusaha gigih untuk melangkah jauh atas usaha dan titik peluh sendiri. Cukuplah mentaliti subsidi yang dimomokkan pada anak-anak muda Melayu selama ini. Hari ini saya yakin anak-anak muda Melayu mampu bersaing dengan bangsa lain dalam negara.
Sememangnya kita harus percaya dan yakin bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita selagi mana kita tidak mengubah diri kita sendiri. Kita boleh berjaya lebih hebat daripada orang lain sekiranya kita tidak mengalah, tidak takut pada kegagalan dan bercita-cita tinggi.
Oleh itu apa yang dikatakan oleh Datuk Ahmad hanyalah persepsi beliau yang ketakutan sekiranya hak orang Melayu hilang dibawah kerajaan 16 September nanti.
Penduduk Melayu di Kubang Semang masih lagi begitu keadaannya sungguhpun UMNO begitu lantang bersuara kononnya membela nasib orang Melayu..
2 comments:
Sebenarnya kenyataannya diputar belit oleh seorang wartawan cina (lupa dah namanya).
Masa ucapan tu,beliau cuma bercerita pasal sejarah saja.Pasal bagaimana orang cina n india tiba di Tanah Melayu dan so on.Dan dia tidak pernah pertikaikan pun hak-hak bangsa lain di Malaysia.
Mungkin beliau rasa tercabar kerana sejak akhir-akhir ni hak keistimewaan bumiputera dicabar.Orang Melayu mana yang tak panas telinga?
Tup-tup keluar kt paper cina tu,beliau keluar kenyataan berunsur perkauman.Jadi siapa sebenarnya yang mengapikan isu ini?
Beliau ke wartawan cina tu?
kenyataan arkaik yang dilontarkan oleh datuk begitu mendatangkan kontroversi. Kalau tahap begini lontaran sejarah terhadap bangsa lain, bagaimana pula kalau orang Cina kata penyebaran Islam ke Malaysia datang dari Cina?
Politik sekarang mudah sekali mencetuskan pergaduhan. Satu pihak menyuarakan pandangan A, satu pihak lain membangkang dengan fakta B lebih baik. Perkara ini terus dan menerus sehingga mencetuskan perpecahan. Benar kata abang, logo kemerdekaan yang ada hari ini tidak diimplementasikan sepenuhnya. Ia seolah-olah hanya wujud sebagai propaganda yang meragukan..
Post a Comment