Bulan Ramadhan ini sesuatu yang sangat istimewa. Suasana atau
'ambience' yang ada pada bulan ini membuatkan kita terkenang pada sesuatu yang jauh pada pandangan insan biasa.
Memori lama mengusik jiwa setiap insan yang punya jiwa halus itu. Memang benar apa yang dikatakan '
bulan maghfirah' itu. Setiap gerak geri dan perlakuan dijaga penuh rapi dan teliti agar tidak hilang keberkatan dan pahala di bulan mulia ini.
Namun perkara yang paling penting sekali pada bulan ini ialah ianya saat untuk mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Pencipta. Jika di bulan lain selalunya kita terleka, di bulan ini adalah saat untuk kita menampung dan memperbaiki semula amalan kita.
Bulan ini juga saat untuk kita kembali menyemai kasih kepada keluarga. Biasanya anak-anak muda di bandar akan pulang ke kampung pada hujung minggu untuk meraikan saat berbuka puasa bersama keluarga. Tidak lah sesuatu yang menghairankan apabila melihat halaman rumah dipenuhi kereta anak-anak yang pulang ke kampung di hujung minggu bulan mulia ini.
Bagi saya, saat bersahur merupakan waktu yang paling tenang dan syahdu apabila melihat mak tak menang tangan menyiapkan hidangan di atas meja. Itu belum lagi ditambah lagi dengan kesusahan mengejutkan anak-menantu-cucunya di 6 bilik berlainan. Leteran mak menyemarakkan lagi 'ambience' itu.
It's really special for someone who feels it. Bagi saya di antara hikmah Ramadhan ini ialah mengembalikan kasih sayang kita kepada keluarga. Orang Gemencheh biasa sebut
'back to roots'. Kembali kepada akar ini sangat sinonim dengan kita menghargai nikmat keamanan dan ketenangan yang kita kecapi selama ini.
Bayangkan anak-anak Palestin di luar sana yang tidak memperolehi nikmat sepertimana yang kita ada hari ini.
Bayangkan bagaimana mereka menyambut Ramadhan kali ini.
Adakah mereka menikmati keselesaan dan kemewahan seperti kita?
Kita tidak pelik apabila melihat betapa penuhnya makanan di atas meja kita di saat kita berbuka puasa.
Malahan tidak pelik apabila melihat trend semasa berbuka dengan terlalu banyak juadah sehingga tong sampah di dapur dipenuhi dengan sebahagian makanan tersebut.
Dimanakah sensitiviti kita terhadap nasib umat Islam di luar sana? Adakah kita sedar betapa istimewanya kita berbanding umat Islam lain di muka bumi ini?
Ramadhan bukan sekadar kita berlapar dan dahaga. Tetapi ia mengajar kita betapa perlunya kita prihatin pada nasib mereka yang tidak istimewa seperti kita. Ia mengajar dan mendidik jiwa menjadi hamba bukannya raja. Ia memberi 1001 makna pada kehidupan. Kehidupan yang penuh dengan kesusahan dan cabaran. Kesusahan yang perlu dilalui dengan sabar dan ihsan!
Sama-samalah kita menghargai apa yang ada di hadapan mata.
0 comments:
Post a Comment