their future is at stake


Tersentuh hati apabila membaca berita dalam NST hari Ahad 07/09/08 yang lepas, berkenaan isu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini. Professor Datuk Dr Isahak Haron, pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris menyatakan bahawa pertukaran dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik kepada Bahasa Inggeris ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab (irresponsible move) dan ramai pelajar telah tercicir akibat daripada pelaksanaan polisi ini.

Beliau kemudian mengesyorkan agar kembali berbalik kepada dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia.

Secara umumnya pandangan ini adalah satu pandangan yang baik jika fakta yang dibentangkan adalah berdasarkan kajian soal selidik. Namun jauh di sudut hati bagi saya jika 4 tahun dulu kita berkata sedemikian mungkin kita tidak perlu membuang masa dan tenaga membincangkan isu ini.

Tidak perlu juga salahkan Tun Dr Mahathir kerana beliau pun belum tentu lagi tinggal lama di Malaysia. Meletakkan kesalahan pada seseorang yang melaksanakan satu dasar yang telah pun dilaksanakan selama 5 tahun dan selepas wang pembayar cukai dihabiskan sebanyak RM5 bilion umpama ahli parlimen membuat lawatan sambil belajar ke Tadika Kemas Kg. Kepis Ulu. Tiada faedahnya!

Persoalan penting yang ingin saya kongsi disini ialah mengapa hari ini kita terlalu stereotype dan melihat pada satu jalur pemikiran sahaja. Apabila sesuatu dasar kita laksanakan dengan berabis sakan duit rakyat jelata maka kita mula meragui kemampuan kita-berfikir kemudian berpaling semula ke belakang untuk kembali pada yang asal.

Sikap ragu-ragu dan tidak yakin dengan sesuatu keputusan yang telah dilaksanakan inilah yang menyebabkan kita bukan menuju ke arah kemajuan dan pembangunan, tetapi kita menjadi bangsa yang mundur dan terkebelakang hanya kerana tidak yakin pada kemampuan diri dan yang paling malang sekali ialah kita tidak berani gagal!

Sekian lama saya perhatikan sikap pemimpin dan kebanyakan kita yang cukup skeptikal apabila membincangkan soal pendidikan ini. Pendidikan yang sempurna adalah pencarian ilmu berdasarkan kepada pengalaman. Untuk mendapat pengalaman ini ialah dengan memupuk semangat dan sikap berani mencuba dan terus mencuba. Menjadi orang berilmu ini bukan dinilai dengan semahal mana blazer atau setebal mana tali leher yang kita pakai!

Memang benar nasib generasi adik-adik di sekolah rendah telah diperjudikan hasil daripada pelaksanaan dasar ini, namun kita tidak harus berpaling semula ke belakang semata-mata kita gagal pada 5 tahun yang pertama. Sepatutnya para intelektual, ahli akademik, pentadbir sekolah dan guru-guru meningkatkan lagi usaha dan kemahiran untuk memastikan kejayaan dasar ini.


Jangan dilemahkan semangat anak-anak kecil ini hanya kerana kita merasakan kita tidak mampu dan takut sekiranya mereka akan gagal. Sikap takut dengan gagal ini bagi saya adalah satu yang amat salah kerana sumber pengalaman dan kemahiran itu diperolehi daripada kegagalan. Tanyalah Thomas Alva Edison yang telah gagal 2000 kali sebelum menemui teori mentolnya itu.

Apa salahnya diteruskan dasar ini dengan menginovasikan cara pengajaran dan pembelajaran dalam kedua-dua bahasa itu. Berilah bimbingan kepada mereka dengan penuh kreatif supaya mereka mahir dalam Bahasa Inggeris dari segala segi. Semasa peperiksaan nanti berikanlah pilihan kepada mereka untuk menjawab dalam bahasa yang mereka minati. Cara pengajaran yang menarik dan interaktif, menekankan soal pengukuhan tatabahasa sudah pasti akan mengayakan perbendaharaan kata dan membiasakan mereka dengan Bahasa Inggeris!

Yang pasti kita jangan membazirkan buku teks Sains dan Matematik yang melibatkan peruntukan bernilai bukan juta tapi bilion semata-mata untuk kembali kepada dasar yang lama .Cubalah bayangkan betapa nasib buku teks tersebut sekiranya diletakkan dalam stor dimakan tikus dan lipas. Itu semua adalah hasil titik peluh keringat usaha kebanyakan rakyat Malaysia!

Fikirlah masak-masak sebelum membuat sesuatu keputusan yang bakal menentukan masa depan anak bangsa kita. Jika benar anak-anak Melayu lemah, marilah sama-sama kita bergandingan tangan membantu mereka supaya 10 tahun nanti mereka boleh bercakap bahasa Inggeris seperti Mahadzir Lokman!

Sepatutnya inilah tugas anak muda siswa di universiti untuk menyumbang kepada anak bangsa di tanah air tercinta. Bukannya sibuk aktif berpolitik demi cita-cita untuk menjadi seorang ahli politik yang kononnya memperjuangkan nasib bangsa, sedangkan adik-adik kita di bangku persekolahan ketinggalan jauh dan bakal menderita!

2 comments:

Anonymous said...

nice article.satu sudut pandangan yang bagus.terselit jua kebenarannya.

Shazwani Mazuki said...

salam..
kata2 saudara ada benarnya..perkongsian idea yg cukup bernas..
sy br sahaja selesai menjalankn kajian ttg penguasaan BI di kalangan pelajar dlm subjek kejuruteraan di SMT (projek akhir)..mmg dpt dilihat dgn jelas bahawa penguasaan BI pljr adlh rendah..namun begitu,spt yg saudara tekankn,jgn bpaling ke blkg,and yes,i'm agree with that statement..
insyaAllah,sbg bakal pendidik,sy akan cuba membimbing bakal2 pljr dgn segala usaha yg ada..sbnrnya,smua warga pendidik harus sm2 bekerjasama,mbantu anak2 bangsa mningkatkn prestasi mereka..
entahla,kdg2,sedih dgn sikap pljr yg xnk tolong diri sndri..tp,mgkin mereka dh berusaha sedaya upaya,nmun rezki tdk bpihak pd mereka..
apepn,thanx a lot for this info..