Selamat Tinggal Tahun Penuh Ujian

Saya tidak percaya. Tapi orang kata tahun 2010 itu adalah tahun ujian buat saya. Mungkin benar mungkin tidak ramalan itu. Apapun masa itu tetap berlalu dan saya telah melalui semua itu dengan jayanya. Di duga dan diuji dengan cubaan-cubaan yang memeritkan dan bisa memedihkan hati. Saya tetap tabah dan teguh. Percaya bahawa awan hitam akan berarak lalu. Cahaya fajar baru akan menjelma dan seterusnya adalah masa untuk mengisi kehidupan. Masa itu umur bukannya emas kata seorang pakar motivasi.

Apapun yang kita lakukan kita mesti percaya bahawa kita akan berjaya akhirnya. Melalui proses kejayaan itu bukanlah suatu yang mudah. Di sana menuntut kesabaran dan ketabahan. Pembelajaran itu tidak pernah berhenti kerana setiap hari kita belajar sesuatu yang baru. Sama seperti bayi yang baru lahir hingga pandai berlari. Maka, setiap langkah itu adalah tapak-tapak yang kita untuk ke mercu jaya. Percaya sahaja bahawa akhirnya kita akan sampai ke seberang sana. Rempuh saja halangan itu dan jangan lihat lagi ke belakang. Kata John F Kennedy "Mereka yang hanya pandang masa lampau dan masa kini pasti akan terlepas masa depan."

Sememangnya masa lalu berharga tetapi itu tidak cukup berharga sekiranya ia menyekat masa depan. Berfikir ke depan itu adalah satu seni. Jika anda tidak bersiap sedia untuk masa depan hari ini, anda hidup dalam masa lampau esok. Soalnya sanggupkah kita hidup dalam bernostalgia tentang masa lampau. Persetankan semua itu. Hari ini, bukan si besar yang makan si kecil. Sebaliknya, si pantas yang makan si perlahan. Jesteru masa itu adalah kepantasan. Mesti pantas mencipta peluang. Mesti pantas merebut pengalaman di depan mata.

Jesteru perubahan yang pantas memerlukan kita berkebolehan menyesuaikan diri dengan pantas. Untuk berbuat demikian, kita mesti berkebolehan belajar dengan pantas. Ingatlah, semua perkara akan terus berubah. Dasar kerajaan berubah. Harga barang berubah. Selera manusia berubah. Perniagaan statik berubah. Undang-Undang berubah. Mahkamah masih tidak berubah. Satu-satunya yang tak akan berubah adalah keperluan kita untuk mencapai prestasi seperti yang diharapkan.

Semoga tahun 2011 adalah tahun untuk kita berubah ! InsyaAllah kemenangan adalah milik kita !

Cabaran Terbesar Adalah Diri Kamu Sendiri

Apabila kita disuruh bercakap tentang cabaran remaja Islam masa hadapan, maka apakah yang paling baik untuk kita cakapkan. Berteori tentang masalah remaja masa kini. Menghempap segala masalah pada anak-anak muda. Anak muda Melayu jadi mat rempit. Anak gadis Melayu jadi bohsia mengandung anak luar nikah. Anak muda Melayu murtad dan sembahyang di gereja. Nah mendidih otak anak-anak muda Melayu dihempap 1001 macam masalah. Cukuplah daulah dan Harian Metro memburukkan nama anak muda Melayu. Kita sepatutnya bercakap soal penyelesaian dan jalan keluar. Kita sepatutnya bercakap soal bagaimana kita ingin merubah semua perkara negatif yang dimomok pada bani Melayu. Kita bercakap soal pencerahan. Ya, pencerahan untuk anak-anak muda Malaysia.

Tiada jalan paling baik untuk keluar dari kemiskinan itu melainkan pendidikan. Benar, pendidikan yang baik dan sempurna itu merubah. Ilmu itu membawa cahaya dan pencerahan. Maka cara paling baik untuk kita menjadi bangsa maju dan berjaya ialah belajar ilmu. Bukan ikut cara TV3 mendoktrin minda bani Melayu dengan cerita hantu. Apa kejadah zaman dunia tanpa sempadan sibuk menayang cerita hantu. Cukuplah membodohkan umat Melayu. Kita dah cukup muak dibodohkan siang dan malam. Bodohkan bani Melayu sampai habis tergadai tanah umat Melayu di Kampung Baru.

Apabila Wikileaks muncul dengan berita-berita sensasi kita terkesima. Maka rahsia itu tidak lagi menjadi rahsia. Singapura sememangnya pangkalan data dan keselamatan Amerika di Asia Tenggara. Maka apa lagi yang kita pelikkan, bahawa musuh-musuh Islam itu sentiasa mengintai kita. Sejarah tidak pernah berbohong. Tidak akan redha mereka selagi kita tidak mengikut cara hidup dan gaya mereka. Kekuatan yang ada adalah kesatuan umat. Kekuatan yang adalah persaudaraan kita sesama warga. Jesteru kita menolak para cukong yang sentiasa tamakkan harta daulah. Warga menolak pembangunan palsu yang memusnahkan jatidiri warga semua bangsa. Warga mahukan makanan dan minuman. Air bersih yang mampu oleh warga miskin bandar. Ruang yang cukup untuk anak-anak kecil itu bermain dan beriadah. Oleh itu monopoli terhadap air harus dihentikan. Warga perlukan air dan minyak untuk terus hidup.

Shahdan, cabaran terbesar kamu adalah diri kamu sendiri. Hanya orang mati yang tidak boleh mengubah minda mereka. Mengapa kamu terlalu takut kepada perubahan. Oleh sebab rasa takut pada perkara yang tak diketahui, kita takut pada perubahan. Perubahan itu tetap berlaku Hazwan. Satu-satu perkara yang tetap berlaku adalah perubahan. Maka dari bujang kepada berkahwin itu perkara biasa. Tidak adakah lagi perkara yang lebih besar dari fikiran manusia biasa. Tidak adakah dunia yang lebih sempurna. Tidak adakah lagi kehidupan yang bisa membuatkan kita saling menghargai sesama. Jesteru apa yang berlaku di Parlimen itu begitu mengecewakan. Hak untuk bersuara itu dinafikan. Di manakah nilai kita yang bernama insan.

Jika anda hanya mahu yang mudah, maka akhirnya, anda tidak akan mempunyai yang senang.

Apakah Yang Menghalang Kamu Berfikiran Besar

Ingat dunia ini bukan untuk orang yang pandai tapi untuk orang cerdik. Setinggi mana pun sijil yang kamu susun, itu belum menjamin kehidupan. Kehidupan perlu dilihat dengan kesusahan, kepayahan, perit dan derita. Kehidupan itu perlu diuji. Hakikatnya tiada orang yang terus berjaya tanpa diuji. Tiada orang yang terus kaya sebelum papa kedana. Tiada orang yang terus berjaya tanpa melalui kalah dan tewas. Begitu kita menjalani hari-hari yang mendatang, cabaran di hadapan adalah lebih besar. Maka, persediaan ke arah peperangan itu juga semakin besar.

Pedulikan apa manusia kata tentang Warisan Merdeka 100-tingkat itu. Nak bina binalah. Biarkan habis tanah warisan dibuat menara. Masa depan kita bukan bergantung pada tanah warisan tetapi lot-lot perniagaan dan kedai. Akhirnya tanah warisan itu menjadi Mid-Valley dan KLCC. Akhirnya Istana Negara itu menjadi The Greater KL. Di manakah hilangnya warisan bangsa tiada siapa yang tahu. Kita hidup dalam arus kemodenan. Kita harus menyokong kemodenan kerana ini semua lambang kekayaan dan kemegahan. Taraf hidup kita semakin tinggi dan pendapatan juga tinggi dengan adanya kompleks perniagaaan di sana sini. Commercial City Centre itu adalah bahasa dan makna bahawa bangsa kita adalah bangsa berjaya.

Dalam usia menginjak dewasa kita berfikir, apakah yang paling baik untuk kita. Kita merasakan kehidupan hanyalah sekadar belajar, bekerja, berkahwin dan beranak pinak. Jika tafsiran kehidupan begitu maka apakah maknanya kita menjadi khalifah. Khalifah itu ialah pemimpin yang berjiwa besar. Berjiwa besarkah kita dengan cabaran dan ujian. Berjiwa besarkah kita dengan hanya berpuas hati dengan apa yang kita ada. Berjiwa besarkah kita dengan hanya memiliki sesuatu yang dimiliki oleh manusia biasa. Sememangnya manusia tidak pernah puas. Tahap kepuasan sebenar adalah menikmati kemanisan perjuangan. Setiap insan yang ingin berjaya harus berjuang. Maka perjuangan sebenarnya baru saja bermula.

Kes-kes di mahkamah itu semakin hari semakin membesar. Kakitangan mahkamah tertekan. Hari demi hari kita memaksa untuk mendapatkan keadilan. Keadilan yang bagaimanakah yang kita ingin. Apakah seperti keadilan yang diinginkan oleh Zaid Ibrahim. Apakah keadilan itu pada perjuangan Anwar Ibrahim. Apakah keadilan itu bermakna kita memberi kekayaan dan hak sama rata kepada semua kaum. Maka keadilan yang sebenar adalah meletakkan sesuatu pada haknya. Maka keadilan itu dicari di Istana Keadilan. Maka kita sememangnya inginkan hak itu dari pertarungan dalam kesucian undang-undang. Undang-undang yang manakah yang memberikan keadilan?

Maka warga dinasihati oleh peguamcaranya untuk mendapatkan haknya. Permohonan injunksi mareva itu dibenarkan. Hilang sudah kasih sayang. Harta benda diutamakan. Kekayaan melebihi kasih sayang. Apakah matlamat asal perkahwinan. Apakah perkahwinan itu sesuatu yang menyeronokkan. Apakah kehidupan beristeri itu bermakna kedamaian. Apakah mempunyai teman hidup itu bermaksud kita semakin matang. Selamat datang dunia kestabilan. Selamat datang dunia kematangan. Maka hari itu warga menjadi orang besar yang berfikiran besar. Tidak lagi gundah gulana. Tidak lagi keliru dan tidak keruan. Tidak lagi hidup dalam kesengsaraan jiwa dan perasaan. Maka warga ingin menyatakan sekali lagi duhai kawan "Apakah Yang Menghalang Kamu Daripada Berfikiran Besar !"

Kini Masa Untuk Berubah

Kita semua tahu dan sedar melakukan perubahan itu bukanlah suatu yang mudah. Ia perlukan kesungguhan. Menawan puncak gunung bukan mudah. Memperoleh A dalam semua subjek bukan mudah. Mengorat awek cun bukan mudah. Menawan Putrajaya juga bukan mudah. Semuanya perlu kepada perancangan dan strategi. Perlukan masa dan sumber. Perlu ada persistensi agar jalan di hadapan tetap dilalui dengan baik. Maka melakukan perubahan memang sakit untuk beberapa tahun, tetapi hasilnya kita akan lihat selepas tamatnya keperitan itu.

Semua kita sedar dan tahu apa yang berlaku di sekitar pemilihan pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat itu. Bertelingkah merebut kuasa dan nama. Ya, benar. Kuasa itu adalah ekonomi. Punca-punca ekonomi itu wajib direbut sementara peluang sangat besar. Warga mahu berubah ke arah alternatif. Para cukong terliur dengan kuasa alternatif baru. Di sini 1001 satu peluang akan muncul. Jika tidak mana mungkin dapat maintain rumah banglo di Tropicana Golf & Country Resort. Mana mungkin untuk mengekalkan taraf dan gaya hidup. Apapun kehidupan perlu diteruskan walaupun seteruk mana ia. Pemimpin kaya rakyat miskin.

Banjir di Kedah dan Perlis itu mengingatkan kita. Bahawa dalam sekelip mata keadaan itu boleh berubah. Tragedi alam yang menimpa kita satu petanda dan amaran. Alam ini sudah tua. Karbon monoksida yang keluar dari ekzos kereta itu sudah tidak mampu ditanggung oleh ozon. Atap dunia semakin menipis. Selagi Taib Mahmud berkuasa maka selagi itulah rakyat Sarawak sengsara. Memiliki hartanah di Kanada dan London, rakyat Sarawak tinggal dalam rumah jamban. Keadilan sosial manakah yang dibawa oleh kumpulan Human Rights. Bik mama di depan mata tak nampak, kuman di seberang sungai terang dan nyata.

Akhirnya kita boleh memahami bahawa kekayaan itu dipegang oleh kuasa dan pengaruh. Kita sama-sama sedar bahawa selagi kita tidak memiliki kuasa politik itu maka sebarang usaha tidak mungkin dapat direalisasikan. Benar tiada yang mustahil di dunia. Siapa sangka Korea Selatan itu boleh diserang oleh Korea Utara. Bukan pulau yang direbutkan sebaliknya menguji kekuatan. Siapakah yang lebih kuat dalam agenda pengayaan uranium dan bom atom. Siapakah yang lebih teknologi nuklearnya. Benar jalan peperangan yang paling ideal adalah PERANG. Maka peperangan adalah jalan keluar kepada kekalutan dunia yang dihimpat hutang. Maka untuk memusnahkan liabiliti ekonomi dan hutang, kita berperang.

Membaca hasrat Daulah membina loji nuklear atau menggunakan nuklear sebagai sumber tenaga amat menggerunkan. Bagaimana mungkin kita memiliki loji nuklear yang mungkin bocor seperti bangunan Parlimen baru-baru ini. Apatah lagi punah-ranah seperti stadium di Terengganu atau jambatan gantung yang mengorbankan anak muda di Perak. Maka warga perlu berhati-hati dengan media yang mengolah persetujuan seolah-seolah nuklear itu selamat, bersih suci lagi murni. Kegilaan kita mendokong dasar ekonomi cukong bakal mengorbankan generasi kita akan datang, kerana mungkin ada yang cacat dan mati kerana kesan radiasi atom nuklear.