menghalalkan Sisters in Islam


Saya tidak terperanjat apabila usul muktamar PAS mengharamkan Sisters in Islam (SIS). Soal halal dan haram bagi saya tidak pernah timbul dan menjadi persoalan. Benarkah SIS ini halal sebelum diharamkan. Apakah pembawakan SIS ini. Siapakah anggota dalam SIS ini. Benarkah mereka berbahaya kepada aqidah dan kepercayaan umat Islam kepada Yang Maha Esa. Benarkah anak-anak bekas PM menjadi anggota SIS ini.

Hakikat sebenar hanya kita yang membaca dan mengikuti perkembangan sahaja yang boleh mengerti. Warga samaada bermandi hadas atau tidak sepatutnya celik terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Bukankah ini soal kehidupan kita warga 1Malaysia.

Pelik bin ajaib apabila SIS yang manifestonya inginkan pembebasan hak wanita Islam. Soal mudahnya mengapa pemimpin SIS ini tidak memakai hijab kepala. Bukankah hijab adalah perkara asas yang pelajar PASTI tahun 2 di Kg. Melekai pun tahu. Lagi pelik bin ajaib apabila kita mengkaji dan mendalami apakah dasar dan matlamat SIS sebenarnya. Perjuangan liberalisasi wanita mengikut suka hati anda. Panduan al-kitab al-hadis dibuang begitu sahaja.

Sungguh kebebasan bersuara dan berpersatuan itu dijamin Perlembagaan. Namun barang diingat tidak semua yang kita boleh vokal terutama perkara yang melibatkan aqidah umat. Saya berasa pelik mengapa tiada NGO wanita Islam yang bersuara. Adakah semuanya telah masuk pergerakan wanita UMNO.

Di mana mahasiswi yang sibuk berusrah dan bertamrin untuk bersuara. Kenapa tidak tubuhkan beratus NGO bagi mencabar dan menangani SIS ini. Kenapa tidak bersuara lantang seperti SIS membela dan memperjuangkan hak wanita Islam. Ah, saya terlupa yang mereka sibuk bercinta enta enti. Mungkin juga sibuk memilih lelaki soleh untuk dijadikan calon suami. Harus diingat lelaki zaman ini hanya memilih wanita yang chic lagi trendy.

Kepada PAS saya cadangkan selepas ini kita haramkan pula motosikal sebab motosikal penyebab suburnya budaya Mat Rempit dan Mat Ragut dalam negara kita.

kerajaan peraduan, twitter dan makcik Felda


Mulai hari itu saya haramkan guna perkataan perpaduan. Jangan sesekali sebut perpaduan kerana ia haram dan sensitif. Menyebut perpaduan samalah seperti makan babi yang haram. Minyak tidak boleh bercampur dengan air. Parti mainstream Islam tidak boleh bercampur dengan parti secular-based. Ini bersalahan dengan prinsip organisasi. Tidak ada perundingan. Tiada kompromi.

Samaada kita bersunat atau tidak kita perlu terima hakikat bahawa politik adalah alat untuk mencapai keuntungan ekonomi maksima. Politik adalah seni yang tiada mustahil. Apa saja boleh berlaku dalam politik. Hari ini parti ini esok boleh berubah ke parti lain. Kepentingan ekonomi dan kapitalis ini wujud sampai bila-bila. Sebenarnya hampir tiada yang mustahil dalam politik hatta dalam parti yang memperjuangkan Islam sekalipun.

Walau apa jua yang terjadi kita perlu melihat kepada permasalahan yang wujud di sekitar kita. Sehingga ke hari ini kita masih jauh tersasar dari landasan agama yang membawa kepada pengabdian. Lihatlah akhbar dan filem Melayu. Semuanya bertemakan perkauman dan cinta songsang yang menyesatkan anak muda. Hiburan ala anak wayang menjadi stigma masyarakat Melayu yang sukakan filem tahyul, hantu dan jembalang yang terbang di belakang jamban.

Kini kita perlu berusaha untuk menawarkan alternatif bagi menggantikan gerombolan. Kita perlu berusaha sekeras mungkin untuk menjadikan warga mendapat akses maklumat dan pengetahuan yang benar lagi sahih. Kita perlu membawa gelombang pendidikan media, hak asasi dan ekonomi pada warga kelas bawahan dan pertengahan. Kita perlu mendidik warga agar boleh berfikir secara analitikal dan kritis. Makcik Felda harus memiliki facebook dan twitter.

Soalnya bagaimana kita ingin membawa gelombang perubahan itu. Tidak lain tidak bukan ia bermula dengan ilmu. Berusaha dengan menyiapkan pasukan anak muda yang tegar, bertauliah dan tidak ceroi. Berusaha mendidik jiwa agar dekat dengan tarbiyah asasiyyah oleh tuan guru. Berusaha untuk mewujudkan nukleus influenza yang membawa misi perubahan kehidupan rakyat. Habis bermuktamar tidak bermakna kita sedap tidur dibuai mimpi lena.

Chin Peng, Pemuda PAS dan Liberalisme


Hari ini kita melihat warga dalam keadaan tertekan. Warga sedang mencari satu penyelesaian terhadap masalah yang berlaku di sekeliling kita. Dalam asyik berpolitik dan bertarung memegang kuasa, kebajikan warga terabai dan dipinggirkan begitu sahaja. Kita tidak hairan jika melihat orang miskin dan susah ini ada di mana-mana. Kita juga tidak terkejut melihat ada warga yang masih menggunakan air perigi untuk minum dan pelita arang untuk menerangi malam yang gelap. Meskipun kita gah dan berbangga dengan tali leher setebal sejadah berdiri di tengah panas kota, bangga dengan kemajuan dan 1Malaysia, tapi taraf pemikiran warga masih di tahap kelas ketiga.

Peduli apa samaada Chin Peng ingin pulang atau tidak. Kalau dia ingin pulang biarkan dia pulang. Tapi soalnya benarkah dia ingin pulang ke Tanah Malaya ini dalam keadaan warga dilanda krisis ekonomi dan politik yang menggerunkan. Di sana dan di sini kita melihat jenayah yang lebih hebat dan zalim daripada apa yang dilakukan oleh Chin Peng. Membunuh isteri, anak, dan orang gaji dengan mengelar leher tanpa kasihan seperti yang berlaku di Perak baru-baru ini satu contoh tamsilan.

Bila Chin Peng dijadikan kambing hitam untuk kepentingan gerombolan, orang Melayu yang bodoh saja akan marah. Itulah baca lagi Berita Harian dan Utusan. Sepatutnya dah lama kita jadikan dua akhbar ini tempat alas pinggan mangkuk. Dalam keadaan terdesak gilakan kuasa warga dibodohkan dengan berita perkauman. Chin Peng pulang atau tidak takkan menyelesaikan masalah pengangguran. Lelaki-lelaki mangsa Ah Long yang dirantai dan digari bak anjing itu pun tidak boleh diselamatkan oleh Chin Peng. Ini semua kerja spin doktor dalam media. Ini semua membuatkan orang Melayu terkencing terberak marahkan Chin Peng dan berpayung di bawah gerombolan oleh kerana ketakutan.

Mengapa pada hari ini kita hanya tahu bersurah tentang perjuangan menegakkan agama tetapi tiada usaha untuk menerajui perubahan. Katalah apa saja muluk-muluk tema dalam muktamar, tetapi jangan asyik membantah konsert dan hiburan yang menjadi makanan jiwa anak muda. Di sinilah yang saya lihat stereotaip yang ada dalam pemuda PAS. Banyak berkata dan pandai berbicara sahaja tidak cukup sekiranya tiada mekanisme untuk memahami aspirasi dan jiwa anak muda. Bait-bait surah dan wahyu Yang Maha Esa tidak cukup hanya dibacakan saja tetapi mesti direalisasikan. Setiap kali bermuktamar ramai yang membuat air liur basi daripada memahami intipasi apa yang disebut dasar itu. Soalnya berkesankah ia?

Apa yang saya lihat isu dan idea yang diutarakan sama sahaja. Pemuda PAS tetap akan berdemontrasi sekiranya Avril dijemput semula. Mengapa tidak sediakan alternatif hiburan untuk anak muda. Mengapa tidak cuba membuat konsert alternatif di SunBurst. Mengapa tidak menyediakan ruang untuk anak muda beridealisasi seperti The Zouk atau Annexe Central Market. Kepoyoan ini akan menjadi skrip stereotype yang kita ulang dan ulang sepanjang tahun. Ini tidak akan menghasilkan pencerahan dan dunia baru untuk anak muda Malaysia. Saban tahun anak muda akan mati di jalanraya bukan dalam pilihanraya.

Memang benar sesuatu perjuangan itu ada masa ringan dan masa berat. Kita harus terima hakikat bahawa kehidupan bukanlah semudah yang kita sangka. Setakat berkahwin dengan model cantik dan bersurah mengenai kejayaan perniagaan itu tidak cool untuk anak muda. Yang cool adalah kita jadi anak muda biasa yang bebas untuk menjadi kaya, bebas berfikir, bebas bertindak dan mempunyai cita-cita untuk membangunkan Malaysia Baru.

mengapa saya lambat kawen


Dahulu saya mengimpikan sebuah kerjaya yang membolehkan saya membantu warga untuk membangun pemikiran baru. Saya tidak bercita-cita menjadi negarawan. Saya juga tidak bercita-cita untuk menjadi ahli politik. Menjadi ahli politik kini tidak lagi platform untuk hidup bebas dari bebanan masalah.

Lihat saja PM baru kita. Saya rasa hidup ini tidak tenang jika diselebungi bayangan Cek Mek Molek Mongolia yang telah tiada. Bayangkan setiap kali wakil rakyat mampus akan disebut berulang-ulang kali nama Altantuya. Tak ke gila jadinya. Ahli politik jugak kena declare jumlah harta milikan di laman web. Ini lagi cheroi. Susah2 kerja kena declare harta pada warga. Jesteru saya menolak untuk jadi ahli politik sepenuh masa.

Kadangkala saya berfikir mengapa saya tidak dilahirkan di kalangan kerabat di raja. Jika tidak sudah pasti hari ini saya akan mengorat model dari Indonesia. Sudah pasti awek saya akan menjadi perhatian media. Di majlis keramaian atau bersama Pak Menteri atau menonton bola final piala FA saya akan menjadi perhatian lensa kamera paparazzi Malaysia. Tidak perlu susah payah bekerja. Tidak perlu jumpa klien. Tidak perlu bangun awal pagi mendengar kuliah profesor yang membosankan.

Kehidupan ini tidak pernal adil untuk anak muda seperti saya. Saya menempuhi beribu peperiksaan. Ada yang berjaya. Ada yang gagal. Saya redha dan pasrah pada takdir yang berlaku. Saya berdiri semula selepas terjelepuk jatuh. Saya tabahkan hati dan kuatkan jiwa. Saya teruskan berusrah dan bertamrin. Saya tidak cari awek lain yang lebih seksi. Saya setia pada yang satu. Saya juga tidak mengadu pada mana-mana ahli politik untuk dapatkan biasiswa. Saya mahu menjadi Melayu Baru dan Melayu Berdikari. Saya tidak akan memohon jawatan ketua pemuda UMNO cawangan.

Melihat kepada apa yang berlaku di serambi kita membuatkan saya gerun dan risau. Dunia yang kita diami kini sudah usang dan tua. Alam kini sedang mengamuk. Kepanasan sedang membahang. Cuaca panas ini tidak selesa untuk anak muda keluar bercanda dan berasmara. Cuaca panas ini ditambah lagi dengan keputusan di Penanti setelah lama menanti. Selepas ini kita tunggulah pula manik terburai-burai di Kelantan.

Jangan beranggapan tidak berkahwin itu tidak produktif. Masih banyak cara dan jalan menjadi aktif dan produktif. Jalan perkahwinan bukan satu-satunya jalan untuk berjiwa bebas. Melihat kepada rakan-rakan di sekeliling yang di ambang kegagalan rumahtangga akibat gagal merancang. Gagal dalam menghadapi cabaran hidup semakin menggila. Harga ayam mahal, minyak kereta WAJA, tol bakal naik bulan depan. Harga lampin anak dan buaian movable tak payah cerita. Tidakkah itu sesuatu yang berserabut. Saya membenci dunia penuh serabut ini.

Tiba masanya kehidupan dilihat untuk menjadi individu merdeka, menguasai pasaran bebas, kerajaan terhad dan menjunjung semula kedaulatan undang-undang.