Kali pertama saya mengenali dengan Michael Jackson 13 tahun dulu. Sewaktu itu saya masih kecil dan berhingus. Saya mengenalinya kerana lagu Black or White. Mengikut kamus PPSMI ia bererti Hitam atau Putih. Saya tidak tahu apa yang hitam dan apa yang putih. Mungkin hitam itu jahat putih itu baik. Mungkin hitam itu tanda kegelapan dan putih itu tanda pencerahan. Michael memilih untuk menjadi putih kerana inginkan pencerahan. Michael tidak takut berubah dari hitam kepada putih. Ini tidak bermakna Michael ingin menyertai Pakatan Rakyat.
Hari ini kita sebagai warga hidup dalam percanggahan ideologi pemikiran. Malaysia meskipun telah merdeka 51 tahun namun kita masih dibelenggu ideologi perkauman. Kenyataan seorang mufti baru-baru ini supaya umat Melayu meniru cara masyarakat Cina ada benarnya. Apabila kita lemah kita mesti mencari jalan untuk bersatu. Bila kita bersatu maka kaum lain akan terpinggir dan menderita. Ekonomi kaum lain akan lemah bila Melayu bersatu. Soalnya mengapa hari ini di Pusat Serenti yang ramainya adalah umat Melayu. Apakah ini kesan dan akibat Math dan Sains tidak diajar dalam Bahasa Inggeris.
Di sudut pandang yang lain kita melihat anak-anak muda terus terpinggir dalam arus kemodenan.Anak muda Melayu yang tergila-gilakan Michael Jackson tidak mampu membacakan Al-Fatihah selepas pemergiannya. Anak muda Melayu yang hanya mampu merempit di Jalan Senawang - Kuala Pilah sebagai belangsungkawa atas pemergian arwah. Mereka meluahkan rasa sedih dengan bercanda bersama aweks dan balak walaupun Michael Jackson tidak pernah pun sekali pergi bersolat Jumaat di surau taman mereka.
Di kala ini juga anak-anak muda di Iran menumpahkan darah di jalanraya mendobrak daulah yang tidak mesra anak muda. Daulah dengan teologi ekstrim mengongkong pemikiran dan idealisme anak-anak muda Tehran. Anak-anak muda ini bangkit menentang kebobrokan ini menuntut kebebasan dan ketelusan dalam pilihanraya daulah. Mereka mahukan hak asasi dan kebebasan bersuara diwujudkan semula. Akhirnya jalanraya di Tehran kini bermandi darah anak-anak muda menolak autokratik kepimpinan Ahmadinejad.
Menyusuli tindakan itu kita melihat hari ini masyarakat mula berubah. Dahulu tidak ada twitter untuk makcik Felda. Kini makcik Felda telah mempunyai twitterberry sehingga boleh menonton video klip Isteri Rosmah. Sungguh tidak bersopan mereka ini menghina isteri kesayangan Perdana Menteri kita. Sempena menggubal undang-undang ISA nanti saya cadangkan agar kita menyunatkan semula mereka yang upload video klip dalam YouTube ini. Soalnya bolehkah kita membuat undang-undang untuk seseorang itu bersunat 2 kali?
Kematian Michael Jackson itu telah menyatukan kita semua. Samaada kita dalam UMNO, PAS, PKR atau PPP (haha) kita sama-sama bersedih di atas pemergian Raja Pop yang begitu masyhur ini. Lupakan samaada dia telah memeluk agama Islam atau tidak. Yang penting kita tidak perlukan kerajaan Perpaduan kerana Michael Jackson telah pun menyatukan kita 1Malaysia.
Maaf saya ingin beritahu bahawa Michael Jackson tidak pernah sampai ke Felda Palong untuk menganjurkan Khemah Ibadah.
0 comments:
Post a Comment