anak muda dan cabaran demokrasi


Demokrasi yang diagung-agungkan telah lama tercalar. Anak muda kini sudah muak dengan janji-janji palsu. Mereka mahukan satu idea pencerahan. Idea yang membawa dunia serba kelam dan kusam ini kepada cahaya. Dunia cerah adalah dunia yang bersih dan telus. Bersih dari rasuah, telus dari segala rahsia yang mencengkam jiwa dan nurani warga daulah.

Tiba masanya untuk kita berfikir tentang apa yang berlaku di serambi kita. Lihat di sekeliling kita. Kes-kes jenayah, rompak, ragut, rogol selamanya berleluasa. Anak muda dilalaikan dengan momok artis dan hiburan. Anak muda tidak dibenarkan berfikir di luar lingkungan. Anak muda digalakkan untuk bergantung hidup pada kerajaan. Anak muda jangan asyik berpolitik dan berpersatuan. Anak muda yang baru menjadi peguam ditangkap dan dilayan budak belasahan.

Mengapa kita tidak berlaku adil pada anak muda. Mengapa golongan tua selalu menyalahkan anak muda. Lihat saja di dada akhbar hari ini semuanya menceritakan kisah derita anak muda Malaysia. Anak muda sinonim dengan penagihan dadah, gejala sosial, pesta seks, ponteng sekolah, tidak hormat undang-undang. Nah berdarah kau jadi anak muda di Malaysia. Yang betul yang baik dan yang sahih hanya orang tua oldtai yang masih gila kuasa untuk memegang persatuan belia.

Tidak perlu kita menuding jari kepada sesiapa. Apatah lagi menyalahkan barat terhadap apa yang berlaku pada kita. Tiada kena mengena barat dengan anak muda Malaysia yang pergi karnival kerjaya. Tiada kena mengena obama dengan anak muda yang merempit di jalanraya. Ini semua hasil budaya yang berligar di kalangan kita. Ini semua kerana pemimpin kita yang asyik hanya bercakap soal kuasa dan kuasa. Di mana pengisian untuk anak-anak muda. Di mana pendidikan insaniah dan uluhiyyah untuk anak muda. Di mana motivasi dan inspirasi yang diterapkan untuk anak muda. Tiada dan tiada. Semuanya sibuk soal kuasa dan kuasa.

Walau apa jua keputusan Mahkamah Rayuan nanti tiada apa bezanya. Apa untungnya untuk anak muda sekiranya Zambry atau Nizar jadi MB. Kita tetap jadi insan yang sama melihat keracauan dan kekelabutan daulah negeri Darul Ridzuan. Kita tetap akan berkata bahawa itu tidak adil, ini tidak adil. Tiada pernah keadilan itu diletakkan pada tangan sesiapa. Hanya VK Lingam yang boleh memberi keadilan dalam negara kita. Selepas ini rayuan di Mahkamah Persekutuan pula. Selepas itu tidak tahu lagi nak rayu di mahkamah mana. Mahkamah Rabbul Jalil barangkali.

Kita tidak pernah berputus asa dalam berusaha. Saya percaya kita semua membaca dan terus membaca. Ini pendidikan politik. Tidak perlu untuk menjadi ahli parti politik untuk mendapat pendidikan politik. Jauh sekali bercita-cita untuk jadi Yang Berhormat. Apa yang perlu adalah cita dan usaha. Tidak takut kegagalan. Tidak takut pada kegilaan. Sentiasa mengharapkan keampunan dan belas ihsan Tuhan. Kita takkan tahu kemampuan kita sehingga kita lebarkan sayap dan tunjukkan kemampuan yang kita ada. Pastikan kita tetap di jalan yang satu dan jangan hilang fokus. Fokus kita kini adalah untuk mendidik fikrah anak muda.

Akhirnya kita akan melepasi jua usia muda. Kita akan terus terkenang waktu muda. Waktu penuh dengan cerita dan seloka. Waktu kita bersusah payah membina cita-cita. Waktu kita hangat bercinta tak ingat dunia. Waktu kita saling gembira sesama kita. Waktu kita merayakan kemudaan kita. Waktu kita bercumbu bersama. Waktu kita berikrar bahawa dunia ini milik kita.

1 comments:

Anonymous said...

Perkara yang lumrah dalam negara yang mahu membangun dari aspek demokrasinya. Sedangkan Amerika mengambil masa hampir 200 tahun untuk membentuk acuan demokrasi yang mantap. Malaysia masih tercari-cari formula yang sesuai barangkali.

Syabas, teruskan membaca dan mengkaji demokrasi dan anak-anak muda!