tidurlah insan yg lama menanti


tidurlah insan yang lama menanti
dunia ini penuh misteri

tidurlah insan yang lama menanti
terlalu banyak peristiwa di sana sini

tidurlah insan yang lama menanti
politik ini selamanya tidak pernah suci dan sunyi

tidurlah..
teruskan tidur...

kita berhak untuk mendapat nikmat tidur
mengikuti semua ini membuatkan kita letih berdiri
elok kita tidur sambil duduk menanti

tidurlah..

Tahniah YB Mansor di DUN Penanti
Jangan biarkan rakyat terus menanti
Janji demi Janji
Ia mesti ditepati..

penghayatan sebuah stereotaip


Kehidupan jika tiada liku bukanlah kehidupan. Kehidupan wajib dilihat sebagai satu medan pertempuran. Hari demi hari kita berdepan dengan musuh dan ujian. Kita laksana pejuang di medan pertahanan. Perlu tegar dan bertahan. Perlu ganas tiada belas kasihan. Perlu belasah lawan sehingga pengsan dan tiada daya melawan. Itu pesan Sun Tzu dalam Art of War.

Hidup sebenarnya satu kebosanan. Kita perlu mengisi ia supaya tidak bosan. Cerita hidup bukan sekadar jadi doktor perubatan. Bukan juga untuk jadi peguam mata duitan. Hidup ini mudah sekali. Kita buat apa yang kita suka. Apa yang kita percaya. Apa yang kita mahukan dalam kehidupan. Kita berjuang untuk dapatkan kejayaan tanpa mengharapkan bantuan gerombolan.

Siapa yang akan membantu kita tatkala kesusahan. Jangan harapkan Aminah bt Abdullah. Ini calon minah ronggeng. Adakah dia boleh pastikan semua harga siling standard tidak membebankan. Sayang sekali kita taksub dan hidup dalam kegelapan. Juga penuh kejahilan.

catatan di masa boring


Kita wajib sedar bahawa tamadun petroleum yang sedang kita lalui ini akan tamat. Simpanan minyak di dasar perut perairan negara akan habis. Segala jenis senjata dan kereta kabal akhirnya akan tersadai kerana tiada minyak untuk menggerakkan enjin. Kita akhirnya akan kembali ke zaman berperang menggunakan senjata pedang dan tombak.

Kita akan kembali ke zaman batu. Warga perlu sedar bahawa bila keadaan ekonomi ini tidak terkawal maka hanya ada satu jalan penyelesaian iaitu peperangan. Peperangan akan memulihkan semula agenda kapitalis menguasai dunia. Peperangan adalah satu agenda penstrukturan semula asas ekonomi dunia.

Tidak perlu MBA dari Yale untuk mengerti bila ekonomi merudum maka jenayah akan meningkat. Ini adalah hasil sosio-budaya yang kita sendiri bentuk. Kita sebagai warga wajib terlibat dalam masalah dan konflik sosial yang berlaku dalam negara kita. Mat Rempit Mat Pet dan Bohsia adalah manifestasi tarbiyah daulah pada anak muda.

Daulah bertanggungjawab menuakan fikrah anak muda agar menjadi bodoh dan mereng. Daulah bertanggugjawab di atas kes jenayah dan pembunuhan di serambi kita. Daulah bertanggungjawab di atas dasar politik autokratik sehingga lupa bahawa warga perlukan makanan bukan politik. Food not bomb.

Isu di Perak boleh diselesaikan dalam masa satu hari jika Sultan membubarkan DUN. Pagi samopai petang mengundi, malam kita sudah tahu siapa yang berhak memimpin kerajaan Perak. Mengapa poyo sangat biarkan isu ini berlarutan berbulan-bulan. Saya hilang nafsu melihat apa yang terjadi di negeri pasir berdengung ini. Aktiviti kupu-kupu malam hilang angkara meluat terhadap sikap mangkuk politik yang gilakan kuasa takutkan Hantu Cek Mek Molek Mongolia.

Menjadi anak muda di Malaysia satu kemestian untuk berjiwa besar dan bergaji tinggi. Pedulikan kaum pemodal dan kapitalis. Kita tetap hidup dengan aspirasi untuk membina Malaysia yang lebih baik dan telus. Anak-anak muda mesti celik politik dan ekonomi. Anak muda Malaysia perlu membina enterprise entity milik mereka sendiri.

Dasar negara bangsa ini wajar difikirkan oleh semua. Kita patut meraikan 1Malaysia sebagai agenda bersama. Bukan 1Malaysia yang hanya mementingkan kepentingan gerombolan yang ingin kekal berkuasa. Siapa peduli 1Malaysia atau 10Malaysia. Kita tetap kita.

anak muda dan cabaran demokrasi


Demokrasi yang diagung-agungkan telah lama tercalar. Anak muda kini sudah muak dengan janji-janji palsu. Mereka mahukan satu idea pencerahan. Idea yang membawa dunia serba kelam dan kusam ini kepada cahaya. Dunia cerah adalah dunia yang bersih dan telus. Bersih dari rasuah, telus dari segala rahsia yang mencengkam jiwa dan nurani warga daulah.

Tiba masanya untuk kita berfikir tentang apa yang berlaku di serambi kita. Lihat di sekeliling kita. Kes-kes jenayah, rompak, ragut, rogol selamanya berleluasa. Anak muda dilalaikan dengan momok artis dan hiburan. Anak muda tidak dibenarkan berfikir di luar lingkungan. Anak muda digalakkan untuk bergantung hidup pada kerajaan. Anak muda jangan asyik berpolitik dan berpersatuan. Anak muda yang baru menjadi peguam ditangkap dan dilayan budak belasahan.

Mengapa kita tidak berlaku adil pada anak muda. Mengapa golongan tua selalu menyalahkan anak muda. Lihat saja di dada akhbar hari ini semuanya menceritakan kisah derita anak muda Malaysia. Anak muda sinonim dengan penagihan dadah, gejala sosial, pesta seks, ponteng sekolah, tidak hormat undang-undang. Nah berdarah kau jadi anak muda di Malaysia. Yang betul yang baik dan yang sahih hanya orang tua oldtai yang masih gila kuasa untuk memegang persatuan belia.

Tidak perlu kita menuding jari kepada sesiapa. Apatah lagi menyalahkan barat terhadap apa yang berlaku pada kita. Tiada kena mengena barat dengan anak muda Malaysia yang pergi karnival kerjaya. Tiada kena mengena obama dengan anak muda yang merempit di jalanraya. Ini semua hasil budaya yang berligar di kalangan kita. Ini semua kerana pemimpin kita yang asyik hanya bercakap soal kuasa dan kuasa. Di mana pengisian untuk anak-anak muda. Di mana pendidikan insaniah dan uluhiyyah untuk anak muda. Di mana motivasi dan inspirasi yang diterapkan untuk anak muda. Tiada dan tiada. Semuanya sibuk soal kuasa dan kuasa.

Walau apa jua keputusan Mahkamah Rayuan nanti tiada apa bezanya. Apa untungnya untuk anak muda sekiranya Zambry atau Nizar jadi MB. Kita tetap jadi insan yang sama melihat keracauan dan kekelabutan daulah negeri Darul Ridzuan. Kita tetap akan berkata bahawa itu tidak adil, ini tidak adil. Tiada pernah keadilan itu diletakkan pada tangan sesiapa. Hanya VK Lingam yang boleh memberi keadilan dalam negara kita. Selepas ini rayuan di Mahkamah Persekutuan pula. Selepas itu tidak tahu lagi nak rayu di mahkamah mana. Mahkamah Rabbul Jalil barangkali.

Kita tidak pernah berputus asa dalam berusaha. Saya percaya kita semua membaca dan terus membaca. Ini pendidikan politik. Tidak perlu untuk menjadi ahli parti politik untuk mendapat pendidikan politik. Jauh sekali bercita-cita untuk jadi Yang Berhormat. Apa yang perlu adalah cita dan usaha. Tidak takut kegagalan. Tidak takut pada kegilaan. Sentiasa mengharapkan keampunan dan belas ihsan Tuhan. Kita takkan tahu kemampuan kita sehingga kita lebarkan sayap dan tunjukkan kemampuan yang kita ada. Pastikan kita tetap di jalan yang satu dan jangan hilang fokus. Fokus kita kini adalah untuk mendidik fikrah anak muda.

Akhirnya kita akan melepasi jua usia muda. Kita akan terus terkenang waktu muda. Waktu penuh dengan cerita dan seloka. Waktu kita bersusah payah membina cita-cita. Waktu kita hangat bercinta tak ingat dunia. Waktu kita saling gembira sesama kita. Waktu kita merayakan kemudaan kita. Waktu kita bercumbu bersama. Waktu kita berikrar bahawa dunia ini milik kita.

penanti yang menanti swine influenza



Setiap kali datang pilihanraya kecil sayalah orang yang paling seronok. Ini kerana saya dapat melihat susuk mangkuk dengan kenyataan media dan keyakinan untuk menang. Sebetulnya warga sudah bosan dengan janji-janji politik. Berapa kali kita dengar desakan demi desakan. Kembalikan hak demokrasi kepada rakyat. Bubarkan DUN. Kenapa bengap dan tengong sangat. Warga tidak tahan dengan berita dan uuh aah yang dibaca dan didengar setiap hari. Warga mahukan tindakan. TINDAKAN.

Politik tetap selamanya politik. Timbul pula isu Ulama' merasuah. Ini semua karut. Ini cerita cherooi laaa. Setakat beri hadiah tak payah bising la. Itu satu hakikat. Jawatan dan kuasa bertitik tolak pada pengaruh. Bila ada pengaruh maka ada pembodek. Bodek projek sana. Bodek projek sini. Ini semua ciput punya hal. Tak payah kecoh-kecoh. Tak payah nak timbulkan isu perlembagaan kat sini. Ini semua tiada kaitan dengan wahyu Yang Maha Esa. Jangan cuba merekrut al Qur'an dan Al Hadis untuk kepentingan peribadi. Ini EKPLOITASI.

Setiap kali saya menyelak akhbar melayau dan hairan rasa begitu meloya. Mengapa hari ini saya lahir di Malaysia tidak di New Zealand. Percayakah kita virus Influenza A itu sengaja dicipta untuk menghuru-harakan dunia. Hahaha. Ini semua agenda kapitalis moden untuk meraih untung semaksimum mungkin. Warga satu dunia gelabah. Seperti biasa BABI dipersalahkan. Mengapa setiap virus wabak yang membawa kematian dikaitkan dengan BABI. Mengapa BABI sering dipersalahkan setiap kali huru-hara berlaku dalam dunia dikaitkan dengan BABI. Selsema BABI. Swine Influenza. Kesian BABI. Apa yang berlaku di Perak lebih teruk daripada BABI.

Selamat Datang ke Penanti. Kita akan terus MENANTI sehingga ke pengakhiran episod ini.

Ulama' atau Profesional; Satu Malaysia Gelita



Kita sebenarnya hidup dalam gelita. Satu Malaysia Gelita. Rasa hairan bin ajaib mengapa isu Mat Rempit menjadi mauduk utama akhbar dan berita. Rasa sangsi dan berfikir adakah ini satu cara untuk pastikan kerajaan rampasan DUN Perak berkuasa. Satu Malaysia kini menonton cerita lawak dan lucah yang berlaku di DUN Perak. Kerajaan yang tidak kompeten dan konsisten adalah kerajaan yang lemah.

Jangan mengkambing-hitamkan mat rempit hanya kerana melabon gilakan kuasa. Mat Rempit ini adalah hasil nilai dan dasar sosial yang kita sendiri. cipta Kita sendiri yang memulakan dan melahirkan budaya ini. Jangan sesekali marah apabila anak-anak Muda Melayu menjadi bohsia dan bohjan. Budaya ini juga kita yang mulakan. Kita membina pusat hiburan dan kompleks pasaraya tanpa kawalan. Kita tidak mengisi anak-anak muda dengan keimanan pada Tuhan. Kita sibuk berpolitik sakan. Inilah akibat tidak mengajar Sains dan Math dalam Bahasa Inggeris.

Hari ini kehidupan anak-anak muda Melayu dirampas dan dirogol sepuas-puasnya. Dasar kapitalis memaksa anak muda untuk bertarung dalam hidup. Semua hak dan kebebasan anak muda dipersoalkan dan dijadikan projek swasta. Ruang-ruang yang semakin sempit ini ditambah lagi dengan kegilaan politikus yang gilakan kuasa dan kekayaan. Padang awam dan kawasan lapang untuk anak muda beriadah dijadikan parking persendirian. Kemudahan untuk anak muda beridealisasi dikenakan bayaran tinggi macam cipan. Dasar Belia dan Rakan Muda hanya muluk politik seolah-olah susuk daulah ini prihatin terhadap masalah dan keperluan anak muda.

Golongan tua atau old-tai ini tidak pernah bertolak ansur dengan anak muda. Jika bersungguh untuk membanteras Mat Rempit dan Bohjan mengapa memberi peluang baru towkay Cina menjual motosikal pada harga yang murah. Dasar kapitalis dipaksakan ke atas kita apabila ia boleh dibayar secara ansuran bulanan untuk memastikan produk mereka terjual. Iklan-iklan tentang kehebatan enjin dan kelajuan ditembak ke atas kita kiri dan kanan setiap masa. Anak-anak muda yang tinggal di rumah pangsa sempit memilih jalan raya untuk merayakan kehidupan muda mereka.

Soalnya mengapa terlalu obses berlabon soal ulama' atau professional yang patut menjadi pemimpin. Isu ini isu lapuk dan bukan fundamental kepada masalah yang ada di depan kita hari ini. Menjadi pemimpin tidak dapat tidak mestilah menguasai ilmu agama dan profesional. Jika tidak ada kelayakan ini maka lebih baik memohon PTD kontrak di Putrajaya. Tidak perlu hu-ha satu kampung bercerita tentang pangkat dan jawatan. Selesaikan dahulu masalah yang ada di hadapan kita. Tanah orang kampung di Johor dan Melaka yang dirampas towkey kroni untuk dijadikan projek perumahan. Rakyat diutamakan dengan merampas tanah rakyat.

Kita patut merubah cara berfikir dan cara bertindak. Tiba masanya untuk tidak hanya membaca Utusan Malaysia. Bacalah bahan dan sumber-sumber yang boleh membina kritis dan kritikal dalam pemikiran. Berapa kali saya sudah nyatakan bahawa dunia ini milik kita. Kehidupan ini bukan hanya untuk bekerja 9-5, membayar installment WAJA atau beristeri cantik. Kehidupan patut merentasi lebih daripada dasar kapitalisme yang dipaksakan ke atas kita. Cerita Mat Rempit dan Ragut adalah cerita yang hari-hari berlaku dan tiba-tiba ditembak ke atas kita untuk berfikir.

Kita tidak perlu berfikir terlalu mendalam kerana jenayah berlaku di mana-mana dan setiap kita. Ini fitrah dunia. Dalam keadaan terdesak manusia akan bertindak di luar norma dan batasan. Kejatuhan ekonomi memburukkan lagi keadaan. Ini bermakna dasar negara yang kita ada hari ini terlalu banyak kelompangan dan kelemahan. Kita tidak berlaku adil saksama kepada warga daulah yang kini dalam kesesakan dan kesempitan.

Tidak perlu belajar jauh sehingga ke Durham untuk menyelesaikan masalah ini. Kita sebagai warga wajib sedar dan berkerjasama untuk mencari solusi. Ini bukan cerita pilihanraya yang kita rayakan 5 tahun sekali. Bukan juga cerita hiburan, seram, misteri. atau bini siapa yang lari Ini soal pilihan yang kita buat sendiri di peti undi.