the story of makes camp

Pada mulanya agak keberatan untuk saya menerima taklifan sebagai Ketua Unit Modul bagi Kem Motivasi Anak Kembali ke Sekolah 2008 (MAKES Camp '08) ini. Namun saya tabahkan hati dan niatkan semuanya untuk membantu agama Ilahi. Kebiasaannya pada waktu begini orang akan pergi bercuti atau sibuk memikirkan kerjaya sendiri. Saya tetap cuba melakukan sedaya upaya dan mahukan yang terbaik untuk program kali ini. Stesen Penyelidikan Sains Marin UPM Port Dickson menjadi venue utama bagi program kali ini.

Memang kalau difikirkan menganjur dan menjalankan program motivasi satu perkara yang cukup meletihkan. Bekerja di bahagian modul dan pengisian, tentu banyak menggunakan otak untuk berfikir dan tenaga untuk bergerak. Terasa seperti hendak collapse di malam pertama, kerana di sebelah siangnya terkejar ke sana ke mari untuk menyiapkan dokumentasi peserta dan fasilitator, ditambah dengan tugas di meja pendaftaran pun abang kena buat juga. Nak buat macamana dapat adik-adik yang manja dan baru berjinak-jinak dengan dunia motivasi ini.

Meskipun terlalu banyak kekurangan dan kelemahan dalam sesuatu program itu, saya tetap optimis dan berjiwa besar. Saya tahu dan sedar kelemahan itu tetap ada, namun apa yang lebih penting adalah tindakan untuk membaiki dan menambah nilai sesuatu kekurangan itu. Saya bersyukur kerana arena ini mendidik saya menjadi seorang yang positif, mesra dengan orang lain, tahan cabaran dan ujian di samping mampu untuk empati-memahami hati budi dan masalah masyarakat kita hari ini terutama remaja. Saya menganggap mereka seperti adik saya.

Mungkin agak kekesalan melihat tidak ramai senior yang telah bekerja untuk turun membantu dan memberi sokongan terhadap aktiviti pembangunan remaja sebegini. Al maklumlah sibuk dengan kerjaya atau anak isteri. Tapi saya melihat para ustaz yang terlibat dalam jamaah dan persatuan Islam ini seolah-olah sudah biasa dan tiada masalah untuk berbuat begitu. Bahkan ada yang membawa anak sendiri menjadi peserta program atau sekurang-kurangnya berada di sisi untuk membantu pelaksanaan program. Di wajah mereka kita nampak sinar yang inginkan kebaikan bagi anak-anak remaja masa kini.

Jikalau diizinkan sebelum melelapkan mata nanti saya ingin membina sebuah akademi latihan untuk aktiviti, program pembangunan insan, motivasi dan kemahiran belajar. Di bawah payung organisasi ini saya akan kumpulkan para profesional dan teknokrat untuk menjadi shareholder bagi akademi ini. Jikalau Lim Kok Wing boleh buat mengapa anak Melayu Islam tak boleh buat. Adakah Lim Kok Wing makan besi dan kita semua anak Melayu Islam hanya makan nasi?

Jangan menutup pemikiran kita dan terus berfikir secara stereotaip. Jika kita ingin berbakti pada masyarakat maka janganlah banyak sangat berkira. Apa sangat yang kita inginkan dalam hidup ini sehinggakan tidak mahu menyumbang satu sen pun kepada pembangunan dan konstruk sosial remaja kita hari ini. Siapa kata menjadi profesional tidak boleh menyumbang kepada tanggungjawab sosial. Sejak dulu lagi saya berazam untuk memecah tembok tipikal itu.

Tidak payah menunggu untuk mendapat liputan media untuk anugerah CSR atau Tanggungjawab Sosial Korporat seperti yang kita dapat lihat pada konglomerat2 hari ini. Sewaktu di sekolah, universiti bahkan menjadi houseman sekalipun kita boleh melaksanakan dan menggerakan usaha itu. Mengapa tunggu menjadi YB baru berfikir hendak berbakti kepada rakyat. Mengapa bila menjadi YB kita perlu berikan penghormatan kelas pertama sedangkan kita sama-sama manusia berusaha untuk membangunkan rakyat. Inilah yang kita katakan bercita-cita menjadi wakil rakyat tapi tidak pernah menyusun rakyat!

Semoga program seperti ini akan dapat dijalankan lagi untuk masa seterusnya. Saya percaya suatu hari nanti Allah akan mengabulkan cita-cita saya. Menubuhkan sebuah akademi latihan sendiri atas nama Akademi Latihan Tinta Strategi (ALTIS) untuk manfaat generasi harapan akan datang. Semoga generasi baru terus berjaya dan gemilang seiring dengan kemajuan yang kita kecapi hari ini. Kita takkan berhenti dari impian ini kerana ini adalah cita-cita kita bersama.

3 comments:

sinar mentari said...

kagum dengan pandangan abg hazwan!!
teruskan perjuangan..
Allah pasti prmudahkan urusan akhi..
insyaAllah..

Anonymous said...

teruskan perjuangan,,..
moga sy pun di diberikan kekuatan dan semangat sama seperti abg hazwan..
maaf jg sbb x dpt nak join prgrm tu tuk sm2 bantu abg hazwan,,..

ekramhakim~ said...

semoga impian saudara berjaya..
mungkin kita mempunyai fikrah yg sama..boleh discuss..?