whither priority and accountability?


Mahu atau tidak kita perlu mempelajari dan memahami garis politik. Politik bagi saya bukan soal kepartaian dan kuasa semata-mata, politik adalah ilmu kenegaraan yang berkaitan dengan hal ehwal semasa yang mempengaruhi sosio-ekonomi sesebuah masyarakat. Kadangkala saya berasa hairan dengan sikap 'ignorance & arrogant' sesetengah anak muda Melayu yang menutup sebelah mata dalam hal ehwal yang berlaku di sekeliling mereka.

Mungkin pada mereka kehidupan ini hanya untuk berfoya-foya atau lebih memualkan lagi cukup berpuas hati dengan keasyikan menjadi ahli persatuan itu dan ini, wala' pada pemimpin stereotaip lagi tenggelam dalam idea-idea lapuk dan bodoh. Pada saya jalur pemikiran generasi baru hari ini perlu diubah agar tidak terlalu buta politik dan bengap untuk berfikiran jauh. Cuba tanya berapa ramai yang pernah baca SUARAM Human Rights Report. Tentu ramai yang terpinga-pinga dan menyangka itu jenama biskut terbaru.

Pengumuman kerajaan memberi lampu hijau kepada syarikat gergasi Sime Darby dan Air Asia untuk membina lapangan terbang tambang murah (LCCT) di Labu, Negeri Sembilan baru-baru ini meruntun jiwa saya. Bagi saya ini cadangan ini memang dinanti-nantikan oleh semua. Kita sungguh bertuah mempunyai pemimpin yang bijak lagi cerdik serta obsesif membina lapangan terbang dan membeli helikopter. Harapan kita dengan terbinanya LCCT baru ini maka makcik Odah dan Pakcik Leman di Kampung Ulu Gadong, Labu itu akan lebih mudah cepat dan pantas untuk ke kebun. Selepas ini basikal dan motor kapcai penduduk kampung Labu juga boleh dijual oleh kerana sudah ada pengangkutan awam yang baru - Boeing 747 Air Asia!

Tidak perlu menjadi MT AMK Keadilan untuk membicarakan isu ini kerana common sense atau di mata umum ternyata projek mega ini memang bermanfaat. Persoalan penting yang timbul di sini ialah adakah lapangan terbang yang bernilai RM 1.7 billion ini menjadi keutamaan. Apakah penduduk Negeri Sembilan semakin ramai menjadi ekspatriat ke luar negara sehingga menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membina lapangan terbang sendiri. Sedangkan Terminal LCCT sedia ada berhampiran KLIA di Sepang sudah ada dan sedang ditingkatkan keupayaannya dengan renovation membesarkan lagi terminal berkenaan telahpun siap.

Mengikut sumber kerja-kerja pembesaran bernilai RM160 juta di LCCT Sepang itu yang kini telahpun siap boleh menyaksikan LCCT terbabit meningkatkan jumlah keupayaannya sebanyak 50 peratus kemampuannya mengendalikan penumpang. Ini bermaksud ia mencukupi untuk warga daulah. Sekali lagi dipersoalkan mengapa membina satu lagi LCCT menjadi keutamaan sedangkan lokasi pembinaan LCCT di Labu itu tidak sesuai dan terlalu hampir dengan terminal sedia ada. Keadaan ini juga pasti menimbulkan masalah kepada pengawal lalu lintas di Sepang.

Persoalan kos dan lokasi terminal baru ini juga menjadi persoalan. Mengapa tidak memilih kawasan contohnya di Jempol atau Bandar Baru Serting yang ini secara tidak langsung boleh membantu merangsang ekonomi di daerah terpinggir seperti Bahau, Muadzam Shah dan Gemas. Saya pasti kini ramai di antara anak watan yang bekerja mahupun belajar di luar negara - setidak-tidaknya di Sabah dan Sarawak yang lebih memerlukan LCCT daripada terpaksa bergegas ke Labu untuk menggunakan perkhidmatan itu. Saya pasti jika ini berlaku pakcik dan makcik di Felda Pasoh dan Palong pasti melonjak gembira.

Alangkah baiknya jikalau RM1.7 billion ini digunakan sebagai dana bagi siswazah Melayu seperti saya dan rakan-rakan yang lain memulakan perniagaan SME di lot-lot kedai sekitar Seremban, Senawang dan Ampangan. Jadi tidak perlulah anak-anak muda di Negeri Sembilan memohon menjadi guru J-Qaf ataupun KAFA. Juga tidak perlulah kita menyewa kedai kepunyaan Tokey Cina dari Singapura walaupun ini tanah air dan bumi Melayu kita. Rasanya Ketua UMNO Bahagian Seremban lupa memperjuangkan atau tidak pernah terfikir sampai ke situ. Lebih baik berfikir soal kontrek atau projek besar dengan kroni Khairy Jamaludin di Parlimen Rembau..

Sungguh malang menjadi anak muda yang tinggal di bumi Malaysia hari ini. Jika boleh memohon sebelum dilahirkan dulu saya akan meminta untuk tidak dilahirkan sebagai anak muda Melayu yang tinggal di Malaysia. Ini kerana menjadi Melayu hari ini sinonim dengan tipikal, stereotaip, stagnant dan hanya sibuk menghunus keris kononnya membela hak Melayu dan ketuanan Melayu, tetapi mengapa bangunan kedai di Terminal 2 Seremban terus dikuasai dan dimiliki bangsa lain. Anak muda Melayu graduan universiti pula sibuk memohon PTD dan menjadi guru J-Qaf.

Jika diizinkan suatu hari nanti saya tidak akan tinggal di Malaysia dan takkan mengizinkan anak-anak saya membesar di bumi Malaysia. Lebih baik merantau dan bermusafir berjuang di bumi lain yang lebih positif dan pro-anak muda, pro-perubahan dan suka kepada kegagalan.

go ahead beyond boundaries


Kita ketepikan soal politik kerana saya nampak ramai yang tidak berminat. Mari kita tumpukan soal pembangunan diri dan organisasi kita. Hari ini kita tidak lagi boleh menggunakan pendekatan yang agak keras dan ekstrim. Kita perlu melihat semula apakah pendekatan kita hari ini bersesuaian dengan generasi hari ini. Generasi yang lebih peka, bijak dan cerdik dengan isu semasa. Mereka cukup sensitif dan mahukan lebih perhatian untuk mereka. Mereka generasi berjiwa mudah lentur dan mudah melantun. Mereka mahukan kita lebih friendly, caring dan concern dengan mereka.

Melihat keadaan ini maka kita akui bahawa kita perlu mengubah pendekatan kita. Kita tidak lagi statik dengan cara terdahulu. Kita tidak boleh lagi hanya bercakap soal muka tapi yang lebih penting ialah isi. Kita tidak lagi menerangkan menggunakan pendekatan lama tapi generasi baru perlukan pendekatan baru - empati - kita bersama dan menyelami hati mereka!

Meskipun terlalu banyak kekurangan dalam Makes Camp di Port Dickson baru-baru, saya akui dan menerima dengan hati terbuka. Saya tidak pernah salahkan sesiapa akan kelemahan itu. Saya berpegang dengan prinsip bahawa untuk berjaya kita tidak akan selalu berjaya di peringkat awalnya. Kegagalan itu adalah anak tangga kejayaan. Kelemahan dan kekurangan itu juga adalah sebahagian daripada pengalaman. Hidup anak muda tidak lepas daripada kesalahan dan melakukan kesilapan. Generasi tua juga tidak sunyi daripada melakukan kesilapan.

Di waktu mendatang kita mengharapkan agar idealisme anak muda ini tidak dihalang. Biarkan anak muda bereksperimen untuk mencapai matlamat hidup mereka. Bantulah mereka untuk mereka mengenali erti kematangan hidup. Anak-anak muda di Palestin pada waktu ini sedang berjihad mempertahankan tanah air dan aqidah mereka. Samakah penderitaan mereka dengan kesusahan yang kita hadapi dalam program. Ternyata kita terlalu selesa tidur di katil empuk.

Bercerita tentang rakyat Palestin yang diganyang ketika ini oleh Zionis Israel membuatkan saya berfikir dan termenung jauh. Kesedihan ini lebih pedih daripada pemergian Tuanku Jaafar Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan baru-baru ini. Selalu saya sebut kepada rakan-rakan sekiranya Yahudi merancang 100 tahun dahulu untuk menduduki tanah Palestin hari ini mengapa tidak kita sama merancang! Berterusan stereotaip dengan wacana, dialog dan forum yang tiada tindakan dan penyelesaian. Apabila pulang kita kembali kepada suasana yang sama. Kertas kerja dan resolusi dalam forum disimpan dalam laci untuk tatapan tikus dan lipas.

Mengapa tidak anak-anak muda Islam samaada di Malaysia atau Palestin membina gagasan ekonomi untuk melawan dinasti perniagaan Zionis yang menyumbang kepada jentera dan mesin yang membunuh rakyat Palestin hari ini. Hari ini jaringan kita semakin dekat. Tidak cukup sekadar memboikot, kita mesti menawarkan alternatif untuk membina kekuatan ekonomi dan ketenteraan. Bukan membeli kapal selam tapi berpangkalan di pelabuhan Singapura.

Bertindaklah anak muda. Sekarang masa untuk merancang dan bertindak dengan kekuatan dan persaudaraan kita. Tiada yang mustahil di dunia ini bagi mereka yang mahu. Mulakan dengan diri kita. Boikot barangan keluaran Israel dan semua yang menyokong kezaliman Israel. Mulakan hari ini meskipun kita tidak ramai dan kita kuat dengan kualiti anak muda berani.

the tussle of two political animals


Tidak kisahlah samaada khairy atau dato' husam yang menang bicara dalam Siri Wacana Perdana di Balai Islam Londang Kota Bharu baru-baru ini, yang penting apakah outcome atau resolusi yang orang Melayu dapat daripada forum tersebut. Bagi saya tiada lagi situasi win-win dalam soal ini. Ternyata hasil wacana tersebut menjadikan masa depan umat Melayu Islam lebih kabur lagi berserabut. Masing-masing pada saya hanya passionate dan obsesif pada kepentingan parti politik masing-masing dan bukan untuk kepentingan ummah.

Masa Depan Politik Melayu-Islam

Tidak dinafikan khairy adalah 'the shining star' dalam UMNO yang petah dan bijak berbicara sehinggakan hadirin terpesona dengan persembahannya. Soal hudud dijadikan 'time bomb' untuk memerangkap dato' husam selaku Naib Presiden PAS lantas menjadi gula-gula menjelang pilihanraya Kuala Terengganu Januari ini. Mungkin terlalu ghairah untuk menjawab satu soalan khairy maka dato' husam terpaksa berterus terang bahawa hudud 'kita akan laksanakan'. Sungguh dato' husam terlupa bahawa perjanjian antara Pakatan Rakyat telah termeterai terlebih dahulu bahawa sesuatu keputusan mesti dibuat secara multilateral. Media mainstream tidak menunggu lama untuk mengalunkan lagu berjudul 'hudud oh hudud' ini.

PAS dalam dilema

Dilema antara melaksanakan perintah wahyu Ilahi atau menjaga kepentingan tahaluf siasi. Itulah persoalan yang menjadi dilema parti mainstream Islam PAS kini. Semua antara kita jelas bahawa menegakkan hukum Allah itu adalah mandatori bagi pemerintah. Tidak dapat tidak kewajipan ini mesti dilaksanakan kerana ini adalah haq-qullah (hak2 Allah yang mesti dilaksanakan) dan bukan haq-qul-adami (hak manusia yang boleh diberi pilihan). Namun situasi kini tidak berpihak kepada kefahaman masyarakat kita tentang pentingnya pelaksanaan perintah ini kerana diserabutkan dengan agenda politik pihak berkepentingan.

Terlalu banyak rasanya yang perlu didahulukan kefahaman dan pemahaman sebelum kita berbincang soal hukum hadd ini. Sememangnya dari soal dasar atau prinsip tidak menjadi masalah, tapi soal pelaksanaan dan sejauhmana kita dan mereka yang memahami perjuangan Islam ini boleh menerangkan kepada masyarakat Islam yang masih jahil mahupun non-muslim yang masih sangsi dan berprasangka dalam soal hukum keterbatasan ini.

Satu analogi yang suka saya bawa disini ialah sekiranya kereta Mercedes Benz E24o kita yang baru dibeli cash berharga RM350,ooo itu dicuri, dan kita dapat menangkap si pencuri itu yang berada di depan mata kita, apakah tindakan yang ingin kita lakukan kepada si pencuri? Jawapan kepada persoalan ini mudah kerana sudah pasti kita selaku pemilik kereta akan merasa marah, geram, tension, rasa nak sepak terajang atau plengkit je si pencuri tu (belum masuk sumpah seranah dan carutan). Malah mungkin kalau dicadangkan untuk memotong tangan pencuri tu immediately saya yakin si pemilik kereta (kita) akan terus bersetuju.

Yalah mana tak bengang kalau kita kerja jadi peguam contohnya, naik turun mahkamah, failkan notis tuntutan itu ini, bergasak dalam court dengan pendakwaraya atau hakim, tinggal anak bini kat rumah, balik lewat malam penat, terlepas masa bermesra dengan keluarga kat rumah semata-mata mencari rezeki kehidupan, senang-senang orang curi kereta Mercz E240 yang baru kita beli. Pada waktu ini soal apakah pegangan agama si pemilik tu tak lagi jadi persoalan. Orang Melayu UMNO, Cina PAS malah India DAP sekalipun akan rasa perasaan yang sama-seolah-olah rasa macam nak bunuh je si pencuri. Itulah bukti Tuhan lebih mengetahui tentang keadaan makhluk yang diciptakanNya. Jangan lawan hukum Tuhan.

DAP yang berserabut dan ultra-racist

Jadi apa masalahnya Lim Guan Eng dan Karpal Singh tentang hukum keterbatasan ini. Mungkin salah kita juga tidak terangkan kepada mereka yang sebenarnya. Jika diberi mahu saja saya menyertai DAP untuk mengetuk kepala masing-masing yang bengap berfikir dan stereotaip. Kata saja pemikiran membangun dan moden tapi soal Islam sangat prejudis dan penuh hasad dan jahat. Soal khairy lulusan Oxford atau bijak berbicara tidak timbul dalam hal ini. Khairy cuma aktor atau political animal yang hanya menjaga kepentingannya dalam ECM Libra dan Temasek Holding. Cuma kita orang Melayu perlu lebih berani untuk bertindak balas dengan lebih cerdik dan bijak. Jangan sampai sebab orang itu lulusan itu ini maka kita rasa rendah diri dan takut untuk menyoal balas.

Bagi saya kita tidak perlu selalu berforum sebegini kerana ini hanya mencetuskan suasana yang tidak membangunkan masa depan umat Melayu Islam. Bergaduh soal sesuatu yang belum pasti dan masih kelabu pelaksanaannya. Soalnya hari ini kita ketinggalan di belakang kaum lain dalam soal pegangan ekonomi makro khususnya di sektor swasta dan korporat. Anak muda Melayu middle class sepatutnya lebih celik dalam soal ini dan diberi peluang untuk maju dengan saksama dan adil. Anak muda Melayu sepatutnya tidak hanya dididik dengan politik stereotaip seperti kebanyakan siswa-siswi kampus hari ini, tetapi perlu diajar mereka soal bagaimana memulakan perniagaan sendiri dengan idea kreatif dan inovatif.

Lupakan dan pedulikan soal dato' husam dan khairy. Mari kita tumpukan soal pembangunan peluang, pendidikan dan teknologi untuk generasi baru yang berpotensi untuk terus hidup dan menjadi manusia berguna. Menggerakkan entiti mikro yang tersusun, progresif dan terkehadapan dalam soal idea dan strategi. Sesungguhnya Husam dan Khairy tidak memberikan apa-apa merit kepada kita anak-anak muda teknokrat.

the story of makes camp

Pada mulanya agak keberatan untuk saya menerima taklifan sebagai Ketua Unit Modul bagi Kem Motivasi Anak Kembali ke Sekolah 2008 (MAKES Camp '08) ini. Namun saya tabahkan hati dan niatkan semuanya untuk membantu agama Ilahi. Kebiasaannya pada waktu begini orang akan pergi bercuti atau sibuk memikirkan kerjaya sendiri. Saya tetap cuba melakukan sedaya upaya dan mahukan yang terbaik untuk program kali ini. Stesen Penyelidikan Sains Marin UPM Port Dickson menjadi venue utama bagi program kali ini.

Memang kalau difikirkan menganjur dan menjalankan program motivasi satu perkara yang cukup meletihkan. Bekerja di bahagian modul dan pengisian, tentu banyak menggunakan otak untuk berfikir dan tenaga untuk bergerak. Terasa seperti hendak collapse di malam pertama, kerana di sebelah siangnya terkejar ke sana ke mari untuk menyiapkan dokumentasi peserta dan fasilitator, ditambah dengan tugas di meja pendaftaran pun abang kena buat juga. Nak buat macamana dapat adik-adik yang manja dan baru berjinak-jinak dengan dunia motivasi ini.

Meskipun terlalu banyak kekurangan dan kelemahan dalam sesuatu program itu, saya tetap optimis dan berjiwa besar. Saya tahu dan sedar kelemahan itu tetap ada, namun apa yang lebih penting adalah tindakan untuk membaiki dan menambah nilai sesuatu kekurangan itu. Saya bersyukur kerana arena ini mendidik saya menjadi seorang yang positif, mesra dengan orang lain, tahan cabaran dan ujian di samping mampu untuk empati-memahami hati budi dan masalah masyarakat kita hari ini terutama remaja. Saya menganggap mereka seperti adik saya.

Mungkin agak kekesalan melihat tidak ramai senior yang telah bekerja untuk turun membantu dan memberi sokongan terhadap aktiviti pembangunan remaja sebegini. Al maklumlah sibuk dengan kerjaya atau anak isteri. Tapi saya melihat para ustaz yang terlibat dalam jamaah dan persatuan Islam ini seolah-olah sudah biasa dan tiada masalah untuk berbuat begitu. Bahkan ada yang membawa anak sendiri menjadi peserta program atau sekurang-kurangnya berada di sisi untuk membantu pelaksanaan program. Di wajah mereka kita nampak sinar yang inginkan kebaikan bagi anak-anak remaja masa kini.

Jikalau diizinkan sebelum melelapkan mata nanti saya ingin membina sebuah akademi latihan untuk aktiviti, program pembangunan insan, motivasi dan kemahiran belajar. Di bawah payung organisasi ini saya akan kumpulkan para profesional dan teknokrat untuk menjadi shareholder bagi akademi ini. Jikalau Lim Kok Wing boleh buat mengapa anak Melayu Islam tak boleh buat. Adakah Lim Kok Wing makan besi dan kita semua anak Melayu Islam hanya makan nasi?

Jangan menutup pemikiran kita dan terus berfikir secara stereotaip. Jika kita ingin berbakti pada masyarakat maka janganlah banyak sangat berkira. Apa sangat yang kita inginkan dalam hidup ini sehinggakan tidak mahu menyumbang satu sen pun kepada pembangunan dan konstruk sosial remaja kita hari ini. Siapa kata menjadi profesional tidak boleh menyumbang kepada tanggungjawab sosial. Sejak dulu lagi saya berazam untuk memecah tembok tipikal itu.

Tidak payah menunggu untuk mendapat liputan media untuk anugerah CSR atau Tanggungjawab Sosial Korporat seperti yang kita dapat lihat pada konglomerat2 hari ini. Sewaktu di sekolah, universiti bahkan menjadi houseman sekalipun kita boleh melaksanakan dan menggerakan usaha itu. Mengapa tunggu menjadi YB baru berfikir hendak berbakti kepada rakyat. Mengapa bila menjadi YB kita perlu berikan penghormatan kelas pertama sedangkan kita sama-sama manusia berusaha untuk membangunkan rakyat. Inilah yang kita katakan bercita-cita menjadi wakil rakyat tapi tidak pernah menyusun rakyat!

Semoga program seperti ini akan dapat dijalankan lagi untuk masa seterusnya. Saya percaya suatu hari nanti Allah akan mengabulkan cita-cita saya. Menubuhkan sebuah akademi latihan sendiri atas nama Akademi Latihan Tinta Strategi (ALTIS) untuk manfaat generasi harapan akan datang. Semoga generasi baru terus berjaya dan gemilang seiring dengan kemajuan yang kita kecapi hari ini. Kita takkan berhenti dari impian ini kerana ini adalah cita-cita kita bersama.

speech of the president ; full text


Terima kasih Tuan Pengerusi Tetap. Yang dihormati lagi dikasihi tetamu kehormat, para perwakilan persidangan, rakan saf kepimpinan seterusnya hadirin-hadirat muslimin dan muslimat sekalian. Didoakan agar kita semua sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan keampunan Allah SWT. Marilah sama-sama kta berselawat dan mengucapkan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat Baginda yang setia, Ahlul Bait, seterusnya buat semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia samaada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Seinfiniti kesyukuran kita panjatkan kepada Ilahi kerana pada hari ini kita dapat berkumpul untuk sidang Muktamar Sanawi kali yang ke-10. Ketenangan dalam dewan kuliah ini bakal menjadi satu sejarah baru bagi persidangan muktamar kita. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua di atas jasa baik dan kerjasama yang dihulurkan untuk menjalankan program ini. Bertepatan dengan tema persidangan kali ini iaitu "Solidarity and Brotherhood' maka acara kita bermula pada malam ini akan menjadi satu titik permualaan ke arah perpaduan dan hubungan yang lebih akrab selepas ini.

Pejam celik usia kita telah menjangkau lebih 10 tahun. Sejak tahun 1997 sehingga kini, dalam tempoh tersebut telah melalui satu proses transisi atau perubahan yang cukup pantas. Kita telah melakkan beberapa penyesuaian yang antara lain kita telah cuba untuk merapatkan jurang antara ahli dan Alumni. Usaha yang sedang kita lakukan adalah dengan memperbaharui pendekatan dengan kita berpayung di bawah satu komuniti yang kita namakan sebagai Komuniti. Di bawah Community Sdn Bhd, kita bakal menjadi satu komuniti sosial yang berdaftar, dinamik serta mempunyai sistem pengurusan yang tersusun. Kita berharap dengan penjenamaan semula ini akan menjadikan kita lebih vibrant, progresif, dinamik dan mampu merealisasikan visi dan misi dalam membina fasiliti dan infrastruktur di masa hadapan.

Muktamar kali ke 10 ini bertemakan "Solidarity and Brotherhood", sesuai dengan imej sebagai kumpulan anak muda yang progresif, terbuka dari segi pemikiran, perancangan dan tindakan, mempunyai latar belakang agama yang kukuh, kerjaya profesional yang seimbang pantas langkahnya, moderate pendekatannya, rasional dalam bertindak serta mempunyai wawasan masa depan yang jelas. Pada muktamar kali ini juga kita ingin menekankan satu dasar baru iaitu Dasar Profesional (DPS) sebagai satu benchmark untuk menjana kemajuan dan pembangunan 10 tahun akan datang. Jesteru mulai saat ini marilah kita bersama-sama menjadikan sebagai kolam yang melahirkan profesional yang bakal menyumbang bakti dan kepakaran untuk pembangunan masyarakat di Negeri Sembilan. Telah tiba masanya kita menjadikan sebagai kilang orang cerdik yang ghairah dengan ilmu dan pengalaman.

Pada hari ini marilah kita lupakan apa yang telah berlalu. Lupakan kegagalan. Lupakan segalanya kecuali apa yang perlu kita laksanakan sekarang dan laksanakannya. Kita mestilah positif dan sentiasa memilih kawan yang positif. perlu optimis dan tidak boleh mencontohi kemalapan dan kelembapan generasi terdahulu. Apa yang telah berlaku telah menjadi sejarah yang tidak penting bagi kita. Yang lebih penting bagi kita yang hadir di dewan yang mulia ini ialah penentuan masa depan kita sendiri yang masih jauh. mesti berdiri di atas kaki sendiri, berani mencetuskan idea-idea baru serta bebas dalam tindakan. mesti belajar mempunyai pendirian terhadap sesuatu isu penting.

Keadaan ekonomi negara yang merudum di saat ini serba sedikit memberi kesan kepada kita. Ia sekaligus melibatkan kita sebagai mahasiswa-mahasiswi. Kesusahan mencari pekerjaan menjadi dilema bagi para graduan tidak terkecuali ahli. Sampai masanya kita berfikir jauh untuk mencari jalan bagi mewujudkan peluang pekerjaan. Dasar Profesional (DPS) dirancang untuk menjana makro ekonomi dengan penyediaan dana yang kukuh. Sebagai kumpulan profesional kita mestilah bersedia menjana pendapatan per-kapita melangkaui rakyat biasa. mesti bersedia untuk menghadapi cabaran krisis ekonomi ini dengan pelan strategik.

Dari aspek siasah, kita telah melakukan sentuhan pertama pada kempen Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu di DUN. Malangnya kekuatan masih belum cukup ampuh. Kita perlukan 100 lagi untuk menggegar Negeri Sembilan. Saya yakin rakan-rakan mempunyai semangat yang luar biasa untuk menjana perubahan yang berkesan. Kekuatan perlu dijanakan lagi agar gerak kerja siasah lebih sistematik dan berkesan menjana perubahan. Ukhuwah dan kesefahaman sesama kita, para petugas, pengurus perlu dijalin erat untuk menjamin kelancaran tugas dan gerak kerja. Engagement kita dengan akar umbi adalah satu medan latihan yang unik membuktikan bahawa kita tidak buta politik dan selalu bengap berfikir.

Penjenamaan semulabukanlah atas niat kita cuba berbangga dan poyo. boleh menjadi model sebuah gerakan pelajar Islam tulen yang masih di usia muda dan mampu memberikan sumbangan berkesan kepada pembangunan masyarakat. harus menghindarkan diri daripada dicucuk hidung oleh individu berkepentingan. adalah wadah dinamik dan futurustik. Estim diri yang positif dan semangat berani mencuba mesti menjadi budaya ahli. Kita bersyukur kerana kita kini telah mempunyai sebuah web portal www.community.com untuk merancakkan lagi agenda dakwah kita dalam era ICT. Media bertanggungjawab untuk terus memantau dan membangunkan laman portal ini sebagai tempat rujukan dan perkongsian maklumat semasa.

Ingin juga saya menyentuh di sini tentang pergerakan muslimat. Terlebih dahulu saya memohon maaf jika saya katakan muslimat hari ini tiada nilai tambah. Muslimat juga sinonim dengan agenda bermain perasaan, mudah terasa hati dan hanya tahu mengikut agenda muslimin. Selain suka merungut, muslimat juga sering dilihat ketandusan idea-idea baru untuk membawa gerakan muslimat lebih ke hadapan. Imej stereotaip dan sinikal ini tidak memungkinkan muslimat kita untuk pergi lebih jauh. Muslimat mesti lari dari imej J-Qaf dan muslimat ceruk dapur. Muslimat harus menceburi bidang perniagaan yang lebih luas.

Dasar Profesional (DPS) adalah dasar yang mementingkan agenda pendidikan. Kita tidak usah berpuas hati dengan memiliki segulung diploma atau ijazah sarjana muda. mesti menghayati dan beramal dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Ahli mesti memiliki azam untuk belajar sehingga ke tahap paling tertinggi. Kita mensasarkan menjelang tahun 2015 kita mempunyai 5 orang ahli pemegang ijazah PhD. Ingatlah hanya dengan pendidikan dan pencapaian kita boleh memimpin perubahan. Sudah sampai masanya kita menyusun barisan profesional yang boleh meraih keyakinan rakyat dan masyarakat. Kita tidak akan mampu memimpin perubahan dengan mengajar J-Qaf dan KAFA per se.

Faktor penting lain dalam dasar baru ini ialah tentang jaringan dan hubungan luar. perlu meluaskan lagi hubungan dengan pelbagai pihak untuk terus maju ke hadapan. Kita mesti mempunyai keterikatan dengan semua sekolah di Negeri Sembilan samaada sekolah harian, sekolah berasrama penuh SBP SMKA dan MRSM. Selain itu, hubungan dengan para pentadbir, pegawai kanan di badan kerajaan, swasta dan korporat perlu dirintis untuk memudahkan dan melicinkan lagi sistem penyampaian, pentadbiran dan pengurusan akan datang. Peluang yang ada di bawah konsultan Tinta Strategi (TS) perlu digunakan sepenuhnya bagi tujuan tersebut. mesti lari dari imej pelajar yang berjiwa kecil kepada imej berjiwa besar.

Satu perkara lain yang ingin saya tegaskan di sini ialah kepentingan kita untuk menguasai Bahasa Inggeris. Kenyataan ini sekali lagi agak stereotaip dan stagnant. Namun tidak dapat tidak kita tidak boleh lari daripada realiti bahawa fasih bertutur, menulis dan membaca dalam Bahasa Inggeris adalah satu kemestian bagi gerakan kita. Selain menambah nilai kemahiran dan kualiti gerakan, kita bakal berdepan dengan satu cabaran globalisasi yang rata-rata menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian. Kita harus sedar bahawa untuk bergerak lebih jauh dan memimpin perubahan kita mesti mempunyai kualiti extra berbanding masyarakat biasa. Alangkah hebatnya sekiranya kita dapat keluar dari kerangka tipikal bahasa dan kaum dengan kita menguasai bahasa-bahasa asing khususnya Bahasa Mandarin, Hokkein. India dan Perancis. Dewan-dewan kuliah bagi kursus profesional seperti CICA, MBA, CFP dan sebagainya yang ditawarkan di universiti awan dan kolej swasta mestilah diisi oleh ahli2.

Usrah di sekolah ibarat menyemai benih di tanaman. Pelajar sekolah mestilah diisi dengan persediaan dengan memberitahu mereka isu-isu semasa yang berlaku pada hari ini. Statistik menunjukkan seramai 187,324 anak luar nikah di Malaysia. Bagaimana kita ingin menghadapi masa depan dengan hidup dalam keadaaan masyarakat yang hilang nilai moral dan akhlak. Generasi pelajar mesti didedahkan dengan fakta ini agar pemikiran generasi muda tidak hanya pada material dan hiburan yang melalaikan. mesti bertindak membina perancang, penggerak dan pemimpin. Generasi adalah manifestasi untuk mencapai hasrat ini. Kita akan terus membangunkan teknokrat muda yang lebih baik. Dasar ini akan membawa kepada lahirnya DELA - Doctor, Engineeer, Lawyer, Architect muda!

Cita-cita membina generasi baru telah terpendam sejak sekian lama. Kita tidak boleh menunggu lama lagi untuk merealisasikan cita-cita ini. mestilah berjiwa besar, bijaksana dalam merancang dan melaksanakan rancangan dengan penuh strategi. Engagement dan networking dengan semua pihak perlulah dijaga agar menjadi kumpulan yang disegani, dihormati dan diiktiraf sumbangannya oleh semua lapisan masyarakat. Keluarkan diri daripada sentimen politik sempit dan bergeraklah menuju dakwah yang lebih luas dan kontemporari urban. InsyaAllah kita berazam suatu hari nanti bakal menjadi sebuah komuniti contoh yang ideal, terlibat secara aktif dan proaktif dalam aktiviti pendidikan, kebajikan dan dakwah di Negeri Sembilan.

Terpulanglah kepada kita semua untuk menentukan masa depan kita. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri bertindak mengubahnya. Masa tidak akan menunggu kita sekiranya kita terus berpuas hati dengan apa yang kita ada. Kaum lain akan terus menguasai pegangan ekuiti negara kita sedangkan kita terjajah di bumi sendiri. Renungkanlah kata Za'aba "Adapun kemiskinan orang Melayu itu bukan hanya miskin pada wang ringgit dan harta benda, tapi lebih dahsyat dari itu, miskin pada lemah impian dan cita-cita, miskin pada pelajaran, miskin pada alat-alat kelengkapan otak, miskin pada mempunyai cita-cita yang tinggi dan miskin syarat-syarat untuk menjadi maju".

Ayuh kita keluar dari zon selesa ini. Kita akan terus mundur selagi kita tidak mengubah sikap dan cara berfikir kita. Akhirnya marilah ita merenung kata-kata As Syahid Sayyid Qutb "Setiap perjuangan itu ada masa meningkat dan ada masa menurun. Kekalahan itu sebenarnya bermuala daripada kita merasai lemah dan kemenangan itu bermula apabila kita merasai tidak kalah".

Marilah kita mula mengorak langkah membina wawasan baru, impian baru bermula di sini dan hari ini. Kamu adalah anak-anak muda yang mempunyai banyak idea, berani mencuba pendekatan baru, berani berkali-kali gagal, tidak takut dikatakan gila dan berani memecah tembok stereotaip!

my last presidency speech


Selesai sudah Annual General Meeting (AGM) SPINS kali ke-10 bertempat di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan baru-baru ini. Suasana kali ini lebih meriah dan begitu mesra dengan kehadiran ahli pelbagai peringkat dan muka-muka baru untuk menyertai SPINS Community. Hasrat kami untuk menubuhkan sebuah komuniti berdaftar disambut baik oleh semua perwakilan pada persidangan kali ini. Kali ini tiada lagi istilah mementingkan diri sendiri. Kita mula merintis projek untuk membangunkan fasiliti dan infrastuktur di masa hadapan. Kali ini kita akan menumpukan untuk penjanaan dana, aset bernilai di samping penguasaan ekuiti dalam sektor hartanah dan korporat.

Sewaktu pembentangan ucapan dasar itu saya telah meluahkan segala rasa isi hati saya. Saya rasa begitu tenang selepas itu kerana usaha untuk memecah tembok stereotaip telah bermula. Setuju atau tidak dengan sesuatu perkara itu bukan persoalannya. Yang paling penting ialah kita berani menyatakan pandangan pendirian without fear and favour. Selama ini saya dilatih untuk berkata yang benar dan baik sekalipun pahit. Cukuplah sindrom 'elegantly silent' selama ini. Baru hari ini saya sedar bahawa untuk bergerak ke hadapan mulut kena rajin, tangan kena rajin dan kaki kena panjang melangkah.

Usaha untuk mengembangkan pemikiran melangkaui rakyat biasa perlu dilatih dan dikembangkan bermula sekarang. Kita tidak hidup di zaman batu. Kita hidup di zaman teknologi maklumat. Sesiapa yang menguasai maklumat akan menguasai keadaaan. Sesiapa yang menguasai keadaan maka dia layak untuk menjadi teknokrat tulen. Menjadi teknokrat tulen bukan untuk berbangga sebaliknya untuk berbakti kepada ummah dan masyarakat umum.

Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan pada perjuangan ini. Teruskan usaha kita. Jangan takut dan jangan putus asa. Jika tidak sanggup menjadi pohon besar yang tetap teguh dan kukuh menahan angin maka jadilah rumput di jalanan yang terus dipijak orang. Kita takkan berjaya dalam kehidupan sekiranya tidak sanggup menahan ujian dan dugaan. Kita takkan jadi kaya kalau asyik beralasan dan mudah kalah dengan dugaan dalam dunia perniagaan. Beri peluang untuk diri belajar dan ambillah masa untuk mengenali dan memahami diri kita sendiri.

Whatever the mind conceive dan believe, it can be achieved!