Hari ini 31.12.2012 adalah hari terakhir dalam tahun ini. Pantasnya masa berlalu meninggalkan waktu dan usia. Semakin dekat dengan kedewasaan. Semakin hampir dengan kematangan. Semakin berisi dengan ilmu dan hikmah. Semakin bijak menyusun perancangan masa depan. Syukur atas segala kurniaan Tuhan yang memberikan kelapangan dan rezeki. Syukur atas segala kemudahan atas ujian dan cubaan. Syukur kerana diberikan peluang untuk kita berubah meskipun terpaksa berkorban. Anak-anak muda itu perlu terus berjuang dalam kanvas kehidupan. Anak-anak itu tidak harus putus asa dalam mendewasa - Usaha lagi terus dan terus.
Genap setahun rumahtangga itu dibina. Masih perlu berusaha dan berdoa. Masih perlu membaiki kelemahan dan kealpaan. Masih perlu dibangunkan roh dan minda agar lebih dekat padaNya dan lebih memandang jauh ke hadapan. Hidup adalah untuk kita memilih. Memilih diantara dua atau tiga masa depan. Masa depan adalah sangat berharga. Masa adalah modal kita. Insan-insan disekeliling membentuk karakter dan peribadi kita. Anak-anak muda itu harus bangga dikelilingi mereka yang berjaya dan rajin bekerja. Kuat berusaha dan berfikir mencorak masa hadapan. Lupakan perbalahan dan persengketaan yang merugikan agama, bangsa dan negara kita. Fikir ke hadapan bagaimana ingin membina anak wargabangsa yang lebih maju. Berfikir untuk mencapai ke tahap global dan internasional. Berfikir untuk berubah secara total.
2013 pasti menjanjikan event-event yang menarik. Yang paling menarik tidak lain dan tidak bukan Pilihanraya Umum ke-13. Kali kedua anak muda mengundi memilih pemimpin. Kali kedua anak muda itu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi yang tidak tahu apa wakil rakyatnya buat dalam kawasannya. Adakah sekadar berpolitik atau beretorik. Adakah telah termaju masyarakatku dan bangsaku. Apakah bangsaku sudah hidup mewah dan kaya raya. Apakah bangsaku masih tidur dan malas bekerja. Apakah bangsaku sebenarnya tidak punya apa-apa idea untuk maju.
Bilakah kita akan berubah sebagai sebuah bangsa yang kuat bekerja. Bilakah kita akan berubah untuk jadi bangsa yang kuat belajar dan cintakan ilmu. Bilakah kita akan jadi bangsa untuk suka fikirkan tentang idea pembangunan dan kemajuan dan bukannya asyik bercerita tentang hal orang, memfitnah dan bergaduh tentang kuasa dan politik. Ya benar kuasa dan politik itu adalah wang. Tetapi ingatlah di sana masih ada ruang untuk kita perbaharui dan perbaiki - semangat dan daya juang kita untuk mengeluarkan generasi baru daripada kemiskinan. Anak-anak muda itu dalam derita dan sengsara. Masa depan anak-anak muda itu perlu diselamatkan. Ruang pencerahan anak-anak muda ini hanya melalui jalan pendidikan. Pelajaran adalah kuncinya. Pelajaran adalah senjatanya. Pelajaran terbaik adalah pengalaman di luar kotak darjah dan buku. Pelajaran terbaik adalah apa yang mereka lalui dalam menempuhi ranjau sepanjang jalan. Ingatlah kata-kata Horace Mann ' Education cannot make us all leaders, but it can teach us which leader to follow ! '
Selamat Datang 2013 ! Fight always Fight ! We are Fighters !
0 comments:
Post a Comment