Antara Dua Masa Depan


Hari ini sudah melepasi peristiwa-peristiwa penting dalam hidup ku. Hari kelahiran isteri ku yang tersayang, ulangtahun perkahwinan kami yang pertama dan seterusnya menyambut hari kelahiran ku yang ke-28. Ya memang benar masa berjalan sebegitu pantas dan ligat. Masa tidak menunggu kita. Masa tak pernah sekali menipu kita dengan keadaan dan ruang waktu. Ya, kita semakin tua dan meningkat usia. Semakin dekat menuju kematian. Semakin dekat menuju cita-cita terakhir kita. Tidak lain dan tidak bukan adalah kejayaan dan kebebasan. Impian kita adalah kematangan dalam hidup. Impian kita adalah mendewasa dan mampu menjadi orang berpengalaman. Orang yang lebih makan garam berbanding adik-adik junior yang belum bergraduasi. Walhal makan banyak garam itu berisiko untuk dapat penyakit darah tinggi. 

Selesai Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung UMNO - apakah ibrah yang kita dapat daripada kedua perhimpunan parti umat Melayu - Islam yang terbesar ini. Satu memperjuangkan Islam. Satu memperjuangkan Melayu. Satu kata nak laksanakan hukum Islam. Satu ini pun kata telah dan akan laksanakan hukum Islam. Pening. Keliru. Bosan dengan berita-berita politik di dada akhbar hari demi hari. Tidak adalah yang lebih idealis dan progresif lebih daripada itu. Anak-anak muda itu tetap perlu bekerja demi sesuap nasi. Anak-anak muda itu tetap perlu membayar hutang PTPTN. Anak-anak muda itu tetap perlu memikirkan akan gaji yang tidak mampu menampung kos hidup yang semakin menggila - kereta, rumah, bil astro, bil api dan ir, bil Celcom dan Maxis, bil Indah Water Konsortium, cukai pendapatan dan cukai pintu. Segala macam hal yang tidak ada kena mengena dengan Najib Razak, Anwar Ibrahim mahupun Abdul Hadi Awang. Hari demi hari anak-anak muda itu berharap cinta akan datang kepada mereka - kerna cinta boleh meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak-anak muda yang semakin mendewasa. 

Arakian dalam hidup ini kita mengharapkan perubahan. Apakah yang lebih penting selain daripada perubahan. Alam berubah. Manusia berubah. Mana mungkin kita duduk statik dan tidak bergerak . Mana mungkin kita terus-terus menjadi miskin dan terhina. Bangsa miskin dan terhina dek kerana korupsi dan kronisme. Bangsa miskin dan melarat kerana kurang ilmu, malas berusaha dan tidak mampu bersaing. Bangsa yang tidak bangun menentang dan melawan hawa nafsu. Bangsa yang membiarkan sahaja anak-anak mudanya berpeleseran, tidak berpelajaran dan sibuk dengan hiburan hedonisme lawak, seks dan hantu bayang di TV3. Mana mungkin kita mampu merobah segunung dan selembah cabaran mendatang yang bakal mendatangi kita. Di manakah masa depan kita. Di manakah alif ba ta kita dalam tempoh 10 - 15 tahun akan datang. Apakah yang dapat kita harapkan lagi daripada 241,740 yang diisytihar bankrap setakat April 2012 tahun ini. Apakah yang dapat kita simpulkan lagi - adakah kita Selamat atau Merana. Bahagia atau Sengsara. 

Segalanya bermula dengan diri kita. Kita yang memilih dan menentukan. Kita yang patut berimpian untuk berubah. Apakah kita takut dengan kegagalan. Apakah kita takut miskin, takut dikatakan penakut. Takut untuk menukar pemimpin, takut mengkritik, takut kepada orang yang telah banyak berjasa kepada kita. Apakah takut itu? Takut pada diri sendiri kerana tidak mahu mencuba untuk mencabar diri. Ya benar mencabar diri untuk pergi sejauh mungkin. Kenapa duduk tinggal lagi di Malaysia apabila tiada yang kita boleh harapkan untuk masa depan kita. Apa yang kita perlukan adalah jaminan masa depan yang lebih baik. Jesteru haruslah kita melangkah untuk perubahan. Terus merancang untuk kemajuan dan kejayaan. Kekayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Kenapa tidak tinggal dan bekerja di United Kingdom , Prague atau Amsterdam. Kenapa takut untuk keluar dari kepompong yang selama ini membelenggu diri kita. Anak-anak muda itu seharusnya tidak takut dikatakan gila, berani berkali-kali gagal dan berani berimpian besar. Hidup hanya sekali ! Lawan dan Cabar lah ! 

0 comments: